09 April 2012

Bermandi darah lawan babi

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS - Pengalaman bertarung dengan seekor babi hutan empat bulan lalu pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat oleh seorang penoreh getah warga emas dari Kampung Jerkoh, Benta .

Chong Chung, 69, mengalami kecederaan parah akibat diserang haiwan itu yang dianggarkan seberat 90 kilogram semasa sedang menoreh getah di kebunnya.

Menurutnya, kejadian itu cukup mengerikan dan menjadi satu sejarah hitam dalam hidupnya walaupun sebelum ini dia pernah bertembung seekor beruang di sebuah hutan dekat kampung tersebut tidak lama dahulu.

“Babi hutan itu datang dari arah belakang terus menyerang saya bertubi-tubi semasa saya sedang menoreh di dalam kebun berhampiran rumah.

“Akibatnya, saya cedera di tangan dan paha serta kaki,” katanya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari 4 Disember tahun lalu, seorang penoreh getah, Wahab Saad, 62, maut, manakala isterinya, Napsiah Aman, 58, dan Chung cedera selepas diserang babi itu ketika masing-masing sedang menoreh di kebun getah berdekatan di Kampung Jerkoh.

Chung berkata, dengan menggunakan sebilah parang dan kekuatan tenaga yang ada, dia sempat menetak binatang itu bertubi-tubi di kepala dan badan menyebabkan haiwan itu mati.

“Saya kemudian dibantu ahli keluarga segera dibawa ke Hospital Kuala Lipis. Berikutan kecederaan parah yang dialami, saya kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Saya percaya babi hutan yang sama pernah beberapa kali menyerang pekebun lain sebelum ini tetapi tiada kecederaan berlaku,” katanya.

Chung berkata, walaupun kejadian itu disifatkan ngeri baginya, ia tidak mematahkan semangat penoreh itu untuk kembali ke kebun.

Menurutnya, selepas kejadian itu dia akan lebih berhati-hati termasuk keluar menoreh secara berkawan.


Kehilangan suami

Sementara itu bagi Napsiah pula, kejadian diserang babi hutan berkenaan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat kerana ekoran peristiwa terbabit dia kehilangan suami tercinta.

“Semasa kejadian saya sedang menyiapkan makanan di bangsal sebelum dikejutkan dengan jeritan arwah suami.

Napsiah berkata, arwah suaminya sempat bergelut beberapa minit dengan haiwan berkenaan dan menjerit meminta tolong sebelum dia terjatuh ke dalam anak sungai.

“Mendengar jeritan suaminya, saya bertindak segera berlari untuk membantu namun haiwan tersebut bertindak menyerang saya pula.

“Saya kemudiannya cuba mempertahankan diri dengan menggunakan parang dan haiwan berkenaan bertindak meninggalkan kebun tersebut setelah mengalami kecederaan” katanya.

Napsiah berkata, ekoran kejadian terbabit, dia turut mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat serangan tersebut bertindak berlari ke jalan utama untuk meminta bantuan.

Menurutnya, dua orang penduduk yang kebetulan melalui kawasan terbabit bertindak memberi bantuan awal setelah dimaklumkan olehnya tentang kejadian berkenaan.

“Arwah suami telah ditarik keluar dari anak sungai itu oleh penduduk berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian akibat lemas,” katanya.


Perlu lebih berhati-hati

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pekebun dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan sebarang situasi termasuk serangan dari haiwan liar.

“Kita mungkin jarang mendengar serangan daripada haiwan liar seperti babi namun kita perlu lebih berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Pekebun atau penoreh getah juga dinasihatkan agar tidak pergi ke kebun secara berseorangan dan mereka perlu mempersiapkan senjata seperti parang sebagai senjata untuk mempertahankan diri,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: