17 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
mencabar Umno mengemukakan kajian yang mereka lakukan jika tidak
mempercayai kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center.
Malah menurut Nizar lagi, selain mengemukakan hasil kajian tersebut,
Umno juga perlu menunjukkan bentuk kajian yang mereka lakukan jika
merasakan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin
meningkat.
"Saya cabar Umno menyiarkan kajian yang mereka lakukan jika mereka
tidak yakin dengan apa yang dilakukan oleh Merdeka Center, kita nak juga
tahu tahap populariti yang diterima oleh Najib.
"Selain itu juga kita ingin mengetahui bentuk kajian yang dilakukan
terutama dari segi soalan, jangan lupa masukkan sekali kajian terhadap
Ketua Pembangkang dan Pakatan Rakyat," jelas beliau kepada Harakahdaily.
Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut berpendapat kajian
yang dilakukan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya
(UMcedel) dan Merdeka Center telah menunjukkan graf populariti yang
sama terhadap Najib.
Malah katanya lagi, angka dan peratusan yang ditunjukan daripada
kedua-dua kajian itu menunjukkan angka yang hampir sama dan tidak ada
apa yang perlu dipersoalkan lagi.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam
satu kenyataan telah mempersoalkan kajian Merdeka Center yang menyebut
kurang separuh daripada 1,021 respondennya berpuas hati dengan kerajaan
BN.
Adnan memberitahu kaji selidik yang dilakukan oleh BN sendiri menunjukkan bahawa sokongan rakyat memihak kepada parti tersebut.
harakahdaily/-