01 November 2012

Bantah AES: Rakyat tidak boleh berpeluk tubuh

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Himpunan Rakyat Bantah AES mensasarkan fokus untuk mendesak Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha supaya mengkaji semula dan mengambil kira beban rakyat sebelum melaksanakan AES.
Koordinator bersama Bantah AES, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, menyedari segala hakikat mengenai pelaksanaan kamera itu, rakyat tidak boleh berpeluk tubuh.

Katanya, hasil mesyuarat yang dijalankan pada 27 November lepas yang dihadiri oleh parti politk, NGO dan pimpinan masyarakat sekitar Parlimen Lumut telah sepakat untuk menubuhkan Bantah AES.

“Bantah AES dengan ini telah memutuskan untuk menggerakkan satu himpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan di Pejabat Parlimen Lumut Barisan Nasional di Sitiawan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha sebagai ahli parlimennya bakal dipasang 9 buah kamera AES.

Sejak dilaksanakan pada 23  September 2012, dalam masa 8 hari dengan 14 kemera AES sebanyak 63,558 saman dikeluarkan.

Justeru, ujarnya Perhimpunan Rakyat Bantah AES diadakan pada 9 November ini selepas solat Jumaat di Masjid Nasriyah, Sitiawan sekitar jam 1.30 petang.

“Bantah AES menyeru seluruh rakyat terutama di Parlimen Lumut untuk hadir bersama-sama di perhimpunan ini bagi menyerah memorandum kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha,” ujarnya lagi.

harakah/-

Taufan Sandy: Bencana atau hukuman?

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Taufan Sandy

Beribu kediaman musnah di Breezy Point, Queens, New York. -Reuters
HANYA tinggal enam hari rakyat Amerika Syarikat (AS) bakal menentukan sama ada calon Parti Demokrat, Barack Obama kekal sebagai Presiden atau lawannya dari Parti Republikan, Mitt Romney, bakal menyandang jawatan presiden baru.

Rancak dengan kempen dan debat pilihan raya memasuki pusingan kedua, sekelip mata sahaja bumi AS dilanda malapetaka Taufan Sandy atau ribut Frankenstorm hingga mengorbankan lebih 50 nyawa (hingga jam 10.30 malam, semalam) di timur laut Atlantik dalam tempoh dua hari.

Kawasan terjejas teruk adalah di Virginia, Ohio, Pennsylvania, New Hampshire dan North Carolina, lebih tujuh juta penduduk bergelap akibat terputus bekalan elektrik, sistem pengangkutan lumpuh, kerugian mencecah lebih AS$7 bilion (RM21 bilion) dan 17,000 penerbangan terkandas sekali gus memaksa Obama mengisytiharkan darurat di New York.

Kini penduduk negara itu pula di belenggu masalah bekalan air bersih dan penularan penyakit.

Sekali lagi Obama bersuara, bahawa taufan ini belum berakhir.

Persiapan pilihan raya terjejas
Sandy yang membadai beberapa negeri di AS memaksa pegawai pilihan raya daerah menutup pusat kempen utama di North Carolina dan Virginia.

Penutupan ini berpotensi menyaksikan penangguhan pilihan raya, sekiranya Sandy terus mengganas di kawasan dihuni lebih 8.2 juta penduduk dengan satu perlima penduduk adalah pengundi utama di AS.

Masalah lain juga timbul apabila sistem pengangkutan tergendala termasuk gangguan perkhidmatan pos yang memberi kesan terhadap kelewatan penghantaran dan penyerahan kertas undi kepada Lembaga Pilihan Raya.

Peguam pilihan raya yang juga penasihat khas di Stroock & Stroock & Lavan, Jerry H Goldfeder berkata, terdapat cara perundangan untuk menukar tarikh pilihan raya presiden.

“Kongres boleh memilih tarikh baru dan tidak perlu mengikut penyeragaman tarikh Kongres 1845 bahawa pemilihan presiden perlu dilakukan pada Selasa pertama November kerana terdapat undang-undang Persekutuan membolehkan negeri lain melakukan hari pemilihan jika tarikh itu tidak sesuai,” katanya.

Menurutnya, badan perundangan negeri boleh mengadakan pilihan raya mengikut persetujuan pemimpin dan pemilih sekiranya berlaku kecemasan atau darurat.

“Ia sah dan mudah, tetapi sejarah politik AS belum pernah melakukan perubahan itu,” katanya.

Ramai pegawai daerah membuat persediaan awal seperti di Maryland, apabila Martin O’Malley mengeluarkan perintah eksekutif melanjutkan waktu pengundian hingga Jumaat.

Diikuti di Pennsylvania, Tom Corbett juga melanjutkan tarikh akhir untuk pilihan raya dan memohon tarikh bersesuaian malah ramai pegawai daerah masih mencari lokasi bersesuaian untuk tempat mengundi.

Tetapi sehingga kini, pegawai pilihan raya percaya tarikh mengundi masih kekal pada 6 November ini.

Jurucakap Lembaga Pilihan Raya Virginia, Justin Riemer berkata, hanya kira-kira 10 daripada 134 kawasan mengundi ditutup Selasa ini.

“Beberapa kawasan mengundi perlu berpindah ke New York kerana kawasan Virginia terjejas dan tidak boleh diakses orang awam, malah tidak selamat,” katanya.

Namun, setelah berlangsung debat dua pusingan, kemenangan berpihak kepada Romney tetapi Obama mempunyai kelebihan.

Tumpuan kedua-dua calon Presiden ini lebih mengerumus pada soal ekonomi seperti pemotongan cukai, peluang pekerjaan dan memulihkan kembali ekonomi serta masa depan hubungan dengan sekutu rapatnya Israel.

Apa juga berlaku di AS ketika ini, ia memberi impak kredibiliti kepada kedua-dua calon presiden itu. Kemusnahan dan penderitaan penduduk negaranya bagaikan terpalit di 'wajah sendiri'.

Kerakusan AS merobek keamanan penduduk dunia bagaikan 'terbalas'. Adakah ini pembalasan atau termakbulnya doa seluruh penduduk dunia?

sinar/-

Gincu, pemetik api diisi gas pemedih mata

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 

 










GENEVA - Pihak kastam Switzerland mempamerkan sejumlah gincu dan pemetik api palsu yang mengandungi gas pemedih mata di sini semalam.

Gincu palsu itu dipamerkan untuk dilihat oleh beberapa pemberita dan jurugambar.

Menurut beberapa pegawai kastam, gincu dan pemetik api tersebut yang diperbuat dari China telah dirampas di negara ini. - AFP

Jangan guna 'alasan kartun' naik harga barang

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kerajaan supaya menggunakan alasan munasabah untuk menaikkan harga barang dan bukan "alasan kartun".

Dengan mengambil contoh alasan kerajaan untuk menaikkan harga gula, beliau mempersoalkan "apakah dengan menaikkan harga gula, kita boleh mengurangkan penyakit kencing manis?"

"Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa ini baik untuk kesihatan kerana apabila harga gula mahal, orang kurang makan gula.

"Akan tetapi apakah munasabah gula mahal, orang kurang makan gula?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan alasan tersebut ketika membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Sambil mengemukakan harga gula yang sentiasa naik dari masa ke semasa, Mahfuz berkata, "kalau ikut logik kerajaan apabila berlaku kenaikan tidak ada penyakit kencing manis, tetapi wad kencing manis ramai, penuh".

Sambil mengaitkan dengan statistik yang beliau kemukakan dalam perbahasan sebelum itu, beliau menyatakan, angka penyakit kencing manis terus meningkat malah yang sangat kritikal.

"Adakah munasabah maknanya hujah apabila hendak kurangkan penyakit kencing manis, kita naikkan harga gula?

"Lepas ini hendak kurangkan penyakit darah tinggi, naikkan harga garam. Hendak mengurangkan penyakit kolesterol, naik harga sotong dan udang... Hendak mengurangkan penyakit gout," kata Mahfuz.

Kalau hendak mengurangkan penyakit obesiti, adakah menaikkan harga tepung, sebab makan tepung banyak jadi gemuk, beliau mempersoalkan lagi.

"Gunalah alasan yang munasabah. Ini bagi alasan yang jadi kartun," katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan sendiri yang mendorong kepada kenaikan harga barang yang berangkai.

"Kenaikan harga gula ini sudah tentu dia akan mengheret kepada kenaikan-kenaikan barangan yang menggunakan gula," katanya.

Mahfuz juga menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh membantu rakyat meringankan kos sara hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga barang.

Bantuan tersebut, katanya, "tidak mampu mengatasi masalah kenaikan harga barang yang berlaku saban hari".

Malah, Mahfuz melihat kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pengakuan kerajaan "bahawa berlaku kenaikan harga barang".

harakah/-

Persiapan majlis kahwin lebur

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Mohamad Suhaimi Ismail
Kebakaran menyebabkan beberapa barangan perkahwinan untuk majlis 11 November ini, musnah.
 
GEMAS – Sebuah keluarga yang menetap di rumah pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun tergamam seketika apabila kediaman yang menyimpan seribu satu kenangan itu musnah sekelip mata dalam kebakaran di Kampung Pasir Besar, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan lagi, dalam kejadian kira-kira, 8.47 malam itu, keluarga berkenaan yang sudah siap sedia membuat persiapan majlis perkahwinan pada 11 November ini terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM150,000.

Menurut Mohamad Suhaimi Ismail, 51, ketika mendapat panggilan mengenai insiden berkenaan daripada adik beradiknya, dia berada di rumah kenalan di Kampung Kurnia Diraja bagi menghantar kad jemputan perkahwinan anak mereka ketiga mereka, Nurul Naqibah Mohamad Suhaimi, 22.

“Mujur saya tidak pergi menjemput di lokasi yang jauh dan bergegas balik ke rumah. Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, sudah tiada apa yang tinggal dan api juga sudah terlalu besar sehingga semua barangan menjadi musnah menjadi debu.

“Malah, tujuh daripada 15 hantaran yang telah siap untuk diberikan kepada pengantin lelaki juga habis terbakar termasuk kad jemputan, bunga telur, cadar pengantin dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, malam kelmarin.

Suhaimi berkata, pagi hari kejadian, dia baru sahaja menguruskan akad nikah anaknya itu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Tampin dan tidak menyangka barang hantaran yang ingin diberikan kepada pihak pengantin lelaki semuanya sudah musnah dalam kebakaran itu.
Kembar selamatkan diri

Bagi anak kembar mangsa yang berada di dalam rumah, Nurul Aqilah Husna dan Nurul Aqidah Husna, 12, mereka masih trauma dengan insiden berkenaan lebih-lebih lagi semasa kejadian pintu di bahagian hadapan rumah sudah berkunci.

Aqilah berkata, semasa kejadian, mereka terhidu bau benda terbakar dan sejurus selepas itu bekalan elektrik terputus serta keadaan menjadi gelap-gelita.

“Kami sangat cemas dan saya cepat-cepat membuka pintu hadapan rumah. Namun, adik saya bergegas menyelamatkan diri mengikut pintu belakang dan kami berdua melihat api menjulang tinggi.

“Kami bergegas memberitahu saudara dan nenek yang menetap berdekatan dan saya pula berpatah balik bagi menyelamatkan buku-buku.  Namun, tidak dapat berbuat demikian kerana api sangat besar dan menakutkan,” katanya.
 
Ubat kanser hangus

Sementara itu, isteri mangsa, Robaiyah Rosad, 48, berkata, susulan dia hanya keluar rumah bagi menjemput undangan perkahwinan anaknya di kampung berhampiran sahaja, segala dokumen pengenalan diri yang terletak di dalam dompet tidak dibawa bersama.

“Ubat-ubatan termasuk ubat kanser yang perlu saya ambil setiap hari juga musnah terbakar dan hanya pakaian serta barangan yang dibawa keluar sahaja yang tinggal. 

“Lima basikal dan sebuah motosikal juga musnah. Malah, hantaran yang saya simpan di bilik saya juga sudah tinggal debu,” katanya.
 
Dua jentera bomba dikejar ke lokasi

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Sahidalah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 8.47 malam dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9.05 malam.

Menurutnya, dua jentera bomba masing-masing satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Bahau dikejarkan ke lokasi termasuk empat anggota bomba sukarela Rompin turut sama menghulurkan bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, api sudah marak ke seluruh bahagian rumah papan berkenaan dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran sekitar jam 9.10 malam. 
“Bagaimanapun, punca dan kerugian yang dialami oleh mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

SINAR/-

Sembunyi diri dalam tandas

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Mohd Yusof Hashim

Kamalludin (kanan) menyoal seorang warga asing yang ditahan ketika dibawa ke Pejabat Imigresen negeri di Ayer Keroh, semalam.
 
AYER KEROH - Sepasang kekasih sanggup berkurung dalam tandas sebaik saja menyedari rumahnya didatangi sepasukan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka (JIM), di Malim, dekat sini malam kelmarin.

Pasangan warga Indonesia berusia 25 dan 24 tahun itu berbuat demikian kerana takut dicekup kerana tinggal di negera ini melebihi tempoh dibenarkan.

Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, anggota penguatkuasa terpaksa bertindak memecahkan pintu rumah selepas ia gagal dibuka, meskipun sudah diketuk selama lebih lima minit.
“Sebaik pintu dipecahkan, kelihatan tiga penghuninya sedang leka memasak di dapur. Manakala 

pemeriksaan dijalankan anggota kami menemui pasangan berkenaan yang sedang menyorok di dalam tandas rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tiga lagi penghuni rumah berkenaan mempunyai permit kerja yang sah, manakala pasangan terbabit terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, operasi yang dikenali sebagai Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di sekitar negeri bermula 9 malam kelmarin, dan berakhir kira-kira enam jam selepas itu.

Operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Salmah Omar dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen, Mohd Yusof Hashim bersama 13 anggota penguatkuasa sekitar kawasan Bukit Beruang, Malim dan Taman Melaka Raya.

"Seramai 27 orang lagi ditahan, selain tinggal lebih masa, kebanyakan mereka ditahan atas kesalahan masuk tanpa permit sah dan melanggar syarat permit atau pas sempadan.

“Mereka terdiri daripada warga Vietnam, China, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, India dan Thailand,” katanya.

SINAR/-

Bayi 9 bulan turut sambut Halloween

COLE ketika diletakkan ke dalam labu.16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

COLE ketika diletakkan ke dalam labu. 
 
LONDON: Berdasarkan mimik mukanya, dia seolah-olah bimbang dia akan menjadi satu daripada bahan masakan untuk sup labu.

Cole Thornton yang berusia 9 bulan hari ini meraikan perayaan Halloween.

Bapanya, Chris merakam gambar Cole dalam puluhan aksi untuk kalendar keluarga mereka dan untuk bulan lalu, dia memutuskan labu menepati konsep itu.

Kaki Cole terjulur keluar dari dua lubang dalam sayuran itu dan tangkainya diletakkan di atas kepala bayi itu sebagai topi. “Cole sangat gembira dapat duduk dalam labu kira-kira 10 saat - cukup lama untuk saya merakam beberapa gambarnya,” kata Chris dari Castleford, barat Yorkshire.

“Pasti hebat dapat menunjukkan kepadanya foto itu setelah dia dewasa kelak,” katanya.

Chris dan isterinya, Lindsay, 27, pegawai sokongan polis masyarakat akan menghantar kalendar itu kepada saudara-mara supaya mereka dapat melihat bagaimana Cole sudah semakin besar dalam tempoh setahun ini.

metro/-

‘Wang ehsan’ bukti Umno tidak bertanggungjawab

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan penggunaan istilah ‘wang ehsan’ adalah menggambarkan sikap yang tidak bertanggungjawab Umno.

Malah apabila istilah wang ehsan digunakan maka mereka yang menerima wang tersebut boleh berbelanja mengikut kehendak serta boleh disalahguna.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, selain ia boleh disalahgunakan, wang tersebut juga tidak boleh diaudit oleh sesiapa.

"Istilah wang ehsan telah direka ciptakan oleh Umno apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS sebelum ini dan bagi saya penggunaan istilah ini adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

"Kita tahu wang ehsan boleh dibelanjakan sesuka hati dan tidak boleh diaudit oleh sesiapa sahaja, malah bila keadaan ini wang tersebut senang disalahgunakan oleh mereka yang menerimannya," katanya di lobi parlimen.

Salahuddin juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengikuti apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian Petronas sebelum ini dengan menggugurkan istilah wang ehsan kepada royalti.

"Najib perlu kembali kepada landasan yang sebenar, apabila istilah wang royalti digunakan maka setiap wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri.

"Ini akan meletakkan satu sikap kebertanggungjawaban terhadap sumber tersebut terutamanya dalam soal perbelanjaan, kita mahu apabila segala wang yang disalurkan dibelanjakan dengan betul bukannya disalahgunakan," sambung beliau lagi.

Beliau yang sebelum itu merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri berhubung penemuan baru minyak di pengairan Negeri Pahang, yang mana Najib menyatakan Pahang berkemugkinan akan mendapat RM100 juta setahun wang ehsan dari sumber tersebut.

"Saya menyeru rakyat Pahang mengambil peluang dalam soal ini kerana apabila Pakatan Rakyat memerintah, Pahang akan mendapat lebih dari yang dijanjikan oleh Najib kerana Pakatan menetapkan 20 peratus untuk bayaran royalti.

"Selain itu juga istilah wang ehsan tidak akan digunakan dan ini bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku apabila wang tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri," kata beliau lagi.

harakah/-

Penyakit misteri RM500,000

Penyakit misteri RM500,00016 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Terlalu percayakan kakitangannya yang konon mampu mengubati isterinya yang menderita penyakit misteri, seorang pengurus bank kerugian lebih RM500,000 termasuk wang tunai lebih RM300,000, barang kemas, sebuah kereta dan dua ekar tanah di Kampung Inas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mangsa berusia 51 tahun itu meminta bantuan kakitangannya itu yang berusia 30-an untuk mengubati isterinya yang mengalami kemurungan sejak Ogos lalu selepas diberitahu isteri kakitangannya itu seorang pengamal perubatan tradisional serta mengikut cara Islam.

Sumber polis berkata, selepas mangsa membawa isterinya yang berusia 40-an berjumpa isteri kakitangannya itu, dia diberitahu rawatan akan dilakukan secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah,” katanya.

Menurutnya, sejak berkenalan buat kali pertama, mangsa bagaikan dipukau dan menuruti setiap permintaan pasangan suami isteri itu.

Katanya, mereka juga memaklumkan jumlah bayaran bakal meningkat sekiranya tahap penyakit dialami isteri mangsa berada pada tahap kritikal.

METRO/-

'Datuk' pada pengarah SPRM Pahang tangguh

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

 
EKSKLUSIF Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menggelegak' berhubung anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' kepada pengarah SPRM Pahang, walaupun beliau sudah dua kali dikenakan tindakan kerana dakwaan salahlaku dan kini menghadapi siasatan ketiga.

Beliau dijadual menerima anugerah 'Darjah Indera Mahkota Pahang' yang membawa gelaran 'Datuk', kata satu sumber yang ingin tahu mengapa beliau boleh terlepas proses saringan yang dibuat ke atas mereka yang dicalonkan untuk menerima anugerah darjah kebesaran.

Bagaimanapun, berikutan pertanyaan berterusan daripada Malaysiakini sejak dua hari lepas, portal berita ini telah dimaklumkan lewat semalam bahawa anugerah tersebut telah "ditangguhkan".

Menurut sumber tersebut, SPRM ditugaskan untuk menyaring semua mereka yang dicalonkan menerima darjah kebesaran di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan mereka tidak terlibat - atau disyaki - melakukan salahlaku termasuk rasuah dan kegiatan jenayah.

Pada akhir tahun 1990-an, sebagai contohnya -  Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ia dikenali sebagai SPRM sekarang - telah mengenal pasti dua individu yang sedang disiasat berhubung kes rasuah, semasa raptai majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran di Melaka.
"Jadi bagaimana nama Moh Samsudin boleh terlepas saringan tersebut sedangkan namanya terdapat dalam senarai yang disiarkan dalam akhbar pada 24 Oktober dan sekali lagi pada Sabtu lepas?" kata sumber tersebut.

Apatah lagi, calon tersebut adalah dari kalangan pegawai SPRM sendiri.

Ketika dihubungi semalam, Moh Samsudin hanya berkata: "Memandangkan aduan telah dibuat kepada anda (Malaysiakini), anda perlu menyiasatnya (sendiri)."

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, juga ketika dihubungi, telah  mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Mohd Shukri Abdull (kanan) untuk memberi respon.

Shukri berkata Moh Samsudin tidak dimasukkan dalam proses saringan kerana pencalonan untuk anugerah itu datang terus dari istana Pahang.

Bagaimanapun, satu lagi sumber yang biasa dengan proses saringan tersebut menegaskan bahawa SPRM mempunyai kuasa untuk menyaring calon-calon dan menyekat pemberian anugerah walaupun dalam keadaan sedemikian.

Pada kira-kira jam 6.30 semalam, Shukri menghantar SMS kepada Malaysiakini menyatakan bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa kerajaan Pahang telah menangguhkan anugerah darjah kebesaran itu kepada individu berkenaan.

Satu daripada tiga tuduhan salahlaku dibuat terhadapnya ialah tiga tahun lalu ketika menjadi pengarah SPRM Selangor, selepas beliau memberikan 'nasihat' kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum merakam kenyataannya berhubung kontroversi berkaitan penggunaan kereta rasminya.

Satu sumber yang biasa dengan kes itu berkata Moh Samsudin tidak diberi kuasa untuk menawarkan 'nasihat' atau merakam kenyataan itu.

"Dia boleh telah dipecat, tetapi telah diberi amaran keras dan dipindahkan untuk menjadi pengarah (SPRM) Pahang.

"Tangga gajinya telah diturunkan daripada gred khas kepada D54, dan gajinya dan promosinya telah digantung sehingga 2014," kata sumber itu.

Tuduhan salahlaku ketiga sedang disiasat, tetapi butiran mengenainya tidak didedahkan sementara menunggu keputusan siasatan.

MALAYSIAKINI/-




Polis wajar benarkan Himpunan Kebangkitan Rakyat

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak polis sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kepada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan Sabtu ini.

Katanya, alasan yang dibangkitkan berhubung pengisian borang permohonan tidak lengkap adalah perkara kecil dan beliau percaya pihak penganjur akan mengambil maklum perkara itu.

"Apa yang penting adalah tempat yang telah ditetapkan untuk perhimpunan tersebut telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan undang-undang dari sudut keselamatan.

"Isu pengisian borang yang tidak mengikuti peraturan adalah perkara yang kecil," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly semalam bahawa  himpunan yang dijadualkan Sabtu ini itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Saiful Azly berkata sehingga petang semalam, tiada sebarang permit di bawah akta undang-undang tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur.

Ini kerana borang permohonan dari penganjur tidak dapat diproses ekoran maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki undang-undang.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihak polis wajar membenarkan himpunan itu kerana ianya peluang untuk rakyat mendengar amanat daripada pemimpin mereka.

"Perhimpunan tersebut tetap diteruskan dan ia merupakan perhimpunan terakhir untuk rakyat dan pengundi mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat," sambung beliau lagi.

HARAKAH/-

AES: MP Pakatan desak Cho Ha masuk dewan

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang banyak mendapat bantahan daripada pengguna jalan raya.

"Menteri kena hadir, menteri tidak boleh lari dari menjelaskan kepada dewan," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Sebaik sesi soal jawab selesai, Ahli Parliman Batu Gajah Fong Po Kuan bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat agar Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan budi bicaranya untuk memanggil Menteri Pengangkutan menjawab isu yang dibangkitkan khususnya berkaitan AES.

Mahfuz yang turut menyokong peraturan mesyuarat itu meminta Pandikar Amin menggunakan budi bicaranya untuk menasihat menteri berkenaan.

Fong Po Kuan turut membidas menteri terbabit kerana tidak berani untuk berdepan dengan Ahli Parlimen.

"Menteri perlu mengambil tanggungjawab dalam dewan, ini adalah penting, dia tidak pernah menjawab sekali pun dalam dewan. Dia berani buat kenyataan di luar sahaja," katanya.

Menurut Fong, bukan sahaja Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan AES bahkan Ahli Parlimen Sri Gading (BN) dan Ketua Pemuda Umno juga mendesak agar sistem ini ditangguhkan.

"Kalau macam itu, kita guna kamera AES ini mahu tangkap menteri!," celah Mahfuz.

Bagaimanapun, Pandika Amin menjelaskan beliau tidak boleh memberi nasihat kepada menteri berkenaan sama ada tidak hadir atau tidak mahu menjawab soalan.

"Apa yang dibangkitkan oleh Pokok Sena dan Batu Gajah, terpulang kepada menteri sama ada mahu datang atau tidak," katanya.

HARAKAH/-

Apa yang dilakukan Mahathir, dirasai sekarang

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

ANGKARA kegilaan bangunkan negara tanpa mengimbangi tahap pencapaian orang Melayu pada zaman Mahathir , merupakan antara punca orang Melayu terus ketinggalan . KEGELOJOHAN Mahathir untuk capai negara maju waktu itu tidak mampu melibatkan orang Melayu secara keseluruhan kecuali segelintir kroni terpilih sahaja . Sebab itu DEB untuk Melayu capai 30 % gagal .

Kesan KEGELEJOHAN tersebut , pembangunan negara tampak hebat , nilai hartanah melambung , malang nya tahap orang Melayu masih rendah . Dengan tahap rendah sudah pasti pendapatan pun rendah , Maka berlaku lah gejala tidak seimbang , harga negara terus mahal sebaliknya pendapatan rakyat , khusus orang Melayu terus murah . 

Saya masih ingat kumpulan kami beli Van Nissan C20 hanya dengan harga RM17,000 sahaja pada tahun 1985 . Untuk tunai Haji hanya RM5,000. Yang menjadi masalah nya hari ini harga barangan , perkhidmatan dan pengurusan meningkat berkali ganda , sedangkan pendapatan rakyat sekadar sekali ganda . Kesan nya rakyat semacam dipaksa memerah tenaga siang dan malam untuk meningkatkan pendapatan bagi mengejar kos hidup yang terus meningkat . Menunjukkan rakyat , khusus orang Melayu belum bersedia , berbanding kaum Cina yang sudah lama terlibat dalam dunia perniagaan . 

Setelah kita di dedahkan dengan pelbagai ketirisan kewangan yang bernilai bilion trilion dalam kegelojohan membangunkan negara maju , barulah kita sedar bahawa rupa nya Mahathir ketika itu telah pun punya agenda tersendiri . Atau beliau terikut-ikut cara Jepun maju melalui program pengswastaan , melalui slogan Pandang Ke Timur waktu itu . Tanpa menyedari majoriti orang Melayu tidak mampu mengejar . Diberi pada kroni Melayu projek , banyak yang gulung tikar sebab bukan ushawan , yang ada Melayu kaya dengan komisyen dan sebagai proksi pemegang harta pemimpin .

Bagaimana Malaysia hari ini ? , MALAYSIA HARI INI MERUPAKAN SEBUAH NEGARA YANG TIDAK SEIMBANG . HANYA TERSERLAH DI KALANGAN NEGARA DUNIA KE TIGA . ITU PUN KITA SUDAH MULA BERSAING DENGAN MEREKA . MALAYSIA TIDAK AKAN MENCAPAI STATUS NEGARA MAJU DENGAN PEMBANGUNAN FIZIKAL SEMATA-MATA , SEDANGKAN TAHAP PEMIKIRAN PEMIMPIM DAN ORANG MELAYU MASIH DI BELENGGU MENTALITI MELAYU ZAMAN SILAM .
 
selatan online/-

Kon makin sempitkan jalan

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Jamaludin Mat Isa
Keadaan jalan rosak ini membahayakan keselamatan orang ramai.
 
TEMERLOH - Orang ramai meminta pihak berkenaan membaiki segera kerosakan jalan berdekatan simpang empat Temerloh, Mentakab dan Jerantut kerana keadaan laluan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Peniaga, Jamaludin Mat Isa, 56, berkata, masalah itu dipercayai berlarutan sejak lebih dua bulan lalu menyebabkan pengguna bimbang ia menjadi punca kemalangan.

Menurutnya, pemandu dari arah Temerloh atau Mentakab yang mahu ke Jerantut terpaksa melalui bahagian kanan jalan menyebabkan kenderaan bertembung dari arah hadapan.

“Masalah ini sudah lama berlarutan hingga pengguna berasa tidak selamat. Walaupun kon diletakkan sebagai tanda amaran, namun tindakan itu menyebabkan jalan menjadi semakin sempit.

“Tambahan pula kenderaan semakin banyak terutama kenderaan berat yang boleh mengundang kemalangan,” katanya.

Jamaludin berkata, dia juga bimbangkan keselamatan pelajar yang berulang-alik ke sekolah setiap hari.
Sehubungan itu katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian serius berhubung masalah tersebut untuk memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Jalan ini berdekatan kawasan perindustrian, perumahan penduduk dan premis perniagaan menyebabkan ia dilalui pelbagai kenderaan setiap masa. Jika berlaku kemalangan, siapa harus dipersalahkan?” katanya.

sinar/-

‘Televisyen dadah’

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

RAMPAS...Mohamad (kiri) melihat televisyen tempat dadah disembunyikan suspek. Gambar kecil, heroin yang dirampas.
RAMPAS...Mohamad (kiri) melihat televisyen tempat dadah disembunyikan suspek. Gambar kecil, heroin yang dirampas. 
 
KLANG: Helah seorang ‘keldai dadah’ menyorok dadah di dalam televisyen terbongkar apabila rumahnya diserbu dalam operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sebuah pangsapuri di Bayu Perdana, di sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di rumahnya ketika sedang berehat seorang diri, manakala isterinya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, hasil maklumat awam, polis melakukan serbuan di rumah suspek sebelum menjumpai sebuah televisyen 29 inci di atas lantai dalam bilik ketiga rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan ke atas televisyen berkenaan polis menemui satu plastik putih mengandungi empat sampul surat coklat.

“Sampul surat berkenaan dililit menggunakan pita pelekat dan apabila dibuka polis dapati ia mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 2.2 kilogram (kg) bernilai hampir RM150,000.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati dia mempunyai satu jenayah iaitu penipuan di Banting pada 1992,” katanya, di sini, semalam.

Mohamad berkata, polis percaya suspek menyimpan dadah berkenaan sejak enam bulan lalu sebelum dihantar ke luar negara dengan upah sebanyak RM10,000.

Katanya, suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki warga Nigeria yang kini sedang diburu polis.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Jalan Labu, Pandamaran, di sini pada jam 4.30 petang kelmarin, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan badan terhadap suspek, polis menjumpai satu peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ganja seberat 3.35 gram.

“Suspek kemudian membawa polis ke tempat simpanan dadah di sebuah almari pakaian dalam bilik ketiga rumah berkenaan,” katanya.

metro-

Syria: PAS cadang adakan p’raya dikendali OIC

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


TEMERLOH: PAS berpandangan kemelut di Syria mesti diselesaikan melalui satu pungutan suara rakyat negara itu secara adil dan saksama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, campurtangan kuasa asing bukan sahaja tidak menyelesaikan kemelut di negara iru malah hanya memburukkan lagi keadaan.

“Sebuah pilihan raya yang diselenggara oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mesti diadakan segera.

"PAS bertegas menentang sebarang campurtangan kuasa asing di Syria, samada ianya ditaja oleh kuasa barat atau timur,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, katanya melahirkan dukacita di atas tindakan badan dunia yang terus membiarkan kezaliman berlanjutan, sehingga mengorbankan ribuan nyawa rakyat Syria.

Kata Tuan Ibrahim, tindakan tersebut nyata sangat jauh bezanya dengan tindakan segera badan antarabangsa di Libya, Iraq dan Afghanistan.

“Sikap double standard ini akan hanya merendahkan martabat dan kedudukan badan dunia di mata umat Islam khasnya dan mereka yang cintakan keadilan dan kesaksamaan,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa pendirian rasmi PAS berhubung isu keganasan Bashar di Syria sangat jelas iaitu menentang kezaliman pimpinan Syria terhadap rakyatnya dan mendesak Bshar turun dari tampuk pemerintahan.

"Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat. Dan kita tidak sesekali menyokong kezaliman ke atas rakyat Syria.

"Bahkan kezaliman pemimpin ke atas rakyat sendiri adalah malapetaka besar yang sering berlaku di dunia Islam semata-mata dalam usaha mempertahankan kekuasaan yang ada,” tegas beliau.

Bagi mana-mana ahli PAS yang memberikan pendapat yang berbeza dengan parti dalam isu Syria, Tuan Ibrahim berkata itu hanya pandangan peribadi mereka.

harakah/-

Kes 2 rakyat M'sia dikait dengan pengganas diputus hari ini

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

 
Kes perbicaraan dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda akan diputuskan hari ini.
  
Sumber kedutaan Malaysia di Lubnan berkata Razif Mohamad Ariffin dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal akan dibawa ke Tribunal Tentera hari ini untuk mengetahui sama ada mereka perlu membela diri atau tidak.
  
Kedua-dua rakyat Malaysia itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan hari ini.
  
Razif, 28, dan Mohamad Razin Shahar, 21, ditahan di sebuah hotel di Beirut minggu lepas.

- Bernama

PAS: Jangan aniaya Pahang macam Kelantan

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man
16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


 
Ekoran penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, Pahang, PAS berharap nasib negeri itu tidak seperti Kelantan yang masih bergelut untuk mendapatkan royalti minyak 5 peratus daripada Petronas.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, royalti daripada Blok PM307 itu haruslah dibayar mengikut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan bukannya ditukar kepada "wang ehsan".

"Sistem wang ehsan adalah tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Pahang dan Kelantan kerana ia amat tertakluk pada budi bicara kerajaan persekutuan kepada negeri-negeri," katanya yang juga ketua penerangan PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di Blok PM307.

Katanya, penemuan itu sangat penting memandangkan belum pernah ditemui minyak komersil dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu dan pengeluaran dijangka pada 2014 dengan sasaran antara 17,500 dan 20,000 tong sehari.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim juga mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menaikkan bayaran royalti minyak kepada 20 peratus jika berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru, katanya, semua pihak, termasuk Pahang perlu menyambut baik perkara itu.

"Di bawah Pakatan, Pahang dan Kelantan akan memberi duit royalti sebagaimana Terengganu, Sabah dan Sarawak dan bukannya ‘sedekah' wang ehsan berdasarkan budi bicara kerajaan persekutuan," katanya.
 
malaysiakini/-

Lubuk emas ditemui di Perak

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

zambry

IPOH – Perak yang dulunya kaya dengan bijih timah, kini dikejutkan dengan penemuan di beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk emas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan di negeri ini yang memiliki deposit emas yang berdaya maju.

Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains menjalankan kajian terperinci berhubung penemuan tersebut.

Menurutnya, satu laporan penuh perlu dibentangkan bagi memastikan kawasan yang dimaksudkan benar-benar berpotensi untuk dikomersialkan ataupun sebaliknya.

“Kita nak tengok juga sama ada kawasan itu ada banyak atau sedikit sahaja longgokkan emas dan kawasan itu kita telah pun kenal pasti, tapi saya tidak boleh dedahkan kepada umum, takut timbul pula masalah lain kelak.

“Setakat ini, kita serahkan jabatan berkaitan menjalankan kajian potensi itu dahulu dan kita tengok hasilnya nanti,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Datuk Dr Mah Hang Soon serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Pada Ogos 2009 lalu di Teluk Intan, Zambry dalam kenyataannya turut mengandaikan Perak mungkin muncul sebagai negeri pengeluar emas terbesar di negara ini berikutan kajian mendapati beberapa kawasan di negeri ini memiliki logam berharga berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan mengorak langkah setapak lagi untuk mengadakan kegiatan perlombongan emas bagi menggantikan industri lombong bijih timah yang menjadi kebanggaan Perak sejak beberapa dekad lalu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan perbincangan bagi melakukan rombakan semula kategori bahan mineral, galian dan logam yang terdapat di Perak.

“Kita lihat setiap bahan itu perlu diperhalusi dan dikategorikan mengikut spesifikasinya yang betul bagi mendapat pulangan sebenar mengikut harga pasaran.

“Dulu kita guna istilah yang terlalu umum iaitu galian, sama ada bijih timah, pasir, batu atau bahan lain seperti emas, sedangkan ia berbeza royalti dan premiumnya.

“Justeru itu, kita rasa perlu diperhalusi serta dikategorikan mengikut kesesuaian tertentu dengan menukarkan istilah utamanya daripada galian kepada mineral,” katanya.

Menurutnya, ia juga bagi mengelakkan pelbagai masalah dihadapi dari segi bayaran premium daripada pengusaha terlibat.

sinar/-

Perhimpunan NS, Pakatan sasar 50,000 penyokong

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

 
Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan mega di Seremban Sabtu ini, dan berharap untuk mengumpul 50,000 penyokong dalam siri pertama jelajah ke seluruh negara.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke menolak kenyataan Ketua Polis Serembah, Saiful Azly Kamaruddin bahawa permit tidak akan dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut.

"Soalan permit tidak timbul kerana tidak ada permit untuk perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011, saya tak fikir beliau (Saiful) tahu apa yang beliau cakapkan," kata Loke ketika dihubungi semalam.

Saiful dilaporkan berkata polis tidak akan memberi permit untuk perhimpunan itu kerana penganjur telah gagal untuk melengkapkan borang permohonan sebelum tarikh akhir.

malaysiakini/-

‘Aku nak kereta!’

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KAWAL...anggota polis mengawal tempat kejadian, semalam.
KAWAL...anggota polis mengawal tempat kejadian, semalam. 
 
MACHANG: “Aku nak kereta, kalau tak aku tembak!,” kata seorang penjenayah paling dikehendaki polis sambil mengacukan pistol di leher Siti Norhafizah Omar, 27, sebelum melarikan kereta Perodua Myvi bersama anak lelakinya berusia setahun lima bulan dalam kejadian berhampiran Masjid Kampung Paloh, Gua Musang, awal pagi semalam.

Penjenayah itu, Zawa Abdul Halim, 34, dalam buruan polis berkaitan kejadian tembak di Paloh, kelmarin dan beberapa jam kemudian dia ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Kilometer 45, Kampung Kemuning, di sini, jam 7.30 pagi semalam.

Biarpun dilarikan 100 kilometer (km) dan berada dalam kereta ketika berlaku kejadian berbalas tembakan, anak Siti Norhafizah, Mohd Haikal Harraz Hasrizal terselamat tanpa kecederaan.

Selepas dikejar polis, Zawa yang terbabit samun, curi kereta, pecah rumah dan pengedaran dadah, terbabas apabila Perodua Myvi dicurinya itu terlanggar pembahagi jalan.

Bagaimanapun, ketika keluar dari kereta dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan anggota polis dan satu daripadanya mengenai tangan dan rusuk kanan Koperal Mat Raduan Mat Hassan, 50, yang kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

metro/-

Rakyat AS mula bersih rumah

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
NEW YORK - Penduduk di Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) semalam mula membersihkan rumah dan melihat kemusnahan yang dibawa taufan Sandy.

Taufan itu yang menyebabkan 55 orang mati melanda pantai timur tersebut pada Isnin lalu sebelum ia bergerak lemah menuju ke Pennsylvania.

Kemusnahan itu berlaku di seluruh bandar raya New York dan New Jersey.
Kebanyakan sistem tren mula beroperasi seperti biasa.

Taufan itu membawa ombak setinggi 4.23 meter dengan kelajuan 225 kilometer sejam.

Bursa Saham New York juga kembali dibuka selepas dagangan ditutup pada Isnin dan Selasa lalu.
Lebih lapan juta penduduk dari Carolina dan Maine tidak mendapat bekalan elektrik kesan daripada kemusnahan yang dibawa taufan itu.

Tiga reaktor nuklear AS masih lagi ditutup manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Bagaimanapun, taufan itu membawa salji di Ohio, Pennsylvania dan Virginia Barat. - Agensi

Minyak: PAS saran Pahang dibayar ikut perjanjian

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada negeri Pahang atas penemuan minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307.

“Namun, PAS Pahang berharap Negeri Pahang tidak dianiaya seperti Kelantan dalam sistem pemberian wang ehsan. Sepatutnya semua negeri termasuk Pahang bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974,” kata Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada negeri Pahang atas penemuan minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307.

Namun, PAS Pahang berharap Negeri Pahang tidak dianiaya seperti Kelantan dalam sistem pemberian wang ehsan. Sepatutnya semua negeri termasuk Pahang bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Semua negeri yang mendatangani perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dalam negeri berkenaan.

Sistem Wang Ehsan adalah tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Pahang dan Kelantan kerana ia amat tertakluk pada budi bicara Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri.

Kelantan, yang minyaknya dicuri bertahun-tahun hanya diberi wang ehsan dalam lingkungan kurang daripada RM25 juta dibandingkan dengan Pahang, sebelum korek dah diumum bakal mendapat RM100 juta setahun.

Ini membuktikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang akan teraniaya dalam sistem ini kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan dasar federalisme secara professional dan sering membalas dendam terhadap rakyat yang menolak mereka seperti keengganan mereka membayar royalti kepada Kelantan.

PAS Pahang turut menyarankan Jawatankuasa khas bagi mengkaji bayaran hasil petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur yang dianggotai wakil daripada tiga kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang agar menyokong Pahang dan Kelantan supaya dapat menikmati hasil minyak secara pembayaran royalti dan bukannya melalui wang ehsan.

Apakah status jawatankuasa khas ini yang sudah lama tidak kedengaran berita?

Janji Pakatan Rakyat untuk menaikkan royalti  negeri yang mempunyai minyak kepada tahap 20% mesti disambut baik oleh seluruh rakyat Pahang dengan menggerakkan perubahan kepimpinan negeri selepas PRU ke 13 nanti.

Di bawah PR, Pahang dan Kelantan akan memberi duit royalti sebagaimana Terengganu, Sabah dan Sarawak dan bukannya ‘sedekah wang ehsan’ berdasarkan budi bicara Kerajaan Persekutuan.

PAS Pahang yakin dengan usaha bersungguh sungguh dan strategi yang tepat, tidak mustahil Pahang akan turut mengecapi perubahan. Insya Allah.

harakahdaily/-