09 April 2012

85 warga asing ditahan dalam Ops 6P

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seramai 85 warga asing ditahan dalam serbuan bersepadu Ops 6P di tapak pembinaan rumah teres Kawasan Perjiranan 11, Bandar Dato’ Onn, di sini, kelmarin.

Serbuan bersepadu itu disertai oleh 143 anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen negeri, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bertindak hasil daripada maklumat awam, serbuan jam 10.45 pagi hingga 1.30 petang yang diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul itu memeriksa 324 warga asing.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohd Nasri Ishak berkata, pihaknya menahan 85 warga asing berusia antara 21 hingga 45 tahun yang berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Pakistan.

Menurutnya, 64 orang daripadanya adalah warga Indonesia, Bangladesh (14), Myanmar (4), Vietnam (2) dan Pakistan (seorang),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

"Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1960 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

“58 daripada 85 yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah ke negara ini, dan 10 warga asing lagi telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di negara ini lebih masa.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam warga asing ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen 1959 kerana mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas, dokumen atau perakuan yang palsu atau dipinda.

“10 warga asing turut ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas atau dokumen perjalanan ke negara ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kesemua warga asing yang ditahan itu telah dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan lanjut.

Agency

Tiada ulasan: