24 Julai 2012

Risiko buta sebelah mata, masa depan terjejas

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Unit Amal memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa mata kanannya kemungkinan besar mengalami kecacatan kekal akibat terkena kelongsong gas pemedih mata pada perhimpunan Bersih, 28 April lalu.

Asrul Hadi Ahmad, 26 berkata, beliau menerima rawatan di lima hospital, dua hospital kerajaan dan tiga hospital swasta.

"Doktor bagitahu penglihatan saya ada masalah dan pakar telah memberitahu mata saya sukar untuk pulih atau cynical blind," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Asrul yang berasal dari Pulau Pinang menerima sembilan jahitan di mata dan dua jahitan di hidung dan masih menerima rawatan susulan sehingga hari ini.

Ketika kejadian, beliau berada di kawasan Masjid Jamek untuk menyertai perhimpunan Bersih 'Duduk Bantah'.

Ketika mencari ayahnya yang terpisah selepas gas pemedih mata dilepaskan, satu kelongsong gas yang dilepaskan mengenai tepat mata kanannya.

Beliau pengsan dan dirawat orang sekeliling sebelum dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Menurut Asrul juga, masa depannya turut terjejas akibat kecacatan tersebut.

"Sepatutnya saya lapor diri di sebuah syarikat selepas 28 April tapi akibat mata saya yang macam ni, saya tidak diterima bekerja.

"Saya pun ada pergi temuduga di tempat lain tapi syarikat kata sukar nak ambil saya kerja sebab mata itu sangat penting. Susah kalau saya hanya dapat kemihat sebelah mata sahaja," kata beliau yang berkelulusan jurutera mekanikal dari universiti tempatan.

Asrul memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

harakahdaily/-

PKR persoal kontrak kafe untuk pemimpin Pemuda MIC

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PKR mempersoalkan kontrak untuk mengendalikan kafeteria di institut pengajian tinggi milik parti berkenaan yang didakwa diberikan kepada seorang pemimpin Pemuda MIC.

Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Kebangsaan PKR, S Gobi Krishnan mendakwa tender berkenaan membolehkan syarikat yang menjalankan kafeteria tersebut mencatat keuntungan lebih RM20 juta.

Beliau mendakwa kontrak untuk mengendalikan kafeteria berkenaan diberikan tanpa tender terbuka kepada sebuah syarikat, tidak berapa lama selepas pemimpin pemuda MIC tersebut dilantik ke syarikat berkenaan.

[Nama pemimpin pemuda itu tidak disiarkan buat masa ini sehingga mendapat reaksi daripadanya].

Gobi turut mendedahkan dokumen yang mendakwa, syarikat tersebut mencatat keuntungan sehingga RM20,452,720 – jumlah yang didakwa patut diperolehi terus oleh institut terbabit – Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) dan Maju Institute of Educational Development (MIED).
"Apakah asas melepaskan kontrak dalaman yang begitu lumayan dan menyumber-luarkannya kepada pemimpin Pemuda MIC tanpa tender terbuka?," soalnya.

Gobi juga mendakwa, syarikat berkenaan membuat tuntutan bayaran berlebihan daripada MIC sebanyak RM 498,185 bagi tahun 2007 dan 2008 untuk perkhidmatan katering yang disediakan kafeteria itu.

Beliau mendakwa, syarikat berkenaan menuntut bayaran lebih daripada jumlah penuntut sebenar di universiti AIMST.

"Apakah tindakan yang diambil AIMST University untuk mendapatkan semula jumlah ini dan memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang?," soalnya.

Beliau juga mendakwa, AIMST Universiti kerugian sebanyak RM867,609 bagi tahun 2007 sehingga 2009 kerana kadar kutipan sewa yang rendah daripada sepatutnya.

Beliau mendakwa, AIMST mengutip sewa untuk ruang sebanyak 1,224 kaki persegi sahaja sedangkan ruang sebenar disewa adalah 8,652 kaki persegi.

"Apakah jawapan daripada MIC berhubung perkara ini?," soalnya.

malaysiakini/-

Pemuda PAS puji langkah tutup kedutaan di Syria

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Walaupun lambat, Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana akhirnya bertindak menutup kedutaan Malaysia di Syria.

Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan tindakan ini perlu diberikan pujian kerana akhirnya kerajaan Malaysia telah mengambil satu keputusan yang berani untuk membantah tindakan kejam kerajaan Syiria ke atas rakyatnya.

Demikian kata Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataannya hari ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia sebelum ini telah menghantar satu memorandum desakan ke Wisma Putra pada 12 Julai yang lalu.

Memorandum yang dihantar ke Kementerian Luar Negeri di Wisma Putera bertujuan meminta supaya Wisma Putra mengambil langkah sewajarnya bagi menekan rejim Bashar Al Assad supaya beliau menghentikan serta merta pembunuhan dan kezaliman terhadap rakyatnya.

Bashar juga didesak agar tunduk kepada tuntutan dan kehendak rakyat yang mahukan keadilan di negara tersebut.

Selain dari memanggil semula Duta Besar Malaysia di Syiria, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga meminta agar Kerajaan Malaysia juga turut menutup Kedutaan Syiria di Mesir sebagai tanda protes ke atas kekejaman yang dilakukan oleh pemerintahnya.

Bagi Pemuda PAS, kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syiria oleh pemimpinnya Bashar al-Assad bukan suatu hal yang boleh disorokkan lagi.

Majoriti rakyat di serata dunia telah mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syria ini.

Keadaan yang semakin membarah ini memaksa kerajaan untuk mengambil keputusan menutup Kedutaan Malaysia di Syria.

harakahdaily/-

PR yakin mampu raih keyakinan masyarakat India

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR - Sokongan rakyat terutamanya masyarakat India di daerah ini ternyata memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) apabila mereka mula yakin dengan kemampuan PR menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri selain penyaluran pelbagai peruntukan dan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Ir Muthiah berkata, beliau yakin sokongan masyarakat India di kawasannya terhadap pimpinan PR tidak berbelah bagi dan mampu mencapai 70 peratus sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

“Pemikiran masyarakat India di kawasan ini sudah berubah dan mereka mampu menilai kerajaan mana lebih baik memenuhi keperluan mereka serta PR tidak pernah membeza-bezakan bantuan yang diberikan,” katanya ketika hadir pada Pesta Kebudayaan Tamil di Taman
Rajawali, Assam Jawa, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bukit Melawati.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir dalam program yang menjadi medium menghidupkan kembali budaya tradisi seperti pesta ponggal, pertandingan kavadi, kolum, persembahan silambam dan kebudayaan India, adalah Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Datuk Thasleem
Mohamed Ibrahim; Penyelaras PKM Dun Jeram, Muhd Rashid Abdul Kassim dan Pengerusi Pelaksana Program, A Steven.

Sementara itu, menurut Xavier, sokongan masyarakat India terhadap PR diperlukan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India terutamanya pekerja ladang menerusi perlaksanaan pelbagai program, peruntukan dan bentuk bantuan.

Katanya, kerjasama PKR, DAP dan Pas mampu mentadbir negeri lebih baik berbanding kerajaan terdahulu termasuk sumbangan air 20 meter padu percuma, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan sebagainya.

"Penduduk setempat perlu jelas mengenai dasar Kerajaan Negeri yang banyak memberi manafaat kepada rakyat dan saya sendiri sentiasa turun padang memberikan penjelasan itu termasuk isu terkini yang dimainkan Barisan Nasional (BN) berhubung isu Talam dan krisis kekurangan air.

“Saya berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan muslihat BN sedangkan pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dalam Merakyatkan EkonomiSelangor (MES) demi kepentingan semua rakyat," katanya.

sinar harian/-

7 tahun tiada air di kawasan PM

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Melihat tangki yang tidak menghasilkan air di Pekan)

PEKAN: "Kami hidup macam zaman sebelum merdeka, malu rasanya berada dalam parlimen dua orang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib dan Tun Razak).

"Nak disembunyikan, kami sudah tidak mampu. Pihak berkenaan hanya berjanji dan terus berjanji... masalah ketiadaan air tetap tidak dapat diselesaikan."

Begitulah bunyinya rungutan Hasni Omar, seorang penduduk Taman Sepekan Makmur dekat sini, yang kecewa dengan Ahli Parlimen mereka yang juga Presiden Umno serta pemimpin tempatan yang gagal membela nasib mereka mengatasi masalah ketiadaan bekalan air.

Dalam aduannya kepada media, beberapa orang penduduk di taman perumahan yang mempunyai 248 buah rumah itu telah mengalami masalah ketiadaan air sejak tujuh tahun yang lalu.

Menurut mereka, meskipun sudah berkali-kali masalah itu diajukan kepada pelbagai pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri sendiri, namun hingga kini masih belum diselesaikan.

"Pada awalnya kami bersabar, namun selepas pinjaman perumahan mula dipotong daripada gaji kami maka terpaksalah berpindah ke sini kerana tidak mampu membayar sewa rumah lain.

"Banyak kali kami adukan masalah ini kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang kini dah jadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) namun tiada tindakan dibuat.

(Tangki ada tetapi air yang takda di kawasan PM ini)

“Sampai bila kami harus terus jadi mangsa keadaan. Mujurlah setakat ini belum ada lagi mana-mana penghuni yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan dan sebagainya.

"Bayangkan jika ada, sudah pasti keadaan akan lebih merumitkan. Kami terpaksa memunggah air dari sungai berdekatan atau dari rumah saudara mara setiap hari. Teruk kami, tujuh tahun hidup begini.

“Rumah yang kami beli ini bukan rumah kos mewah cuma rumah kos sederhana dan kos rendah sahaja yang mana kebanyakan pembeli berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kami terpaksa menanggung pembiayan bank sejak 2006 lagi dan ada pembeli yang tak sanggup tinggal di sini terpaksa menanggung rumah sewa diduduki sekarang," kata beliau lagi.

Sementara itu tinjauan mendapati segala kelengkapan untuk pengurusan bekalan air sudah disediakan.

Menara tangki, pam dan kipas juga sudah pun disiapkan sejak sekian lamanya oleh pemaju, namun air tetap tidak dibekalkan kepada penduduk hingga menyusahkan mereka.

Menurut penduduk, mereka difahamkan masalah timbul apabila pemaju taman perumahan terbabit iaitu Sepekan Sdn Bhd didakwa telah melanggar syarat dan membuat pembinaan tangki tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh PAIP.

"Tangki air taman perumahan terbabit didakwa tidak mengikut piawaian yang ditetapkan maka itu kebenaran tidak diberikan.

"Kini struktur semuanya sudah disiapkan, saluran paip pun sudah siap, tangki bawah dan pam semua sudah ada cuma kelulusan sahaja tidak diperolehi," katanya.

Ada pula yang berkata ia berpunca apabila pemaju dikatakan membeli tangki sedangkan kos berkaitan tidak dibayar sepenuhnya kepada pembekal.

Justeru, pembekal tidak mengeluarkan surat kepada pemaju sedangkan dalam masa yang sama PAIP perlukan surat tersebut untuk proses kelulusan.

Penduduk mengatakan, masalah mereka telahpun acap kali diadukan kepada Pegawai Daerah Pekan, Adun Peramu Jaya dan setiausaha politik Najib di Pekan.

Mereka berjanji untuk selesaikan, namun hingga kini tidak ada sebarang penyelesaian dilakukan.

“Apa lagi yang dapat kami lakukan jika tidak mendedahkannya kepada media? Cuba bayangkan jika masalah seperti kami ini berlaku dalam negeri Pakatan Rakyat,” tegasnya.

harakahdaily/-

Bersih sah beri lonjakan motivasi kepada Juham

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menerima keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sebuah pertubuhan 'haram' dengan penuh rasa gembira dan bersyukur.

Penat lelah dan pengorbanan rakyat Malaysia yang dilimpahi dan dihujani dengan gas pemedih mata serta air berasid ketika menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu akhirnya menerima khabar berita yang cukup menggembirakan ini.

Bukan hanya dibedil gas pemedih mata, malah para peserta himpunan Bersih 2.0 turut dibelasah pihak polis tanpa belas kasihan, sehinggakan salah seorang daripada peserta yang diserbu polis ketika himpunan Bersih 2.0 tersebut iaitu Allahyarham Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia.

Malah, Kerajaan Umno BN turut bertindak zalim apabila mengarahkan pihak polis melancarkan operasi penahanan habis-habisan terhadap individu-individu tertentu sebelum berlakunya perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

Antara penahanan yang dibuat ialah terhadap seorang yang bernama Musafri Abdullah Azmi di mana beliau telah bertindak memfailkan saman terhadap pihak Polis dan Menteri Dalam Negeri kerana mendakwa penahanan beliau adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Kes beliau telah ditetapkan untuk perbicaraan esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan beliau diwakili barisan peguam daripada Juham di mana keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan Bersih 2.0 adalah entiti yang sah sedikit sebanyak memberikan lonjakan motivasi yang tinggi kepada barisan eguam Juham dalam tindakan saman ini.

Rentetan daripada keganasan-keganasan yang dilakukan oleh pihak Polis ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0, Juham menggesa Kerajaan Umno BN meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada ribuan rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

Permohonan maaf ini adalah perlu bagi membuktikan Kerajaan Umno BN menghormati keputusan mahkamah hari ini bahawa tindakan Kerajaan Umno BN yang mengharamkan Bersih 2.0 adalah suatu tindakan yang salah dan melanggar norma-norma hak asasi manusia sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, Juham melihat keputusan mahkamah pada hari ini telah memberikan satu dimensi yang baru kepada hak asasi di Malaysia di mana ia membuktikan intitusi kehakiman di Malaysia seharusnya bebas daripada sebarang cengkaman Kerajaan Umno BN.

Institusi Kehakiman haruslah dilihat konsisten dalam memastikan mereka dilihat adil dan bebas serta tidak dijadikan alat oleh Kerajaan Umno BN supaya Institusi Kehakiman di Malaysia benar-benar dilihat adil dan bebas sepenuhnya.

Keputusan mahkamah hari ini juga boleh dilihat sebagai suatu penghargaan kepada perjuangan murni seluruh rakyat Malaysia yang tidak gentar dan jemu berterusan berjuang dalam menuntut suatu pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia.

Ahmad Zamri ialah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham).

Penonton bola sepak terkena mercun saman FAM, 3 lain

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang pereka grafik yang mengalami kecederaan mata kekal ekoran terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak pada Julai tahun lepas, hari ini memfailkan saman RM776,000 terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ketua Polis Selangor dan dua lagi.
Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 30, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan N.M Main & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan FAM sebagai defendan pertama, Ketua Polis Selangor sebagai defendan kedua manakala Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga hingga keempat.

Menerusi penyata tuntutan beliau mendakwa mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak prakelayakan Piala Dunia 2014 melibatkan pasukan negara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai tahun lepas.
Ahmad Jazimin yang turut hadir di mahkamah, mendakwa beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui apa-apa saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk ataupun anggota polis.

Beliau mendakwa ketika kejadian kira-kira 8.45 malam, satu mercun telah jatuh di tempat duduk penonton dan meletup hingga mengenai mata sebelah kanannya.

Ahmad Jazimin mendakwa pihak FAM gagal mematuhi piawaian dan standard penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa yang ditetapkan oleh pihak Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepanjang perlawanan tersebut.

Tambahnya defendan kedua dan ketiga gagal menempatkan anggota polis mencukupi bagi tujuan keselamatan di pintu masuk untuk mengekang percubaan membawa masuk bahan dan objek terlarang ke dalam stadium.

Ahmad Jazimin menutut ganti rugi am RM100,000, ganti rugi khas kehilangan upaya pendapatan RM576,000, ganti rugi has RM100,000, faedah, kos dan relif lain.
Sementara itu peguam Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memberitahu pemberita writ saman akan diserah kepada defandan dalam tempoh 14 hari. – Bernama

Kurangkan harga kereta jadi manifesto Pakatan

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pakatan Rakyat akan menjadikan pengurangan harga kereta - yang dianggap barangan keperluan - sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang baru dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 72 peratus isi rumah menggunakan kereta sedangkan 53 peratus isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Peratusan yang tinggi itu katanya, berpunca daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal BN pada tahun 2006.

Pada masa sama katanya, hutang kereta persendirian meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam masa 18 bulan sejak November 2010.

Ini membuktikan ia adalah isu pilihan raya yang perlu diberikan
perhatian oleh parti-parti yang bertanding, kata Rafizi.

"Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta yang disebabkan harga kereta yang tinggi adalah satu beban utama pada rakyat," katanya.

Menurut Rafizi, harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta.

Harga tinggi kerana cukai, duti eksais

Pengenalan duti eksais - sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta - pada masa itu dilakukan untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA), katanya.

Rafizi mendakwa tindakan itu dibuat setelah kerajaan antara lainnya menerima nasihat daripada syarikat perunding Ethos Consultancy yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Beliau (Khairy) perlu kongsi dengan kita apakah pertimbangan pada masa itu yang membuatkan kerajaan perkenalkan duti eksais," katanya.

Duti eksais ke atas kereta juga kata Rafizi, ibarat mencukai rakyat atas pembelian barang keperluan seperti makanan, air dan elektrik.

"Anda (kerajaan) tidak sepatutnya menghukum rakyat dengan kutip cukai atas barang keperluan.

"Kalau ada ruang fiskal (belanjawan) yang perlu ditutup, kerajaan perlu cari mekanisma lain," katanya.

Justeru katanya, Pakatan akan melihat kemungkinan menghapuskan duti eksais secara berperingkat untuk mengurangkan harga kereta.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam sidang media sama berkata pimpinan muda PKR akan membuat jelajah keliling negara untuk berdialog dan menerangkan perkara itu kepada orang ramai bermula 5 Ogos ini.

"Kita cadangkan dialog peringkat kebangsaan.

"Kita mahu dengar (cadangan) daripada rakyat dan kumpulan berkepentingan seperti Malaysian Automotive Association (MAA), berkenaan perkara ini," katanya.

malaysiakini/-

Siapa 'in control' Malaysia - Mahfuz

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kelantangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantah begitu banyak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menuntut diadakan pilihan raya tahun ini memberi tanggapan bahawa beliau semakin berkuasa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membangkitkan perkara itu ketika mempersoalkan siapakah sebenarnya Perdana Menteri negara ini.

"Siapa Perdana Menteri sekarang? Siapa 'in charge'? Siapa 'in control'? (Datin Seri) Rosmah (Mansor)? (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)? Muhyiddin? Najib?" beliau mempersoalkan.

Mahfuz menyifatkan kepincangan pengurusan dan pentadbiran negara ini sebagai sesuatu yang sangat serius.

"Bukan sahaja rakyat yang jadi bingung, malah ia menakutkan pelabur-pelabur asing untuk datang ke Malaysia," kata Mahfuz.

Mengulas lanjut tentang kacau-bilau yang semakin dirasai rakyat itu, Mahfuz berkata, kekerapan Rosmah mengadakan lawatan yang digambarkan rasmi ke luar negara serta liputan yang begitu luar biasa kepadanya, terutama di dalam TV, menjadikan Najib seolah-olah kelihatan seperti suami Perdana Menteri.

"Di sisi yang lain pula, kekerapan Dr Mahathir membuat kenyataan berkenaan Umno dan kerajaan serta kekerapan kroni-kroninya mendapat projek-projek besar memperlihatkan seolah-olah Dr Mahathir masih Perdana Menteri.

"Malah, walaupun cuba disembunyikan, orang-orang Umno sendiri yang mendedahkan bahawa Najib kelihatan begitu takut kepada pengaruh Dr Mahathir dan Muhyiddin pula dikatakan semakin mendapat manfaat dari pengaruh besar bekas Perdana Menteri yang paling lama berkuasa itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sebab itulah, kata Mahfuz (gambar) lagi, sumber-sumber Umno tersebut tidak hairan apabila Muhyiddin membuat kenyataan mahu pilihan raya diadakan tahun ini juga sedangkan Najib lebih cenderung mengadakannya apabila tamat penggal tahun depan.

Mahfuz berkata, sumber-sumber Umno memberitahunya bahawa Najib kini semakin ditinggalkan oleh tokoh-tokoh lain dan semakin keseorangan malah dilihat sebagai liabiliti parti itu.

"Apa yang Najib tahu dan suka buat hanyalah membuat pengumuman dan pelancaran sana-sini.

"Dengan hanya dukungan yang hanya lakonan dan tanpa dukungan yang sebenarnya dari tokoh-tokoh yang benar-benar berkuasa dan makin berkuasa seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin, sumber-sumber Umno itu berkata Najib hanyalah Perdana Menteri syok sendiri," kata beliau.

Di peringkat bahagian-bahagian pula, kata Mahfuz, Umno berpecah kepada empat kem iaitu kem Dr Mahathir, kem Muhyiddin, kem Najib dan kem ahli-ahli Umno yang semakin meluat dengan kerakusan para pemimpin parti itu.

Beliau percaya, ahli-ahli Umno yang semakin meluat dengan kerakusan para pemimpin mereka itu mungkin akan memberi satu lagi kejutan dalam pilihan raya akan datang.

harakahdaily/-

'Pelakun' fitnah khutbah mahu guling kerajaan mohon maaf

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG: Tiga 'pelakun' yang membuat cerita fitnah ke atas seorang guru yang menjadi khatib yang dituduh mendakwa mengajak orang ramai menggulingkan kerajaan BN dalam khutbahnya akhir memohon maaf.

Pengerus Masjid Taman Guar Perahu, Penanti, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan memberitahu, tiga orang pelakun utama isu sebaran fitnah terhadap Abdullah Khairi Haji Harun (gambar) akhirnya tampil memohon maaf.

Ia dibuat seminggu selepas pihak qariah membuat lapuran polis kerana tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukan oleh 'pelakun' terbabit.

Akibat fitnah 'pelakun' berkenaan yang disiarkan oleh sebuah stesyen TV swasta, Cikgu Abdullah Khairi yang membaca khutbah itu telah ditukar dari Pulau Pinang ke Pulau Ketam, Selangor.

Ustaz Abu Bakar ketika ditemui di majlis sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Permatang Pauh semalam menjelaskan, mereka juga sudi nama mereka disebut setelah permohonan maaf dibuat dengan harapan orang ramai turut memaafkan perlakuan mereka selama ini.

"Saya harap isu fitnah kepada Ustaz Abddulah Khairi selesai," katanya yang sangat kesal dengan dakwaan kononnya beliau menyampaikan khutbah Jumaat mengajak rakyat mengguling Kerajaan Pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

"Ketiga-tiga pelakun itu sudah datang jumpa saya dan mengakui buat salah serta pohon maaf sambil berjanji tidak akan mengulangi perbuatan
jahat berkenaan, " tambahnya.

Ujar beliau, pada mulanya ramai anak qariah tidak mahu memaafkan kesalahan yang pelakun itu lakukan namun setelah diberikan tazkirah kebaikan maaf dalam Islam maka semuanya akur dengan harapan golongan berkenaan harus sedar bahawa perbuatan mereka selama ini merupakan kesalahan keji.

Menurut Ustaz Bakar (gambar) lagi, dalam tempuh seminggu pihak qariah membuat lapuran polis dan sidang media tiba-tiba beliau di datangi orang tengah yang mengatakan pelakun utama isu berkenaan mengakui salah dan ingin pohon maaf lantas beliau bersetuju dan satu pertemuan dibuat di Puncak Mutiara Kristal, Kampung Pelet, Penanti.

Katanya, mereka mengakui kesalahan itu disamping mendakwa berita tersebut sengaja ditokok tambah oleh siaran TV swasta berkenaan untuk mensensasikan kejadian berkenaan.

Pada kejadian solat Jumaat penghujung Jun lalu, Ustaz Abddulah Khairi dijemput membaca khutbah di Masjid Guar Perahu dan seperti biasa beliau mengupas tanggungjawab umat Islam menolak kepimpinan yang zalim.

Tetapi kupasanya di salah taksirkan sebagai usaha 'mengguling' kerajaan BN dan menganggap isi khutbah itu berniat untuk menghasut.

Akibatnya pada 2 Julai lalu, Ustaz Abdulah Khairi ditukar serta merta ke sebuah sekolah di Pulau Ketam, Selangor dari Sekolah Menengah Seri Muda, Penaga, Kepada Batas.

Beliau selain bertindak pemberi motivasi kepada para pelajar juga mempunyai kebolehan menyampaikan motivasi kepada kakitangan kerajaan dan swasta sehingga beliau digelar 'Ustaz Laptop' kerana menjadikan kaedah penayangan sebagai alat bantuan penerangan.

Kini, walaupun bertugas di Pulau Ketam namun boleh dikatakan setiap minggu beliau mempunyai jadual kuliah, motivasi dan sebagainya di sekitar utara semenanjung.

Sementara itu, Ustaz Abddulah Khairi ketika dihubungi juga bersedia memaafkan mereka walaupun dirinya menjadi bahan politik sempit golongan tertentu.

harakahdaily/-

Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali.

Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir.
Berapa Juta Liter Air Zam-Zam?

Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang.

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter.

Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter.

Keanehan Air Zam-Zam
Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.
Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam.

Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah
untuk diuji.

Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya.
Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.

Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter).

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.

Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci.

Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun!.

Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba.

Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar.
Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya.

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak:

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”.

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman.
Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.

Mengandungi Zat Anti Kuman

Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.

Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun. Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi”.

Nabi S.A.W. menambahkan: “Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”.

(HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).
Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.

Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.

Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.

Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan.
Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Sumber: Crewfathi

Pendapatan warga KL hanya naik 1.5 peratus hingga 2009

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Satu kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah warga Kuala Lumpur hanya meningkat sebanyak 1.5 peratus untuk tempoh 2007 hingga 2009, jauh berbeza daripada purata kebangsaan sebanyak 4.5 peratus.

Kuala Lumpur, seperti juga Perlis, mencatat peningkatan isi rumah paling rendah berbanding negeri lain.

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2009, yang kali pertama didedahkan kepada umum pada bulan lalu, mengambil kira 45,805 keluarga seluruh negara antara April 2009 hingga Mac 2010.

Kajian setiap lima tahun itu, yang diterbitkan di laman jabatan tersebut, antara lainnya melihat kemampuan kewangan isi rumah Malaysia antara 2007 hingga 2009.

Laporan kajian yang dijalankan setiap lima tahun itu diterbitkan di laman Jabatan Perangkaan.

Menurut laporan itu, pendapatan isi rumah purata seluruh negaa meningkat daripada RM3,686 pada 2007 kepada RM4,025 pada 2009 atau 4.5 peratus setahun.

Pendapatan isi rumah warga Kuala Lumpur hampir tidak berubah, daripada RM5,322 kepada RM5,488 dalam tempoh dua tahun, atau 1.5 peratus setahun.

Putrajaya pula merekodkan peningkatan pendapatan isi rumah hampir 12.9 peratus – paling tinggi berbanding negeri lain.

Ia mungkin berkaitan dengan pelarasan gaji kakitangan awam, yang membentuk sebahagian besar penduduk Putrajaya, namun laporan berkenaan tidak menafsirkan hasil kajian itu.

Pecahan mengikut kaum pula menunjukkan golongan Cina menjadi kumpulan yang mendapat pendapatan tertinggi dengan purata RM5,011 sebulan pada 2009, diikuti kaum India (RM3,999) dan lain-lain (RM3,640).

Kumpulan bumiputera, termasuk masyarakat di semenanjung, Sabah dan Sarawak, berada di kumpulan terbawah dengan pendapatan purata RM3,624 sebulan.

Laporan itu tidak mempunyai statistik berbeza untuk kumpulan Melayu semenanjung dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

malaysiakini/-

Mahkamah putuskan BERSIH entiti yang sah

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.

Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Pada 1 Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

malaysiakini/-

Misteri beg hitam

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BUKIT BERUANG – Seorang lelaki begitu bersungguh-sungguh menyelamatkan beg hitam yang dibawa bersamanya walaupun mengalami kecederaan dalam kemalangan.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan siasatan pada mangsa menemui plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 500 gram yang bernilai RM201,758.

Lebih mengejutkan, berikutan kemalangan itu, polis berjaya menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM584,958.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Md Azmi Othman berkata,sebanyak 4,600 biji ekstasi dan ribuan gram dadah jenis ketamin serta syabu bernilai RM0.5 juta berjaya dirampas polis selepas menyerbu sebuah rumah dipercayai dijadikan tempat memproses dadah di Semabok, di sini, Rabu lalu.

Menurutnya, pihaknya turut merampas peralatan dipercayai untuk memproses dadah dalam serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira jam 11 pagi.

“Sebanyak 4,600 biji ekstasi dengan anggaran berat kasar 1,580 gram, dua bungkus plastik dadah dipercayai ketamin seberat kira-kira 2,106 gram yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM383,200 ditemui dalam rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Md Azmi berkata, kegiatan lelaki berusia 36 tahun itu terbongkar selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya di persimpangan Hicom, Alor Gajah, dekat sini.

Menurutnya, ketika lelaki terbabit menerima rawatan, dia didatangi seorang wanita berusia 30 tahun yang mendakwa sebagai kekasih.

“Tiada barang salah didapati pada wanita tersebut selepas pemeriksaan, namun polis yang menjumpai serangkai kunci membawa kepada penemuan rumah teres berkenaan.

“Polis turut merampas kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan wanita terbabit, selain wang tunai RM1,310 yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan daripada kedua-dua suspek berjumlah RM584,958," katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan reman sehingga hari ini (24 Julai) dan permohonan melanjutkan tahanan reman akan dibuat di mahkamah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

sinar harian/-

Terkurung 21 tahun

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DAIF...pemandangan persekitaran Kem Kutupalong yang dihuni lebih 50,000 pelarian Rohingya sejak 21 tahun lalu.

BINA SENDIRI...seorang pelarian di kem tidak berdaftar membina ‘rumahnya’ dengan ranting kayu dan daun pokok.

CHITTAGONG (Bangladesh): Meyakini ada hikmah di sebalik sesuatu peristiwa termasuk yang buruk, satu tuntutan di kalangan umat Islam. Mengambil kira faktor ini, konflik berdarah antara etnik Rakhine dengan penduduk Islam Rohingya yang tercetus di Arakan, Myanmar, pada awal Jun lalu, turut tidak terkecuali.

Ini kerana konflik yang meragut ribuan nyawa umat Islam Rohingya itu serta mencetus derita kepada ratusan ribu yang lain, secara tidak langsung menggamit semula perhatian dunia luar terhadap hampir 90,000 pelarian Rohingya yang menghuni tiga kem pelarian di Bangladesh sejak 21 tahun lalu.

Berikutan tempoh panjang itu, mereka yang hidup serba kedaifan dan penuh penderitaan seakan-akan dilupakan apabila jarang menerima bantuan termasuk daripada saudara seagama.

Sepanjang tempoh 21 tahun itu, ramai di kalangan pelarian Rohingya yang sudah meninggal dunia sebagai orang buangan dan pada masa sama, ribuan juga dilahirkan di dalam kem untuk berkongsi status sama.

Sedikit latar belakang, pelarian Rohingya terbabit menyeberangi Sungai Naf yang menjadi sempadan Myanmar-Bangladesh pada 1991 selepas diusir kerajaan tentera Myanmar.

meto/-

Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya 11 Ogos

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya pada 11 Ogos ini bermula jam 2 petang hingga 8 malam di Kediaman Rasmi MB Selangor, Shah Alam sebagai medan pemantapan peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan.

Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, DPPM berbesar hati menjemput seluruh profesional muda dari sektor kerajaan dan swasta, alumni-alumni kampus dalam dan luar negara, bersama-sama seluruh kepimpinan Pemuda PAS di peringkat negeri dan kawasan serta ahli parlimen dan Adun Pemuda PAS untuk hadir dalam program yang penuh bermakna itu sebagai kesinambungan daripada siri-siri Xpresi Anak Muda bersempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.

Menurut Setiausaha DPPM Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar), program itu akan memberi penumpuan terhadap aspek peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi dan memaknakan kemenangan di dalam kerangka Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat di samping wadah untuk alumni dan profesional muda berdialog dan memberi saranan akhir terhadap polisi dan manifesto yang bakal ditawarkan.

“Program ini turut memberi ruang kepada golongan profesional muda membina jaringan dan maklumat mengikut bidang kepakaran yang diperlukan dalam agenda mengisi kemenangan kelak, selain platform untuk alumni dan profesional muda berdiskusi dan berdialog secara langsung bersama pimpinan tertinggi,” ujarnya.

Antara agenda menarik pada program itu adalah sesi “Xpresi Profesional Muda & Wacana Manifesto PAS” yang akan menampilkan beberapa profesional muda dari bidang syariah, ekonomi, undang-undang, kesihatan, sains dan teknologi, pendidikan, budaya dan kesenian dalam dan luar negara, melontarkan harapan dan cadangan akhir terhadap tawaran Manifesto PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya yang berkaitan kepentingan dan kebajikan anak muda.

Seterusnya, kata beliau peserta turut berpeluang berdialog secara langsung bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam slot “Wacana Profesional Muda bersama Presiden PAS: Negara Berkebajikan – Cabaran & Peluang”.

“Majlis penutup Xpresi akan diserikan dengan penganugerahan Tokoh Profesional Muda, serahan infaq dan ikrar pilihanraya oleh alumni dan professional muda, seterusnya majlis berbuka puasa bersama pimpinan Pusat dan Pemuda PAS,” tambahnya.

Program itu, jelasnya terbuka kepada peserta muslimin dan muslimat dan boleh diikuti secara langsung melalui kemudahan video-conferencing bagi rakan-rakan di Sabah, Sarawak dan luar negara.

Katanya, pendaftaran awal boleh dilakukan melalui borang pendaftaran maya di capaian berikut, http://tiny.cc/Xpresi-Profesional-Muda.

“Jadikan Xpresi ini sebagai manifestasi kebersamaan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Putrajaya kelak,” ujar Khairul Faizi.

harakahdaily/-

Syria ancam guna senjata kimia

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BEBERAPA buah kereta kebal tentera Bashar dilihat ditempatkan di Al Mezza, Damsyik kelmarin.

WASHINGTON - Syria semalam mengaku buat kali pertama bahawa ia memiliki senjata kimia dan biologi sekali gus memberi amaran akan menggunakannya jika diserang tentera asing, lapor agensi berita Reuters.
Malaysia Open House 2012 (Sunday 12 August 12.00-4.00pm)

Amaran itu dibuat oleh jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi pada satu sidang akhbar di Damsyik.

Sebelum ini, Israel menyatakan kemungkinan simpanan senjata kimia di Syria akan dirampas para pejuang Lebanon yang bersekutu dengan Al-Qaeda.

"Syria tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau senjata bukan konvensional terhadap orang awam dan akan menggunakannya hanya dalam kes diserang pihak luar.

"Senjata-senjata itu disimpan dan dikawal tentera Syria," kata Jihad.

Sementara itu, Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) secara rahsia cuba menyekat penghantaran senjata dan minyak dari Iran ke Syria dalam usaha mempercepatkan kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad, lapor akhbar Wall Street Journal kelmarin.

Memetik kenyataan beberapa pegawai AS, akhbar itu melaporkan usaha-usaha dilakukan supaya Iraq menutup ruang udara untuk penerbangan dari Iran ke Syria.

Ia ditutup kerana Iran dipercayai membekalkan senjata untuk tentera Bashar.

Laporan Wall Street Journal itu disiarkan selepas tentera Syria meningkatkan serangan di kawasan penempatan Barzeh di Damsyik yang menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri.

Perkembangan tersebut turut berlaku selepas seorang komander pemberontak muncul dalam satu klip video untuk mengumumkan bahawa perang bagi membebaskan bandar kedua terbesar di Syria, Aleppo telah bermula.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita rasmi SANA melaporkan, tentera pemerintah telah mengusir para pemberontak dari kawasan penempatan Qaboon di Damsyik. - Agensi