21 November 2013

Politik habuan warnai demokrasi ala Umno

17 Muharram 1435H. [MOD] -
M Faqih,21 Nov 2013
SAMBIL menjamah nasi beriani, seorang aktivis belia di Pulau Pinang mengeleng-ngeleng kepala. Beliau hairan bagaimana bekas anggota parlimen Bayan Baru boleh dilantik sebagai Duta Besar ke Indonesia.

“Orang lain yang sudah lama berjuang dalam Umno tidak pula merasai habuan seperti itu. Ramai lagi calon lain lebih layak dan berjasa kepada Umno.

“Aku tak kisah kalau hendak lantik Ezam Mohd Nor sebagai Senator kerana penampilan begitu menonjol sebelum ini, tetapi Zahrain apa yang ada,” ujarnya.
Hujahnya berjela-jela. Keenakan nasi ditambah pula lauk pelbagai rasa membuatkan sembang kami semakin rancak di Gelugur, baru-baru ini.

Bekas pegawai Jabatan Penerangan pula mengangguk-angguk kepala. Beliau juga anak tempatan kini mengusahakan perniagaan sendiri. Beliau memberitahu tahu sangat kelibat bekas anggota parlimen itu sebelum ini.

Dakwa beliau, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meninggalkan PKR kerana ada episod dukanya. Ujarnya ada hubung kait rasa kecewa kerana hajat tidak kesampaian.

Kedua-duanya rakan tadi mengakui masih ahli Umno. Ahli perniagaan itu mengheret pula isu di Sungai Limau. Kata beliau kenaikan harga barang faktor utama Umno dan BN gagal di Dun berkenaan.

“Biar pun rakyat disogok janji-janji politik dan wang ringgit, namun bebanan kehidupan seharian lebih dirasai mereka,” tambahnya.

Pengerusi PKR

Pada 2 Oktober lalu, Zahrain menerima watikah tauliah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Beliau sebelum ini Pengerusi PKR Pulau Pinang. Pernah juga dilantik sebagai Pengerusi Hongkew Holdings Sdn Bhd.

Sebelum ini isu membabitkan bekas anggota parlimen Bayan Baru geger di media baru. Malah blog pro Umno juga cuak dengan habuan diberi Perdana Menteri kepada bekas Pengerusi PKR terbabit.

Pelantikan itu pada awalnya nampak seperti dirahsiakan. Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin sebelum ini tidak menyebut nama Duta Malaysia ke Indonesia semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Ketika menjawab soalan anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Hamzah menjelaskan kerajaan hanya melantik empat duta secara lantikan politik.

Mereka iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datin Seri Blanche Olbery (Finland), Datuk Yong Teck Shing (Taiwan) dan Datuk Awang Sahak Awang Salleh (Brunei).

Ramai anggota parlimen hairan, timbalan menteri tidak pula menyebut nama bekas anggota Parlimen Bayan Baru, sedangkan mereka menemui bukti bergambar Zahrain hadir pada taklimat dan memperkenalkan bakal duta Malaysia.

Dan kelmarin pula ada menteri menjawab lantikan yang dibuat itu mengikut Fasal 144 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak puas hati dengan Zahrain, pegawai kerajaan terbabit menempelak, ramai lagi pegawai kanan kerajaan layak mengisi jawatan duta ke luar negara.

Maka tidak salah kalau ada pihak mengandaikan pelantikan Zahrain sebagai 'ganjaran politik'. Ia merupakan habuan kerana meninggalkan perjuangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

Lebih mengejutkan lagi apabila ada pihak menyebut, ada kaitannya dengan usaha Najib mengekang pengaruh Anwar di Indonesia.

Politik habuan

Inilah antara contoh politik habuan yang sudah lama membengkak dalam ruang lingkup demokrasi ala Umno di Malaysia.

Contoh klasik lain termasuk bekas Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu dilantik Duta Khas ke India dan Asia Selatan. Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting pula dihadiah Duta Khas Ke China.

Begitu juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima habuan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Lebih menarik lagi apabila anggota parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis satu-satunya ahli parlimen dilantik sebagai duta. Beliau diberi hadiah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dilantik Pengerusi dan Pengarah Sime Darby. Bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung jawatan angkara politik wang, Tan Sri Isa Samad juga menerima habuan pengerusi Felda.

“Nampaknya tidak perlulah pemimpin Umno bersusah payah untuk menang dalam pilihan raya kerana habuan pasti menunggu mereka selepas kalah,” ujar seorang pensyarah.

Malangnya situasi itu tidak berlaku di Kelantan. Ada orang bertanya apa pula habuan diberi kepada bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh selepas tewas kali kedua di kerusi parlimen Kota Bharu, Mei lalu.

Apa khabar pula Datuk Dr Awang Adek. Sejak diketepikan tokoh muda PAS, Ahmad Marzuk Shaary di Bachok pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu, wajahnya tidak muncul lagi.

Tiada ulasan: