09 April 2012

Pemuda PAS Sarawak kesal tuduhan Wan Junaidi

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) berasa amat kesal dengan tuduhan tanpa asas Ahli Parlimen Santubong, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang jelas menunjukkan tahap berpolitik beliau yang kebudakan-budakan bagi seorang yang juga memegang jawatan Timbalan Speaker Parlimen Malaysia seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana Sarawak, semalam.

Dalam masa yang sama, kata Ketua DPPNS, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar), kenyataan Wan Junaidi itu juga menunjukkan tahap kefahaman Islam beliau yang rendah bagi seorang yang pemimpin masyarakat Muslim.

"Untuk pengetahuan Tuan Timbalan Speaker, PAS tidak pernah berubah pendirian dalam perjuangannya menegakkan Islam dan ajarannya yang meletakkan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama sejak penubuhan PAS pada tahun 1951 lagi," katanya.

Jelasnya, asas kerjasama PAS dengan masyarakat bukan Islam adalah didasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Qur’an dan perjalanan hidup Nabi Muhammad baik di Mekah mahupun Madinah.

Katanya lagi, kerjasama antara masyarakat Islam dan bukan Islam dalam pembinaan sebuah negara yang makmur dan adil jelas dapat dilihat melalui Perlembagaan Madinah yang ditandatangani dan dipersetujui oleh semua orang Islam, golongan musyrikin dan Yahudi di Madinah pada waktu tersebut.

"Janganlah kita hanya sibuk menyambut Maulid Nabi tetapi dalam masa yang sama buta dengan kisah di mana pada zaman awal dakwah Nabi di Mekah, perjuangan Nabi dilindungi oleh beberapa pimpinan bukan Islam di sana.

"Kita juga perlu ingat bahawa ketika Nabi berhijrah ke Madinah, penunjuk jalan beliau dan Abu Bakar adalah seorang non-muslim. Kisah-kisah ini jelas menunjukkan keharusan bekerjasama dengan masyarakat non-muslim dalam menegakkan kebenaran dan keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, sebenarnya bukan PAS tetapi BNlah yang bersifat seperti ‘chameleon’ atau ‘sumpah-sumpah’ yang boleh bertukar-tukar warna dalam memancing undi rakyat di mana di hadapan kaum Cina, BN menuduh DAP ditunggangi PAS, manakala di hadapan pengundi Melayu, BN memfitnah PAS ditunggangi DAP.

Menurutnya, Dalam suatu majlis, Perdana Menteri BN berceramah panjang tentang kesederhanaan tetapi dalam ketika yang lain lebih RM400,000 dibelanjakan untuk majlis pertunangan puteri beliau.

Tambahnya, Kerajaan BN diwar-warkan sebagai berkebajikan dengan inisiatif BR1M tetapi dalam masa yang sama menghadiahkan lebih RM 500 juta dalam bentuk pelupusan hutang kepada bekas Pengerusi Eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli yang telah menggagalkan syarikat penerbangan negara itu.

Tuduhan Dr Wan Junaidi yang kononnya dahulu PAS memperjuangkan Negara Islam sehinggakan semua orang hendak diislamkan seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Borneo semalam juga bukti nyata penyelewengan fakta yang amat serius oleh seorang Timbalan Speaker Parlimen.

"Sekiranya fitnah Dr Wan Junaidi ini benar, tentu sekali tiada orang bukan Muslim di Kelantan yang telah diperintah dengan jayanya oleh PAS selama lebih 20 tahun. Hakikatnya, penduduk bukan Islam di Kelantan adalah kelompok pengundi tegar PAS yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya lagi

Sebenarnya, tamba beliau isu PAS herhasrat meletakkan calon pilihanraya dari kalangan non-muslim bukanlah sesuatu yang baru di mana calon bukan Islam pertama yang diletakkan PAS ialah Saudari Kumutha Raman di Johor pada tahun 2008.

Beliau menambah, dalam masa yang sama perlu dijelaskan bahawa Pesuruhjaya PAS Sarawak dalam kenyataan beliau pada minggu lepas sebenarnya menyebut PAS Sarawak akan meletakkan calon Iban dalam PRU13 akan datang.

"Sebagai rakyat Sarawak yang cintakan keharmonian seharusnya kita berasa pelik dengan kenyataan Dr Wan Junaidi yang pada hakikatnya bersifat cauvinis seolah-olah Islam ini hanya milik orang Melayu.

"Adakah seorang Iban semestinya seorang bukan Muslim?" soal Arifiriazul.

"Kita harus menerima hakikat bahawa Islam tidak mengenal ras dan kaum dan di Sarawak, telah pun ada kelompok masyarakat Cina, Iban, Bidayuh dan lain-lain yang telah memeluk Islam sejak sekian lama. Jelasnya, Islam bukan milik eksklusif orang Melayu,Kedayan ataupun Melanau," ujarnya.

Justeru, kata beliau, DPPNS menyeru semua rakyat Sarawak agar tidak mudah termakan dengan dakyah politik BN yang rasis dan penuh dengan penyelewengan fakta.

"Mari kita sama-sama berganding bahu membawa perubahan kepada negara dan negeri ini dengan menolak kezaliman dan ketidakadilan BN.

"Bagi PAS, kami jelas dalam perjuangan kami bahawa, the muslims are our brothers in faith and the non-muslims are our brothers in humanity," tegasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: