09 April 2012

Tragedi salji Pakistan: Peluang hidup tipis

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD - Pakar-pakar berpendapat harapan bagi mengesan mangsa yang terselamat dalam tragedi runtuhan salji di kem tentera Pakistan awal pagi kelmarin sangat tipis.

Seramai 135 orang termasuk 124 askar dipercayai tertimbus dalam kejadian itu.

Selepas lebih dua hari tragedi, yang dikatakan paling buruk dalam sejarah Pakistan, pasukan mencari dan menyelamat belum menemui mana-mana mangsa yang terselamat ataupun mayat mangsa yang terbunuh.

Kem tentera di lokasi kejadian beroperasi sejak lebih dua dekad.

Kenyataan pihak tentera sebelum ini menyebut runtuhan salji di daerah Gayari, dekat Siachen Glacier, awal pagi kelmarin meliputi kawasan seluas 1,000 meter dan setebal 25 meter.

Kira-kira 180 askar dan 60 orang awam terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Menurut pakar-pakar berkaitan salji, harapan untuk mencari mangsa yang terselamat sangat tipis.

"Tidak ada harapan. Tiada peluang langsung," kata seorang pakar Kolonel Sher Khan.

"Anda hanya boleh mengesan (mangsa hidup) dalam tempoh lima hingga 10 minit yang pertama," kata beliau dipetik laporan AFP dan ABC.

"Kehilangan nyawa dalam kejadian runtuhan salji berlaku disebabkan tekanan beban (salji), kesejukan yang melampau dan kekurangan oksigen," katanya lagi.

Pihak tentera berkata, Pangilan Tentera Jeneral Ashfaq Kayani melawat tempat kejadian dan menyelia operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: