02 Jun 2009

Salahkah menyokong perjuangan Anwar ?

Oleh: WFAUZDIN NS

Gelombang politik terbesar di dalam negara ini hanya berlaku sebaik sahaja berlaku peristiwa pemecatan DS Anwar Ibrahim dari kabinet dan parti Umno lebih kurang 11 tahun yang lalu. Sebelum peristiwa tersebut, gelombang politik juga pernah berlaku tatkala berlaku pertembungan merebut jawatan Presiden Umno di antara Tun Dr Mahathir dengan YBM Tengku Razaliegh yang mana mengakibatkan wujudnya Parti Melayu Semangat 46(S46).

Sebelum itu juga, Umno pernah diharamkan sebelum Tun Mahathir menubuhkan Umno Baru yang kekal hingga sekarang. Namun gelombang politik yang menyaksikan pertarungan di antara Umno/Bn dengan Parti S46 yang telah bergabung bersama PAS dan DAP tidak sehebat gelombang yang dibawa oleh DS Anwar Ibrahim selepas tahun 1997.

Saya yakin sesiapa yang membaca kembali sejarah pada awal era reformasi sehinggalah kini, suka atau tidak terpaksa mengakui bahawa pengaruh DS Anwar sememangnya banyak mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti-parti pembangkang yang ketika itu begitu mudah diratah oleh Umno/Bn, kecuali kekuatan kental PAS di Kelantan. Natijah daripada fitnah yang telah dilakukan oleh mereka yang cemburu serta dengki dengan pengaruh DS Anwar sehingga menyebabkan beliau dipecat dari kabinet dan parti, pembangkang terus mendapat tempat dihati rakyat. Rakyat sudah tidak lagi meyakini Umno malahan mereka seolah-olah tidak percaya tergamaknya Umno mengkhianati tokoh Melayu yang Pro Islam ini. Tetapi bak kata orang, benih yang baik dicampak ke mana sekali pun tetap akan boleh hidup subur. Secara jujurnya, parti PAS dilihat lebih banyak memakan hasil daripada peristiwa yang berlaku dan saya percaya ini adalah `kifarah' buat DS Anwar yang mungkin ketika di dalam Umno melakukan beberapa kesilapan di dalam pendekatannya.

Kini, setelah pembangkang mulai mendominasi beberapa buah negeri selepas pilihanraya Ke 12 yang lalu sehingga menyebabkan kerajaan Bn gagal memperolehi majoriti 2/3 di dalam Parlimen, sudah terdapat suara-suara sumbang terutamanya di dalam PAS yang seolah-olah menidakkan sumbangan, ketokohan dan jasa DS Anwar. Perkara sebegini tidak pernah timbul sewaktu PAS di bawah kepimpinan Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Almarhum adalah seorang yang jujur, tidak pendendam serta bijak berpolitik. Budi Almarhum terhadap DS Anwar sudah tentu tidak terbalas. Pulangnya Almarhum Ustaz Fadzil ke Rahmatullah memaksa DS Anwar menitiskan air mata. Semua ini adalah kisah masa lampau yang amat manis dikenang betapa pemimpin bersatu hati dan sedia bermaafan. Kini, masa berubah apabila melihat kepada kekuatan yang ada pada diri masing-masing.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan bermula beberapa minggu sahaja lagi. Sebagai sebuah parti yang telah kuat sudah tentu pendekatan di dalam berkempen berbeza samasekali. Saya mengucapkan syabas kepada PAS kerana sehingga kini masih tetap dengan pendirian tegas berkenaan dasar Islam mereka. Tetapi, saya kurang selesa apabila terdapat beberapa pemimpin yang sering mengaitkan pemimpin yang lain di dalam PAS sebagai `orang DS Anwar'. Apakah dosa DS Anwar sehingga beliau diheret bersama di dalam kancah perebutan kuasa di dalam PAS? Salahkah sekiranya mana-mana pemimpin PAS berbaik serta menyokong perjuangan DS Anwar selama ini? Apakah dengan menyokong perjuangan DS Anwar bermakna mereka meninggalkan prinsip mereka yang termaktub di dalam PAS ?

Semua persoalan ini tidak mampu saya huraikan melainkan pemimpin-pemimpin PAS itu sendiri. Meskipun saya seorang penyokong DS Anwar tetapi saya juga tetap menyokong serta menghormati pemimpin PAS. Memang benar, mungkin terlalu simpati saya terhadap DS Anwar menyebabkan saya ingin menyuarakan perkara ini kerana bagi saya tidak adil DS Anwar dijadikan bahan tohmahan untuk melemahkan lawan politik sesama mereka. Saya hairan mengapa wujud gelaran pemimpin ini `orang Anwar' dan pemimpin itu `orang Tuan Guru'. Setahu saya di dalam PAS pemimpin mereka adalah Presiden mereka dan Tuan Guru Nik Aziz adalah Muryidul Am mereka , tiada yang lain dari itu. Umum mengetahui bahawa Presiden PAS dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri tidak pernah ingin berjauhan dari perjuangan DS Anwar malahan ingin dirapatkan lagi.

Harus diingat bahawa musuh sentiasa berada di sekeliling kita dan jika kita tersilap langkah, musuh akan mengambil kesempatan. Bukan tujuan tulisan ini untuk membela DS Anwar yang bukan seorang yang maksum dan bukan juga seorang Ulamak. Saya sedikit terubat apabila mendengar segala kata-kata Tuan Guru Nik Aziz berkaitan hubungan yang perlu dijaga sesama kita di dalam PR. Jangan dimusnahkan apa yang telah dibina landasannya oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Kesihan juga kepada DS Anwar yang tidak mampu mempertahankan dirinya apabila dikaitkan di dalam mainan politik oleh rakan-rakan seperjuangannya sendiri. Mungkin DS Anwar hanya mampu berkata di dalam hatinya," Kalau lah Almarhum Ustaz Fadzil masih hidup......"

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

Zaid perkata tentang negara polis,komunisme dan perkauman

Saya kagum dengan pandangan begitu telus dan jujur seorang bekas menteri, seorang pemimpin, Ketua Bahagian UMNO yang dinafikan haknya dengan cara memperbodohkan ahli-ahli UMNO sendiri. Dengan karektornya yang selamba tetapi tegas, beliau melihat isu dari penjuru fakta dan perundangan. Artikel beliau ini sesuai untuk anda yang mencari perbandingan pro dan kontra setelah amat keliru dengan situasi "polis politik" serta kelembikan menteri dalam negeri melihat isu rakyat secara terbuka dan tepat. - FAUZI IRWAN SHAH

Meninjau tindakan pihak polis terhadap orang ramai beberapa bulan kebelakangan ini, saya tidak terkejut kalau ada kedengaran rintihan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah Negara Polis (’Polis State’).

Antara ciri-ciri sebuah ‘Police State’ ialah apabila polis menjadi satu kuasa pengawalan yang ditakuti. Polis mula menyekat kegiatan serta kebebasan orang ramai bersuara, yang merupakan amalan biasa di sesebuah negara bebas dan demokratik.

Kita dapat lihat bahawa pasukan polis lebih ditakuti dan bukan dihormati. Bloggers seperti saya juga turut berada dalam pemerhatian mereka. Undang-undang yang digunakan mereka telah menyekat kebebasan rakyat. Di dalam sebuah ‘Police State’, Polis boleh mengambil tindakan atas apa sahaja yang ditafsir atau dianggap berbahaya kapada kerajaan.

Ini membolehkan mereka menyekat apa sahaja kegiatan orang awam yang dianggap menjejaskan kententeraman awam. Hari ini rakyat ditangkap kerana memakai baju warna hitam, menjual CD, tidak mahu makan, berkumpul secara aman dan sebagainya.

Rakyat ingin tahu mengapa Menteri yang bertanggungjawab terus-terusan membiarkan polis bertindak sedemikian? Besar kemungkinan Menteri juga sudah tidak mampu atau mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pihak polis. Mungkinkah Ketua Polis Negara lebih berkuasa dari Menteri?

Saya masih lagi ingat tentang soal penubuhan IPCMC yang dicadangkan oleh Pak Lah dahulu. IPCMC merupakan satu cadagan baik pada tahun 2004 supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat penyalahgunaan kuasa, kepincangan etika dan amalan rasuah yang sering berlaku dalam pasukan polis negara.

Cadangan ini merupakan saranan Tun Dzaiddin dan Tun Haniff serta ahli-ahli lain Suruhanjaya DiRaja pada masa itu. Menurut laporan mereka terdapat banyak kepincangan dan kelemahan polis yang ketara. Walaupun Pak Lah berniat baik untuk menubuhkan IPCMC dan merealisasikan saranan Tun Dzaiddin ini, pihak polis telah menolaknya secara terbuka.

Saya tidak fikir dalam sebuah negara demokrasi lain seperti Australia atau India, pihak polis mereka berani menentang secara terbuka akan dasar yang diusulkan oleh seorang Perdana Menteri. Namun di Malaysia, begitulah berkuasanya seorang Ketua Polis Negara.

Saya juga teringat tentang kuasa polis dalam isu dadah. Parlimen telah lama menggubal rang undang-undang khas untuk penubuhan Agensi Dadah Kebangsaan. Menurut undang-undang ini, segala isu mengenai dadah, sama ada kawalan siasatan dan rehabilitasi adalah tanggungjawab dan di bawah kuasa agensi ini.

Ini sebenarnya telah diamalkan di negara Filipina dan Amerika Syarikat. Peruntukan berjuta-juta ringgit telah disediakan untuk menggerakkan agensi dengan kakitangan yang cukup. Namun sehingga hari ini, polis masih juga bertanggungjawab dan berkuasa dalam hal ‘prevention enforcement’ dan siasatan kes dadah.

Mereka akan membuat keputusan mengenai segala aspek kes dadah dan bukannya Agensi Dadah Kebangsaan. Kononnya agensi yang baru ditubuhkan itu tidak mempunyai pengalaman menjalankan tugas-tugas tersebut. Begitulah berkuasanya Polis DiRaja Malaysia sehinggakan Parlimen atau Perdana Menteri tidak boleh menukar apa sahaja yang mereka tidak restui.

Parlimen sebenarnya memberi kuasa yang luas kepada polis di bawah the Police Act 1967. Maklumlah kita sebuah negara yang masih di bawah pengisytiharan darurat. Kita juga mempunyai sejarah hitam seperti peperangan dengan komunis dan peristiwa 13 Mei.

Kuasa luas yang diberikan itu perlu dilaksanakan secara sederhana dan penuh bijaksana mengikut keadaan politik dan keperluan semasa. Contohnya, walaupun undang-undang memerlukan rakyat memohon permit polis apabila mengadakan perhimpunan lebih dari 4 orang, tetapi wajarkah kita mengikut peraturan ini jika perhimpunan mereka itu tidak membahayakan masyarakat?

Jika mereka mahu pakai baju hitam dalam perhimpunan itu juga saya rasa tidak berbahaya dan tidak perlu ditangkap. Tetapi begitulah hakikatnya Malaysia pada hari ini. Wakil-wakil rakyat dan penyokong-penyokong mereka ditangkap semata mata berhimpun secara aman dan memasang lilin. Mereka juga ditangkap kerana mereka mahu berlapar selama 3 hari.

Ini semua berlaku kerana dalam sebuah ‘Police State, sesetengah kumpulan orang awam dianggap musuh kapada pihak polis. Apabila musuh berkumpul maka tindakan menangkap mereka akan dilakukan. Namun jika yang berhimpun itu bukan musuh dan tidak mempunyai permit, ia dibenarkan tanpa tangkapan.

Malang sekali nasib Malaysia. Polis sepatutnya tidak memihak kepada sesiapa dan tidak ada musuh dari kalangan rakyat.. Polis perlu bertindak secara professional dan adil dalam menjaga keamanan negara. Bukan menjaga Barisan Nasional sahaja.

Polis tidak perlu terlalu mendengar pandangan orang-orang politik. Menurut Rais Yatim dan Ahmad Zahid Hamidi, ada pula musuh baru sekarang ini. Kumpulan yang mahu hidupkan komunisme.

Agaknya Pak Menteri membuat kesimpulan begitu kerana ada segelintir orang Cina yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini. Ramai orang bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu kembali dan mati ditanah Malaya. Ini tidak bererti mereka ini mahu hidupkan Komunisme.

Jauh bezanya antara mahu menghidupkan Komunisme dengan rasa kemanusiaan yang membenarkan Chin Peng pulang. Lagipun ramai peguam , di antaranya dari International Bar Association berpendapat Chin Peng ada hak untuk pulang ke tempat lahirnya. Cuma mahkamah kita tidak bersetuju dengan hujah tersebut kerana Chin Peng tidak mempunyai sijil kelahiran. Saya tidak pasti jika Malaya pada waktu itu memberi kemudahan pendaftaran kelahiran anak, terutama sekali di Baling, Kedah.

Berbalik semula kepada isu kononnya terdapat minat orang ramai kepada Komunisme seperti yang disebut oleh Pak Menteri. Orang-orang Cina di Negara China pun telah menjadi Kapitalis besar dan selesa. Mereka ini berniaga dalam ‘Free Market Capitalism’.

Ini adalah sama dengan rakyat Malaysia berketurunan Cina. Mereka juga selesa dengan sistem Kapitalis di Malaysia. Tidak masuk akal jika mereka mahu bertukar kepada sistem Komunis. Jadi apakah tujuan ahli-ahli fikir UMNO dalam memperbesarkan soal Komunisme hari ini? Janganlah kita melaga-lagakan rakyat dengan mencipta musuh baru.

Tidak cukupkah kita berjaya memecah-belah rakyat selama ini kerana politik?Jika ada yang bersetuju dengan cadangan supaya Chin Peng pulang ke Malaysia kerana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia, itu tidak bererti bahawa dia adalah Komunis atau mahu menghidupkan ideologi Komunis. Dia seorang rakyat Malaya.

Usia Chin Peng pun sudah tua. Mustahil dia boleh membuat kekacauan lagi. Pengaruh Komunisme telah lupus. Lagipun pihak polis cekap seperti yang ada sekarang sudah tentu berupaya mengawal keselamatan negara. Saya terfikir, jika Chin Peng itu seorang Melayu, apakah pendirian dan emosi kita akan sama? Utusan Malaysia berkempen secara agresif agar Chin Peng tidak dibenarkan pulang.

Sehubungan itu gambar- gambar veteran tentera keselamatan yang cedera dan kehilangan kaki dipamerkan. Memang benar, Chin Peng dan komunis berperang dengan kerajaan Malaya pada masa itu. Memang Chin Peng dan komunis kejam. Termasuklah Rashid Maidin dan Shamsiah Fakih. Dalam peperangan itu, kedua-dua pihak telah terpaksa melakukan kekejaman.

Jepun juga pernah berlaku kejam kepada kita semasa zaman pemerintahannya. Lebih kejam daripada Chin Peng. Namun kita tetap memberi pelukan yang sangat rapat kepada Jepun. Kita juga memberi kontrak besar kapada syarikat milik Jepun kerana Jepun memberi pinjaman wang kepada kita.

Kita tidak boleh mengubah apa yang berlaku dalam peperangan melawan British. Yang melawan British, ada komunis, ada yang berhaluan kiri (leftist) dan ada juga nasionalis .Ada bermacam-macam kumpulan. Namun mereka semua menetang British dan menuntut kemerdekaan.

Kadangkala sejarah pahit lama hanya akan diterima apabila kita membuang rasa dendam dan digantikan dengan sifat kemanusiaan. Bila kita menyimpan dendam terhadap musuh, ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Lihatlah di Afrika Selatan. Kerajaan kulit putih dan polis risik kerajaan apartheid telah membunuh dan berlaku kejam terhadapan ratusan ribu rakyat kulit hitam Afrika Selatan.

Ramai yang telah hilang dan telah mati dalam penjara. Namun Nelson Mandela tidak mahu berdendam. Sebaliknya beliau menubuhkan Badan ‘Reconciliaion and Truth’. Beliau mahu kedua-dua pihak hitam dan putih bersama-sama mencari kebenaran tentang apa yang berlaku dalam zaman apartheid.

Tujuannya ialah untuk mengajar rakyat supaya bermaaf-maafan dan menghentikan prejudis serta persengketaan antara kaum. Amnesty atau pelepasan dari tindakan undang-undang diberi kapada pihak pihak yang terlibat. Ini supaya mereka tidak lagi berdendam dan menghentikan kekejaman antara satu sama lain. 15 tahun dahulu di Rwanda, orang Tutsi dan Hutus berperang saudara.

Kedua-duanya rakyat Rwanda. 800,000 rakyat mereka dari kedua-kedua kaum terbunuh dan dalam tempoh 8 bulan iaitu waktu kegilaan memuncak. Presiden baru telah memanggil semua kaum dan mengadakan dialog serta perbincangan tentang apa yang telah berlaku.

Mereka menceritakan apa yang menyebabkan mereka benci dan membunuh satu sama lain. Mengapakah puak Tutsi tidak membenarkan Hutus memasuki perkhidmatan kerajaan? Mengapa Hutus tidak banyak mempunyai urusan perniagaan dan sebagainya? Mengapa hanya pasukan tentera Hutus yang layak menduduki jawatan tinggi.

Dialog in berjalan tahun demi tahun dan telah menjadi satu penawar yang kuat dan membolehkan Negara kecil Rwanda kembali aman. Hari ini Rwanda mengamalkan sistem demokrasi yang baik dan ekonominya kukuh kerana mereka sudah tidak lagi bermusuh. Itulah kelebihan bangsa dan negara yang tahu serta mempraktikkan nilai kemaanusian.

Mereka sanggup bermaafan antara satu sama lain dan bukannya sengaja mencari musuh. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Amatlah sukar bagi UMNO untuk berbuat demikian. Mahu minta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat pun mereka enggan. Masakan mereka sanggup melupakan Chin Peng? Saya harap sekalipun kerajaan tidak mahu Chin Peng kembali, janganlah sampai menuduh mereka yang bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu mati di Malaya sebagai musuh kerajaan.

Biarlah rakyat bersuara dan menunjukkan pendirian mereka sendiri. Jangan terlalu mudah mengkategorikan rakyat dan menganggap golongan cina sendiri sebagai musuh. Ini semua adalah timbul dari perbezaan pendapat kerana perspektif sejarah yang rumit dan tidak banyak diketahui umum.

Posted by byPASs at 11:04 PM /blog bypass308.blogspot.com

Makanan halal pilihan mukmin

Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sangat sensitif dengan makanan haram walaupun perkara haram yang lain masih gemar dilakukannya. Mungkin anda pernah makan di restoran atau gerai di medan selera, yang masing-masing duduk di meja pilihan sendiri. Cuba anda pastikan, berapa orang dalam kalangan pelanggan di situ yang bangun dan keluar tanpa membayar.

Lazimnya pelanggan tersebut akan bangun dan pergi ke kaunter pembayaran atau memanggil pelayan untuk mengira kadar yang perlu dibayar. Malah saya pasti, tidak seorang pun yang akan cuba menipu juru jual itu dengan memberi fakta yang kurang tepat. Padahal dalam keadaan pelanggan yang ramai itu, juru jual itu mungkin tidak dapat memastikan kejujuran pelanggan.

Demikian kebanyakan pelanggan yang boleh dikesan dalam sehari. Namun tidak dinafikan ada yang berniat jahat untuk tidak mahu membayarnya. Mereka ini bukan sahaja tidak sensitif dengan makanan haram tetapi sudah biasa dengan amalan itu lantaran tiada iman di dada.

Walau bagaimanapun dalam soal memilih makanan halal, sebahagian kita tidak sensitif dalam memilih kedai makan. Ramai yang secara lebih kurang memilih gerai termasuk gerai yang terdedah di tepi jalan. Ada juga yang mahu ke medan selera yang kelihatan paling ramai pelanggan kerana beranggapan gerai itu lebih sedap atau harganya agak murah.

Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang suka memilih restoran yang ekskulusif pernampilannya dan bertanda halal. Golongan ini tidak memilih siapa tuan punya restoran itu asalkan bertanda halal. Malah kadang-kadang lebih memilih restoran yang kelihatan cantik dan bersih walaupun pemiliknya bukan orang Islam.

Sememangnya makanan halal di negara kita ditentukan dengan teliti dengan syarat yang ketat. Halalnya bukan saja di sudut bahannya tetapi juga prosesnya. Kerajaan memberi amanah kepada syarikat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun supaya peranannya dilihat adil, kelulusan halal turut diberikan kepada pengusaha bukan Islam selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

HDC tidak boleh membuka peluang kepada orang Islam sahaja, apatah lagi kalau orang Islam sendiri tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. HDC juga tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal jika mereka mampu menyediakan keperluan dan memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Walau bagaimanapun sebagai umat Islam, kita perlu merenung dua persoalan berikut; mengapa pengusaha orang Islam tidak berusaha mendapatkan sijil halal; mengapa pula orang Islam sanggup ke restoran bukan Islam sedangkan restoran orang Islam masih ada meja dan kerusi yang kosong? Kita tidak bercakap soal Melayu tetapi Islam.

Suka dijelaskan di sini, pengusaha Islam yang kebanyakannya orang Melayu hari ini gagal memenuhi syarat kehalalan walapun mereka orang Islam. Dapurnya tidak bersih, peralatan tidak jaga kebersihannya, bahannya kurang bermutu selain kewangan yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Mengapa semua itu tidak boleh disediakan?

Orang Islam kebanyakannya mudah perasan bahawa dengan mereka beragama Islam, segala makanan yang disediakan mereka sudah pasti halal. Atas dasar itu mereka tiada tekanan untuk mengambil sijil halal. Pada mereka ada sijil atau tidak sama sahaja, orang tetap akan datang.

Sebenarnya orang Islam di negara ini masih belum sedar dari tidur yang panjang. Mereka masih dibuai mimpi yang indah. Padahal kehidupan mereka tidak mengikut peraturan Islam. Budaya kebersihan, budaya sosial yang sihat, budaya mentaati perintah Allah dan menghormati jiran tidak lagi diamalkan dengan sempurna.

Jika budaya ini tidak ada, bagaimana mereka boleh mendapat sijil halal. Kalau sekadar berlakon seketika untuk mendapatkan sijil, tetapi selepas itu semua peraturan dilanggar, masakan mereka boleh diberi kepercaan untuk mendapat sijil halal. Inilah cabaran yang perlu disedari oleh pengusaha Islam, mereka perlu sedar dan bertindak segera.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita boleh pergi ke restoran bukan Islam atas dasar halal. Namun pada sudut lain, mereka juga harus sedar bahawa dengan melanggan di restoran tersebut kita telah membantu menyuburkan ekonomi mereka. Mengapa kita tidak berkunjung sahaja ke restoran umat Islam yang masih kelihatan kerusinya kosong? Tidak ada tanda halal?

Walaupun tidak ada sijil halal, tidak semestinya tidak halal. Kita boleh menilai sendiri kehalalan restoran tersebut. Lihatlah dapurnya, peralatannya, pekerjanya, dan bahannya. Kalau semuanya bersih dan meyakinkan, mintalah makanan berdasarkan halal pada pandangan anda sendiri.

Bagaimanapun jika restoran tersebut tidak bersih dan peralatannya tidak meyakinkan, beredarlah dahulu sekali gus sebagai isyarat tentang protesnya. Kita boleh menegurnya secara baik selain tidak melanggan dengannya. Inilah cara yang sewajarnya dilakukan untuk menyedarkan mereka daripada terus tidur.

(email 2 Jun 2009)

Mahasiswa Perak jayakan Kem Lambaian Menara Gading

Pada 29-31/5/2009 baru-baru ini, Mahasiswa Perak telah berjaya mengadakan satu kem Lambaian Menara Gading (LAMEGA) untuk para pelajar lepasan SPM. Kem ini berlangsung selama 3 hari, para peserta terdiri dari pelbagai sekolah di negeri Perak.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan situasi sebenar ketika mereka berada di alam universiti di samping memberi pendedahan berkenaaan cabaran dan dugaan ketika di universiti samada dari segi akademik atau kehidupan mereka

Selain itu objektif utama kem ini juga adalah untuk membantu para pelajar memilih institut pengajian tinggi yang diminati mereka dan memberi maklumat kepada para pelajar berkenaan institut pengajian tinggi yang dipilih oleh mereka, disamping itu para penceramah dan pembentang kertas kerja yang terlibat dalam kem ini juga dipilih dari kalangan tokoh akademik dan tokoh agama yang berpengalaman, dengan ini menambahkan lagi kesempurnaan program yang dianjurkan Mahasiswa Perak ini.

Memetik ucapan Presiden Gabungan mahasiswa Bersatu Perak, Saudara Mohd Hafez bin Sabri ketika merasmikan program ini ” Para pelajar sememangnya perlu diberi pendedahan yang sebenar berkenaan suasana alam universiti, ini bagi memastikan persediaan dari segi mental dan fizikal dapat dilakukan dari awal agar mereka tidak terpengarauh dengan budaya-budaya negatif di universiti kelak, di samping itu adik-adik pelajar yang akan menyambung pengajian mereka di universiti juga perlu terlibat dengan Persatuan Mahasiswa Islam atau mana-mana persatuan yang memperjuangkan kedaulatan Islam di Universiti masing-masing bagi yang muslim dan bagi yang bukan muslim adik-adik perlu terlibat dengan persatuan-persatuan yang membimbing pelajar kearah kebaikan, ini kerana melalui persatuan-persatuan ini adik-adik akan dapat mengasah daya kepimpinan dan meningkatkan kecemerlangan akademik adik-adik” jelas beliau

Sementara itu menurut pengarah Kem Lambaian Menara Gading tersebut, Saudara Ahmad Kamal Ehsan bin Anuar, beliau menyatakan ” InsaALLAH, dengan keberkatan yang di lihat dalam program ini, maka kita akan memastikan supaya program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa, dan mahasiswa Perak perlu bersungguh-sungguh bekerja dalam memastikan generasi muda ini dapat membuat persiapan yang sebaiknya dalam musafir kita untuk memimpin umat pada masa hadapan” jelas beliau.

Kami diperingkat Kepimpinan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak, mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh penggerak kem Lambaian Menara Gading (LAMEGA) ini, mudah-mudahan usaha kita semua diberkati dan diredhai ALLAH SWT.

Menjawab tuduhan Khir Toyo

Oleh: WFAUZDIN NS

Mantan MB Selangor, Khir Toyo yang pernah menganugerahkan penyapu kepada pegawai kerajaan negeri baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang telah dipetik oleh Malaysiakini menuduh PKR adalah parti `gila talak' dan mengamalkan politik `bogeyman' . Mungkin akibat tekanan yang terlalu hebat yang mula dirasakan oleh Mantan MB Selangor yang pernah menerima hadiah jam tangan bernilai RM150,000 ini menyebabkan beliau membuat tuduhan tersebut yang dilihat satu kenyataan yang hambar, tanpa fakta serta melucukan.

Isu jerebu kononnya PKR mengatakan bahawa bencana tersebut adalah akibat dari perbuatan maksiat yang berleluasa. Ini bermaksud bahawa Khir Toyo tidak akan percaya bahawa dengan perbuatan maksiat yang berleluasa, Allah tidak akan memberikan apa-apa balasan di dunia ini seperti bencana-bencana yang sering berlaku. Itu pada beliau mungkin akibat fanomena alam seperti yang pernah dihujahkan oleh Astora Jabat sewaktu Astora berdebat dengan Ustaz Nasaruddin Tantawi dari PAS. Terbukti Khir berfahaman seperti Astora Jabat Toyo yang menolak samasekali kaitan sebarang peristiwa di dunia ini dengan pembalasan dari Allah SWT. Biarkan Khir dengan iktikadnya itu.

Mantan MB Selangor ini turut mendakwa bagaimana PKR akan menuduh pemimpin BN terlibat hatta di dalam kes bunuh sekalipun. Saya tidak pasti Khir Toyo merujuk kepada kes yang mana satu, mungkin kes yang melibatkan kematian Altantuya. PKR terutamanya DS Anwar mahukan satu siasatan yang telus dan terperinci berkaitan kes tersebut dapat dijalankan. Lebih malang sekali dunia luar juga turut membuat dakwaan dan spekulasi terhadap kes ini yang mana telah memburukkan imej pemimpin kerajaan iaitu pemimpin Bn juga. Persoalannya, mengapa kita sebagai rakyat di dalam sebuah negara yang bermaruah tidak peka terhadap tuduhan sensitif terutamanya terhadap pemimpin kita? Seringkali banyak pihak mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap media-media asing tersebut yang telah memburukkan imej negara kita. Mengapa kerajaan enggan melakukannya demi untuk membersihkan nama pemimpin kerajaan sendiri? Bukankah Presiden PAS sendiri berani mengambil tindakan terhadap media asing yang suatu ketika mendakwa bahawa PAS terlibat di dalam kumpulan pengganas atau Taliban. Hasilnya, media tersebut mengaku kesalahannya dan sanggup memohon maaf kepada PAS dan imej pun PAS dapat dipulihkan.

Berkaitan isu kempen oleh PKR di Dun Penanti baru-baru ini, sememangnya PKR tetap akan menerangkan kepada rakyat apa jua kesilapan dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh Umno/Bn tidak kira samada Umno/Bn masuk bertanding atau tidak. Ini adalah kerana sebagai sebuah parti yang berjuang untuk rakyat, perjuangannya tidak terbatas selagi rakyat tidak diberitahu tentang kelemahan Umno/Bn di dalam menguruskan negara atau negeri. Perjuangan ini berterusan meskipun tiada pilihanraya kerana usaha penerangan harus berjalan sehinggalah rakyat sedar siapa sebenarnya Umno/Bn. Sekiranya terdapat sebarang kempen atau penerangan yang dilakukan oleh PKR merupakan satu fitnah, sudah tentu pihak Umno/Bn akan mengambil tindakan. Rakyat perlu diberi penerangan berupa fakta dan Umno/Bn juga punyai hak untuk membela parti mereka dari tuduhan tersebut. PKR juga tidak hairan apabila media-media perdana di bawah kerajaan memberikan liputan yang berat sebelah setiap kali pilihanraya diadakan dan perkara ini juga wajar Khir Toyo persoalkan.

Soal undi yang diperolehi oleh calon PKR di Dun Penanti baru-baru ini yang dikatakan sebagai tanda merosot sokongan terhadap PKR, sekurang-kurangnya di dalam keadaan peratusan undi yang terlalu rendah pun PKR mampu mendapat majoriti 5 ribu lebih. Kekurangan undi seribu lebih jika dibandingkan dari pilihanraya umum yang lalu, bukan bererti seribu lebih itu akan beralih kepada Umno/Bn pada pilihanraya akan datang. Merosot undi lebih baik daripada `Tiada Undi' langsung. Tahniah kepada ketiga-tiga calon bebas yang berani memasuki gelanggang dan mereka dilihat lebih `jantan' daripada yang bersilat pulut seorang diri di luar gelanggang.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya secara ikhlas berharap agar tindakan membekukan elaun khas Wakil Rakyat terhadap Khir Toyo serta yang lain-lain yang telah dikenakan penggantungan setahun dari menghadiri Persidangan Dun Selangor diberikan semula. Secara peribadi saya tidak bersetuju kerana selaku Wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat, mereka berhak menerima elaun tersebut. Wallahu Aklam.

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM (Email 1Jun 2009)

Akhlak ahli gerakan Islam

Ustaz Zainudin Hashim

Setiap manusia memiliki potensi dan bakat tersendiri yang boleh melonjakkannya menjadi insan yang amat diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi jika manusia ini daripada jenama Muslim, pasti dia amat diperlukan oleh agamanya untuk mengembang, memperkasa, membenteng, melindunginya daripada anasir yang boleh menggugat kekuatannya daripada serangan makhluk perosak akidah, iman dan ilmu pengetahuan agama.

Ia semua tertakluk kepada sejauhmana insan Muslim itu dapat membentuk jati dirinya dengan aspek tarbiyah yang telah diperkatakan sebelum ini, dengan mengambil kira semua jenis tarbiyah yang diperlukan oleh seseorang ahli gerakan Islam yang aktif, di samping memelihara uslub dakwah yang berkesan bagi memastikan kesinambungan gerakan Islam terus utuh dan kukuh di persada alam ini.

Bagi memastikan agar Islam terus berkembang melalui usaha dan kerja dakwah, ahli-ahli gerakan Islam perlu memelihara beberapa konsep akhlak yang dikira sebagai penting bagi meneruskan misi untuk memartabatkan Islam sebagai agama tertinggi dalam perjuangan hidup sebagai hamba Allah di muka bumi ini, antara akhlak tersebut yang mesti dipelihara ialah:

1. Akhlak terhadap Allah

2. Akhlah terhadap Rasulullah

3. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

4. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

5. Akhlak sesama jiran tetangga

6. Akhlak terhadap orang ramai

Konsep akhlak dalam Islam

Islam mempunyai dua sumber iaitu al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyah.

Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.

Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:

Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah).

Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa, akhlaklah yang menjadikan seseorang Muslim itu hingga mencapai iman yang sejati, ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesempurna iman seseorang yang beriman itu adalah yang paling baik akhlaknya."

Akhlak terhadap Allah SWT

Ia bermaksud bahawa yang paling utama sekali ialah beriman kepada Allah SWT selaku Pencipta yang meliputi kepercayaan dan pegangan kental mengenai 'Tauhid Uluhiyyah' dan 'Tauhid Rububiyyah' bagi melahirkan iman dan akidah yang sejahtera daripada sebarang kepercayaan khurafat, bid'ah, tahayul, syirik yang sememangnya tidak sinonim dengan ahli-ahli gerakan Islam yang memperjuangkan akidah yang benar berpaksikan al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w.

Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w.

Iaitu keimanan dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan nabi terakhir seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, membenarkan risalah yang dibawa kepada umat bagi menyatakan konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' tanpa mengira batas sempadan kaum, bangsa, kedudukan, pangkat, jantina dan sebagainya, semuanya sama di sisi Allah, kerana yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi-Nya.

Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

Sesungguhnya al-Quran adalah rujukan utama kepada ahli-ahli gerakan Islam, ia dapat dijelmakan melalui pembacaan, penghayatan, kajian, penghafazan jika mampu lakukan atau menghafaz surah-surah tertentu yang sering dibaca oleh orang awam dan mentafsirkannya dengan pendekatan yang mudah difahami oleh golongan sasaran, ia bertujuan bagi menarik mereka kepada jalan hidup Islam yang sempurna.

Ini kerana al-Quran seperti apa yang pernah disampaikan oleh baginda sendiri, bahawa di dalam al-Quran ada menceritakan kisah orang-orang terdahulu daripada umat hari ini dan berita mengenai kehidupan di alam akhirat, ia memberi maksud bahawa kitab suci itu amat berguna untuk pegangan ahli-ahli kerana ia mampu menginsafkan mereka di samping menetukan hala tuju hidup terakhir untuk menuju jalan menemui Allah SWT.

Ahli gerakan Islam perlu tahu tafsir al-Quran dengan baik, kerana ia terbahagi kepada tafsir al-Ma'thur sama ada tafsir ayat dengan ayat yang lain, atau tafsir ayat yang diperjelaskan oleh hadis Nabi, tafsir bi ar'yi al-Mamduh aitu tafsir dengan menggunakan pendapat yang boleh diterima seperti kitab tafsir yang dibuat oleh kedua-dua Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS, tafsir Hamka, tafsir Ustaz Sonhaji Mohammad al-Ibr al-Athir dalam bahasa Melayu, Saiyid Qutb yang ditrerjemahkan dalam bahasa Melayu oleh al-marhum Yusuf Zaki Yaakob dan lain-lain.

Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

Hadis adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Sebagai ahli gerakan Islam, mereka perlu melihat bahawa hadis atau sunnah Nabi Muhammad penting dalam kehidupan rutin harian, iaitu mereka perlu menghafaz beberapa hadis penting sebagai rujukan hujah ketika menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.

Mereka juga perlu menguasai perkara yang berkaitan dengan hadis atau sunnah seperti mengetahui imam-imam tersohor agak tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang berselindung dalam kelambu orang Melayu. Imam-imam itu adalah seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie disamping Imam Baihaqi, Tabarani, al-Hakim dan lain-lain, begitu juga menguasai ilmu 'Ulum al-Hadis' dengan mengetahui istilah hadis sohih, do'if, mutawatir, mursal, maudo' (palsu) dan lain-lain.

Akhlak sesama jiran tetangga

Ia juga merupakan pendekatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan memelihara jiran tetangga walaupun mereka bukan beragama Islam, ini adalah kerana mereka juga merupakan makhluk manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang sama dengan kita.

Ahli-ahli gerakan Islam adalah disaran agar memiliki ciri mesra alam dengan sesiapa terutama jiran tetangga, dengan tidak diri atau isteri mendedahkan aurat ketika berinteraksi dengan mereka kerana ini boleh menghilangkan sedikit rasa tidak percaya mereka kepada diri dan menjejaskan potensi untuk mengajak mereka kepada Islam secara praktikal.

Layanilah mereka dengan santun dengan tidak mengguris perasaan mereka walaupun mereka tidak menerima dakwah yang kita syorkan kepada mereka, apatah lagi mereka tidak sinonim dengan masjid atau program surau yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah. Ahli perlu bersabar terhadap keranah mereka sebagai menyahut seruan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Seorang mukmin yang bercampur/bergaul dengan orang ramai dan bersabar terhadap karenah-karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur/bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar terhadap karenah-karenah mereka."

Akhlak terhadap orang ramai

Ia satu lagi akhlak yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, ahli perlu menguasai ilmu-ilmu alat di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah dengan tidak menghalalkan cara yang salah untuk sampai kepada matlamat.

Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasululla s.a.w. seperti menghisap rokok, minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai.

Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah."

(Harakahdaily)

Ciri-ciri calon PAS di Manek Urai

Imej gabungan profesional dan ulama merupakan ciri-ciri yang akan menjadi petunjuk untuk menentukan siapakah calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai depan.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kedua-dua ciri itu penting bagi PAS meneruskan kesinambungan wakil rakyat terdahulu, allahyarham Ismail Yaacob yang diterima rakyat kawasan berkenaan.

"Ia sebagai kriteria penting untuk kami memilih calon PAS di Manik Urai dan pemimpin itu perlu ada imej ulama dan profesional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bazar Tok Guru di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama

Kompleks perniagaan dinamakan Madinatur Raudhah itu merangkumi rumah kedai, rumah pangsa dan hotel bertaraf lima bintang itu dilaksanakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan kerjasama Syarikat Sensatimur sdn bhd dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Ariffahmi Ab Rahman.

Sementara itu Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS akan terus menggunakan khutbah Jumaat sebagai satu cara berkempen kerana rukun khutbah itu sendiri mengandungi politik, ekonomi dan sosial.

Pilihanraya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian Ismail akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Penanti : BN sudah benar-benar dalam ketakutan ?.

Keputusan yang memihak kepada calon PKR dengan majoriti 5558 undi walaupun tidak menggemparkan banyak pihak namun bagi saya sangat menakutkan BN dan UMNO. Bayangkan keputusan ini mencatat sejarah apabila jumlah pengundi paling sedikit yang keluar di Semananjung dengan hanya 46 % yang keluar mengundi.

Pertamanya saya merasakan BN telah membuat keputusan yang silap walaupun mereka melalui masa yang panjang dengan beberapa mesyuarat yang penting namun tetap dengan keputusan "bodoh" tidak meletakkan calon di Penanti.

Seingat saya yang paling bersemangat dan terus menasihat BN supaya bertanding ialah Dr. Mahadhir namun di dikecewakan bila nasihatnya tidak didengari.

Keputusan tidak meletakkan calon di Penanti bagi saya membuktikan kepada rakyat termasuk penyokong BN sendiri bahawa hakikat sebenar yang sedang mendepani BN ialah takut kepada apa yang dikatakan kekalahan.

Selain itu keputusan tidak bertanding dengan alasannya sendiri menampakkan BN sengaja tidak mahu mendapat padah setelah dikalah 4-1 dalam PRK sebelum dari itu. Saya yakin bila BN meletakan calonnya dia pasti akan kalah, sebab itu dia tidak meletakkan calonnya.

Keduanya disebalik tidak betanding perkara yang sangat ditakuti oleh jentera BN termasuk sayap kanan nya PDRM iaitu merebaknya "virus Altantuya" di Penanti. bahayanya virus ini membawa kepada beberapa pimpinan Pakatan Rakyat disuruh ke balai untuk disoal siasat kerana menyebut hal altantuya dalam ceramahnya.

Kalau inilah ramalan yang saya anggap ada buktinya ketakutan inilah yang menyebabkan BN terdorong untuk tidak meletakkan calonya di Penanti.

Mungkin kita terfikir kalau PDRM masih boleh digunakan untuk mengugut penceramah dek kerana menyebut isu hangat itu, tidakkah BN berfikir dikotak yang lain pada PR ke 13akan datang pihak Polis yang sudah sedar dia akan berada dibawah kerajaan baru sesudah PR ke 13 tidak mengindahkan para penceramah mendedahkan perkara itu.

Mungkin pada masa sekarang mereka dipaksa dan terpaksa, pada masa yang saya jangkakan itu pasti BN semakin terdesak untuk mencegah virus itu terus merebak dalam masyarakat.

Saya juga kalau berada diposisi BN, dapat bayagkan betapa slogan-slogan yang dikemukana oleh pemimpin nombor wahid seolah tidak diendahkan dan tidak diterima oleh rakyat. Sekurang-kurangnya ada tiga slogan yang telah dikemukakan oleh najib iaitu. 1 Malaysia, Rakyat didahulukan prestasi diutamakan dan Perdana menteri Rakyat.

Kalaulah benar BN sudah sangat ketakutan, keputusan di Manek Urai nampaknya akan menyebelahi PAS yang bertanding. Orang BN sendiri akan menghukum BN yang telah merosakkan reputasinya dimata rakyat. Termasuklah tindakan BN di Perak antara rencah yang cukup baik untuk menyebabkan ianya di uji di Kelantan bahawa ianya turut dibenci sampai ke Kelantan juga.