09 April 2012

Pakatan Rakyat rangka usul batal ISA

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 April: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan satu usul sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan bagi tujuan pembatalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh turut menyatakan bahawa dua undang-undang yang akan dibentangkan oleh kerajaan tidak akan terpakai sehingga ia dirujuk kepada rakyat.

"Apa sahaja alasan untuk kita memperkenalkan undang-undang baru walhal sudah ada undang-undang yang cukup ketat untuk kita kawal kegiatan jenayah termasuk pengganas.

"Namun tindakan memperkenalkan undang-undang baru tidak akan terpakai sekiranya ia tidak merujuk kepada rakyat (rundingan awam)," jelasnya.

Tambahnya lagi, apa yang akan dibentangkan olehnya di Parlimen nanti berkenaan pemansuhan ISA tidak memerlukan rundingan awam.

"Kita nak mansuh maka tidak memerlukan pendengaran awam, kalau kita nak pinda baru perlu rundingan awam sebab itu hak rakyat," sambungnya lagi.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut berharap Pakatan Rakyat dapat mengenengahkan perkara tersebut di Parlimen.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan sehingga sekarang GMI mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang lain tidak menerima apa-apa maklumat dari kerajaan mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pemansuhan ISA.

"Pada sesi Parlimen yang lepas Najib telah menyatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA hanya akan dibentangkan pada Mac 2012 iaitu sesi Parlimen kali ini.

"Namun sehingga kini kita tidak mendapat apa-apa maklumat dari Najib berhubung perkara tersebut termasuk juga rundingan awam tentang dua akta penganti ISA, apatah lagi untuk pemansuhan ISA," katanya.

Sebelum itu, GMI turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang untuk diberikan kepada Perdana Menteri yang menuntut tujuh perkara dalam janji Najib terhadap memansuhkan ISA.

Malah GMI akan meneruskan desakan sehinggalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengotakan janji untuk memansuhkan ISA.

Harakah Daily

Tiada ulasan: