09 April 2012

BSN: Pelanggan perlu waspada

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Bank Simpanan Nasional (BSN) memberi respons terhadap laporan akhbar ini pada 29 Mac lalu, berhubung kes seorang jururawat kehilangan wang gaji berjumlah RM2,000, di sini.

Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN, Ahmad Latfan Mohd Amran memaklumkan, BSN telah menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan.

Menurutnya, tindakan serta merta juga telah diambil oleh bank berkenaan bagi menghalang sebarang transaksi pengeluaran wang daripada akaun pengadu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pelanggan BSN agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan umpan pihak tidak bertanggungjawab.

“Berkaitan kes pengadu terbabit, kita telah berjaya menyekat transaksi pengeluaran wang daripada akaunnya, dan tindakan ini sekali gus dapat mengelakkan wang simpanannya terlepas ke tangan pihak lain.

“Kita ingatkan semua pelanggan untuk tidak sesekali menyerahkan atau mendedahkan kata nama serta kata la­luan­ kepada pihak ketiga,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Latfan juga menasihatkan semua pelanggan BSN menghubungi terus bank itu sekiranya ada menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (sms) yang mencurigakan.

“Pelanggan dinasihatkan melaporkan terus kepada BSN di talian 03-5688 8400 untuk bantuan, jika menerima panggilan atau sms yang meminta maklumat peribadi akaun mereka.

“Orang ramai boleh menghubungi talian 03-2142 5258 pada waktu bekerja atau e-melkan sebarang cada­ngan­, juga pandangan ke alamat servicemanager@bsn.com.my,” katanya.

Katanya, untuk urusan surat menyurat kepada BSN, orang ramai boleh menghantarkannya ke alamat Bahagian Khidmat Pelanggan, Jabatan Perbankan Cawangan, Bank Simpanan Nasional, 117 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur.

Sinar Harian

Tiada ulasan: