05 Januari 2012

Transaksi Beli Dua Kondo di Bangsar Bertarikh 2/12/09

11 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 5 Jan: Siri pendedahan penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dengan pemberian pinjaan mudah berjumlah RM250 juta daripada kerajaan diteruskan dengan pengedaran bukti transaksi kewangan yang berlaku sepanjang tahun 2009.

Berdasarkan dokumen transaksi kewangan NFC, terdapat empat transaksi pembayaran yang berlaku tarikh 2 Disember 2009 dengan jumlah RM9,758,140.

Transaksi ini melibatkan pembayaran yang dilakukan oleh NMLC kepada Bandar Raya Development Berhad berhubung pembelian Kondominium One Menerung, Bangsar.

Kesemua urusan ini berlangsung dari akaun semasa NFC sendiri di Bandk CIMB Cawangan Tun Dr Ismail.

Semalam, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyerahkan dokumen asas berhubung isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada pihak polis.

Beliu hadir dan memberi keterangan berhubung isu berkenaan kepada bahagian siasatan jenayah komersial, Bukit Perdana.

Projek NFC yang diusahakan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan juga anak-anak mereka, meraih kontroversi apabila projek berkenaan ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.

NFC didakwa menyeleweng pinjaman mudah RM250 juta itu untuk perbelanjaan tidak berkaitan, termasuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar.

tv news/-

PAS pernah diuji pemimpin tinggal perjuangan

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertekad meneruskan perjuangan meskipun sekiranya ada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dipenjarakan hatta keluar meninggalkan perjuangan.

“Malah DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat akan menggerakkan perjuangan menuntut keadilan dan perubahan terhadap rejim yang korup dengan lebih bersemangat bagi memastikan kebangkitan rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss

Bagi DPPM, katanya doktrin perjuangan PAS dengan meletakkan matlamat perjuangan yang lebih besar iaitu menegakkan Islam di negara ini dengan tidak menjadikan seseorang individu pemimpin sebagai tempat pergantungan sebagai bekal untuk meneruskan perjuangan sekalipun berhadapan dengan kemungkinan akan kehilangan pemimpin.

“Bagi ahli dan pendukung PAS, Islam adalah keutamaan dalam perjuangan dan pemimpin sebagai penggerak bagi mengemudi perjuangan ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, jelasnya PAS pernah diuji dengan pemimpin yang meninggalkan perjuangan di tengah jalan namun ia tidak meninggalkan kesan sedikitpun kepada PAS.

Menurutnya, dalam keadaan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan risiko dipenjarakan dengan kes mahkamahnya memasuki fasa terakhir menunggu keputusan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat telah mempersiapkan segala perancangan bagi menghadapi risiko sekiranya mahkamah tidak menyebelahi beliau.

Katanya lagi, jadual dan aktiviti Pemuda Pakatan Rakyat padat seperti biasa, bahkan mungkin lebih penuh dengan siri penerangan kepada rakyat.

“Adalah suatu kesilapan sekiranya ada pihak menjangka jika pemenjaraan mana-mana individu akan melemahkan semangat ahli-ahli dan pendokong PR, sebaliknya ia sebagai pemangkin bagi meningkatkan motivasi dan gerak kerja semua pihak bagi menghadapi PRU ke 13,” ujarnya.

DPPM, katanya percaya kes yang berlaku terhadap Anwar menjadi tanda aras tersungkurnya Umno BN dalam PRU ke 13.

Beliau menegaskan, suhu kemarahan rakyat sudah tidak dapat dibendung bagi memastikan kerajaan zalim dan angkuh akan dihukum.

Rakyat, katanya sudah muak dengan politik fitnah secara lucah dan melampau yang direka acap kali sebagai jerat terhadap pemimpin rakyat.

Tambahnya, rakyat mahukan gaya politik baru yang bersih dan dinamik merwarnai lanskap politik negara.

Akhirnya, kata beliau lagi DPPM meyakini jika sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, maka lebih ramai pemimpin hebat akan tampil memimpin perjuangan rakyat.

“Malahan, DPPM bersama Pemuda Pakatan Rakyat sanggup memikul amanah kepimpinan ini jika diberikan kepercayaan oleh pemimpin Pakatan Rakyat demi memastikan kejayaan rakyat keluar penderitaan panjang yang membelenggu mereka selama ini,” ujarnya.

Harakah Daily

Istana ais buatan manusia

11 Safar 1433H. [MOD] -

BENTUK istana ais yang terdapat di Silverthorne, Colorado kelmarin.

COLORADO, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah istana ais dipamerkan kepada pengunjung di sini yang mengandungi laluan pejalan kaki dan terowong.

Istana itu tidak mempunyai struktur sokongan dengan ketinggian mencecah sembilan hingga 12 meter.

Menurut akhbar dalam talian SummitDaily.com, struktur ais itu dihasilkan oleh seorang artis, Brent Christensen.

Dia menggunakan 11.35 juta liter air untuk membina istana tersebut.

Air itu digunakan untuk menghasilkan 4,000 dan 8,000 isikel pada setiap hari.

Isikel ialah kepingan ais runcing yang terbentuk daripada pembekuan air yang menitis. - Agensi

Najib takut dakwa Taib Mahmud ke mahkamah

11 Safar 1433H. [MOD] -

SARAWAK 5 Januari: Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak takut mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bergelumang dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, See Chee How berkata, ini kerana Najib masih menaruh harapan kepada Taib bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Najib sebenarnya takut, namun pada masa sama beliau masih percaya Taib akan membantu BN menang di Sarawak pada PRU akan datang.

“Namun, bagi kita, dengan kekalnya Taib sebagai Pengerusi BN negeri akan memudahkan laluan Pakatan Rakyat untuk menawan lebih banyak kerusi pada PRU kali ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan polis antarabangsa Interpol bahawa tindakan terhadap Taib hanya boleh dilakukan pihak berkuasa tempatan di Malaysia.

Ia ekoran pendedahan Dana Bruno Manser (BMF) dan 16 NGO yang menulis sepucut surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam lebih 400 syarikat di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

BMF dan NGO itu, dalam suratnya menggesa kerajaan Malaysia menahan Taib dan ahli keluarganya kerana melakukan salahgunakuasa, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Mengulas lanjut, Chee How berkata, rakyat Sarawak sudah lama mempertikaikan kekayaan luar biasa yang dimiliki Ketua Menteri paling lama berkuasa di Malaysia itu.

“Buktinya, pada Pilihanraya negeri April lepas, kita berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihanraya sebelumnya dalam keadaan Pakatan Rakyat dinafikan hak untuk memperkenalkan manifesto di media milik kerajaan.

“Respon rakyat sepanjang kempen itu ialah mengapa Najib masih mengekalkan Taib sedangkan jelas Ketua Menteri itu banyak melakukan salah guna kuasa dan rasuah sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri,” tegasnya.

Keadilan Daily

Halang himpunan khianati asas negara demokratik- Azmin

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 5 Januari: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menegaskan halangan kepada perhimpunan aman di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, bertentangan dengan asas perlembagaan dan pembentukan negara yang demokratik.

“Ia (himpunan aman) merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik,”

“Justeru, sebarang usaha atau tindakan yang mengusir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik rakyat Malaysia, adalah pertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka.

“Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka,” tegas beliau dalam satu kenyataan media pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, KEADILAN menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein yang menyatakan kesediaan pihak polis untuk berbincang.

“KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur,” kata beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh untuk mengadakan pertemuan dengan penganjur himpunan tersebut.

Dalam pada itu, Azmin menyeru semua anggota KEADILAN dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk turut serta pada hari keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Berharap insiden keganasan semasa himpunan Bersih dan mahasiswa baru-baru ini tidak berulang, Azmin berkata, ia adalah peluang terbaik bagi pihak polis memulihkan imej dan mengembalikan keyakinan awam.

“KEADILAN turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur,” tegas beliau.

Keadilan Daily

Anwar yakin perubahan besar berlaku meskipun dipenjarakan

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 5 Januari: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, apa sahaja keputusan mahkamah dalam kes fitnah yang dihadapinya, tidak akan menghalang perubahan besar berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh mengenai keputusan pada 9 Januari itu, Anwar meletakkan tiga kemungkinan iaitu diputuskan tidak bersalah, bersalah dan diikat jamin atau berkemungkinan besar dipenjara.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu tidak penting, sebaliknya perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui proses pilihan raya.

“Saya yakin kemenangan akan berlaku, kalau tidak esok, dalam beberapa bulan lagi akan berlaku perubahan besar dalam negara kita.

“Biar dia (mahkamah) hukum saya dan kita doa rakyat akan hukum Umno dalam pilihan raya.

“Pada 9 Januari ini kita boleh dengar keputusan mahkamah tetapi fokus kita adalah pilihan raya,” tegas dalam sidang media selepas ceramah di Bukit Baru, Melaka malam tadi.

Berhubung perhimpunan yang bakal dianjurkan Pakatan Rakyat pada tarikh tersebut, ketua pembangkang itu memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kekacauan selagi tiada pihak yang membuat provokasi.

“Kita minta seperti biasa, perhimpunan kita bersih daripada semua perhimpunan yang dibuat sebelum ini, aman dan selesai dengan baik dan bersurai pun dengan baik.

“Yang penting jangan benarkan sesiapa menganggu termasuk tindakan polis supaya mengawal keadaan dan jangan ada provokasi,” katanya.

Keadilan Daily

Sharizat cermin diri dulu sebelum kritik Himpunan 901 – Zuraida

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 5 Dis: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum mengeluar kritikan berhubung Himpunan Bebaskan Anwar, 9 Januari ini.

Zuraida menyifatkan Ketua Wanita Umno itu tidak layak memberi kenyataan sedemikian kerana keluarganya sendiri terpalit dengan kontroversi penyelewengan dana sebanyak RM250 juta oleh National Feedlot Corporation.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat yang menyatakan perhimpunan itu hanya membawa kekecohan dan menyokong perjuangan individu, malah meminta pihak polis mengambil tindakan.

“Sharizat tak perlulah memberi apa-apa kenyataan mengenai kempen 901 ini, kes nya pun tak habis lagi. Skandal NFC sebenarnya yang bersifat individu malah menipu duit rakyat,” kata beliau kepada keadilandaily.

Ahli Parlimen Ampang menjelaskan kempen tersebut bertujuan memberikan sokongan dan mempertahankan pemimpin yang difitnah Umno- Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, keengganan Shahrizat meletakkan jawatan berhubung skandal NFC, mempamerkan sikap memalukan.

Malah katanya, kenyataan Shahrizat itu seolah-olah mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sehingga masih enggan mengambil sebarang tindakan.

“Tindakan Shahrizat masih lagi tidak mahu meletakkan jawatan dan kononnya menyerahkan Datuk Seri Najib Razak untuk buat keputusan sebenarnya hanya mencabar PM. Sehingga kini, Najib pun tidak berani buat keputusan,” ujarnya.

Keadilan Daily

Taubat orang hina hukum Allah

11 Safar 1433H. [MOD] -

BERTITIK tolak daripada menghina dan mempersenda-sendakan hukum Allah, itu adalah suatu kesalahan yang besar, menyamai kesalahan syirik dan kufur kepada Allah.Ini kerana hukuman kedua-duanya sama sahaja iaitu ke neraka jahanam akhirnya.

Maka wajarlah orang yang melakukan kesalahan itu, segera rujuk untuk kembali kepada Allah dan memohon keampunan Allah dengan hati yang ikhlas untuk mendapat reda- Nya dan kembali kepada-Nya.

Ayat yang anda sebut dalam soalan di atas, jika dirujuk semula, makna sebenarnya seperti berikut: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sambungan ayat itu bermaksud begini: “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,”

(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (maksud surah an- Nisa’, ayat 18)

Mafhum daripada kedua-dua ayat di atas, kita boleh perincikan ada tiga kategori azab dan tiga kategori taubat.

Pertama, taubat yang pada zahirnya diterima Allah dan yakinlah bahawa Allah akan menerima taubat tersebut. Iaitu taubat orang yang melakukan dosa, yang tidak disengajakan akibat kejahilan, tidak menyedarinya suatu kesalahan, lalu apabila ia sedar, ia terus bertaubat nasuha kepada Allah dan itulah yang Allah sebutkan dalam ayat 17 Surah an-Nisa di atas, Allah menerima taubatnya.

Kategori kedua, taubat yang diserahkan kepada Allah sama ada Dia menerima atau menolaknya. Kita cuma mengharapkan Allah menerimanya. Inilah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya):

“Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampuradukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudahmudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (maksud surah au-Taubah, ayat 102)

Taubat orang hina hukum Allah

Ini bererti bahawa dalam kategori ini, harapan untuk diterima taubat masih ada dan ia terserah kepada Allah untuk menerimanya.

Kategori yang ketiga adalah taubat yang tidak diterima Allah (taubat yang sia-sia). Inilah yang disebut dalam Surah an-Nisa ayat 18 di atas. Ayat ini Allah tujukan kepada golongan yang taubat mereka tidak diterima. Walau apa pun hendaklah kita berbaik sangka kepada Allah kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.

Pohonlah keampunan kepada Allah seperti dalam firman-Nya (mafhumnya): “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal salih).” (Surah al-Hijr, ayat 49)

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari mafhumnya: “Rasulullah s.a.w. menceritakan, perihal seorang insan daripada kalangan Bani Israil yang pernah berdosa dengan membunuh 99 nyawa, lalu hendak bertaubat kepada Allah SWT dengan bertanya cerdik pandai pada zamannya, bagaimana caranya beliau boleh bertaubat untuk diterima Allah SWT.

“Dia dianjurkan untuk menemui seorang rahib. Lalu rahib itu berkata kepadanya, “Sudah tertutup jalan (pintu) taubat buat kamu, kamu tidak perlu lagi bertaubat kerana Allah tidak mahu menerima taubat kamu.”

“Lalu dengan perasaan yang amat marah, lelaki itu terus membunuh rahib itu, dengan menggenapkan orang ke-100 yang dibunuhnya.

“Dia mencari lagi orang yang boleh menunjukkan jalan untuk dia bertaubat. Lalu dia menemui seorang alim lagi abid. Orang itu menunjuk jalan kepadanya dengan mengatakan, “Tinggalkanlah daerah ini dan pergilah ke suatu tempat yang dihalalkannya. Di sana kamu akan menemui insan-insan salih, di bumi salih yang akan memandu kamu ke arah taubat dan Allah akan menerima taubat.

“Pembunuh itu terus menuju ke arah yang ditunjukkan orang alim tersebut, lalu di pertengahan jalan, dia menemui ajalnya.

Bagaimanapun berlaku pertelagahan antara malaikan azab dan malaikat rahmah. Hendak dibawa ke manakah roh si pembunuh ini.

“Malaikat rahmah mahu membawa ke rahmah Allah kerana dia nyata hendak bertaubat, sedangkan malaikat azab mahu membawanya ke azab Allah kerana dia tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan, malah sudah membunuh 100 orang.

“Dalam keadaan demikian, datanglah penyelesaian, maka datanglah malaikat ketiga yang menganjurkan kepada kedua-dua malaikat yang bertelagah dengan mengukur jalan, dari tempat asal yang penuh dengan kesesatan, ke arah jalan yang benar-benar dia hendak bertaubat. Mana yang lebih hampir.

“Apabila diukur maka didapati dia sudah benar-benar hampir ke tempat untuk dia bertaubat bersungguh-sungguh, maka dia dihukum sudah bertaubat, lalu rohnya dibawa ke rahmat Allah SWT.”

Maka renung-renunglah wahai saudaraku. Wallahua’lam.

Oleh Dr Harun Din/-

Pengesahan daftar pemilih: Izzah kesal SPR tolak cadangan PSC

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 5 Jan: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kesal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), menolak cadangan melantik Mimos Berhad, sebagai badan pengesahan daftar pemilih.

Menurut Izzah, cadangan melantik Syarikat Inovasi dan Teknologi Maklumat itu, sebelum ini dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahkan Pilihan Raya (PSC).

Bagaimanapun katanya, SPR menolak cadangan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Shafei Taib, di bangunan Yayasan Selangor, Kampung Baru di sini hari ini.

“Ini membimbangkan, maksudnya cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR berkenaan lantikan Mimos sebagai badan pengesahan verifikasi.

“SPR terbaru memutuskan Mimos tidak digunapakai sebagai syarikat yang mengesahkan daftar pemilih. Keputusan itu dibuatnya pada Disember lalu,” kata Izzah.

Beliau yang terkejut kerana tidak dimaklumkan dengan keputusan itu berkata, ia jelas menunjukkan SPR masih terikat dengan arahan pemerintah.

“(Keputusan) ini perlu ada justifikasi, ini kerana jika cadangan PSC pun tidak boleh diterima, bagaimana yang lain. Sedangkan PSC itu hanya tiga perlapan daripada tuntutan Bersih.

“Ini akan memberikan kesan kepada 122 Parlimen seluruh negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Pada November lalu, PSC mengemukakan 10 cadangan yang bertujuan memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bebas dan adil.

Sebanyak 10 cadangan yang dikemukakan berhubung penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13); pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Cadangan lain ialah pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Bagi melancarkan pelaksanaan cadangan itu, PSC mengesyorkan SPR melantik Mimos membuat verifikasi terhadap isu seperti dua pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang sudah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih, dan pemilih bukan warga tempatan.

Keadilan Daily

Status Isa: Anak pohon perisytiharan mahkamah

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan permohonan mahkamah agar mengisytiharkan status Tan Sri Isa Samad sebagai ahli dan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sedang berbincang dengan peguam berhubung tindakan mehkamah yang akan diambil itu.

Beliau berkata, keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah dibuat kerana terdapat kekeliruan berkaitan status Isa sebagai ahli dan pengerusi KPF yang dianggap bercanggah dengan Undang-Undang Kecil KPF Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.

Undang-undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak atau kakitangan Felda yang berstatus tetap, sedangkan Isa hanya berjawatan kontrak.

"Kalau mahkamah isytihar Isa Samad sah sebagai pengerusi KPF, kita akan bantah kerana seperti yang kita maklumkan beberapa kali sebelum ini, ianya bercanggah dengan Undang-undang Kecil KPF kerana Isa Samad belum dua tahun pun menjadi ahli KPF," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Selain itu, Anak juga akan mengatur pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menuntut pendengaran awam dilakukan melibatkan peneroka, pengurusan Felda dan menteri yang bertanggungjawab berhubung isu penindasan ke atas peneroka.

"Memang sebelum ini Anak sudah beberapa kali membuat aduan kepada Suhakam tapi Suhakam hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja dan memberi jawapan melalui surat.

"Kali ini Anak akan mengumpul peneroka secara besar-besaran dan akan menuntut Suhakam mengadakan pendengaran awam. Kami akan senaraikan semua salahguna kuasa dan pencabulan hak peneroka yang merupakan majoriti oleh pihak minoriti," katanya sambil berkata golongan minoriti iaitu Isa Samad dan "orang-orangnya" mendapat pembelaan daripada kerajaan.

Mengulas mengenai mesyuarat agung KPF yang dibatalkan harakah, Mazlan yakin ianya kesan daripada desakan Anak dan ahli-ahli koperasi yang mempertikaikan kedudukan Isa.

Dalam pada itu, Mazlan turut menyatakan rasa kesal dengan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar aduan dan pandangan peneroka berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

"Kita sudah hantar surat kepada perdana menteri dan berharap perdana menteri sendiri yang akan bertemu dengan peneroka. Beliau tidak boleh hanya menyerahkan kepada pegawai isu besar begini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anak sedang mengukuhkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO).

11 Januari ini, GSF akan mengadakan pertemuan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) bagi membincangkan tentang penyenaraian FGVH.

Harakah Daily

Sampah: Selangor buka talian hotline

11 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 5 Jan: Kerajaan Negeri Selangor akan mewujudkan talian bebas tol atau Hotline untuk membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mengenai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.

Talian ini akan dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal Selangor di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataan medianya.

Sebelum ini, para ketua penerangan parti dalam Pakatan Rakyat Selangor mendakwa Umno terlibat dalam membuat sabotaj ini.

Namun ada juga pihak yang mendakwa, sabotaj ini dibuat oleh kontraktor yang terlibat dalam pengurusan sampah sebelum ini apabila kerajaan negeri mahu membuat tender semula bagi memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pengkhidmatan ini.

Ia berlaku apabila kerajaan negeri menamatkan kontrak Alam Flora dari menjadi kontraktor utama pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

Baru-baru ini, sekurang-kurangnya tiga laporan polis dibuat tentang sabotaj perkhidmatan kutipan sampah ini

Menurut Tan Sri Khalid, aduan-aduan yang dibuat oleh rakyat akan direkodkan dan setiap PBT perlu bertindak terhadap aduan-aduan ini selewat-lewatnya dalam tempoh 48 jam bermula dari masa aduan itu diterima oleh PBT yang terlibat.

"Menerusi pusat aduan ini, kita akan dapat mengetahui peratusan aduan mengenai sampah yang diterima, jumlah aduan yang berjaya diselesaikan serta tempoh masa yang diambil oleh PBT untuk menyelesaikan aduan-aduan tersebut," katanya.

Maklumat ini, katanya, akan digunakan oleh PBT untuk membaiki dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat terutama yang melibatkan pengurusan sisa pepejal.

Kerajaan Negeri juga, kata beliau lagi, mempunyai alasan yang mencukupi untuk mempercayai bahawa wujud elemen khianat dalam isu pengutipan sampah.

"Kami menyeru rakyat menggunakan sepenuhnya perkhidmatan ini bila ianya beroperasi kelak dalam melaporkan usaha-usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini," jelas beliau.

"Kami juga akan mencadangkan kepada PBT untuk memberi imbuhan kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini," tegas beliau.

Harakah Daily

Himpunan 901 bukan kerana Anwar - Pemuda PAS

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan (gambar) menjelaskan himpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bukan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi mesej menentang ketidak adilan kerajaan Umno BN.

Beliau juga menjelas, perhimpunan bukan bertujuan mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi menentang tindakan BN yang telah menghukum Anwar melalui media mereka sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Kita turun bukan kerana batang tubuh Anwar, tetapi ini mesej daripada rakyat bahawa sistem yang diamal BN tidak boleh diterima. Kebetulan kali ini kena kepada Anwar.

"Kalau (Datuk Seri) Najib Razak kena zalim macam tu pun, kita akan turun demo," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu beliau turut berkeyakinan himpunan akan datang itu nanti akan berlangsung aman jika tidak diprovokasi mana-mana pihak lain.

"Rekod kita tak pernah ada provokasi dari pihak kita, kalau ada saya boleh jamin ia dari pihak lain," katanya merujuk beberapa perhimpunan aman sebelum ini.

Ditanya jumlah anggota pemuda PAS yang akan dikerahkan ke himpunan tersebut, Nasruddin berkata mobilisasi sedang digerakkan.

"Pemuda PAS beri komitmen untuk capai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur," jelasnya.

PKR sebelum ini menyatakan hasrat untuk menghimpunkan 100,000 peserta hadir pada himpunan Bebaskan Anwar 901 itu.

Setakat ini kesemua kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan komitmen untuk hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes tersebut.

Ianya termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Harakah Daily

Rahsia Surah Al-Kauthsar

11 Safar 1433H. [MOD] -

RAHSIA SURAH AL – KAUTHSAR

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga.Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa,mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya’allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal,bengkak,sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x,mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5)Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x,Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

penulis senja/-

Kenyataan Ismail Mina bersifat peribadi

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad adalah hanya bersifat peribadi.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily memberitahu sepanjang beliau bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun melalui forum-forum yang disertai oleh pengamal agama lain, Anwar tidak pernah menyamakan agama Islam dengan agama lain.

"Itu hanya kenyataan peribadi Ismail dan sepanjang saya bersama Anwar mahupun ketika beliau di dalam apa-apa forum tidak pernah beliau nyatakan Islam itu sama dengan agama lain.

"Pendirian Anwar tegas dan tidak pernah berubah, beliau tahu apa yang sepatutnya beliau lakukan dan tidak sesekali beliau sanggup mengadaikan Islam demi kepentingan agenda politik beliau," jelasnya.

Tambahnya lagi sepatutnya isu-isu sedemikian dibincangkan di dalam satu forum yang dihadiri oleh mereka yang pakar di dalam bidang agama dan bukannya dibicarakan secara terbuka seperti apa yang dilakukan oleh AJK Muafakat itu.

"Ia sepatutnya dibicarakan di dalam satu forum khusus yang dihadiri oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang agama.

"Tidak semua faham dengan apa yang di maksudkan itu dan saya takut ia akan menimbul kekeliruan kepada umat Islam hanya disebabkan oleh kepentingan agenda politik pihak tertentu," sambung beliau lagi.

Sebelum itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail melalui media arus perdana memberitahu beliau meninggalkan Anwar adalah kerana mempercayai Ketua Pembangkang itu cenderung kepada fahaman pluralisme agama.

Pluralisme agama adalah satu fahaman yang menyamaratakan semua agama yang mana penganutnya mempercayai semua agama adalah benar.

Harakah Daily

Perhimpunan 901 aman jika tiada provokasi

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Perhimpunan aman 901 pasti aman dan teratur jika orang-orang jahat tidak melakukan kekacauan dan provokasi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Malah, beliau mengingatkan, jika berlaku sebarang kekacauan dan kekecohan dalam perhimpunan untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihak yang bertanggungjawab ialah pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri serta parti yang turut dipimpinnya, Umno.

"Seperti semua perhimpunan yang kita adakan sebelum ini, keadaan kucar-kacir dan huru-hara hanya terjadi apabila orang-orang tertentu yang berhati jahat melakukan kekacauan dan provokasi.

"Jika tidak diganggu oleh orang-orang jahat, buktikan walau satu pun perhimpunan atau ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang mengakibat keadaan kucar-kacir dan huru-hara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika diminta mengulas kenyataan Hishammuddin yang mahu perhimpunan tersebut berjalan dengan teratur dan aman.

Menurut beliau, dengan lagak kononnya untuk menjaga keamanan, alat perkakas parti tertentu juga sering melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas perhimpunan atau ceramah PR.

"Malah kebelakangan ini, gerombolan dari parti itu sendiri yang melakukan provokasi dan kekacauan sehingga mengakibatkan kejadian berdarah," kata Mahfuz.

Beliau yakin, penganjur perhimpunan itu telah melakukan persediaan yang secukupnya untuk memberitahu rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan itu bahawa sebarang provokasi dan kekacauan hanya dilakukan oleh gerombolan parti berkenaan.

"Saya juga ingin berpesan kepada semua yang menyemarakkan perhimpunan aman 901 bahawa apa sahaja kekacauan dan provokasi, perkara itu tidak mungkin dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang juga mahu behimpun dengan aman.

"Jika anda melihat sebarang kekacauan dan provokasi, ia pasti dilakukan gerombolan parti yang gilakan kekacauan itu atau agen-agen serta alat perkakas mereka," kata Mahfuz.

Beliau meminta semua pihak mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku dalam Revolusi Islam Iran dahulu.

Menurut beliau, pada waktu waktu itu sebuah panggung wayang dibakar oleh polis rahsia Shah Iran dan mereka yang menonton wayang dalam panggung itu mati.

"Selepas itu, kerana yakin orang lain juga bodoh seperti mereka, jentera propaganda Shah Iran menuduh rakyat yang berjuang dalam revolusi tersebut yang membakar panggung itu," katanya.

Dalam protes rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak di Mesir baru-baru ini pula, kata Mahfuz lagi, pihak polis yang berkerja di bawah regim Mubarak telah memecah dan mencuri di sana-sini terutama di kedai-kedai dan kemudiannya menuduh rakyat yang menentang kekejaman diktator itu yang melakukan perkara tersebut.

"Di Malaysia juga bekali-kali kita melihat orang-orang yang mengajak rakyat yang berdemonstrasi melakukan tindakan yang lebih agresif tetapi apabila berlaku kekecohan, merekalah yang menangkap dengan ganas rakyat yang berdemonstrasi itu.

"Sudah berkali-kali kita melihat perkara seperti itu berlaku," katanya.

Beliau mengulangi pesanan kepada seluruh rakyat bahawa Umnolah yang mesti dipersalah dan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan dalam perhimpunan 901 itu.

Harakah Daily

Dibelasah lapan lelaki

11 Safar 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala dan muka di gelanggang bola jaring Taman Selasih kira-kira jam 10 malam semalam.

Dia dipercayai dipukul oleh lapan lelaki yang tidak berpuas hati dengannya.

Saksi berkata, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal dan berhenti di selekoh Jalan Lima. Kemudian ternampak sekumpulan remaja berada di gelanggang bola jaring, tetapi tidak menyangka akan berlaku pergaduhan.

“Tiba-tiba sahaja saya nampak beberapa lelaki terlibat memukul mangsa dengan menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dengan motosikal. Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan. Selain ahli PPKM, polis juga turut berada di tempat kejadian.

"Ahli PPKM kemudiannya menghubungi ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPHAM) untuk merawat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kulim,” katanya.

Pengerusi PPKM Khor Eng Khim berkata, sejak kebelakangan ini pergaduhan sering berlaku dan ia melibatkan golongan remaja dan warga asing yang meminum minuman keras.

“Kebiasaannya mereka yang terlibat berada di bawah pengaruh alkohol dan melakukan perbuatan jenayah dalam keadaan tidak sedar.

“Polis dan PPKM terus mengadakan rondaan dan pencegahan untuk memastikan pergaduhan tidak berlaku,” katanya.

Sinar Harian

Pakatan tak akan tumbang walaupun tanpa Anwar

11 Safar 1433H. [MOD] -

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat tidak akan tumbang sekalipun dirinya dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Anwar kini dalam rangka menjelajah seluruh negara menjelang keputusan perbicaraannya minggu depan walaupun polis telah memberi amaran supaya tidak berbuat demikian.

Anwar pada tahun 2008 dituduh mengadakan hubungan seks dengan bekas pembantu lelakinya. Keputusan perbicaraan ditetapkan pada hari Isnin ini dan jika didapati bersalah, ahli politik berusia 64 tahun itu menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Anwar telah menafikan pertuduhan itu dengan mendakwa ia satu komplot kerajaan untuk mencemarkan imej beliau.

anwar ceramah in seremban 040112Lewat petang semalam, Anwar memberitahu perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar Negeri Sembilan bahawa Pakatan Rakyat yang dianggota tiga parti pembangkang itu tidak akan tumbang walaupun tanpa dirinya.

"Anwar di dalam penjara, Anwar di luar penjara ... ia tidak penting. Yang paling penting, rakyat perlu tumbangkan Umno," katanya semasa ucapan berapi-api selam sejam.

Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PKR, secara tidak dijangka pada pilihan raya umum 2008 menafikan BN majoriti dua pertiga di parlimen yang telah memerintah selama setengah abad.

Pada pentas kecil sementara yang dibina di tempat letak kereta, Anwar berkata beliau tidak bersalah dan meminta penyokongnya untuk "menyelamatkan negara daripada terjerus dengan gejala rasuah dan salah urus kerajaan.

"Saya tidak bersalah. Saya mangsa fitnah ... tidak ada kes jika mereka berdasarkan fakta-fakta atau mematuhi undang-undang," katanya.

Selepas ucapannya itu, hadirin menjeritkan slogan seperti "Hidup rakyat" dan "Hidup Anwar”.

AFP

Laluan orang minyak dipagar

11 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK - Sudah 16 hari berlalu, namun serangan orang minyak di Kampung Laksamana, Batu Caves masih berterusan berlaku.

Pelbagai ikhtiar dibuat bagi mengatasi gangguan, bagaimanapun kejadian pelik terus berlaku terutama dalam tempoh waktu malam hingga ke pagi.

Kaedah untuk mengatasi masalah gangguan orang minyak diteruskan dan kelmarin, satu majlis tahlil khas diketuai Ustaz Kamaruzaman Abdul Rafar dilakukan di sebuah rumah di Jalan Laksamana 1.

Kamaruzaman hadir diiringi kira-kira 10 ahli persilatan­ memimpin bacaan tahlil dan doa selamat yang turut disertai penduduk.

Majlis yang diadakan tepat jam 10 malam itu diadakan bertujuan memohon petunjuk ALLAH bagi membantu elak daripada terus menjadi mangsa gangguan dua orang minyak yang mengganas di kampung itu.

Program yang berlangsung selama satu jam itu diakhiri dengan memagar seluruh kawasan Jalan Laksamana 1 manakala kawasan lain akan dilakukan secara berperingkat.

Kamaruzaman berkata, majlis bacaan ayat suci al-Quran yang diadakan merupakan salah satu cara untuk mematikan kuasa ilmu hitam orang minyak menggunakan benang.

“Apabila makhluk ini terpijak benang-benang yang sudah diwafakkan dengan ayat al-Quran, kuasanya akan hilang dan ianya akan menjadi manusia biasa semula, ketika itulah kita boleh menangkapnya,” katanya.

Kamaruzaman berkata, benang-benang itu diikat dipangkal pokok pisang dan laluan yang dipercayai sering menjadi lokasi orang minyak muncul.

“Kita cuba cara ini dahulu, mana tahu ianya berhasil untuk mengesan,” katanya.

Turut ‘dipagar’ pada malam itu ialah kawasan kabin usang yang sebelum ini terdapat tiga botol minyak hitam dan minyak zaitun.

Penduduk juga boleh mengelak daripada menjadi mangsa gangguan ini dengan memagar sendiri kawasan rumah masing-masing melalui bacaan 100 kali ayat kursi dari pintu pagar luar ke pintu utama, membaca al-Fatihah terus ke sudut kanan, surah al-Kafirun sambil membaca setiap empat penjuru rumah dengan 25 kali ayat kursi, al-Ikhlas, al-Kafirun dan diakhiri dengan surau al-Falaq.

Semalam, sekali lagi perkara pelik berlaku pada jam 4 pagi apabila batang pokok pisang yang sudah diikat dengan benang terkulai seolah-olah seperti baru dicantas.

Ustaz Kamaruzaman memberitahu, perkara yang tidak disengajakan itu berlaku apabila orang minyak itu terlanggar benang yang diikatkan di kawasan itu.

“Mungkin dia takut dikesan dan cuba melarikan diri menyebabkan pokok pisang yang menjadi tempatnya bersembunyi dilanggar,” katanya.

Difahamkan, satu lagi solat hajat akan digerakkan Surau al-Karimiah, Kampung Laksamana hari ini, seorang lagi ustaz akan dipanggil untuk membantu menyelesaikan isu orang minyak itu.

Sinar Harian

Bapa rantai dua anak didakwa

11 Safar 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan merantai kaki dua anaknya dan mengurung mereka dalam bilik air rumah kedai di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini Khamis lalu.

Tertuduh, Tan Hooi Keong, 43, didakwa atas dua pertuduhan mendedahkan anaknya berusia enam dan dua tahun kepada kecederaan fizikal dan emosi dengan merantai dan mengurung mereka ketika keluar bekerja.

Bagi pertuduhan, tertuduh didapati telah mendedahkannya dua anaknya kepada kecederaan fizikal serta emosi dengan merantai kaki mereka menggunakan rantai besi dan mengurungnya di bilik air rumahnya itu antara jam 3 petang hingga 8 malam, 28 Disember lalu.

Hooi Keong didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang memakai kemeja T berwarna merah kelihatan tenang selepas pertuduhan dibacakan dan mengaku tidak bersalah serta memohon untuk dibicarakan.

Majistret Mohd Zamir Suhaimee menetapkan ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin sementara menantikan tarikh sebutan semula kes berkenaan pada 3 Februari depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masnuraznim Abdul Malik, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan sepanjang prosiding berlangsung tiada ahli keluarganya didapati hadir ke mahkamah.

Khamis lalu, Hooi Keong ditahan polis sebaik sampai di rumahnya selepas pulang dari kerja kerana didapati merantai dua anaknya serta membiarkan mereka kelaparan.

Kejadian itu disedari oleh seorang jiran yang mendengar tangisan dua beradik itu yang meminta dilepaskan kerana kelaparan selepas seharian dirantai bapa mereka di dalam rumah berkenaan sebelum bertindak melaporkannya kepada pihak polis kemudiannya.

Dua beradik itu kemudiannya berjaya diselamatkan oleh sepasukan pegawai polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Kelmarin, Mahkamah Majistret di sini menyerahkan hak penjagaan sementara dua beradik itu kepada bapa saudara mereka, Munawar Tan Abdullah, 48, selepas menerima permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik keduanya dikeluarkan dari HSJ.

Sinar Harian

Penyamun masuk kelambu

11 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang warga emas, yang sedang nyenyak tidur terkejut apabila dibangunkan isterinya yang memberitahu ternampak kelibat orang di luar kelambu bilik mereka, dalam kejadian samun, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Shuid Ahmad, 66, berkata, semasa kejadian samun itu, dia hanya tinggal berdua bersama isterinya, Maimunah Lat, 61, di rumah.

Menurutnya, sebaik terlihat kelibat penyamun itu, dia terus menjerit meminta tolong sebelum diserbu empat penyamun ke dalam kelambu mereka.

“Penyamun itu kemudiannya meminta kami diam dan mengacukan parang ke leher saya. Tangan dan kaki kami diikat sementara mulut disumbat dengan kain.

“Mereka memakai topeng dan dua daripadanya bersenjatakan parang. Mereka turut menggeledah almari, laci dan seluruh bilik bagi mencari barang berharga,” katanya.

Shuid, yang juga Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) berkata, penyamun itu berjaya menemui barang kemas yang disimpan isterinya.

Menurutnya, seorang daripada mereka kembali mengacukan parang ke lehernya dan bertanya kepadanya lokasi dia menyimpan barang berharga lain dan wang tunai.

“Kerana ketakutan, saya memberitahu lokasi saya menyimpan wang tunai dan kemudiannya seorang penyamun pergi mendapatkannya, namun tidak berjaya.

“Penyamun itu kembali mengacukan parang di leher dan bertanyakan sekali lagi lokasi tersebut kerana mereka gagal mencarinya. Saya memberitahu dan menunjukkan laci tempat menyimpan dompet saya dan mereka terus menggeledah laci terbabit,” katanya.

Shuid berkata, mereka berdua yang diikat ditinggalkan di dalam bilik dan terdengar sebuah kenderaan berhenti di hadapan rumah dipercayai digunakan penyamun untuk melarikan diri.

Sejurus itu katanya, mereka cuba meleraikan ikatan tangan dan kaki sebelum ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

“Ketika itu jam menunjukkan 4.45 pagi dan saya dapati penyamun itu masuk ke rumah melalui pintu belakang rumah yang dipecahkan.

“Kami hanya tinggal berdua di rumah dan tidak mendengar apa-apa bunyi sebelum melihat kelibat mereka di luar kelambu di bilik tidur kami di tingkat atas,” katanya.

Shuid membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pagi semalam dan anggaran kerugian RM48,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, Shuid berkata, dia bersyukur kerana dia dan isteri tidak dicederakan penyamun semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian dan setakat ini polis sedang mengesan penyamun terbabit. Masih tiada tangkapan dilakukan setakat ini (semalam),” katanya.

Sinar Harian

Tak berbaloi curi besi RM40

11 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Akibat mencuri besi bernilai RM40, seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Maseeri Abu, 32, dari Pantai Kundor, Tanjung Kling, mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, Maseeri didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas mencuri besi dan bekas mesin, dianggarkan bernilai RM40 kepunyaan kilang biskut Lim Chia Heng di dalam bangunan kilang berkenaan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta di Jalan Pulau Gadong, kira-kira jam 3.30 petang pada 29 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman kerana hanya memperoleh pendapatan RM300 hingga RM400 sebulan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana Maseeri mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan di Tanjung Kling pada 2004.

Ida Rahayu kemudiannya memerintahkan Maseeri dipenjara 12 bulan bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 Disember 2011.

Sementara di mahkamah yang sama, seorang pengawal keselamatan menerima hukuman penjara empat bulan kerana menikam rakan sendiri selepas mabuk.

N Murgen, 40, dari Kuantan, Pahang, mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap S Appannan, 39, dengan menggunakan sebilah pisau di Jalan Melaka Raya 23, Taman Melaka Raya, kira-kira jam 2.45 pagi pada 28 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam rayuannya Murgen berkata, perbuatannya tidak disengajakan, selain memberi alasan menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Ida Rahayu kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Murgen.

Sinar Harian

Rayu isteri, anak pulang

11 Safar 1433H. [MOD] -

PONTIAN - Seorang suami merayu isterinya yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu pulang semula ke rumah dan kembali ke pangkuan keluarga.

Go Chin Chai, 34, berkata, isterinya, Truong Thi Huyen, 25, dan anak perempuan mereka, Go Xin Chun, 4, didapati tiada di rumah sebaik sahaja dia pulang ke kediaman mereka pada 8 Disember lalu.

Dia yang bekerja sebagai mekanik berasa bimbang dengan keadaan isteri dan anak, tambahan pula tiada sebarang khabar diterimanya sejak ketiadaan mereka di Taman Pontian Jaya.

"Saya buntu memikirkan perkara ini dan tiada sebarang pergaduhan atau berselisih faham berlaku sebelum mereka kejadian itu," katanyayang ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tanjung Piai, Taman Kota Mas di sini.

Katanya, isterinya yang merupakan warganegara Vietnam itu tidak mempunyai ramai kenalan di sini, sekali gus membuatkan dirinya bertambah khuatir dengan keselamatan mereka.

Dia sangat bimbang sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya memandangkan tiada sebarang talian telefon diterimanya selain gagal menghubungi isterinya itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang terlihat isteri dan anaknya itu menghubungi dia di talian 012- 765 1739

Sinar Harian

Orang ramai perlu waspada

11 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR PENAWAR - Pengunjung dan pelancong diingatkan supaya berhati-hati apabila berkelah serta berekreasi di kawasan pantai Tanjung Balau dan Desaru ekoran keadaan ombak yang mencecah ketinggian sehingga tiga meter.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Azizan Md Rais berkata, dia meminta agar pengunjung dan pelancong mengutamakan keselamatan kerana keadaan laut yang tidak menentu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Selain itu, kita juga mahu mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau anak mereka sepanjang musim tengkujuh ini.

“Pengunjung juga diharap dapat mematuhi papan tanda peringatan yang dipasang di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini ber-laku,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah mengambil langkah sepatutnya dengan meletakkan tanda amaran larangan mandi di kawasan pantai sebagai peringatan kepada pengunjung.

“Selain menghidupkan siren sebagai tanda amaran, bendera merah juga turut diletakkan di kawasan berbahaya dan berbatu sebagai tanda peringatan buat pengunjung pantai.

“Justeru itu, menjadi tanggungjawab orang ramai untuk memastikan aspek keselamatan diri dan keluarga serta jika boleh, elakkan daripada mandi di kawasan pantai ketika keadaan berbahaya,” katanya.

Azizan berkata, dia juga mohon kerjasama pengunjung dan pelancong untuk lebih berwaspada ketika berada di kawasan pantai bagi mengelakkan saat gembira bersama keluarga menjadi sebaliknya.

Sinar Harian

Tertembak diri sendiri

11 Safar 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut akibat tertembak diri sendiri selepas senapang patah yang dibawanya meletup di kawasan hutan di Kampung Lasah, dekat sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 1 pagi dan mangsa, S Kanaga Raja, 33, telah ke lokasi kejadian untuk tujuan tertentu.

Menurutnya, mangsa masuk ke kawasan hutan berkenaan bersama tiga lagi rakannya yang juga anggota Rela dengan menaiki motosikal.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersendirian dan membawa selaras senapang patah milik seorang rakan lain, sementara dua lagi rakannya menaiki motosikal berasingan.

“Senapang patah yang dibawa mangsa dikatakan tertembak dengan sendiri sebaik sahaja mangsa memberhentikan motosikal, sebaik tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, Ahad lalu.

Menurut Azman, tembakan secara tiba-tiba itu telah mengenai mangsa menyebabkan kecederaan parah pada bahagian bawah dagu yang akhirnya membawa maut.

Katanya, rakan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput dalam kadar segera selepas kejadian dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk dibedah siasat.

“Polis turut difahamkan, mangsa yang tinggal di Ladang Sungai Kruda, Jalan Lintang, di sini, bekerja sebagai penjaga ladang kelapa sawit dan meninggalkan seorang balu bersama tiga anak,” katanya.

Simpati dengan kejadian yang menimpa mangsa, Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan Ketua Parti Gerakan Sungai Siput, S Kalimuthu, turut menziarahi keluarga mangsa di HSS.

Sinar Harian

Tanah Runtuh Di Selatan Filipina, 25 Terkorban

11 Safar 1433H. [MOD] -

MANILA: Tanah runtuh yang melanda wilayah selatan Mindanao telah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan lebih 100 yang lain masih tertimbus dalam runtuhan, kata pegawai Filipina.

Pegawai kerajaan Arturo uy berkata kejadian tanah runtuh itu melanda sebuah kawasan perlombongan kecil di bandar Pantukan sebelum subuh, Khamis.

Bencana ini berlaku di sebuah rantau di mana banjir kilat yang dahsyat oleh ribut tropika pernah tercetus dan telah membunuh lebih daripada 1,250 orang pada bulan lalu.

Tentera Darat Lt Kol Camilo Ligayo berkata, kira-kira 120 askar sedang menuju ke kawasan tersebut untuk membantu menggali tanah bagi mengeluarkan mayat dan mangsa yang terselamat.

Uy berkata pelombong dan keluarga mereka telah diberi amaran tentang risiko yang tinggi.

Beberapa penduduk di kawasan tersebut telah dipaksa berpindah selepas tanah runtuh yang membunuh kira-kira 20 orang April lalu berhampiran tanah runtuh yang berlaku, Khamis.

mstar/-

Indonesia henti bekal pembantu rumah mulai 2017

11 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Indonesia sedang menyiapkan pelan tindakan Pekerja Domestik 2017, yang antara lainnya menetapkan sasaran untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara menjelang tahun 2017.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti kompetensi kerja masyarakat Indonesia yang hendak bekerja di luar negara, demikian menurut siaran berita kementerian itu.

Sebagai permulaan, penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, yang paling cepat akan dilakukan Mac depan, akan dijadikan projek contoh, kata kenyataan itu.

Indonesia telah menarik balik moratorium penghantaran pembantu rumah pada 1 Disember lalu berikutan kesepakatan yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengenai penempatan dan perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan Malaysia.

Walaupun telah lebih sebulan moratorium itu ditarik balik, sehingga kini belum ada pembantu rumah Indonesia yang telah dihantar ke Malaysia.

"Dalam pelan tindakan pekerja domestik 2017 ini, kita sasarkan pengiriman tenaga kerja Indonesia sektor domestik yang bekerja sebagai pembantu rumah boleh sampai ke titik sifar (tidak ada pengiriman)," kata Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar di pejabatnya di sini semalam.

Muhaimin berkata sungguhpun langkah itu merupakan suatu keputusan yang berat, ia harus tetap dilakukan.

Setiap tahun Indonesia menghantar kira-kira 650,000 tenaga kerja sektor domestik ke luar negara.

"Kalaupun sangat terpaksa bekerja di sektor domestik, maka kedudukan kerja mereka harus jelas dan harus diakui oleh negara penempatan yang berkenaan.

"Harus ada pengakuan kerja berdasar jawatan dan profesion dari negara penempatan yang meminta," kata Muhaimin.

Negara penempatan, kata menteri itu, juga harus menentukan pembantu rumah Indonesia mempunyai hak-hak normatif seperti hak jam kerja, hak cuti, hak pendapatan sesuai standard minimum, standard upah atau jaminan sosial seperti pekerja formal lainnya.

Pekerja domestik dari Indonesia yang akan dihantar ke luar negara hendaklah ditempatkan di kedudukan yang jelas seperti juru masak, perkemasan atau perawat untuk keperluan khusus, katanya.

Muhaimin menyedari bahawa pelaksanaan rancangan itu akan menghadapi pelbagai cabaran termasuk penyediaan pekerjaan alternatif dalam negara.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa negara juga tidak boleh menghalang hak seseorang untuk mencari pekerjaan di luar negara.

Bagi menjayakan pelan tindakan itu, kerajaan antara lainnya pada masa ini sedang berusaha meningkatkan kapasiti kompetensi dan kemahiran pekerja terutamanya di sektor industri dan ekonomi kreatif.

Beliau berkata pekerja domestik, khususnya sebagai pembantu rumah, masih mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja.

"Sayangnya tenaga kerja di Indonesia masih didominasi oleh lulusan sekolah rendah, yang jumlahnya masih mencapai 45 peratus daripada keseluruhan 119 juta tenaga kerja," katanya.

sinar harian/-

Mangsa samun langgar penjenayah

11 Safar 1433H. [MOD] -

AMPANG – Bukan hanya tidak sempat melarikan beg tangan seorang wanita, malah dua penjenayah itu diberkas polis selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar mangsa dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Pandan Indah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, seorang perunding kecantikan berusia 20 tahun, baru pulang dari kerja dengan menaiki kereta bersendirian.

Menurut sumber, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Suspek terus memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan dan me­ngambil beg tangan yang diletakkan di atas kerusi.

“Mangsa yang tersedar dengan kejadian itu terus bertindak melanggar motosikal itu sehingga menyebabkan suspek terbabas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, orang ramai yang terlihat kejadian itu terus membantu mangsa dan memberkas penjenayah tersebut.

“Suspek seterusnya diserahkan kepada polis peronda yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suspek berusia 20 dan 25 tahun itu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis terbabit.

Beliau berkata, siasatan untuk menyiasat pembabitan suspek dalam kejadian sama di daerah ini sedang dijalankan.

Sinar Harian

Kumpulan curi kereta tumpas

11 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Polis menumpaskan kumpulan curi kereta dikenali sebagai Geng Wish dengan tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan yang dibuat di sebuah rumah teres di Jalan Badam 1, Taman Cheras, pada 22 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis yang disewa suspek menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri kereta.

Menurutnya, antara barang yang ditemui di bahagian ruang tamu rumah termasuk tiga pasang plat nombor kenderaan termasuk satu palsu, pemutar skru, pemutar tayar, batang pahat, batang pengikis, nat tayar, radio amatur serta parang.

“Turut kita rampas dua kere­ta disyaki dicuri masing-masing jenis Toyota Wish warna hitam yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju dan Toyota Wish berwarna perak dilaporkan hilang di Pusu.

“Kedua-dua kereta dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 itu ditemui diletakkan di halaman rumah sewa suspek,” katanya pada sidang akh­bar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan kereta Toyota Wish yang tiada sistem penggera keselamatan, sebelum memecahkan cermin kecil pintu depan pemandu dan membuka pintu depan.

Sinar Harian

Lebih 10 motosikal diangkut

11 Safar 1433H. [MOD] -

JITRA - Gara-gara gagal mengikut peraturan meletakkan kenderaan dalam petak disediakan, lebih 10 motosikal di sekitar Pekan Jitra di sini, diangkut anggota penguat kuasa Majlis Daerah Kubang Pasu, semalam.

Operasi Angkut Motosikal yang pertama kali dibuat Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) itu bermula jam 10 pagi dengan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap motosikal yang menghalang lot parkir kereta orang awam.

Ketua Penguat kuasa, Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, pihaknya terpaksa mengenakan tindakan berkenaan berikutan lebih 20 aduan orang awam diterima mengenai halangan motosikal di tempat letak kereta yang diwartakan.

Menurutnya, kira-kira 1,000 petak letak motosikal yang disediakan MDKP secara percuma sekitar Jitra dan Bandar Darulaman Jaya sejak tiga tahun lalu tidak dimanfaatkan, sebaliknya menggunakan petak parkir kereta.

“Kita kecewa kerana tempat parkir motosikal yang disediakan kira-kira 1,000 petak di sini, gagal digunakan sebaik mungkin.

“Malah, pemilik motosikal lebih cenderung meletakkan kenderaan mereka di petak kereta,” katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam operasi selama dua jam sekitar Pekan Jitra Dua dan Tiga di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pemilik motosikal yang diangkut semalam dikenakan kompaun RM30 hingga RM50 dan kesalahan meletakkan motosikal atas lot parkir yang menjadi halangan itu mengikut Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Justeru, MDKP berkuasa pindah halangan mengikut Seksyen (3)(a) iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengarahkan supaya halangan itu dipindahkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut mengenal pasti halangan lot parkir kereta melibatkan penjaja kecil yang menggunakan pikap menjual makanan dan minuman selain longgokan kotak di kawasan terbabit.

“Kita harap selepas tindakan penguatkuasaan ini, pemilik motosikal akan lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan mereka di petak yang disediakan,” katanya.

Sinar Harian

16 maut bas tergelincir jambatan

11 Safar 1433H. [MOD] -

BEIJING 5 Jan. - Sekurang-kurangnya 16 maut apabila sebuah bas tergelincir di atas jambatan yang diliputi salji dan tercampak ke lembah sedalam 10 meter di wilayah selatan China, Guizhao tengah semalam.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kira-kira 50 penumpang termasuk pemandu berada di dalam bas tersebut, 30 daripadanya berjaya diselamatkan namun angka mangsa yang tercedera tidak dinyatakan.

Kemalangan ini berlaku dalam tempoh tidak sampai seminggu nahas mengorbankan 13 penumpang di wilayah Hunan yang melibatkan sebuah trak dan bas pelancong. - AGENSI

Kecuaian Muhyidin punca skandal NFC - PKR

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pihak berkuasa diminta menyiasat kecuaian Tan Sri Muhyidin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak sehingga berlakunya skandal NFC.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan maklumat yang mereka perolehi, skandal ini tidak akan berlaku jika kedua-duanya tidak cuai dalam menjalankan tugas mereka.

"Kecuaian dan penglibatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu yang meluluskan projek penternakan fidlot ini tanpa mengambil kira faktor-faktor sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang; dan

"Kecuaian dan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menilai bidaan dari syarikat-syarikat dan menganugerahkan projek ini kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Rafizi berkata, beliau telah hadir dan memberikan keterangan di Bukit Aman pada jam 3 petang semalam.

Menurut Rafizi, sejak skandal NFC dibongkar, tumpuan siasatan adalah untuk mengesahkan kesahihan dokumen-dokumen yang digunakan oleh KEADILAN dalam meneliti segala penyelewengan di dalam NFC.

Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada PKR, katanya.

"Saya telah bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas yang telah dihantar secara sulit oleh seorang yang saya tidak kenali.
"Dokumen ini adalah dalam bentuk senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki oleh NFC.

"Berdasarkan dokumen asas ini, saya percaya orang ramai tidak perlu ragu-ragu kesahihan maklumat yang diberikan kerana ia adalah maklumat terperinci dari sistem perakaunan NFC sendiri," katanya.

Siasatan lain pula, katanya, dijalankan sendiri oleh PKR berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang didapati dari senarai yang dihantar oleh seorang yang tidak dikenali itu.

"Oleh yang demikian,PKR yakin pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan secepat mungkin untuk mendakwa mereka yang terlibat di dalam kes penyelewengan NFC, kerana dari pengalaman kami sendiri – dengan hanya berbekalkan sedikit maklumat, pelbagai penyelewengan dapat dibongkarkan," kata Rafizi.

PKR, katanya, juga menjemput semua rakyat Malaysia untuk meneliti dokumen ini dan menjalankan siasatan sendiri kerana siasatan PKR setakat ini hanyalah menyentuh 10% dari seluruh urusniaga yang tersenarai.

"Saya yakin rakyat yang cintakan amanah dan benci rasuah akan membongkar lebih banyak penyelewengan berdasarkan maklumat ini," katanya.

Harakah Daily

Maut ditikam lelaki bermotosikal

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang warga asing yang bekerja sebagai pembantu peniaga di Pasar Keramat, di sini, mati ditikam seorang lelaki bermotosikal tidak dikenali di Lorong Keramat Dalam 7, semalam.

Achmat Rizal, 40, diserang dari belakang, cedera parah di badan dan mati di tempat kejadian.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan disaksikan beberapa peniaga.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Rahmah, 71, berkata, insiden itu berlaku terlalu pantas dan dipercayai mangsa tidak menyedari kehadiran suspek.

Menurutnya, dia melihat suspek menunggang motosikal dengan laju dan berhenti berhampiran mangsa sebelum mengayunkan satu objek ke arah mangsa.

“Mangsa terus rebah. Banyak darah keluar dari bahagian perut. Sejurus selepas itu mangsa tidak bergerak lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, terdapat dua kesan tikaman­ di perut dan pinggang mangsa.

“Polis percaya kejadian ini bermotifkan dendam berdasarkan tindakan tikam dan lari. Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat, dapat menyalurkannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Sinar Harian

Ibu tak sempat lihat anak kahwin

11 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Hasrat seorang ibu untuk melihat anak lelakinya berkahwin minggu depan tidak kesampaian apabila dia rentung bersama anak perempuannya dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Merah, Kampung Berjaya, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Chow Choo Mei, 60, dan anak keduanya, Lim Yee Joo, 26, ditemui rentung di tingkat atas rumah dua tingkat, manakala suami Choo Mei, Lim Eng Geap, 60, berjaya menyelamatkan diri.

Eng Geap, yang mengalami masalah pendengaran dan rabun, masuk ke dalam tandas di tingkat bawah rumah dan menye­lam di dalam kolah.

Kejadian membabitkan empat rumah.

Anak bongsu, Eng Geap, Lim Ann Kean, 24, berkata, kejadian itu diketahui setelah menerima panggilan dari abangnya, Lim Ann Keong, 27, dan dia segera pulang dari Ipoh, Perak, dengan menyewa teksi.

Menurutnya, ibunya bekerja di sebuah kilang sebagai tukang jahit, manakala Yee Joo menjadi jurujual di sebuah pusat membeli-belah.

“Saya ada menghubungi ibu bulan lalu untuk bertanyakan khabar,” katanya.

Jiran Eng Geap, Ooi Kim Bok, 64, berkata, sewaktu kejadian, dia bersama isteri Chi Kim Lian, 60, dan anak lelakinya, Ooi Chee Kong, 28, sedang tidur di dalam bilik di tingkat atas rumah mereka.

Menurutnya, apabila terdengar bunyi seolah-olah percikan api, dia segera me­ngejutkan isteri dan anaknya yang tidur di bilik berasingan untuk menyelamatkan diri.

“Saya turut mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan dan kepala akibat terjun dari tingkat atas,” katanya.

Chee Kong mengalami keretakan di kaki kanan dan cedera di tangan, manakala ibunya, Kim Lian, mengalami keretakan di kedua-dua belah kaki akibat terjun dari tingkat atas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pembantu Khas Kawasan Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Gim Hooi, turut ke tempat kejadian, melawat mangsa di HSB dan memberikan sumbangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.03 pagi semalam.

Menurutnya, dua jentera bomba dan sebuah lori tangki dengan kekuatan anggota 15 orang tiba di tempat kejadian tujuh minit setelah menerima panggilan.

Sinar Harian

BN Sabah bergolak kencang?

11 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 5 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini menganggap bahawa pergolakan dalaman mengenai kedudukan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin sebagai badai yang bakal meruntuhkan tampuk kekuasaan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Ketuanya, Lahirul latigu (gambar) berkata, desas-desus tindakan Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tersebut bakal menyaksikan pertikaian dan pergolakan dalaman seumpama yang dialami parti perkauman itu.

“PAS percaya, walaupun ditangkis tohmahan kita oleh pegawainya.

“Ini satu bentuk serangan dalaman yang dilakukan Lajim dan para penyokongnya. Ada signifikan bahawa kedua-dua belah pihak ini tidak sehaluan dan sependapat,” ujarnya.

Katanya, pertikaman lidah dan kegusaran pemimpin atasan dan bawahan Umno/ BN sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ahli Jawatankuasa Umno Beaufort, Ibrahim Salim dan Ketua Umno Sepanggar, Datuk Jumat Idris juga sudah menunjukkan bahawa berlakunya ketidaksefahaman antara pimpinan bahagian dan negeri tersebut.

“Jumat sudah minta Lajim menyatakan pendirian dan meletak jawatan politik. Sudah tunjukkan kepada kita bahawa mereka ini ada kepentingan politik tertentu yang menambah bebanan Umno/ BN,” dakwanya.

Selasa lalu, Jumat, Ketua Umno Sepanggar itu meminta Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan jawatan dari jawatan politik dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Lahirul, kesan daripada PRU-12 lalu juga telah menyaksikan beberapa tindakan luar jangka beberapa Ahli Parlimen terutama Sabah yang dikatakan turut akan melompat keluar dari paksi Umno/ BN.

"Selepas PRU ke-12, ramai Ahli Parlimen telah hilang kepercayaan kepada BN.

“Tindakan drastik beberapa Ahli Parlimen ini sedikit sebanyak menganggu gugat kedudukan Datuk Seri Musa Aman yang dikatakan bermasalah,” dakwa Lahirul.

Beliau memaklumkan bahawa, walaupun tiada perubahan pucuk kepimpinan negeri pada waktu itu, namun ia membawa impak yang besar.

“Kita percaya bahawa ada beberapa tindakan yang dibuat Musa Aman ketika ini tidak disenangi oleh rakan-rakannya dalam politik.

“Barangkali ada usaha pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menyingkirkan Musa,” dakwanya sambil merujuk kepada apa yang berlaku salah seorang Ahli Parlimen yang senyap setelah ditawarkan Menteri sebagai cengkaman politik yang memeningkan kepala Umno/ BN.

Harakah Daily

Mati ditetak di kafe siber

11 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR JERANTUT - Polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah kafe siber di Bandar Inderapura, awal pagi semalam sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja kontrak, Lee Chin Han, 26, dan kini memburu seorang lagi saksi utama kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut masih mengesan seorang lagi lelaki berumur 28 tahun bagi mengenal pasti motif utama pergaduhan.

“Mangsa diserang lebih dua kali selepas suspek menutup separuh bahagian mukanya. Ketika kejadian, mangsa berada dalam kafe siber di tingkat atas bangunan sebelum didatangi suspek yang terus menyerang dan menetak mangsa.

“Mangsa berlari turun ke bawah, namun berlaku lagi pergaduhan antara suspek dengan mangsa, menyebabkannya naik semula ke tingkat atas untuk mendapatkan bantuan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPD Jerantut, semalam.

Azid berkata, dua sera­ngan itu menyebabkan mangsa putus tangan kanan, selain cedera dengan 11 kesan tetakan pada badan dan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, cubaan mangsa naik semula ke premis kafe siber itu bagi mendapatkan bantuan turut menyebabkan penjaga kafe berkenaan, Lom Kam Yuet cedera ditetak di bahagian leher dan badan, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Berikutan insiden ini, kita masih mengesan seorang lagi saksi utama iaitu Wong Soon Chon, 28, beralamat di 397 Lorong 12, Bandar Baru, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) 410 Jerantut, yang turut dipercayai terlibat dengan pergaduhan bersama mangsa.

“Saksi ini sangat diperlukan bagi membantu siasatan dan mengesan motif pergaduhan. Orang ramai yang me­ngenali atau melihat saksi utama ini diharap dapat menghubungi Bilik Gerakan IPD Jerantut, menerusi talian 09-266199,” katanya.

Beliau berkata, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jerantut, Asisten Superintendan Tey Kong Seng di talian 019-9813821.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian