09 April 2012

Nelayan maut jatuh di tengah laut

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KANGAR - Seorang nelayan ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot menangkap ikan yang dinaiki bersama dua rakan di perairan berhampiran Pulau Brasmana, Kuala Perlis petang semalam.

Pegawai Keselamatan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis, Mohd Khairul Hashim berkata, Herman Che Din @ Tajuddin, 29, ditemui mati terapung berhampiran lampu isyarat kapal, terletak kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dimulakan sejak jam 12 tengah hari kelmarin melibatkan anggota JPAM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Kangar serta nelayan.

“Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Khairy Saad, 26, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi kelmarin ketika mangsa bersamanya dan seorang lagi rakan sedang dalam perjalanan ke Pulau Brasmana untuk menziarahi rakan yang sakit sebelum meneruskan tugasan menangkap ikan di laut lepas.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, seorang lagi rakan mereka sedang tidur manakala mangsa mengarahkannya mengambil alih tugas mengemudi bot selepas memberi alasan mahu memeriksa bahagian buritan bot itu.

“Saya hanya menyedari ketiadaan mangsa di dalam bot itu setelah tiba di Pulau Brasmana yang terletak lebih kurang satu batu nautika dari pangkalan bot Kampung Seberang Ramai di sini.

“Saya hairan bagaimana mangsa boleh hilang kerana tidak mendengar sebarang bunyi orang terjun ke dalam laut. Mangsa juga adalah seorang perenang yang handal,” katanya sewaktu ditemui di pangkalan bot Kampung Seberang Ramai di sini semalam.

Menyedari kehilangan mangsa, Mohd Khairy bersama seorang lagi rakan bergegas mendapatkan pertolongan nelayan yang tinggal di pulau itu untuk mencari mangsa.

Dia berkata, usaha menjejaki mangsa gagal walaupun operasi mencari dilakukan sehingga jam 5 pagi yang kemudian menghubungi keluarga mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Bapa mangsa, Che Din @ Tajuddin Mustafa, 70, menyifatkan kematian anaknya itu sebagai sesuatu yang mengejutkan memandangkan arwah menjadi nelayan sejak belasan tahun lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa.

“Kami sekeluarga pasrah dengan kejadian menimpa mangsa walaupun berita kehilangannya mengejutkan kami.

Kakaknya, Melati Che Din @ Tajuddin, 45, berkata, arwah merupakan seorang adik lelaki yang baik dan sering membantu keluarga dengan pendapatan hasil menangkap ikan.

“Sebelum kejadian semalam (kelmarin), dia tidak turun selama seminggu kerana laut bergelora selain keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Tidak sangka keinginannya untuk turun ke laut berakhir dengan tragedi dan kami sekeluarga sentiasa akur dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: