11 Mac 2008

Siapa Dia MB Perak ?

IPOH, 10 MAC :- Tanda tanya mengenai siapa yang akan dipilih menjadi menteri besar Perak masih belum terjawab sehingga kelmarin. Namun begitu dalam suatu sidang akhbar yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang telah menjawab beberapa persoalan utama kepada media.


Beliau telah memberi penjelasan mengenai rombongan dari parti DAP, PKR dan PAS telah mengadap Pemangku Raja Perak dan telah menyerahkan senarai pendek calon-calon dari masing-masing parti, Tegasnya pihak istanalah akan menentukan siapa pilihannya dan semuanya sepakat untuk menerima siapa sahaja yang dipilih nanti.

Paling lewat dijangkakan pada esok hari, Rabu 12 Mac akan diadakan majlis angkat sumpah setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang dikatakan akan balik ke Perak pada hari ini setelah menjalani rawatan mata di ibu negara.

Kerajaan campuran di Perak

IPOH 9 Mac - Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal menubuhkan kerajaan campuran di Perak telah mencapai persetujuan untuk melantik wakil rakyat daripada Pas sebagai Menteri Besar.

Ketiga-tiga parti pembangkang itu bagaimanapun belum memutuskan calon yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut kerana masih berbincang sebelum mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Perak.

Calon Pas dipilih menjadi Menteri Besar meskipun hanya memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding DAP yang memperoleh 18 kerusi kerana perlembagaan negeri Perak memaktubkan hanya wakil rakyat Melayu boleh dilantik memegang jawatan paling tinggi dalam kerajaan negeri.

Difahamkan, Pas sudah menyerahkan beberapa calon yang sesuai untuk mengisi jawatan yang dikosongkan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Setiausaha Perhubungan Pas Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang memenangi kerusi DUN Pasir Panjang.

Keputusan rasmi tentang siapa dipilih oleh kerajaan campuran itu untuk menjadi Menteri Besar dijangka diketahui esok selepas Majlis Tertinggi DAP selesai bermesyuarat untuk membincangkan mengenai perkara tersebut di Pulau Pinang pada malam ini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini bagaimanapun enggan mengesahkan pihaknya sudah membuat keputusan muktamad untuk memilih Ir. Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

''Ketiga-tiga parti yang membentuk kerajaan campuran sudah bersetuju melantik wakil rakyat di kalangan orang Melayu untuk menjadi Menteri Besar mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri.

''Calon yang dipersetujui ialah daripada Pas tetapi belum ada sebarang nama yang disebutkan setakat ini. Apa pun, kriteria calon yang dipilih mestilah antara wakil rakyat yang dilihat paling berkeupayaan dan berkaliber menjadi pemimpin," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang diadakan pada pukul 4.15 pagi di Wisma DAP di sini hari ini, ketiga-tiga parti pembangkang yang membentuk kerajaan campuran bersetuju berkongsi kuasa mentadbir negeri Perak.