09 April 2012

Dalang curi sawit dicekup

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JERANGAU - Misteri kehilangan buah sawit milik peneroka tempatan terungkai dengan tertangkapnya seorang penagih dadah yang disyaki menjadi dalang perbuatan terbabit.

Penangkapan suspek berusia 30an itu dilakukan penduduk sebaik terserempak dengan pemilik ladang dipercayai pernah dicurinya sebelum bertindak membelasahnya kerana dipercayai cuba melarikan diri.

Kejadian dipercayai berlaku petang kelmarin ketika suspek sedang menunggang basikal berdekatan Pasar Jerangau.

Sebaik melihat kelibat suspek, pemilik ladang berkenaan meminta bantuan penduduk berdekatan untuk menangkap sebelum suspek dibelasah kerana cuba melarikan diri.

Suspek terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sehari sebelum kejadian, suspek dikatakan terserempak dengan pemilik ladang berkenaan ketika sedang mengait buah sawit, namun berjaya melarikan diri sebaik menyedari gelagatnya diperhatikan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati dia turut positif dadah jenis methapethamine.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan dan suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut seksyen 379/511 Kanun Keseksaan Jenayah.

Agency

Tiada ulasan: