21 November 2013

Sejauh mana syariat Islam dinobat?

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013

SHAH ALAM: Sebagai sebuah gerakan dakwah dan siasah, perjuangan PAS tidaklah bermatlamatkan kemenangan di dalam pilihan raya semata-mata tetapi matlamat utamanya ialah untuk mencari keredhaan Allah dengan memanfaatkan kuasa yang diperolehi menerusi pilihan raya untuk melaksanakan Islam.

“Maka apabila kemenangan diberikan oleh Allah di dalam pilihan raya, ia merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu diisi sebaiknya,” tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ustaz Harun Taib dalam ucaptama pada muktamar tahunan dewan itu kali ke-52 di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.

Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Beliau berkata, persoalan yang mesti dilontarkan ialah apakah dengan kejayaan menerusi kerjasama Pakatan Rakyat, kita telah berjaya atau sekurang-kurangnya berusaha menobatkan syariat Islam dalam pentadbiran dan undang-undang.

Justeru, ujarnya PAS perlu memanfaatkan kemenangan memerintah beberapa negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang pasca Pilihan Raya Umum Ke-13  untuk menyebarluaskan lagi kesedaran Islam di kalangan masyarakat.

“Di sinilah alim ulama PAS perlu berperanan besar memanfaatkan ruang yang ada di surau dan masjid seluruh negeri yang diperintah untuk memakmurkannya dengan pengisian ilmu,” katanya lagi.

Beliau menambah, hanya dengan ilmu masyarakat akan meninggalkan kejahilan dan terus mengekalkan sokongan kepada Islam.

Di samping itu, katanya pegawai dan kakitangan kerajaan di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat perlu disemarakkan program pengisian rohani dan ilmunya.

“Sewajarnya unit khusus agama diwujudkan di setiap jabatan dan juga GLC untuk menumpukan pada program pembinaan insan ini,” ujarnya lagi.

No comments: