20 Disember 2010

Nahas Di Cameron Highland - 26 disahkan Maut


IPOH: Jumlah mangsa yang maut dalam nahas bas persiaran Thai di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, pagi tadi meningkat kepada 26 orang.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusuf, berkata 22 meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat dalam perjalanan ke hospital. Ketika nahas, bas itu membawa 37 orang dengan 34 pelancong Thai manakala tiga rakyat tempatan. Timbalan Ketua Polis, Perak Datuk Zakaria Yusof, berkata bas dua tingkat milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah itu membawa 37 pelancong Thai manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia.

Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.l.




Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang.







Berita : Berita Harian Online
Gambar : NST

Negara Islam: Karpal tutup mulut Umno

14 Muharam 1432H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Penegasan Karpal Singh bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan sedia berbincang dengan PAS berhubung isu negara Islam, dilihat membuka satu episod baru, muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, biarpun duduk sebumbung dibawah payung Pakatan Rakyat, isu negara Islam antara yang dilihat masih menjadi tembok pemisah antara PAS-DAP.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru Karpal itu ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan keakraban ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap terbaik.

Ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PAS mengalu-alukan keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu perkembangan sangat positif dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sangat alu-alukan kenyataan positif sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini adalah satu anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu," katanya.

Penegasan terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen sebenar Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan negara.

Beliau juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno BN dari terus memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu, khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Dalam isu negara Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh kita.

"Namun keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi, memperlihatkan satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan perlembagaan negara," katanya lagi.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas semalam berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin bagi merealisasikan hasrat itu.

Harakahdaily/-

Negara Islam: Ahli PAS lega penjelasan Karpal

14 Muharam 1432H
Oleh : Ahmad Danial

MELAKA, 20 Dis: Rata-rata ahli PAS melahirkan kesyukuran dan lega dengan kenyataan Karpal Singh berhubung isu Negara Islam pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di Kepala Batas, semalam.

Asri Shaikh, 45, dari Masjid Tanah berkata kenyataan Pengerusi DAP itu jelas menggambarkan bahawa beliau semakin faham akan negara Islam yang sebelum ini beliau seolah-olah menentang tanpa asas yang kukuh.

"Kenyataan Pengerusi DAP itu merupakan perkembangan yang positif dan menunjukkan sikap keterbukaan beliau terhadap Islam.

"Beliau mula faham dengan pendekatan dakwah yang kita bawa," ujar Asri yang juga Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah.

Bagi Imran Abdul Rahman, 44, (kanan) dari Tanjung Bidara, kalau sebelum ini Karpal dilihat begitu keras menentang negara Islam kini beliau kelihatan bersedia untuk berbincang dan mendengar dengan teliti tentang isu tersebut.

"Terbukti usaha PAS selama ini menerangkan tentang negara Islam mula difahami oleh semua orang termasuk DAP, cuma Umno sahaja yang terus membutakan mata dan memekakkan telinga.

"Tidak mustahil suatu hari mereka akan menerima konsep negara Islam yang terbukti adil dan telus kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi," kata Imran yang juga merupakan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Sementara itu, Kintan Man, 49, (kiri) dari Serkam berkata setelah 20 tahun isu ini menjadi bahan eksploitasi BN terhadap PAS dan DAP, kini ia akan berakhir dengan sikap dinamik dan terbuka pimpinan atasan PR.

"Kejayaan ini merupakan suatu kejayaan yang manis dan membuktikan tahalluf siyasi yang diamalkan oleh PAS mula menampakkan kejayaan yang sukar untuk dipercayai sebelum ini.

"Kenyataan Karpal sebelum ini yang dilihat menentang keras negara Islam mungkin disebabkan dari pengamatan beliau selama ini yang melihat Islam ala Umno yang jelas mendisriminasikan rakyat, menzalimi rakyat serta penuh dengan amalan rasuah dan penyelewengan," ujar Kintan yang Setiausaha Dewan Muslimat PAS negeri.

Karpal berkata DAP boleh membincangkan isu tersebut dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, isu negara Islam perlu segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada konvensyen tersebut.

Harakahdaily/-

Tarikh PRK Tenang diumum Jumaat

14 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR 20 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang pada Jumaat ini.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pihaknya sudah menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Jumaat lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha dari Barisan Nasional (BN).

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan dengan pilihan raya kecil Dun Tenang pada 24 Disember di Putrajaya,” katanya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian selepas mesyuarat khas itu.

Datuk Sulaiman Taha dipilih Adun Tenang pada pilihan raya 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 tahun 2008 selepas memperoleh 6,367 undi menewaskan calon PAS Md Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 14,511 pengundi; 49.66 peratus Melayu, 38.13 peratus Cina, 12.11 peratus India dan kaum-kaum lain 0.10peratus.

Sementara itu, Pakatan Rakyat semalam memutuskan calon PAS akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu mewakili Pakatan Rakyat.

Harakahdaily/-

Konvensyen: Pakatan Rakyat sedia hadapi PRU 13

14 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 semalam mempamerkan semangat semua ahli PAS, PKR dan DAP untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Pengarah konvensyen, Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, semangat itu turut diterjemah ke dalam satu buku manifesto ketiga-tiga parti mengandungi polisi Pakatan dan tawaran yang diberikan kepada rakyat.

“Konvensyen ini menunjukkan satu semangat yang kuat daripada semua ahli untuk persediaan menghadapi pilihan raya ke-13 dan keyakinan itu ditambah dengan dokumen iaitu buku oren di mana buku itu mengandungi pelbagai polisi yang lebih fokus mengnai apa yang Pakatan Rakyat cadangkan atau pun tawarkan kepada rakyat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen itu, beliau juga berkata, konvensyen sehari itu berjaya menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat khususnya soal-soal yang sering dimainkan Umno Barisan Nasional (BN) seperti kedudukan agama Islam dan orang Melayu.

"Selaku pengarah saya megucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kesepaduan yang ditunjukkan ketiga-tiga parti di peringkat jawatankuasa. Kejayaan ini bukan kejayaan saya selaku pengarah tetapi kejayaan bersama. Komitmen yang ditunjukkan adalah semata-mata untuk menjayakan Pakatan Rakyat.

"Yang paling penting, konvensyen ini telah banyak menggarap persoalan yang dilontarkan samaada soal agama Islam, Melayu, Raja -Raja Melayu, patriotisme telah kita jawab melalui ucapan-ucapan dan juga contoh yang ditunjukkan dari segi suasana konvensyen itu sendiri bahawa kita adalah satu pakatan yang temanya kalau diberi satu amanah oleh rakyat untuk membuat perubahan, kita mampu melakukannya," katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Parit Buntar juga menyifatkan konvensyen di Kepala Batas itu sebagai berjaya apabila berjaya mengumpulkan ribuan ahli malah melebihi daripada jangkaan sebenar.

"Konvensyen semalam berjaya mengumpulkan ketiga-tiga parti dalam jumlah yang di luar jangkaan kita. Jangkaan kita dalam 2,000 orang tapi yang datang lebih daripada 3,000 orang. Itu menandakan satu kejayaan dan juga keterlibatan semua ahli," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya lagi, konvensyen berkenaan juga berjaya menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan-kejayaan negeri Pakatan rakyat yang sering dinafikan Umno BN melalui gerai-gerai pameran yang dibuka.

"Program ini juga berjaya mempamerkan kejayaan-kejayaan di bawah negeri Pakatan iaitu kita menyediakan booth di mana booth tersebut menyaksikan ramai pengunjung yang datang dan sekaligus menandakan bahawa kita berjaya memberikan maklumat tentang kejayaan-kejayaan yang dibuat oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Konvensyen pertama Pakatan Rakyat diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Selangor, tahun lepas.

Harakahdaily/-

Pemuda Pakatan lancar jentera Tenang pada 1 Jan

14 Muharam 1432H
Oleh : Abdul Rahim Sabri

Pemuda Pakatan Rakyat akan melancarkan jentera pilihan raya kecil DUN Tenang pada 1 Januari ini - hari pertama masuknya tahun 2011.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat berkata majlis pelancaran tersebut akan diadakan di bilik gerakan Pemuda PAS Johor dekat pekan Labis pada jam 5 petang.

"Kita sasarkan kira-kira 1,000 Pemuda Pakatan akan hadir dalam majlis tersebut yang akan dilancarkan oleh Naib Presiden PAS Salahudin Ayub," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham Datuk Sulaiman Taha mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Sulaiman mendapat 6,367 undi, manakala Mohd Saim memperolehi 3,875 undi. DUN Tenang merupakan salah satu kubu kuat Umno di negeri itu.

Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India.

Empat, lima calon

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, Pemuda PAS Johor telah membuka bilik gerakan mereka di Pekan Labis selepas bergotong royong semalam.

"Kita akan mula beroperasi minggu ini," katanya yang juga ketua penerangan pusat Pemuda PAS.

Sementara itu, Suhaizan juga memberitahu jawatankuasa operasi pilihan raya PAS negeri akan mengadakan mesyuarat kali kedua malam ini di Markaz PAS bagi untuk merangka dan melaksanakan gerak kerja pilihan raya di DUN itu.

Diketuai oleh timbalan pesuruhjaya PAS Johor Zulkifli Ahmad, Suhaizan berkata, mereka akan memperincikan tindakan awal di kawasan itu termasuk merangka penyelidikan yang akan dilakukan.

Ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan membincangkan mengenai calon, Suhaizan berkata:

"Kita tidak bincang (mengenai calon). Jawatankuasa perhubungan PAS negeri akan menentukan sebelum dimajukan kepada PAS Pusat.

"Saya tidak pasti mereka akan bermesyuarat bila," katanya sambil memberitahu tiada masalah dalam hal itu kerana kerana "mempunyai empat, lima calon" daripada pelbagai peringkat.

Malaysiakini/-

Ekuti isi rumah ganti ekuiti asas bangsa

14 Muharam 1432H
Oleh : Mohamad Zainal Abidin Hussin

KEPALA BATAS, 19 Dis: Reformasi ekonomi terpenting yang bakal diperkenalkan Pakatan Rakyat ialah menukar sasaran daripada ekuiti asas perkauman amalan Barisan Nasional sekarang kepada ekuiti isi rumah untuk semua rakyat.

"Ekuiti asas perkauman seperti diamalkan sekarang telah menyebabkaan penderitaan rakyat kerana pemimpim-pemimpim Umno dan Barisan Nasional menyelewengkan pembahagian ekonomi atas nama kaum untuk suku sakat mereka," kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke ketika membentangkan kertas kerja utama Konvensyen Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah memdedahkan Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang serius akibat corak pemerintahan yang mengenepikan hasrat rakyat.

"40 peratus rakyat Malaysia sekarang berpendapatan RM1500 sebulan dan berada di bawah paras kemiskinan dan daripada kumpulan ini tiga per empat adalah dari kalangan orang Melayu," katanya.

Lebih parah kata beliau, 34 peratus rakyat negara ini mendapat gaji kurang RM700 sebulan dan dalam keadaan sekarang angka pendapata ini boleh dikategorikan dalam kumpulan miskin tegar.

Anthony turut menyenaraikan tindakan-tindakan yang bakal dilaksanakan Pakatan sebaik diberi mandat mentadbir negara ini.

"Saya mewakili YAB Perdana Menteri kerajaan baru mengumumkan tol dihapuskan, mengembalikan subsidi minyak dan keperluan asas rakyat, Wi-Fi percuma di kawasan bandar dan sub-bandar, menghapuskan penswastaan sektor kesihatan, dan skim satu rumah satu keluarga," kata beliau,

Harakahdaily/-

Terbaik 2008: PAS diterima semua pihak

14 Muharam 1432H

KEPALA BATAS, 19 Dis: Antara kejayaan paling besar pilihan raya umum 2008 adalah apabila PAS telah diterima dengan baik oleh semua kaum di Perak, kata perwakilan DAP, Dr Jayabalan dalam konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat hari ini.

Perkara ini berlaku kerana slogan PAS untuk semua dan Malaysia untuk semua telah berjaya berjalan dengan baik.

Beliau berucap sebagai pembahas dalam konvensyen ini.

Sementara itu, wakil dari PKR, Chah Li Kang pula berkata, masa untuk bercakap sudah berakhir kerana sekarang adalah masa untuk bekerja bagi memenangkan Pakatan.

Ini kerana, kata beliau, dasar yang dikemukakan oleh Pakatan jauh lebih baik dari BN. Oleh itu, apa yang perlu dibuat adalah mempastikan dasar ini boleh dilaksanakan dengan bekerja kuat ke arah memenangkan Pakatan.

Beliau mencadangkan, dalam pelaksanaan dasar ini, sebuah Parlimen Pemuda yang bertujuan untuk membincangkan isu-isu di kalangan pemuda di negara ini.

Beliau yakin, pendekatan ini akan membolehkan semua pihak rasa terbela kerana pemuda sangat penting bagi melaksanaan dasar yang baik itu.

Beliau memetik kata-kata bekas Presiden Indonesia, Sukarno yang berkata, "Berikan aku 10 pemuda, nescaya aku akan goncang dunia."

Beliau menolak projek yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu NKRA.

"NKRA sebenarnya bukan National Key Result Area tetapi Najib Kasi, Rosmah Ambil," kata Chah Li Kang.

Harakahdaily/-

Universiti Felda perlu jadi agenda Pakatan

14 Muharam 1432H
Oleh : Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 19 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, penubuhan Universiti Felda hendaklah menjadi agenda utama setelah Pakatan Rakyat (PR) diberikan mandat memerintah.

Katanya, Felda yang ditubuhkan oleh kerajaan sepatutnya mempunyai sebuah univesiti sepertimana Petronas, TNB dan seumpamanya.

Lagipun, katanya tidak mustahil Felda yang mempunyai wang yang banyak menubuhkan sebuah univesiti yang mampu meningkatkan pendidikan keluarga peneroka Felda.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata rakyat menjadi miskin demokrasi kerana sikap Umno dan BN yang sering mempermainkan sistem berkenaan.

Justeru, ujarnya bagi melincinkan pentadiran, satu usaha penting harus dicari bagi menambah perancangan yang lebih efisyen.

Program turun padang wajar didahulukan oleh semua jentera akar umbi supaya rakyat tahu kelebihan pemerintahan PR.

“Nampak gayanya BN terpaksa meniru 132 tindakan PR sepertimana memperkenalkan gaji minima, cuti 60 hari dan sebagainya untuk tangani kebencian rakyat pada mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tambahnya, memandangkan BN asyik menabur janji kosong, maka PR harus mengambil kesempatan memperjelaskan kepada umum tentang penyelewengan yang mereka lakukan.

“BN sebenarnya takut hilang kuasa, maka mereka cuba buat apa saja termasuk tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” ujarnya.

Namun pada hakikatnya, kata beliau BN hanya bergantung pada media, wang dan jentera kerajaan.

Harakahdaily/-

Mari kita makan kek tolak politik lama

14 Muharam 1432H

KEPALA BATAS, 19 Dis: Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini melancarkan program makan kek sebagai simbolik sokongan kepada sekumpulan pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang ditangkap kerana memakan bagi membantah pembinaan menara 100 tingkat.

Program yang diilhamkan oleh Nurul Izzah Anwar menyediakan 1600 potong kek untuk dimakan oleh para perwakilan dan pemerhati konvensyen Pakatan Rakyat ke - 2 hari ini.


Mereka memberikan kek itu kepada semua yang hadir dan memita mereka menandatangani petisyen bagi menyokong pelajar Utar yang ditangkap kerana memakan kek tersebut pada 16 November lalu.

Para pelajar tersebut mengadakan majlis makan kek untuk membantah cadangan pembinaan bangunan 100 tingkat namun mereka dianggap bersalah kerana mengadakan majlis makan kek itu.

"Ingat makan kek bukan satu kesalahan," kata Nurul Izzah ketika melancarkan kempen makan kek itu.

Turut serta bersama beliau adalah para pemimpin PAS dan DAP termasuk Dr Dzulkefli Ahmad yang turut memberikan ucapan tanda sokongan beliau kepada kempen itu.

Beliau mengajak semua pihak agar menuju politik baru yang penuh harapan dan pembebasan dan meninggalkan politik lama yang penuh ketakutan dan kelesuan.

Harakahdaily/-

Calon PAS wakili Pakatan di Tenang

14 Muharam 1432H

KEPALA BATAS, 19 Dis: Pakatan Rakyat memutuskan calon PAS akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor bagi mewakili Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan seiring dengan konvensyen itu.

"Saya telah mendapat jaminan dari DAP dan PKR bagi memastikan calon kita menang dalam pilihan raya kecil itu nanti," kata Anwar ketika membuat ucapan penggulungan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan Millenium dekat sini.

Pilihan raya kecil Tenang akan diadakan ekoran kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya itu dalam tempoh 60 hari.

Dalam ucapannya juga Anwar mengumumkan, berikutan kejayaan MB Summit baru-baru ini, para menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat akan mengadakan sekali lagi persidangan itu akhir Februari tahun depan.

Mereka adalah MB Kelantan, Selangor, Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada bulan Mac pula, Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk mengadakan Kongres Eokonomi Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu ekonomi yang perlu digarap Pakatan.

Harakahdaily/-

Rakyat berubah, BN rebah

14 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Pemimpin Umno BN takut berlaku perubahan kerana mereka manusia yang tidak mahu berubah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Mereka takut rakyat berubah kerana mereka akan rebah. Mereka tidak mahu kepada urus tadbir dengan baik dan telus kerana takut perut mereka kurus,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR), urusetia dan peserta Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang telah berjaya dengan jayanya.

Katanya, konvensyen telah berjaya mencapai matlamatnya.

“Harapan pemimpin umno BN dan media BN cuba untuk mengadu domba supaya konvensyen ini gagal seperti Konvensyen BN 5 Disember lalu yang bergaduh fasal Ketuanan Melayu antara Umno, MCA dan Gerakan, Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku,” ujarnya.

Katanya lagi, Konvensyen Pakatan Rakyat berakhir dengan baik, pandangan yang bernas daripada wakil yang mewakili parti daripada pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap parti.

Beliau menambah, cadangan yang dicadangkan di dalam konvensyen begitu praktikal untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

“Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan PR,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mencabar pemimpin BN memberi peluang kepada PR dahulu dalam masa 100 hari kepada PR untuk membuktikan sama ada janji PR palsu atau angan-angan.

Mereka, tambahnya akan berhujah di mana wang akan diambil untuk diberi kepada rakyat kerana itulah otak pemimpin BN yang lemah dan tidak kreatif untuk manfaat rakyat.

Sebaliknya, kata beliau mereka begitu kreatif macam mana untuk perut mereka dan keluarga mereka.

Untuk itu, menurutnya PAS ingin mengingatkan kepada Umno BN bahawa PR mampu untuk mentadbir negara di mana PAS sudah membuktikan di Kelantan selama 20 tahun mentadbir.

Tambahnya, Kedah di bawah Umno mengalami masalah kewangan, tetapi mampu ditadbir dengan baik selepas 8 Mac 2008.

“Tawaran yang PR berikan kepada rakyat, kami ada asas untuk melakukannya.

“Apabila rasuah kita buang dalam amalan, ketelusan dalam mengurus, insya Allah PR mampu menunaikan semua pada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Karpal: DAP terima Islam sebagai agama rasmi

14 Muharam 1432H
Oleh : Susan Loone

Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata, isu negara Islam perlu segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Karpal (kiri), ketika berucap dalam sesi penggulungan di konvensyen
kedua Pakatan, berkata DAP boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor MP merupakan satu-satunya pemimpin Pakatan yang membangkitkan isu kontroversi itu di konvensyen tersebut.

Peguam veteran itu menasihatkan PAS supaya jangan berulangkali mengatakan bahawa perlembagaan membolehkan penubuhan sebuah negara Islam, dan nasihatnya itu diterima baik oleh baik oleh sebahagian besar hadirin Melayu-Muslim di konvensyen tersebut.

Beliau menasihatkan PAS supaya mempertahankan hak bukan Melayu untuk kebebasan beragama sepertimana parti itu membela Islam sebagai agama rasmi negara di bawah perlembagaan.

"Tolong beri 'muka' sikit kepada DAP," kata Karpal berseloroh, disambut ketawa para hadirin.

Karpal sokong Islam negara rasmi

Beliau menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” kata Karpal.

Ini kali pertama Karpal membuat ketetapan sedemikian dan menzahirkan permuafakatan yang semakin kukuh antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam ucapannya, Karpal menyentuh mengenai pelbagai isu, termasuk penggantungan Anwar dari menghadiri sidang Parlimen baru-baru ini dan perilaku hakim dalam kes liwat terhadap ketua pembangkang itu.

Tawan Putrajaya

Kemudian, pemimpin Pakatan mengesahkan dokumen bertajuk 'Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia' yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan hari ini, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya.

Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan .

Disokong oleh Anwar (kiri), Hadi dan penasihat DAP Lim Kit Siang,
perwakilan dan ahli Pakatan diminta supaya menyebarkan dokumen itu secara meluas untuk mempersiapkan gabungan itu dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

Anwar pula, dalam ucapan penggulungannya, berkata sebahagian besar perbincangan dan perbahasan dalam konvensyen itu menumpukan kepada nasib orang Melayu dan bagaimana BN dan Umno tidak memenuhi janji mereka untuk meningkatkan status masyarakat tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para calon bahawa kekuatan Melayu tidak terletak pada keserakahan tetapi dalam budaya, moral dan integriti.

Sementara itu, Hadi pula berkata adalah tidak salah untuk orang Melayu, Cina dan India menyayangi kaum masing-masing.

Malah, katanya, Islam juga memastikan pengekalan hubungan baik antara satu sama lain dalam masyarakat.

Adalah salah, tambahnya, untuk berlaku kejam meskipun jika ia dilakukan kerana alasan bangsa, dan begitu juga, adalah salah menggunakan bangsa sendiri untuk berlaku kejam terhadap yang lain.

Malaysiakini/-

Konvensyen Pakatan umum program 100 hari

14 Muharam 1432H
Oleh : Susan Loone

Mesej di konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas hari ini adalah jelas: Tiada masa lagi yang harus dibazirkan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dilakukan Umno dan beri mandat kepada Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya dan memulihkan keadilan dan demokrasi di Malaysia.

Dalam ucapan mereka, tiga pemimpin utama Pakatan - setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyentuh tentang dasar-dasar untuk negara di bawah pentadbiran gabungan tersebut.

Dalam ucapannya, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, mengumumkan program 100 hari untuk rakyat melalui reformasi tulen yang boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan.

Program itu merupakan resolusi sepuluh perkara yang menggariskan secara terperinci bagaimana Pakatan akan mentadbir negara untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.

Pemimpin Pakatan akan menandatangani dokumen tersebut, yang dijangka akan dijadikan manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, Lim memberi amaran supaya jangan membiarkan Umno 'merampas' Perlembagaan Persekutuan untuk terus memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Katanya, Umno sering memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
mengenai kedudukan istimewa orang Melayu sebagai justifikasi kepada pendekatan rasis mereka.

Namun, tegasnya, Umno selalu gagal untuk menyebutkan Perkara 153 juga menyatakan bahawa kepentingan yang sah masyarakat lain, juga mesti dilindungi.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara tersebut.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir di konvensyen itu ialah ketua
umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh dan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak dan wakil mursyidul am PAS, yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kira-kira 1,800 orang menghadiri konvensyen sehari itu, yang dijangka berakhir jam jam 6 petang.

Malam tadi, Anwar bersama-sama dengan para pemimpin Pakatan, mengadakan ceramah di Balik Pulau, sebagai pemanas kepada konvensyen hari ini.

Sebelum konvensyen bermula, pemimpin dan para perwakilan dihiburkan dengan beberapa persembahan kesenian seperti persembahan silat, tarian singa dan silamban (senibela diri dari selatan India).

Turut dipersembahkan ialah tayangan mengenai prestasi kerajaan negeri Pulau Pinang dengan berlatarbelakang irama lagu popular P Ramli 'Getaran Jiwa'.

Sementara itu, Wan Azizah, dalam ucapannya, memberi amaran mengenai serangan berterusan terhadap Pakatan oleh Umno-BN, dengan menegaskan bahawa ia jelas bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat dan penyokong Pakatan.

Katanya, mereka berbisik kepada orang Melayu bahawa DAP akan menjual kepentingan Melayu, supaya orang Melayu mencurigai DAP.

Menurutnya, mereka juga berbisik kepada bukan Melayu bahawa PAS menentang mereka, supaya mereka bimbang terhadap PAS.

Mereka juga, tambahnya, memberitahu seluruh Malaysia bahawa PKR dan Anwar mempunyai masalah dengan Pakatan untuk meningkatkan kecurigaan di kalangan rakyat.

Wan Azizah berkata Umno tidak akan pernah bosan menyebarkan propaganda terhadap Pakatan bagi memecah belahkan gabungan tersebut.

Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS akan terus menjadi pemegang amanah melindungi Islam sebagai agama rasmi persekutuan, manakala agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara aman.

Malaysiakini/-

Kempen 1 juta tandatangan untuk demokrasi

14 Muharam 1432H
Oleh : Susan Loone

Pakatan Rakyat bercadang untuk melancarkan kempen untuk mengumpul satu juta tandatangan untuk Akta Pemulihan Demokrasi yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas hari ini, Pakatan berkata ia akan melancarkan kempen tersebut pada 1 Januari sehingga akhir Februari tahun depan untuk mengumpul tandatangan tersebut.

Dalam satu deklarasi yang diedarkan kepada media pagi ini, Pakatan berkata, ia menyedari perlunya untuk menyelamatkan negara ini.

Sambil mengikrarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, rakyat dan negara, Pakatan menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menggubal akta tersebut, berdasarkan kepada enam isu penting.

Enam isu tersebut ialah:

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.

2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.

3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.

4. menjamin integriti pilihanraya umum.

5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

6. Mewujudkan kebebasan akhbar.

Malaysiakini/-

DAP Mahu PAS Pertahan Hak Bukan Islam

14 Muharam 1432H

KEPALA BATAS: DAP berikrar akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dengan syarat PAS turut mempertahankan hak penganut agama lain.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, PAS perlu 'beri muka' kepada parti itu memandangkan DAP sedia mempertahankan hak Islam di negara ini habis-habisan.

"Islam adalah perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah agama rasmi di negara kita... DAP akan pertahankan habis-habisan tapi dengan syarat hak bukan Islam untuk beragama harus ada.

"Hak itu harus dipertahankan oleh PAS kerana DAP pertahankan PAS... bagi muka sikit kepada DAP," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di sini, Ahad.

Pada 1990 Karpal yang juga Ahli Parlimen Gelugor pernah memberi amaran kepada PAS supaya langkah mayatnya dahulu jika ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.
Bagaimanapun menurut Karpal, kini beliau sedar bahawa kenyataannya 20 tahun lalu sudah tidak releven.

"Perkara ini (isu Islam)boleh dibincangkan dengan baik, saya tak mahu Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi isu ini lagi.

"Kita boleh bincang dengan baik... saya sedia berbincang dengan Tuan Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) dan Tuan Guru (Abdul) Hadi (Awang)... ia perlu dibincang dengan segara," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira lebih 2,000 perwakilan yang hadir.

Konvensyen bersejarah untuk kali ke 2 itu juga menarik perhatian lebih 1000 pemerhati dari seluruh negara.

Sinar Harian putar belit kenyataan Presiden PAS.


14 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Saya membantah tindakan tidak profesional yang dilakukan oleh akhbar Sinar Harian yang menyiarkan berita yang mengeliriukan dan tersasar jauh dari kenyataan sebenar Presiden PAS pada Konvensyen Pakatan Rakyat kelmarin.

Sinar Harian edisi hari ini pada halaman utama(seperti di atas) dipetik sebagai berita yang sangat menglirukan dengan katanya " Selain berdepan dengan kekangan pentadbiran di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu dibelenggu dengan kelemahan."

Sedangkan apa yang saya dapat kemukakan disini dan itulah point yang diputar belit oleh wartawan tersebut ialah ucapan Presiden PAS seperti yang saya siarkan dibawah pada poin 20 iaitu :-

20. Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahankelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Berikut ini saya siarkan teks penuh ucapan Presiden PAS untuk menjadi perbandingan dengan ulasan Ainar harian yang tidak bertanggung jawab itu.

Selain itu saya mencadangkan satu tindakan perlulah diambil terhadap akhbar ini dengan memohon mereka memohon maaf atau tindakan undang-undang dan tuntutan supaya mereka membetulkan persepsi salah dalam menafsirkan ucapan Presiden PAS dan merupakan tindakan mengelirukan pihak pembaca yang saya anggap disengajakan.


Mukaddimah

1. Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng - Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

2. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

3. Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan 2 kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

4. Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

5. Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

6. Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

7. Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

8. PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

9. PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

10. Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari 5 dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

11. Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

12. Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

13. Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

14. Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

15. Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

16. Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut. Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk 7 melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

17. Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

18. Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

19. Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

20. Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahankelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

21. Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

22. Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negerinegeri Pakatan Rakyat,menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita 9 dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

23. PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

24. Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

25. Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

26. Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negaranegara lain. Kita inginkankerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

27. Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

28. Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

29. Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif 11 terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

30. Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

31. Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasiBarisan Nasional selama ini, insyaAllah.

32. Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta 12 menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

33. Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

34. Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

35. Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

36. Wassalamualaikum wbr."

Hotel yang Paling Tinggi Sedang Dibina di Shanghai

14 Muharam 1432H

Hotel yang paling tinggi di dunia dengan tingginya 632 meter terletak di di " Pusat Shanghai", gedung yang paling tinggi di China sekarang menurut rancangan rekabentuknya. Ia dijangka akan selesai dibangun 4 tahun lagi.

Hotel tersebut yang dinamakan sebagai "Hotel J Pusat Shanghai" merangkumi tingkat ke-84 hingga ke-101 dari pusat tersebut yang kesemuanya bertingkat 121 dengan tersedianya 258 bilik .

Pegawai dari gedung " Pusat Shanghai" menyatakan bahawa walaupun hotel tersebut tidak setinggi dengan Burj Khalifa, Dubai, bangunan yang paling tinggi di dunia dengan tingginya 828 meter yang sudah siap dibina pada awal tahun ini, tetapi kompleks hotel dibina pada bahagian bawah di Burj Khalifa,

sedangkan " Pusat Shanghai" meluangkan tingkat-tingkat yang paling tinggi untuk membina kompleks hotel. Oleh itu, "Hotel J Pusat Shanghai" tetap merupakan hotel yang paling tinggi di dunia mengikut lokasinya.

CRI/-

Gambar Sekitar Konvensyen Pakatan Rakyat ke 2