09 April 2012

Berjaga malam mengekang jenayah

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pada jam 12.30 tengah malam, berbekalkan walkie talkie di tangan, lampu picit dan sebatang kayu cotar, Anwar Hayatullah, 65, bersama dua rakan memulakan tugas meronda di sekitar kawasan perumahannya di Kampung Malaysia Raya. Kehadiran mereka yang menaiki motosikal sendiri dan memakai vest warna hijau terang yang tertulis SRS mudah dikenali di setiap lorong hampir 200 rumah dengan jumlah kira-kira 2,000 penduduk.

Aktiviti meronda di kawasan berstatus kampung yang terletak di tengah-tengah kesibukan pembangunan di sekelilingnya itu adalah aktiviti rutin yang dilakukan setiap malam. Tanpa sebarang bayaran, semuanya dilakukan secara sukarela, dengan mengorbankan masa tidurnya untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku bagi memastikan penduduk boleh lena dengan aman.

Anwar ialah anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang ditubuhkan di kawasan rumahnya, sejak tiga tahun lepas. Ia adalah satu daripada cabang dalam Rukun Tetangga (RT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti (JPNIN) sebagai langkah untuk menjaga keselamatan dalam sesuatu kawasan RT di samping membantu polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

Kampung Malaysia Raya yang majoritinya dihuni masyarakat Melayu, kini mempunyai 50 anggota SRS, yang mana hampir 20 daripada mereka adalah anggota yang benar-benar aktif melakukan tugas meronda termasuk Anwar. Kelebihan di kawasan perumahan ini, yang dibuka sejak awal tahun 70-an, mereka mempunyai ramai pesara kerajaan dan swasta yang turut membantu menghidupkan aktiviti meronda setiap malam hingga awal pagi.

Ini juga menjadikan SRS kawasan tersebut antara yang terbaik di kawasan Cheras dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun banyak kawasan perumahan yang lebih senang mengambil pengawal keselamatan untuk menjalankan tugas itu kerana ia dilihat lebih praktikal. Menurut Anwar, yang juga pemandu teksi, adalah anggota paling senior yang berasa bertanggungjawab untuk turut sama memastikan keselamatan di kawasan perumahan itu.

“Saya antara penduduk terawal di Kampung Malaysia Raya, sejak 1971. Apabila negara bertambah maju, banyak pembangunan, kes jenayah pun meningkat. Kawasan perumahan di sini pun sama. Saya jadi anggota SRS sebab tak nak lihat ada jenayah berlaku di sini dan untuk pastikan keluarga dan penduduk di sini rasa selamat,” katanya yang juga mendapati kerja sukarelawan itu secara langsung bina hubungan silaturahim dengan penduduk setempat.


Cabaran SRS

Bukan sesuatu yang mudah untuk menarik penyertaan penduduk menyertai SRS, malah ada SRS yang ditubuhkan berhadapan dengan masalah terutama dari segi komitmen, kelihatan lesu atau terus sepi tanpa sebarang aktiviti rondaan. Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Malaysia Raya, Mohd Zainuddin Amran berkata, melakukan kerja sukarela bukan sesuatu yang mudah kerana ia perlu lahir dari hati yang ikhlas.

“Saya beruntung di sini, kerana hubungan yang lama terjalin kalangan penduduk sekitar membolehkan kerjasama erat bagi memudahkan program rondaan dijalankan,” katanya. Sikap segelintir masyarakat yang hanya pandai bercakap dan memberi komen serta kurang memberi kerjasama dalam program SRS sedikit sebanyak turut memberi kesan kelangsungannya.

Memandangkan ia dilakukan secara sukarela, Zainuddin berkata beliau mempunyai cara tersendiri bagi memastikan SRS yang diwujudkan di kawasan perumahannya dapat bertahan dan berterusan. Tidak ada jadual rondaan khusus yang ditetapkan untuk melakukan tugas meronda sebaliknya ia dilakukan secara sukarela oleh anggota yang berkelapangan pada malam tersebut.

Setiap malam anggota SRS melakukan rondaan antara lima hingga 15 orang, terutama pada malam minggu. Waktu rondaan bermula pukul 12.30 hingga 4 pagi setiap malam. Penggunaan walkie talkie turut melancarkan lagi sistem perhubungan ketika melakukan rondaan yang memudahkan satu-satu tindakan diambil sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Kebanyakan anggota membeli sendiri walkie talkie bagi memudahkan tugas. Mereka menunjukkan komitmen yang cukup tinggi malah sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli peralatan lain seperti lampu picit,” katanya.


Jenayah berkurangan

Kampung Malaysia Raya yang bersebelahan dengan Kampung Malaysia Tambahan mudah dilihat melalui Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) yang menuju ke pekan Sungai Besi. Berdekatan dengannya adalah Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-TBS).

Pernah berhadapan dengan pelbagai kes jenayah dan sosial seperti mat rempit, dadah dan kes kecurian, telah menimbulkan rasa bimbang di kalangan penduduk terhadap aliran jenayah sejak enam tahun kebelakangan ini.

Zainuddin berkata usaha kerajaan dengan melibatkan komuniti untuk membantu pihak berkuasa melalui SRS adalah langkah terbaik untuk bersama-sama menjaga keselamatan.

“Malah, sejak wujudnya rondaan SRS tiga tahun lepas, masalah jenayah semakin berkurangan dan enam bulan kebelakangan ini tidak ada sebarang kejadian jenayah berlaku,” kata Zainuddin, yang juga penyelaras KRT di kawasan Cheras.

Wakaf yang terletak bersebelahan pintu gerbang jalan masuk ke kawasan Kampung Malaysia Raya dijadikan pusat aktiviti dan perkumpulan ahli SRS bagi memudahkan penduduk dan orang ramai melihat kehadiran mereka yang bertugas setiap malam.

Beliau berkata hubungan yang baik dengan polis di Balai Salak Selatan, turut memudahkan tugas mereka apabila setiap tangkapan yang dilakukan akan terus dilaporkan ke balai. Selain rondaan biasa, ahli SRS turut melakukan sekatan jalan raya terutama pada malam minggu di hadapan pintu gerbang jalan masuk ke perumahan mereka.

Tunjang utama dalam KRT menjaga keselamatan, namun SRS juga melakukan kerja sukarela aktiviti kemasyarakatan seperti majlis kenduri. Anggota SRS bantu untuk menjaga aliran trafik keluar masuk dan menjaga keselamatan keseluruhan majlis itu. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: