21 November 2013

Menteri Kesihatan cedera, pemandu parah dalam nahas

17 Muharram 1435H. [MOD] -

MELAKA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam cedera di bahagian leher manakala pengawal peribadinya parah apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Km220.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan berhampiran kawasan Pedas-Linggi, malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kereta berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang secara tiba-tiba menukar laluan daripada laluan tengah ke laluan kanan lebuh raya itu.


"Kecederaan datuk seri (Dr Subramaniam) tidak serius manakala pengawal peribadinya dipercayai mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut dan masih berada dalam 'operating theater' (dewan bedah) Hospital Besar Melaka.

"Mereka pada awalnya dirawat di Hospital Alor Gajah dan dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata Dr Subramaniam dimasukkan ke wad hospital itu sebagai langkah berjaga-jaga serta mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu kereta menteri berkenaan tidak cedera.

Chuah berkata lori yang terlibat dalam kemalangan itu melarikan diri dari tempat kejadian dan polis akan mengambil tindakan pantas untuk mengesan lori terbabit. - Bernama

Tiada ulasan: