26 Mei 2013

Suspek Hina Sultan Terengganu Dalam Facebook Ditahan - SKMM

16 Rejab 1434 H. [MOD] -

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan suspek yang menghina DYMM Sultan Terengganu di laman Facebook-nya.

Dengan kerjasama polis, suspek berkenaan telah ditahan untuk disoal siasat.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia.
 
"Undang-undang negara berkuatkuasa tidak kira di mana-mana, baik di luar mahupun di dalam talian. Jenayah tetap jenayah, walaupun di dalam media sosial," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

"Pengguna media sosial perlu sedar bahawa mereka tidak sekebal seperti yang disangkakan. Oleh itu, kami menyeru kepada orang ramai supaya berhati-hati dan bersikap lebih bertanggungjawab semasa berkomunikasi di alam maya. Sesiapa yang melanggar lunas undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan," tambah Sharil.

SKMM adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (ASKMM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia.

Mstar/-

PAS Jangka Fail 20 Petisyen Pilihan Raya

16 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS dijangka memfailkan 20 petisyen dan bantahan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata petisyen dan bantahan itu melibatkan beberapa kawasan Parlimen seperti Kuala Selangor di Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Terengganu dan negeri lain.

"Jawatankuasa khas yang kita tubuhkan sebelum ini telah meneliti maklumat-maklumat yang membawa kepada petisyen dan bantahan itu. Setakat hasil perbincangan kita, itulah (20 petisyen) yang akan kita hantar tidak lama lagi. Mungkin akan meningkat atau menurun (jumlah bantahan). Ini akan dimuktamadkan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Dilaporkan sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan 27 petisyen melibatkan kawasan Parlimen dan DUN manakala DAP masih mempertimbang sama ada akan memfail petisyen.

Pada 22 Mei lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU13 dan berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai tarikh pewartaan itu.

Petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.
Pada pilihan raya lepas, BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala PAS (21), PKR (30) dan DAP (38). - BERNAMA

Rohingya hanya boleh ada dua anak

16 Rejab 1434 H. [MOD] -

YANGON 25 Mei - Pihak berkuasa Myanmar hari ini memperkenalkan peraturan baharu yang menetapkan keluarga etnik Rohingya Islam hanya boleh memiliki dua orang anak.

Peraturan baharu itu diperkenalkan kononnya sebagai usaha mengurangkan ketegangan dengan etnik Buddha selepas tercetusnya keganasan berdarah antara kedua-dua kaum tersebut.

Seorang pegawai tempatan berkata, peraturan itu akan dikuatkuasakan di dua kawasan yang bersempadan dengan Bangladesh yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di Rakhine.

Menurut jurucakap negara, Win Myaing, peraturan itu digubal seminggu lalu selepas seorang pesuruhjaya yang dilantik kerajaan mencadangkan program tersebut bagi membantu mengurangkan ketegangan di wilayah bergolak itu.

Keganasan etnik tercetus di Rakhine, Myanmar tahun lalu di antara penganut Buddha dan Rohingya Islam.

Perusuh Buddha yang bersenjatakan parang, turut memusnahkan beribu-ribu rumah penduduk Islam menyebabkan beratus-ratus orang maut dan kira-kira 125,000 lagi melarikan diri, kebanyakannya penganut Islam. - AP

Laman web rasmi Arab Saudi digodam

16 Rejab 1434 H. [MOD] -

RIYADH 26 Mei - Beberapa laman web rasmi Arab Saudi dilaporkan digodam oleh kumpulan penggodam dengan paparan bendera Alegeria, semalam.

Stesen penyiaran berita Al-Ekhbariya melaporkan, laman web Kementerian Penerangan antara laman web yang digodam.

Laman web berita Al-Ekhbariya berserta laman web sukan Al-Riyadiyah, Channel One dan Quran Radio turut menjadi mangsa penggodam.

Bagaimanapun, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. - AFP

Melayu lebih ramai tidak undi BN berbanding Cina

16 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Umno bukan lagi suara untuk majoriti Melayu kerana 3.57 juta orang Melayu tidak mengundi parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu, kata Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Beliau berkata, di Semenanjung, lebih ramai pengundi Melayu yang menolak BN berbanding pengundi Cina.

"Berapa ramai orang Cina tidak menyokong Umno? 80 peratus dari 2.84 juta? Itu hanya 2.27 juta. 2.84 juta adalah 30 peratus dari pengundi di Semenanjung seramai 9.45 juta.

"Orang Melayu yang menolak Umno dalam PRU13 ini lagi ramai. Di Semenanjung jumlah pengundi ialah 9.45 juta. 70 peratus darinya Melayu yakni sekitar 6.62juta.

"Umno dan BN memperolehi 4.35 juta undi. Jika 70 peratus dari nya Melayu, pengundi Melayu berjumlah 3.05 juta. Ini bermakna di Semenanjung sahaja, 3.57 juta orang Melayu tidak menyokong Umno!" tulis beliau dalam blognya, sakmongkol.blogspot.com.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Pekan seterusnya mempersoalkan, mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin Umno marahkan Cina?

"Kerana mahu menutup pekong sendiri?" soal beliau lagi.

Mohd Ariff menyelar Najib yang menyalahkan "tsunami Cina" kerana kegagalannya mendapat undi popular.

Dalam pilihan raya lalu, ketika Pakatan Rakyat mendapat 5.489 juta undi atau 50.3 peratus sokongan, BN hanya mendapat 5.220 undi sahaja atau 46.8 peratus sokongan.

Beliau mempersoalkan, adakah tindakan menyalahkan "tsunami Cina" itu merupakan langkah pertama Najib mahu menonjolkan dirinya lebih Melayu dari Melayu lain?
"(Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyidin (Yassin) sudah nampak Melayunya dari awal lagi dengan menyatakan bahawa dia Melayu dahulu baru Malaysia. Najib yang kian terdesak nampaknya mesti menonjolkan dirinya lebih Melayu dari Melayu yang lain.

"Sebab itu dia membisu seribu bahasa sementara dikeliling nya, satu persatu munculnya kenyataan-kenyataan perkauman dari penyokong-penmyokong Umno", katanya.

Harakahdaily/-