21 November 2013

'Tahniah, Muslimat PAS tak termakan fitnah musuh'

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,20 Nov 2013
SHAH ALAM: Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh ahli dewa nitu yang tidak mudah termakan fitnah musuh yang cuba memecahbelahkan parti.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah malam ini, beliau berkata, isu profesional vs ulamak sengaja dimainkan musuh PAS lebih-lebih lagi menjelang pemilihan pada muktamar kali ini.

Bagaimanapun katanya, dengan usia dewan itu menjangkaui 60 tahun, ternyata ahli dewan itu sudah matang berdepan serangan lawan itu.


Tonggak utama kekuatan PAS adalah pada peranan yang bersifat gabungjalin –“saling” di antara 3 entiti penting di dalam keanggotaan PAS itu sendiri iaitu ulama’, professional dan aktivis.

"Saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada para Muslimat di seluruh negara kerana telah berjaya menunjukkan kematangan Muslimat dalam menghadapi fitnah musuh yang usaha memporak perandakan keutuhan organisasi dan kemantapan ukhuwaah jamaah dalam siri-siri serangan professional vs ulamak," katanya.

Menurutnya lagi, usia 60 tahun itu telah mengajar dewan muslimat berdepan dengan pelbagai kerencaman, tribulasi dan ujian di semua peringkat termasuk Cawangan, Kawasan, Negeri hatta di peringkat Pusat.

Jelasnya,  ulamak, professional dan aktivis merupakan tonggak yamg telah membangunkan PAS sehingga tahap hari ini dan ianya perlu dijaga sebaiknya untuk terus memacu kejayaan parti.

"Kerukunan – keharmonian – dan saling menghargai di antara ketiga-tiga tonggak ini adalah sangat penting bagi memastikan niat penubuhan Daulah itu direalisasikan," tegasnya.

Sementara itu Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali adalah yang ke-53 dengan tema ’Muslimat Mantap, Perjuangan Berkat, Negara Selamat’.

Kira-kira 800 perwakilan dari seluruh negara mula memenuhi Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah seawal jam 7.00 malam untuk mengikuti muktamar Dewan Muslimat kali ini.

No comments: