BUTTERWORTH: Ribuan kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih empat jam di atas Jambatan Pulau Pinang pagi ini apabila sebuah lori membawa tong gas terbalik.
Jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) berkata lori yang terbalik di Km 1.3 menghala ke tanah besar itu menyebabkan dua daripada tiga lorong di atas jambatan berkenaan terhalang.
"Hanya satu lorong laluan menuju ke Perai dibuka dan ekoran itu berlaku kesesakan teruk di semua laluan masuk jambatan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Gelugor dan Bayan Lepas," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata lori yang terbalik pada 10.30 pagi itu berjaya dialihkan pada 2 petang tadi dan keadaan trafik di atas jambatan sudah beransur pulih.
Insiden itu menyebabkan pemandu lori berkenaan mengalami cedera ringan, katanya.
Tinjauan Bernama setakat tengah hari tadi mendapati trafik sesak sepanjang lima kilometer sehingga ke kawasan Lebuhraya Jelutong di sini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan