18 Disember 2012

Peguam Negara arah gantung kes saman AES


4 Safar 1433H. [MOD] -


Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.

Dalam satu kenyataan petang ini, ia bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

"Bagaimanapun, ekoran kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang dan aspek teknikal lain, maka Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk mengkaji perkara itu dan mengarahkan semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan tersebut ditangani.

"Satu keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang mengenai isu berkenaan," tambahnya.

Mengenai empat kes saman yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan,l semuanya akan dikaji semula dan akan didaftar semula jika pendakwaan perlu dibuat. MK/-

Orang tertua dunia, 115 tahun meninggal dunia

Tertua mati4 Safar 1433H. [MOD] -

Besse Cooper dari Monroe, Georgia, meraikan hari kelahiran ke-116 baru-baru ini. - Foto ihsan CNN
 
NEW YORK - Dina Manfredini dari Iowa, Amerika Syarikat, yang diisytiharkan sebagai orang tertua di dunia awal bulan ini meninggal dunia semalam, pada usia 115 tahun.

Cucunya, Lori Logli berkata, Manfredini meninggal dunia di pusat penjagaan yang beliau ditempatkan selepas mengalami demam, lapor CNN hari ini.

Dia meninggal dunia ketika tidur.

Menurut rekod Guinness, Manfredini menjadi wanita tertua dunia pada 5 Disember lalu sehari selepas kematian Besse Cooper Georgia yang mati di usia 116 tahun.

Manfredini dilahirkan di Pievepelago, Itali pada 4 April 1897 dan kemudian berpindah ke Des Moines pada tahun 1920 bersama suaminya.

Menurut Guinness, dia pernah bekerja sebagai pekebun dan terus berkerja pada usia 90 tahun dengan mengambil upah membersihkan rumah.

Beliau turut hidup bersendirian sehingga usianya 110 tahun sebelum berpindah ke rumah penjagaan.

sinar/-

Bandar kecil Sweden bakal miliki lapangan terbang angkasa lepas

4 Safar 1433H. [MOD] -

KIRUNA, Sweden - Bandar kecil di utara negara ini merancang untuk menawarkan penerbangan angkasa lepas komersial dalam tempoh sedekad lagi. 

Terletak di kawasan artik, Kiruna dilengkapi sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan penerbangan tetap ke London dan Tokyo.

Penerbangan angkasa lepas itu akan dikendalikan oleh syarikat tempatan, Spaceport Sweden dari lapangan antarabangsa di sini.

"Kami sedang berusaha untuk mewujudkan penerbangan komersial dari Sweden bagi tujuan pelancongan dan penyelidikan dengan membina tempat berlepas di lapangan terbang tersebut," kata Pengarah Spaceport, Karin Nilsdotter.

Perancangan itu melibatkan sekumpulan pelancong yang akan terbang selama dua jam ke angkasa lepas dengan menaiki sebuah kapal angkasa yang masih diuji.

Kapal angkasa tersebut boleh membawa sehingga enam orang penumpang.

Penerbangan itu akan menghantar para penumpang sejauh 100 kilometer dari Bumi untuk membolehkan mereka memperoleh pengalaman berada dalam keadaan graviti sifar selama lima minit. - AFP

Maut dipercayai didera

PILU...nenek mangsa, Mazni Che Bon, 48, (kanan) bersama saudaranya sedih menatap jenazah Muhammad Faiz Iqhmal (gambar kecil).4 Safar 1433H. [MOD] -

PILU...nenek mangsa, Mazni Che Bon, 48, (kanan) bersama saudaranya sedih menatap jenazah Muhammad Faiz Iqhmal (gambar kecil). 
 
ALOR SETAR: “Ketika berbual melalui telefon bimbit ibunya malam tadi (kelmarin), dia memberitahu mahu pulang ke rumah kerana rindu neneknya. Tak sangka pula ia perbualan terakhir kami,” kata Norhanisha Othman, 23, ibu saudara Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.

“Polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk kemungkinan mangsa menjadi mangsa dera hingga menyebabkan kematiannya, namun masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes,” katanya ketika dihubungi. Norhanisha berkata, kakaknya, Nurhafiza, 25, yang juga ibu mangsa menghubungi keluarganya bagi memaklumkan anaknya terjatuh dari tangga sebelum dibawa ke sebuah klinik.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah pernah mengadu dipukul ibunya dan suspek yang berusia 20-an, malah terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya setiap kali pulang ke rumah ibunya di Flat Simpang Kuala, di sini.

Norhanisha berkata, arwah dijaga oleh ibunya, Padzilah Ismail, 46, sejak dilahirkan sehingga kini disebabkan kakaknya yang bekerja sebagai pembantu restoran sudah berpisah dengan suaminya, Iskandar Abu Bakar, 29, ketika mangsa berusia lima bulan.

“Muhammad Faiz memang tinggal dengan ibu saya, tetapi sejak beberapa bulan lalu kakak kerap membawanya pulang ke rumahnya selepas mengenali lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Malah, saya pernah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ogos lalu selepas menemui beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.

Padzilah pula berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan cucu sulungnya yang sepatutnya pulang ke rumahnya semalam, walaupun baru dua hari kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dan lelaki terbabit.

Menurutnya, dia sememangnya tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya menghalang mereka berkawan rapat. Apa yang saya bimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila cucu saya menjadi mangsa dan meninggal dunia dipercayai akibat didera.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi pasti akan merindui arwah kerana dia seorang yang petah bercakap, aktif dan comel,” katanya. Dalam pada itu, Iskandar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak tunggalnya itu selepas Aidilfitri lalu berikutan Muhammad Faiz dijaga keluarga bekas mentuanya.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dan tidak menyangka perkara seumpama ini berlaku, malah langsung tidak tahu mengenai hubungan bekas isteri dengan lelaki itu. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai, di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, pekarangan luar wad kecemasan HSB kecoh apabila datuk dan ibu saudara mangsa berang terhadap suspek.

Suspek yang dilihat menaiki kerusi roda mendakwa kakinya turut patah akibat terjatuh dari tangga bersama mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dengan datuk dan ibu saudara mangsa, sebelum dileraikan polis.

metro/-

Bolehkah wang bayaran saman AES dikembalikan?

4 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mendesak supaya semua saman Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) dimansuhkan serta merta berhubung masalah teknikal yang dialami oleh pihak mahkamah hingga menyebabkan sebahagian daripada keseluruhan saman AES ditarik balik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Demikian dinyatakan Penyelaras SAMM Kebangsaan, Yaser Sheikh Abd Rahman dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laman sosial FB Zulhazmi Shariff yang merupakan peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase), saman AES di semua mahkamah termasuklah di Jalan Duta, Putrajaya, Kajang dan Sepang telah ditarik balik ekoran kesilapan teknikal.

Zulhazmi yang berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini ketika sebutan kes turut menyatakan bahawa dokumen mengenai saman AES yang sepatutnya diserahkan oleh JPJ kepada mahkamah didapati masih tidak lengkap dan minta ditangguhkan.

Yaser berkata, SAMM memandang serius permasalahan AES yang menyusahkan rakyat dan merugikan semua pihak apabila berlaku gejala masalah teknikal.

Dilaporkan sebanyak sepuluh ribu mangsa saman AES telah membuat pembayaran.

“Apakah nasib mereka yang telah membayar saman AES sebelum ini?

“Bolehkah wang mereka dikembalikan tanpa menyusahkan mereka untuk hadir ke kaunter pembayaran seperti sebelum ini?” tanya beliau.

Katanya, SAMM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kase dan mangsa saman yang berani bersama Kase melawan regim penindas yang bertekad melaksanakan pemasangan 831 kamera AES di seluruh negara.

Dengan keputusan seperti hari ini, katanya SAMM menyeru orang ramai agar tidak membayar saman tetapi bangkit dengan berani menuntut keadilan bersama peguam Kase.

“Apa yang boleh dilihat hari ini ialah, regim pemerintah tidak sedia membawa kes AES ke mahkamah kerana sememangnya perlaksanaan sistem AES punyai seribu satu kelemahan.

“Bagi SAMM, membayar saman AES adalah satu kerugian. Sayangilah wang anda, jangan bayar saman AES!” ujarnya.

harakahdaily/-

Patung gergasi dipamerkan

4 Safar 1433H. [MOD] -

SEOUL - Ratusan orang tunduk di depan dua patung bekas pemimpin komunis Korea Utara di Bukit Mansu, Pyongyang semalam.

Patung gergasi Kim Il-sung yang merupakan pemimpin komunis pertama negara ini berada di sebelah patung anaknya, Kim Jong-il.

Jong-il yang merupakan pemimpin kedua komunis Korea Utara meninggal dunia pada 17 Disember 2011 kerana sakit jantung.

Beliau kemudian digantikan oleh Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Sementara itu, isteri Jong-un muncul dalam siaran televisyen negara berkenaan semalam dengan kelihatan sedang mengandung.

Keadaan dirinya meningkatkan jangkaan bahawa dinasti keluarga Kim yang memerintah Korea Utara akan mendapat zuriat baharu.

Isteri Jong-un, Ri Sol-ju kelihatan berdiri di sini suaminya dalam upacara memperingati setahun kematian bapa Jong-il.

Pada majlis bagi memperingati kematian Jong-il, bangunan makamnya dibuka selepas kerja-kerja baik pulih dilakukan.

Mayat Jong-il yang diawet itu selepas setahun kematiannya turut dipamerkan kepada orang ramai.
Bangunan tersebut dikenali sebagai Istana Matahari Kumsusan Palace di Pyongyang. - Agensi
 
kosmo/-

Masa depan negara hanya terjamin di bawah BN?

4 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terus membohongi rakyat dengan slogan kosong.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan Najib yang menyebut 'masa depan negara hanya terjamin di bawah BN' adalah satu rayuan undi penuh pembohongan luar daripada batas-batas politik sihat.

“Rakyat semakin bijak menonton kerosakan negara di tangan BN selama 55 tahun memerintah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kedudukan ekonomi rakyat yang merudum dengan hilangnya aset-aset berharga negara semuanya berlaku semasa pemerintahan BN.

Beliau menambah, Bank Bumiputera yang diwujudkan untuk membantu rakyat hilang terus di bawah pemerintahan BN.

Kini, kata beliau pemimpin negara semakin rakus memfaraidkan harta peneroka Felda dengan penyenaraian di bursa saham yang penuh dengan kontroversi.

Begitu juga, ujarnya dengan kedudukan agama dan bahasa yang semakin lemah. Semuanya berlaku dibawah pemerintahan BN.

“Soalnya mengapa begitu sekali takut Perdana Menteri akan kejatuhan BN. Kita memahami amalan demokrasi membenarkan naik dan jatuhnya sesebuah parti,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, jika jatuh sekalipun dalam pilihan raya terdekat, BN masih berpeluang untuk menyertai pilihan raya akan datang.

Tetapi, ujar beliau pelik apabila mereka begitu bimbang dengan kekalahan.

Justeru, kata beliau PAS ingin mengingatkan BN khususnya Najib supaya menghentikan tabiat buruk berbohong kepada rakyat kononnya hanya BN boleh menjamin masa depan negara.

“Kita juga ingin mengingatkan Najib supaya sedia untuk kalah secara terhormat kerana peluang masih terbuka di masa depan, bukannya jatuh dalam keadaan hina sebagaimana yang berlaku di negara-negara Timur Tengah,” katanya lagi.

harakah/-

Perpindahan kuasa selepas PRU13 paling aman

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS penuh keyakinan, perpindahan kuasa yang akan berlaku dalam pilihan raya ke 13 nanti bakal berjalan dengan penuh keamanan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa membayangkan, pihak istana akan memanggil pimpinan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan seawal jam 10 malam hari pilihan raya nanti.

"Ketika itu, Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir sibuk untuk meninggalkan negara kerana bimbang dengan kesalahan masa lalu mereka.

"Manakala rakyat keseluruhannya menyambut perubahan kerajaan dengan gembira," kata Husam dalam satu majlis bersama jentera pilihan raya PAS di Kota Bharu baru-baru ini.

Senario ini disebut sekali lagi oleh Husam yang juga Pengarah 'Roadmap  to Putrajaya' PAS ini kepada Harakahdaily.

Oleh kerana semua rakyat menyambut baik perpindahan kuasa ini, beliau yakin semua pihak yang mendokong negara termasuk angkatan tentera dan polis tidak akan bertembung dengan kehendak rakyat.

"Apabila rakyat membuat keputusan yang jelas memberikan mandat kepada Pakatan, saya yakin semua aparatus negara akan bersama rakyat kerana terlalu tinggi risiko yang diambil kalau mereka tidak bersama rakyat," kata Husam penuh keyakinan.

80 kerusi

Maklumat terbaru yang beliau terima menunjukkan BN bakal mendapat hanya sekitar 80 dari 122 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Beliau juga diberitahu, para pengundi Melayu juga sudah berubah termasuk di kawasan Felda seiring dengan  kajian yang dibuat oleh sebuah badan di Selangor.

"Apabila ini berlaku, masalah yang bakal dihadapi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan adalah menghadapi permohonan berbondong-bondong para wakil rakyat BN untuk menyertainya.

"Kita tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menapis mereka sedangkan kita perlu membuat keputusan segera," kata Husam yang merupakan antara pakar strategi PAS itu.

Sebelum ini, Husam yang mula-mula mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan membuat pilihan raya berasingan dari kerajaan pusat jika tarikh yang dipilih BN tidak sesuai dengan Pakatan.

Akibatnya, Selangor bertegas tidak mahu mengadakan pilihan raya awal dan menghalang Najib dari menetapkan tarikh pilihan raya bersendirian.

Oleh itu, bagi Husam, apa yang berlaku sekarang mencapai sasaran kenyataan beliau hari itu iaitu BN perlu berunding dengan Pakatan dalam menetapkan tarikh pilihan raya atau menolaknya sehingga ke hujung waktu.

harakah/-

Amanat Haji Hadi: Amanat Mahathir bagaimana?

4 Safar 1433H. [MOD] -


1. Saya tertarik apabila membaca desakan beberapa orang ulama Umno yang mahu agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi yang didakwa disampaikan oleh beliau pada 7 April 1981 iaitu lebih kurang 31 tahun lepas. Ini termasuklah Pengerusi ILMU sendiri, Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya di muka hadapan Sinar Harian dan Utusan Malaysia hari ini 18 Disember 2012 yang mendesak agar Amanat ini ditarik balik. Dengan tidak menafikan hormat saya kepada ilmu yang dimiliki oleh beliau, saya mengira bahawa desakan ini tidak lain hanyalah merupakan salah satu helah dari pihak UMNO untuk mencalarkan imej Presiden PAS ditambah dengan suasana yang sedang menghampiri PRU13 ini.

2. Apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi ialah ucapan biasa beliau di sebuah majlis ceramah pada tahun 1981 (ada versi yang menyebut 1979) di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu. Ia kemudiannya dicetak oleh individu perseorangan yang disebut sebagai amanat dan didakwa kemudiannya sebagai punca pemecahbelah umat Islam dan penyebab berlakunya solat dua imam di beberapa lokasi khususnya di Terengganu. Padahal sehingga sekarang tidak ada sebarang kajian terperinci yang dapat mengesahkan dakwaan ini.

3. Perlu diingatkan bahawa isu ini telah berkali-kali dibangkitkan khususnya menjelang pilihanraya umum. Padahal jika disoroti sejarah, Abdul Hadi sendiri pernah bersedia untuk bermuzakarah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2001 tentang isu amanat ini. Pada masa itu barangkali Pengerusi Ulama Muda Umno masih belum terlibat dengan politik atau sedang sibuk berprogram bersama-sama ahli PAS di Madinah. Sekitar bulan April tahun 2001 menyaksikan bagaimana isu 'Amanat' ini dimainkan secara besar-besaran dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Tuan Guru Abdul Hadi (pada masa itu Menteri Besar Terengganu) di kalangan pengundi Melayu.

 Akhirnya, apabila isu ini diperbesar-besarkan sekian lama dan Majlis Fatwa Kebangsaan dikatakan telah bersetuju untuk bermuzarah, tiba-tiba pada 2 Mei 2001, Dr Ismail Ibrahim (pada masa itu sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) muncul di kaca televisyen membuat kenyataan bahawa muzakarah tersebut dibatalkan ekoran ia telah dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu. Soalnya, siapakah yang mempolitikkan isu ini?

4. Saya melihat bahawa usaha Ulama Muda Umno ini lebih kepada mengalih isu yang sedang berlegar di kalangan mereka yang hakikatnya sedang diperhatikan satu persatu oleh rakyat. Adapun apabila ia disokong oleh beberapa orang mufti yang sudah dikenali sebagai pro-Umno, ia langsung tidak menjadi satu perkembangan yang menakjubkan. Mufti Perak sendiri yang masih belum hilang wangi di tangannya setelah menerima sendiri Anugerah PERKASA dari Datuk Ibrahim Ali tentu tidak akan melepaskan peluang ini untuk menghentam PAS habis-habisan.

5. Adapun pihak Ulama Muda Umno, saya kira lebih baik mereka menjawab isu TIADA JIHAD DI PALESTIN yang telah dinyatakan oleh seorang ustaz mereka di dalam salah kuliahnya. Ia tersebar di dalam media Youtube sehingga mengundang kritikan ramai pihak. Tidakkah ini lebih mengelirukan daripada membangkitkan isu lama yang tidak relevan? Atau lebih manis sekiranya tuduhan Doktor Sheikh Al-Qaradhawi yang dikatakan khawarij itu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar Tokoh Maal Hijrah yang dinobatkan oleh kerajaan Malaysia itu sendiri tidak dicemari dengan tuduhan liar ini. Atau adakah lebih tepat jika disebut bahawa kerajaan Malaysia telah memberikan anugerah kepada Tokoh Khawarij?

6. Lebih menarik lagi pula ialah salah seorang daripada Ahli Majlis Syura ILMU ialah Ustaz Rasul Dahri (rujuk : http://ilmuanmalaysia.com/tentang-kami/) yang mana buku-buku karangannya ada yang diharamkan kerana didapati menyebarkan mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan Mazhab Ali Sunnah Wal Jamaah (rujuk : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pengharaman-buku-buku-tulisan-saudara-rasul-dahri-yang-telah-diperakui-haram-0). Dalam keadaan ILMU terpalit dengan individu seperti ini, saya kira lebih baik Fathul Bari menumpukan perhatian kepada membersihkan tanggapan masyarakat terhadap ILMU terlebih dahulu.

7. Jika ucapan Abdul Hadi 30 tahun lepas yang disebut sebagai 'amanat' ini ingin ditarik balik, bagaimana pula dengan amanat Mahathir tentang hukum hudud yang mencetuskan kontroversi sedari dulu lagi. Tidakkah Mahathir pernah mengatakan pada 14 Julai 1992 bahawa 'apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan?" Tidakkah Mahathir juga yang menyebut pada 3 Mac 1994 bahawa 'hukum rejam kepada penzina adalah primitif?' Banyak lagi koleksi ucapan ini jika ingin dijadikan sebagai amanat. Ini belum mengambil kira kenyataan-kenyataan terbaru beliau bahawa hudud tiada di dalam Al-Quran dan isu 'syaitan yang dikenali'. Jika semua ucapan ini disebut sebagai amanat, maka tidak bahayakah Amanat Mahathir kepada umat Islam?

8. Saya kira Amanat Mahathir yang baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya ini agak menarik untuk kita bincangkan...

harakahdaily/-

Jaja foto kaut RM500,000

BUKTI...Azri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek.4 Safar 1433H. [MOD] -

BUKTI...Azri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek. 
 
JOHOR BAHRU: Dengan hanya bermodalkan gambar seekor cicak tokek milik orang lain, seorang penganggur dengan mudah mengaut lebih setengah juta ringgit selepas menipu beberapa individu termasuk penghidap HIV dari luar negara yang mahu memperoleh haiwan berkenaan, kononnya untuk tujuan perubatan. 

Lebih malang, lelaki berusia 26 tahun itu turut menyamar sebagai anak bongsu pemilik cicak tokek berkenan, menjaja gambar keluarga warga emas itu, menyebabkan hidup keluarga terbabit kini tertekan kerana disalah anggap sebagai penipu.

Pemilik sebenar cicak tokek itu yang mahu dikenali sebagai Manaf, 70, berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa mangsa penipuan lelaki itu menghubungi dan datang berjumpanya.

Manaf berkata, keluarganya mengenali suspek dikenali sebagai Zaid itu sejak September tahun lalu apabila dia datang ke rumahnya bersama seorang kenalan keluarga. “Saya sebenarnya berasal dari Singapura tapi kini menetap di Skudai. Sejak berkenalan dengan Zaid, empat kali dia datang ke rumah saya, namun sejak kali pertama datang dia begitu berminat dengan dua cicak tokek yang dipelihara keluarga saya.

“Malah, dia juga merakam gambar haiwan itu dengan alasan mahu menyimpannya sebagai kenangan dan saya tidak menghalang kerana menganggap ia perkara biasa,” katanya yang memelihara dua cicak tokek itu sejak tiga tahun lalu. Manaf berkata, kegiatan penipuan Zaid itu mula terbongkar 30 November lalu apabila seorang lelaki datang ke rumahnya dan bertanya mengapa dia masih belum menerima cicak tokek yang dijanjikan Zaid sedangkan dia sudah menyerahkan lebih RM300,000 kepada lelaki itu.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih rumit apabila suspek turut menyamar sebagai anak bongsunya, Azri, 40, yang juga seorang seorang ahli perniagaan.

“Akibatnya, lima hingga enam mangsa ditipu Zaid menelefon dan memarahi anak saya. Mereka yang tinggal Terengganu, Brunei dan Australia mendakwa sudah membayar keseluruhannya lebih RM200,000 untuk mendapatkan cicak tokek.

“Saya difahamkan sebahagian mangsa penghidap HIV kerana cicak tokek dikatakan mujarab merawat penyakit berkenaan,” katanya.

Manaf berkata, berdasarkan maklumat mangsa, suspek dikatakan melelong cicak tokek didakwa seberat 500 gram dengan harga ratusan ribu ringgit sedangkan cicak tokek peliharaannya hanya seberat empat gram. “Saya kurang pasti sama ada dia menawarkan haiwan itu menerusi laman web tetapi mangsanya terdiri penduduk tempatan dan luar negara,” 

 katanya. Manaf berkata, anaknya bersama seorang mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini, pada 1 Disember lalu. “Kami bimbangkan keselamatan keluarga memandangkan Zaid menjaja gambar keluarga kami ketika menipu mangsanya,” katanya.

metro/-

Selangor buka peluang bina rumah mampu milik

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selangor membuka peluang kepada pemaju mengemukakan permohonan membina rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah bagi memenuhi permintaan rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata kelulusan kepada pemaju tertakluk mengikut syarat yang mesti dipenuhi dan diluluskan oleh Mesyuarat Exco.

Katanya, permohonan akan diluluskan sekiranya kurang permintaan atau kurang permintaan untuk rumah kos rendah di sesuatu kawasan itu.

“Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mesyuarat Exco akan mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sesuatu permohonan.

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, jelasnya Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan permohonan tersebut.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Sri Cempaka berkata, jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS sekalipun, ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco yang dibuat secara collective dan bukan berdasarkan keputusan exco perumahan sahaja.

Rumah mampu milik Selangor dijual pada harga sekitar RM85,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 hingga 1,000 kaki persegi di samping reka bentuk berkonsepkan green building.

Pemaju juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi termasuk untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), mengenakan kos penyelenggaraan yang murah dan keuntungan yang tidak melebihi sepuluh peratus.

harakah/-

Kase desak kerajaan umum batal saman AES

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pihak Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendesak kerajaan mengumumkan pembatalan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana masalah teknikal.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian berdasarkan kepada beberapa orang kena saman (OKS) yang hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini, beliau berkata pihak pendakwa telah mengambil surat saman AES daripada OKS berkenaan dan mengarahkan pulang.

harakah/-

Arab Spring: Najib Cemas & Gerun Dengan Kebangkitan Rakyat Di Malaysia

4 Safar 1433H. [MOD] -

Generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan usaha kerajaan melonjakkan pembangunan dan kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi, selain memastikan Malaysia sentiasa dihormati di persada antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab generasi muda kini bukan sekadar meraih ilmu di pusat pengajian tinggi tetapi perlu mempunyai misi untuk menjadi generasi penyambung yang akan meneruskan usaha generasi sedia ada untuk mempertingkatkan lagi kejayaan dan kemakmuran negara.

"Kita perlu sedia yang terbaik untuk mereka dan menjadikan mereka sebagai rakan kongsi dalam menjayakan usaha ke arah mencapai Wawasan 2020," katanya pada majlis bersama pemimpin pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena Konvensyen Pemimpin Pelajar 2012 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib berkata: "Jika mahu Malaysia dihormati dan disegani di persada antarabangsa, maka kita mesti tampilkan Malaysia sebagai sebuah negara di mana perubahan dan kemajuan sebenar berlaku.

" "Tidak perlu kepada fenomena Arab Spring untuk melihat perubahan dalam negara.

"Ini adalah kerana negara-negara yang telah berlaku ledakan sedemikian belum lagi mengecapi dividen dan pulangan daripada perubahan yang begitu mendadak melalui demonstrasi, rusuhan, konflik sehingga terkorban begitu ramai nyawa, rosak harta benda, industri yang maju hari ini lumpuh," kata Najib.

Beliau berkata, kerajaan juga telah melakukan beberapa perubahan bagi memberi ruang yang selesa kepada generasi muda termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Pindaan Auku itu adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda menunjukkan kematangan dan kepimpinan yang mencakupi kepentingan rakyat keseluruhannya, tambahnya.

"Kita mesti percaya kepada generasi baharu. Mereka adalah anak-anak kita.

Dan hari ini, tiada siapa boleh kata bahawa kita sekat dan cengkam generasi baharu daripada membangunkan intelek dan kepimpinan mereka," katanya.

Seramai 600 pemimpin pelajar IPT seluruh negara termasuk pemimpin pelajar dari politeknik dan kolej komuniti menghadiri konvensyen tiga hari, yang bermula semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Konvensyen itu merupakan sebuah wahana pembangunan dan penjenamaan fungsi, peranan serta kaedah strategik bagi meningkatkan kecekapan, tanggungjawab dan halatuju pemimpin pelajar IPT tempatan. - Bernama

Jalan RM14.9 juta: SPRM digesa siasat Musa Aman

4 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah didesak menyiasat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berhubung sebatang jalan berharga RM14.9 juta.

Mohd Faizal Padlee yang mewakili Jingga 13 membuat laporan kepada SPRM Cawangan Sabah di sini, hari ini berhubung perkara itu. Turut serta ialah Kordinator Jingga 13, Fariz Musa.

Beliau juga mendesak SPRM agar turut menyiasat Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Pengarah JKR Negeri Sabah dan syarikat yang mendapat kontrak oleh JKR berhubung pembinaan jalan itu.

Berikut laporan Mohd Faizal kepada SPRM Cawangan Sabah.

Saya Mohd. Faizal Padlee, No Kad Pengenalan 860209-12-5569 mewakili JINGGA 13 Sabah tampil untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah agar siasatan secara menyeluruh di buat terhadap jalan satu lorong berjarak 0.9 km berharga RM14.9 juta yang dianggarkan jalan paling mahal di Malaysia dan mungkin di dunia.

Jalan raya yang menghubungkan bangunan Yayasan Sabah yang dinamakan juga Menara Tun Mustapha ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah jaraknya hanya 0.9 km. Malah jalan ini dibina bagi menghubung pejabat Ketua Menteri Sabah yang terletak di menara itu ke bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah yang hanya berjarak 0.9 km.

Difahamkan bahawa Jabatan Kerja Raya negeri Sabah mengumumkan bahawa kos jalan tersebut adalah RM14.9 juta. Harga yang cukup luar biasa sedangkan menurut kajian, kos sebatang jalan adalah kira-kira RM1 juta sahaja paling tinggi. Itupun kalau melibatkan laluan yang lebih banyak dan mempunyai jambatan dan sebagainya. Sedangkan  JINGGA 13 Sabah  mendapati jalan antara bangunan Yayasan Sabah dengan Dun Sabah ini hanya satu lorong sahaja iaitu satu lorong pergi dan satu lorong balik. Di tengah-tengah jalan ini pula bukannya ada sebarang pembahagi jalan antara kedua-dua laluan pergi balik itu.

YB Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden dan merangkap Ahli Parlimen Gombak telah mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat sebelum ini berkaitan isu jalan tersebut,  namun malangnya tidak ada sebarang penjelasan diberikan seolah-olah ada sesuatu telah disembunyikan.

JINGGA 13 meminta agar SPRM melakukan siasatan dan pendakwaan berkaitan Skandal Jalan Termahal tersebut terhadap:

1.     Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Aman
2.     Y.B Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur
3.     Pengarah JKR Negeri Sabah
4.    Syarikat yang mendapat kontrak oleh JKR

JINGGA 13 juga mendesak agar siasatan dibuat terhadap perolehan tender projek jalan tersebut yang mungkin wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan dana awam yang melibatkan kos luar biasa pembinaan jalan tersebut berharga RM 14.9 juta. Ketelusan, keadilan dan integriti SPRM sangat penting dalam menyiasat skandal pembinaan jalan termahal di Malaysia dan di dunia tersebut bagi mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

harakah/-