21 Disember 2012

Kompaun lebih RM27,000 dikeluarkan kepada perokok di KLIA dan LCCT


7 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kompaun berjumlah RM27,774 dikeluarkan terhadap 244 individu termasuk 98 pelancong asing kerana merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata setiap seorang dikenakan kompaun minimum RM250 dan sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan. 



"Pejabat Kesihatan KLIA banyak menerima aduan mengenai orang awam yang merokok di kawasanlarangan di KLIA dan LCCT. 

"Berikutan itu operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diadakan selama dua hari bermula 16 Disember lalu dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad 

"Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan Peraturan 11 (1)(g) dan 11(1)(e), PPKHT 2004 di kawasan larangan merokok iaitu di Lapangan Terbang dan Hentian Pengangkutan Awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata dalam operasi itu juga sejumlah 494 Notis Kesalahan dikeluarkan kepada perokok di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata pihak jabatan akan meneruskan operasi berkenaan secara berkala di KLIA dan LCCT bagi mengawal dan memberi kesedaran kepada perokok serta melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi. - BERNAMA

Isu keluluskan tanah untuk VALE di Teluk Rubiah hangatkan dewan.

7 Safar 1433H. [MOD] -

Isu mengenai siapa yang meluluskan tanah untuk VALE di Teluk Rubiah menghangatkan dewan yang bersidang pada sesi petang yang bermula jam 3.00 petang tadi.

ADUN Pasir Panjang mula mencelah semasa wakil Sungai Rapat yang mewakil Kerajaan membuat ucapan penggulungan.

Dato'Seri Nizar bertanyakan bertanyakan kepada Sungai Rapat adakah dia bersetuju bahawa pada sidang yang kepada wakil Pangkor yang juga Menteri Besar Perak telah mengelirukan dewan sesi yang lepas dengan menunjukkan surat yang dikatakan dia meluluskan tanah untuk syarikat dari Brazil itu.

Berlaku perdebatan dan kekecohan pada persoalan itu sehingga reda semula selepas berlaku pertikaman lidah.

Sidang DUN Perak hari ke 5


7 Safar 1433H. [MOD] -


Sidang DUN Perak untuk hari yang bermula pada jam 9.00 pagi berlangsung hingga ke sesi petang.

Sidang sebelah pagi dimulai selama sejam dengan sesi jawapan Kerajaan Negeri kepada soalan-soalan lisan.

Antara soalan lisan yang dibangkitkan ialah mengenai Kolam Air Panas di Kg Ara Panjang Kuala Kangsar.

Kerajaan Negeri menjelaskan kawasan kolan air panas itu memilki keluasa sebanyak 20.8 ekar dan akan dimajukan dimasa akan datang. 

Menurut Kerajaan negeri kawasan ini pernah dimajukan pada tahun 2003 dengan menimbun tanah, membina dewan terbuka dan jalan dengan melibatkan kos RM 200,000.


Kes Sg Petani: Pergaduhan biasa antara remaja

7 Safar 1433H. [MOD] - SUNGAI PETANI: Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (gambar) mengesahkan berita pergaduhan remaja India dengan Melayu adalah pergaduhan biasa yang melibatkan anak-anak muda.

 "Cumanya ianya melibatkan dua kaum," kata Johari, ahli Majlis Tertinggi PKR, dalam kenyataannya. Menurut beliau, ada pihak yang mengambil kesempatan menyalakan api perkauman dan meyebarkan berita yang direka dan khabar angin. "Tiada kematian dan tiada rusuhan di Sungai Petani. 

Polis mengawal keadaan sepenuhnya malah sudah ada tangkapan oleh polis terhadap penyebar khabar angin dan berita palsu," kata Johari dalam kenyataannya. "Saya amat-amat berharap teman-teman membantu saya dan polis memadamkan berita yang tidak betul ini dan meyakinkan rakyat yang keadaan sudah kembali normal," katanya. 

 Baru-baru ini, khabar angin disebarkan melalui facebook dan blog kononnya berlaku pergaduhan antara kaum berlaku di Sungai Petani. Ia menyebabkan pelbagai spekulasi berlaku dan melahirkan ketakutan di kalangan orang ramai. Sementara itu, Bernama melaporkan, Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. 

 Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani. Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan. 

 "Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.

 Harakah Daily

Jelajah Oren Selamatkan Felda Pahang esok

7 Safar 1433H. [MOD] - TEMERLOH: PAS Pahang dengan kerjasama Persatuan Anak Peneroka (Anak) akan akan menganjurkan program ‘Jelajah Oren Selamatkan Felda’ besok, Sabtu dengan konvoi melibatkan empat kawasan parlimen. Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pahang, Md Jusoh Darus, konvoi membabitkan 50 buah kereta dan 50 buah motosikal itu akan disertai kepimpinan PAS Negeri Pahang, pimpinan Anak Pusat serta bekas pegawai tinggi Felda merentasi Bera, Maran, Jerantut dan Kuala Krau. “Kembara Oren bertujuan memberi maklumat kepada peneroka khususnya kepincangan yang sedang berlaku di dalam pentadbiran Felda hasil campurtangan orang politik yang bakal membahayakan masa depan satu-satunya agensi Melayu itu. “Warga Felda tidak seharusnya dibuai dengan keseronokan mendapat habuan durian runtuh tetapi dalam masa yang sama mereka terus dibebankan dengan hutang tanam semula pinjaman perumahan yang mencecah hingga ratusan ribu dalam keadaan harga sawit di pasaran sedang jatuh merudum. “Misi Kembara Oren juga adalah untuk mengajak peneroka mempertahankan satu satunya aset warga Felda yang masih ada iaitu Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai ahli seramai 240 ribu orang terdiri dari kalangan peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda dengan jumlah caruman melebihi RM2 bilion,” katanya. Tambahnya, pemegang saham tidak mahu KPF menjadi seperti Koperasi Maika Holding milik MIC yang hanya tinggal nama akibat campur tangan politik. Sementara itu mengenai program besok, Md Jusoh berkata, akan bermula pukul 8 pagi mula berkumpul di Felda Bukit Kepayang, Bera. Selepas itu bergerak ke Felda Kampung Awah, Maran dan sehinggalah ke Jengka 12 (Parlimen Jerantut). Program akan berakhir dengan ceramah umum di Jengka 11 pada sebelah malam. “Setiap destinasi persinggahan akan diadakan edaran risalah penerangan, ceramah ringkas, ziarah dan sidang media kepada wartawan,” katanya. Harakah Daily

Hasrat mencuri terbantut

7 Safar 1433H. [MOD] - MARANG – Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila hasrat mencuri tembaga anti kilat di bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok di sini, tidak kesampaian apabila mereka ditangkap polis. Dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, dipercayai menceroboh kawasan sekolah kira-kira jam 2.30 pagi semalam, melalui siling bangunan empat tingkat itu dengan memecah bahagian siling bilik air bangunan terbabit. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila sepasukan polis tiba di tempat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh dua pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kehadiran dua suspek terbabit. Pengawal keselamatan terbabit, Mohd Zol Deraman, 44, berkata, dia bertugas bersama seorang rakan menyedari kehadiran suspek selepas melihat kelibat dua lembaga menuju ke arah bangunan sekolah itu, awal pagi semalam. “Saya kemudiannya membuat rondaan di kawasan berdekatan, namun gagal mengesan mereka sebelum menemui sebuah motosikal dan selipar yang dipercayai ditinggalkan dua suspek terbabit di luar pagar bahagian belakang sekolah. “Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada rakan setugas sebelum bergegas ke bangunan empat tingkat itu untuk membuat pemeriksaan, lalu mendapati siling tandas di tingkat empat telah dipecahkan,” katanya di sini, semalam. Mohd Zol kemudiannya menghubungi pihak pentadbiran sekolah dan pihak polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu kerana mengesyaki dua suspek yang menceroboh sekolah itu, berada di atas siling bangunan sekolah berkenaan. Sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kemudiannya berjaya menahan dua suspek terbabit. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. Sinar Harian

Didakwa menipu dua peniaga

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dari Taman Sri Duyung, Seberang Takir, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan menyamar sebagai pengedar rokok dengan menipu dua peniaga kira-kira tiga tahun lalu. Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Affendy Ariffin, 36, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Affendy mengaku tidak bersalah menipu Sabirah Salleh, 25, dengan menyamar sebagai vendor rokok Dunhill dan mengambil 65 kotak, yang setiap satunya mengandungi 20 batang rokok dan 32 kotak yang mengandungi 14 batang rokok serta berjanji akan menggantikannya dengan rokok yang baru. Dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu di Kedai Serbaneka 7-Eleven Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 18 Disember 2009. Selain itu, Mohd Affendy turut mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama dengan menipu Nor Siti Fatihah Jusoh, 19, dan mengambil 23 kotak rokok yang setiap satunya mengandungi 14 batang rokok di sebuah kedai runcit di Lorong Gagak, Kampung Durian Burung, kira-kira jam 5 petang, pada 22 Disember 2009. Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan. Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Noradila menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin. Sementara itu, rakannya, Muhammad Fakhri Abdul Matin, 37, turut dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan bersubahat dengannya apabila menerima wang hasil penipuan jualan rokok di Kedai Serbaneka 7-Eleven, Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi pada 18 Disember 2009. Bagaimanapun, Muhammad Fakhri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 kanun yang sama. Sejurus pengakuan tidak bersalah Muhammad Fakhri direkodkan, Noradila membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Sinar Harian

Suri rumah ditemui mati tertiarap di kebun ubi

7 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang suri rumah ditemui mati oleh sepupunya di kebun ubi kayu di Kampung Bukit Tanah, di sini dekat Jabi, pagi kelmarin. Mangsa Zalina Omar, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam lopak air di kawasan kebun ubi yang terletak hanya 100 meter dari rumahnya kira-kira jam 9.20 pagi. Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata, kematian mangsa hanya disedari sepupunya selepas suami mangsa memberitahu isterinya tidak pulang ke rumah sejak patang Rabu. Menurutnya, mangsa dikatakan pergi ke kebun itu untuk mengambil ubi kayu selepas keluar dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui. “Suami mangsa yang mengalami kecacatan kaki kiri selepas terlibat kemalangan memberitahu saudara bahawa isterinya tidak pulang sebelum mayat isterinya dijumpai pagi kelmarin," katanya. Noor Zainy berkata, mangsa yang tinggal bersama suami dan seorang anak lelaki berusia lima tahun, ditemui berpakaian lengkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan ia sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah. Kata beliau, mangsa berasal dari Kampung Gong Tiong, Keluang di sini, dipercayai diserang penyakit sawan dan terjatuh di dalam lopak itu sebelum meninggal dunia. “Rekod kesihatan menunjukkan si mati menghidap sawan dan sering mendapat rawatan di Hospital Besut," katanya. Sementara itu suami mangsa, Wahab Mustafa, 50, berkata, dia tidak menyangka isterinya yang tidak pulang selepas ke kebun ubi rupa-rupanya meninggal dunia selepas diserang sawan. “Keadaan saya yang uzur menyebabkan saya tidak berdaya untuk mencarinya,” katanya. Menurut Wahab, isterinya sering diserang sawan, kadang-kadang dua kali sebulan, namun sebelum ini tidak pernah berlaku di kebun ubi berkenaan. Sinar Harian

Mayat wanita dalam kereta

7 Safar 1433H. [MOD] - KULAIJAYA – Misteri kereta mencurigakan di kawasan kebun rambutan berhampiran Kampung Desa Idaman, Sedenak, di sini, akhirnya terjawab apabila polis menemui mayat wanita yang dibungkus dengan plastik hitam, semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Asisten Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mayat itu ditemui pada bahagian tempat duduk pemandu dan terdapat kesan bakar pada tempat duduk berkenaan.. “Mayat ditemui selepas pihak polis menerima panggilan dari orang awam sekitar jam 7.20 pagi. “Berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan dipercayai cuba dibakar berikutan terdapat kesan kebakaran di tempat duduk pemandu. “Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak berjaya disebabkan kekurangan oksigen di dalam kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih itu,” katanya kepada Sinar Harian mengesahkan kejadian, di sini, semalam. Mohd Kamil berkata, hasil pemeriksaan, polis mendapati barang peribadi seperti kad pengenalan atau telefon bimbit milik mangsa tidak dapat ditemui. "Tetapi kami percaya mangsa baru sahaja meninggal dunia beberapa jam sebelum dia ditemui orang awam dan kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga turut mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu milik kenderaan sebenar yang berada di Kelantan. “Punca sebenar kematian atau kesan kecederaan dialami mangsa juga masih belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. Sementara itu, salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Wak Jalil, 50, berkata, dia menyedari kereta itu diparkir dalam kebun sejak tengah malam kelmarin, namun menyangka kenderaan itu milik pekebun di lokasi berkenaan. “Sejak dari malam tadi (kelmarin), saya perasan ada kereta di kebun itu, tetapi tidak berani untuk tinjau lebih dekat sebab keadaan terlalu gelap dan saya fikir kenderaan itu mungkin milik tuan kebun. “Bagaimanapun, pagi ini kawasan kebun mula dipenuhi orang ramai selepas mendapati terdapat mayat berada di dalamnya. “Kenderaan itu mungkin milik penduduk luar kerana saya tidak pernah melihatnya di sekitar kampung ini sebelum ini,” katanya. Sinar Harian

Piala Belanda: Ajax atasi Groningen 3-0

7 Safar 1433H. [MOD] - AJAX menewaskan FC Groningen 3-0 dalam perlawanan Piala Belanda di Stadium Euroborg, awal pagi tadi (waktu Malauysia). 

Dalam perlawanan itu, Ajax membuka tirai jaringan menerusi S D Jong pada minit ke-25. Selepas itu, pasukan pelawat terus meledak gol kedua menerusi C Eriksen pada minit ke-49 sebelum V Fischer menutup tirai perlawanan dengan gol ketiga buat Ajax. 

 Keputusan perlawanan bola sepak Piala Belanda yang berlangsung awal pagi tadi: FC Groningen 0 Ajax Amsterdam 3 Sinar Harian

Maut tersepit di roda traktor

7 Safar 1433H. [MOD] - HILIR PERAK - Seorang pemilik traktor terkejut apabila mendapati jentera miliknya bergerak tanpa pemandu di tengah sawah bersama seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi jentera berkenaan, petang semalam. 

 Mohd Razali Talib berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Utara untuk mengambil petrol traktor tersebut setelah seharian membajak bendang miliknya di Parit 2, Sungai Rambai, di sini. 

 Menurutnya, ketika di rumah, dia diberitahu oleh adiknya, Mohd Faiz Talib, 17, yang mengatakan traktor miliknya hilang. “Saya bergegas balik ke bendang berkenaan sebelum menjumpai jentera tersebut bergerak di tengah sawah tanpa pemandu.

 "Ketika mahu mematikan enjin traktor itu, saya terjumpa seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Mohd Razali berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu segera memeriksa keadaan remaja lelaki yang juga salah seorang rakan adiknya dan mendapati dia sudah meninggal dunia sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut. 

 Sementara itu, bapa mangsa, Najiri Alkias, 48, ketika ditemui di Hospital Teluk Intan berkata, kali terakhir jumpa anaknya, Mohd Hisamudin Najiri, 14, ketika bersarapan bersama pagi semalam, di rumahnya, di Parit 3, Chenderong Balai, dekat sini. 

 Jelasnya, anaknya itu sempat menjamah cempedak goreng dan minum air teh yang dibuat isterinya, Azizah Abu Hasim, 45, sebelum keluar membantu saudara membajak sawah. “Kira-kira jam 2.30 petang tadi (semalam), saya menerima panggilan daripada rakan arwah (Mohd Faiz) mengatakan anak saya ditimpa kemalangan.

 “Saya yang tidak percaya dengan berita itu berulang-kali bertanya kepada Mohd Faiz sebelum menyuruh dia menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Najiri berkata, arwah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai. 

Katanya, arwah juga adalah seorang periang yang menyerikan rumahnya dan mereka sekeluarga redha dengan pemergian Mohd Hisamudin. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan. 

 Sinar Harian

Tanda X di belakang mangsa

7 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan lehernya dikelar dan beberapa bahagian badan ditoreh oleh penjenayah dalam kejadian di sebuah tempat simpanan barangan kuil Hindu, di Lebuh Penang, kelmarin. 

Mangsa, Muthu Palaniappan, 82, seorang kerani yang juga penjaga barang berharga milik sebuah kuil ditemui anaknya yang melawat ayahnya di premis berkenaan. Difahamkan, suspek cuba mengambil beberapa patung yang bersalut emas dan berlian bernilai jutaan ringgit yang disimpan. 

Mulut mangsa juga disumbat dengan kain bagi mengelakkan mangsa menjerit dan membuatkan dia lemas. 

Menurut sumber, suspek juga membuat tanda pangkah di belakang badan mangsa dengan darah. “Hasil siasatan awal, polis percaya ada kemungkinan suspek yang mengenali mangsa dan dia juga mungkin sudah merancang untuk melakukan perkara ini. 

 “Bagaimanapun, siasatan polis akan menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran premis berkenaan,” katanya. 

 Siasatan awal kejadian dipercayai bermotifkan rompakan, memandangkan premis tersebut menempatkan berhala, serta barangan kemas milik kuil yang bernilai tinggi. 

 Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, kejadian itu disedari anak mangsa, kira-kira jam 5 petang, ketika datang untuk menemui mangsa. 

 “Siasatan awal, polis mendapati suspek dipercayai menggunakan pintu belakang untuk memasuki premis tersebut. “Ini berdasarkan kesan umpil pada dua pintu besi di belakang, sebelum membunuh mangsa dan melarikan barang berharga. 

Polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mengesan bukti kes,” katanya. Beliau berkata polis masih memburu suspek dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dirancang dan dilakukan lebih daripada seorang suspek. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Sinar Harian

Toure raih Pemain Terbaik Afrika

7 Safar 1433H. [MOD] - PEMAIN tengah Manchester City, Yaya Toure dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2012, berjaya mempertahankan gelaran itu buat kali kedua berturut-turut, semalam. Majlis penyampaian berlangsung di ibu kota Ghana Accra. Toure menewaskan rakan senegara dan juga bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba dan pemain tengah Arsenal, Alex Song, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Toure, yang memenangi anugerah itu tahun lepas, sebahagian daripada pemain pasukan Ivory Coast yang akan menyertai Piala Negara-Negara Afrika. Ia akan berlangsung di Afrika Selatan bulan depan. Song kini bermain untuk Barcelona manakala Drogba mewakili Shanghai Shenhua sejak Mei lepas. Bagaimanapun gelaran terbanyak pemain terbaik Afrika masih lagi dipegang oleh bekas penyerang Barcelona, Samuel Eto'o yang memenanginya sebanyak empat kali. Dalam pada itu, Zambia yang merangkul juara Piala Afrika pula dinobatkan sebagai pasukan terbaik, dan Herve Renard meraih jurulatih terbaik. Berikut senarai pemenang Pemain Terbaik Afrika: 2006 Didier Drogba 2007 Frederic Kanoute 2008 Emmanuel Adebayor 2009 Didier Drogba 2010 Samuel Eto'o 2011 Yaya Toure 2012 Yaya Toure Sinar Harian

Polis tahan 36 individu bergaduh

7 Safar 1433H. [MOD] - ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 36 individu dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani. Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani. Beliau berkata, tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi semalam di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan. “Kita tangkap semua terlibat. Daripada tangkapan itu, ada pertuduhan yang akan kita buat tidak lama lagi. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa lakukan provokasi sehingga mencetuskan hura-hara. Polis juga akan pantau tempat terlibat dan pastikan keadaan terkawal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam. Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan. "Pengamal media sosial diingatkan supaya menghentikan penyebaran berita yang tidak benar. Kalau nak beri maklumat, beri maklumat yang tepat supaya masyarakat tahu apa sebenarnya terjadi di Sungai Petani. "Jadi kalau kita keluarkan berita berbentuk sensasi dan provokasi yang tidak betul, ini membuatkan masyarakat baca dan saya bimbang berita ini akan diterima pakai," katanya. Katanya, berita palsu boleh menyebabkan masalah lebih besar lagi apabila masyarakat percaya berita itu. "Tentu ada puak atau kaum tak berpuas hati. Sedangkan berita ini bukan betul, tidak berlaku pun," katanya. Katanya, semua pihak khususnya orang ramai di Sungai Petani diingatkan agar tidak terpengaruh dan mendapatkan berita tepat dari polis. Sinar Harian

Bayi 18 bulan nyaris maut

7 Safar 1433H. [MOD] - TAMPIN – Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 18 bulan terselamat dari maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka sempat mengelak dari bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 25, Jalan Tampin-Gemas, di sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, bayi berkenaan, Rayyan Norarwin yang dipangku ibunya, Nor Yasme Yahya, 26, di bahagian tempat duduk hadapan hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata, ketika kejadian, bapa bayi berkenaan, Norarwin Jumian, 34, yang memandu Toyota Vios sempat mengelak dari bertembung dengan pacuan empat roda yang tiba-tiba masuk dari arah bertentangan.

“Akibatnya sebelah kiri kereta berkenaan dan pacuan empat roda jenis Hilux remuk. Tiga beranak berkenaan kemudiannya dikejarkan ke KK Gemencheh dan dirawat sebagai pesakit luar. “Bagaimanapun, penumpang tempat duduk hadapan pacuan empat roda berkenaan, M. Ramesh, 30, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) bagi rawatan lanjut. "Pemandunya, A. Ganess, 31, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan turut dikejarkan ke HT,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan yang duduk di bahagian belakang, S. Partheeban, 20, berkata, ketika kejadian dia tertidur dan hanya tersedar sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman. 

 “Bila sedar-sedar sahaja saya lihat pak cik saya yang memandu kenderaan dan rakannya di sebelah sudah mengalami kecederaan parah. Malah, orang ramai juga sudah mulai mengerumuni lokasi kemalangan. “Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana seingat saya kami dalam perjalanan pulang dari Tampin ke Gemencheh selepas selesai menukar tayar baru pacuan empat roda ini,” katanya. Sinar Harian

Kutip sayur dalam tong sampah

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Penjaja warga Myanmar umpama mendapat untung atas angin apabila tidak perlu mengeluarkan modal untuk berniaga selepas mereka bertindak mengutip sayur yang dibuang pemborong untuk dijual. 

Tinjauan Sinar Harian selama dua jam bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi baru-baru ini mendapati sekumpulan warga Myanmar di antara lima hingga enam orang sedang khusyuk mengutip dan memilih sayur yang dibuang pemborong pada tong sampah besar terletak di luar Pasar Borong Kuala Lumpur. 

Tinjauan juga mendapati seorang wanita berulang alik sebanyak tiga hingga empat kali mengangkut beberapa bakul sayur tersebut ke luar kawasan pasar. Sayur-sayur tersebut dipercayai dijual kepada orang awam di luar pasar borong bermula jam 6 petang.

Meskipun masalah tersebut telah banyak kali dibangkitkan namun penyelesaian masih menemui jalan buntu apabila penjaja Myanmar dilihat masih berniaga seperti biasa. Pengunjung pasar, Latifah Ayob, 46, berkata, perkara itu menjadi rutin masyarakat Myanmar yang tinggal di pasar borong untuk menyara kehidupan.

 “Mereka akan memilih sayur dibuang pemborong, kemudian akan dijual kepada orang awam yang rata-ratanya peniaga kedai makanan kerana harganya murah. “Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali membuat operasi penjaja namun permasalahan itu berlarutan dan kini dilihat semakin kritikal,” katanya. 

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohd Fauzi Ishak, 32, meminta badan pemantau dilantik menyelesaikan masalah lambakan warga asing. “Warga asing kini mengatasi warga tempatan, penjaja warganegara dikenakan tindakan kompaun tetapi penjaja asing dibiarkan berleluasa sehingga menjadikan pasar borong umpama perkampungan Myanmar.

 “Kita bimbang sekiranya perkara ini berlarutan dan tidak terkawal akan memudaratkan generasi akan datang kerana anggaran jumlahnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya. Fauzi mengakui bimbang akan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati setiap kali bersama keluarga ke pasar borong untuk membeli barang keperluan niaganya. Dia berharap, permasalahan itu dapat ditangani secara bijak dan dalam masa sama tidak menjejaskan periuk nasi warga tempatan. Sinar Harian

Israel berkeras bina penempatan haram

7 Safar 1433H. [MOD] - BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkeras mahu menambah bilangan penempatan haram Yahudi walaupun pelan membina 6,000 unit kediaman dalam kawasan Palestin dikritik negara Barat, semalam. Selain tambahan hampir 2,000 unit rumah awal bulan ini, media Israel melaporkan lebih 3,000 unit rumah Yahudi sedang dalam pembinaan di Baitulmaqdis dan Tebing Barat. Menurut kumpulan pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan, wilayah timur Baitulmaqdis jatuh ke tangan rejim Israel dalam peperangan pada 1967. Keputusan membina ribuan penempatan haram itu diumumkan Netanyahu sebaik sahaja Palestin menerima pengiktirafan sebagai sebuah negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lalu. Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan ahli Majlis Keselamatannya, turut mengkritik pelan terbaru Israel. Menurut Ki-moon, kerajaan rejim bertindak menambah penempatan haram mereka sekali gus menjadi ancaman kepada pembangunan Palestin. - Reuters Sinar Harian

Dua beradik mengaku salah terbabit rompakan bersenjata

7 Safar 1433H. [MOD] - KUANTAN - Seorang bekas peniaga pasar malam bersama abang tirinya dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang pekerja kedai perabot di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, dekat sini, dua tahun lalu. Tertuduh, Muhammad Norhasri Abdul Wahab, 26, dan abang tirinya, Khaizuan Khairi, 35, dari Kampung Sungai Batu, Panching, dekat sini, kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan tiga sebatan selepas disabitkan bersalah atas satu lagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang peniaga wanita di Balok Perdana pada April 2010. Manakala seorang lagi saudara mereka, Muhammad Norhisham Abdul Wahab, 28, yang kini berada dalam tahanan reman setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan samun melibatkan peniaga perabot itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya. Hukuman terhadap dua beradik tiri itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris, semalam, selepas kedua-dua tertuduh memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sambung bicara berhubung kes tersebut. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim. Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak merompak mangsa sebelum merampas wang tunai RM1,000. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang 26 April 2010 itu, mereka turut menggunakan pisau bagi tujuan menakutkan mangsa berusia 70 tahun sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Manakala Muhammad Norhisham dikatakan menunggu dalam kereta jenis Proton Saga di luar kedai. Susulan kejadian, ketiga-tiga tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira jam 11.15 pagi 9 November 2011 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 22 November 2011 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Bagaimanapun, semasa sebutan pertama, Muhammad Norhasri dan Khaizuan yang berdepan dua tuduhan mengikut seksyen sama dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang manakala Muhammad Norhisham ditawarkan jaminan RM6,000, bagaimanapun semua mereka gagal membayar jumlah jaminan tersebut. Dalam prosiding sama semalam, mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan melibatkan Muhammad Norhisham dalam mahkamah yang sama. Sinar Harian

Heret, ugut pukul ibu

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang anak bukan sahaja tergamak mengheret ibunya dengan kejam, malah dia turut mengugut akan memukul mangsa menggunakan rantai pengunci motosikal apabila permintaannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan. Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan Mohd Hanafi Hasim, 30, dari Kampung Kubang Panjang, di sini, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam. Hukuman itu diputuskan apabila dia mengaku bersalah dengan sengaja mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan menggunakan rantai pengunci motosikal untuk mencederakan ibunya, Tuan Rahamah Tuan Sulaiman, 57. Mohd Hanafi yang tidak bekerja itu mengaku melakukan perbuatan itu di Kampung Kubang Panjang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu. Dengan itu, Mohd Hanafi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L. Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala Mohd Hanafi tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, mangsa yang enggan memberikan RM150 seperti diminta menyebabkan Mohd Hanafi naik angin lalu mengheret ibunya keluar dari bilik. Ketika itu, Mohd Hanafi mengambil rantai pengunci motosikal dan mengugut mahu memukul mangsa. Bagaimanapun, semasa kejadian, salah seorang daripada anak mangsa yang kebetulan berada di dalam bilik menghubungi adiknya memintanya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga menahan Mohd Hanafi yang ketika itu berada di depan rumah. Sebelum ini, Mohd Hanafi pernah mengugut ibunya menggunakan parang sekiranya permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan. Sinar Harian

Ditemui mati depan bilik air

7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - Misteri bau busuk di kawasan perumahan di Taman Uda Murni terjawab, apabila menemui mayat seorang warga emas mati terbaring di depan pintu bilik air rumahnya, petang semalam. Mangsa, Nik Azimah Nik Hussin, 60, dijumpai anak saudaranya, Nik Azli Nik Osman, 44, kira-kira jam 11 pagi, semalam. Nik Azli berkata, dia ada menghubungi mangsa namun tidak dijawab dan disebabkan rasa risau dengan keadaan ibu saudaranya, dia terus menuju ke kediaman Nik Azimah, bagi meninjau keadaannya yang tinggal berseorang di rumah. “Sesampainya di hadapan rumahnya, saya melihat pintu utama rumah terbabit tertutup dan cuba memberi salam beberapa kali namun tiada jawapan. “Curiga dengan keadaan itu saya tinjau keadaan sekitar dan tercium bau busuk dari dalam rumah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian. Azli berkata, melihatkan keadaan itu, dia terus menghubungi polis dan pihak terbabit tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang. “Ibu saudara saya itu tinggal berseorangan selepas anak lelakinya berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur. “Dia mempunyai masalah jantung dan pernah di rujuk di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan berkala,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk proses bedah siasat. Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian. “Mayat mangsa ditemui anak saudaranya dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bilik air dengan berpakaian lengkap dan dipercayai mati dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu. “Mengikut siasatan polis, mangsa dipercayai mempunyai masalah jantung dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada sebarang unsur jenayah,” katanya. Sinar Harian

Ditetak ketika tidur

7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - “Saya terkejut melihat anak saya menerpa ke dapur mengerang kesakitan dengan darah mengalir pekat di lantai dapur,” kata bapa kepada dua beradik yang ditetak, Jaafar Ibrahim, 60, dalam kejadian di Kampung Jejulok Binjai petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Azri Jaafar, 35, mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika sedang tidur di dalam bilik di rumahnya, manakala adiknya Anuar Jaafar, 30, dan rakannya Mohamad Jusoh, 43, ditetak di rumah suspek yang merupakan kenalan mangsa dan ketika itu mereka sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah lelaki berkenaan. Menurut Jaafar, dia tidak menyedari kehadiran lelaki itu yang dipercayai menetak anaknya di dalam bilik, kerana kejadian berlaku begitu pantas dan selepas melihat keadaan anaknya yang parah, dia terus meluru keluar dan hanya nampak sebuah kereta Wira Putih memecut laju. “Hanya cucu saya, Alisya Natasha Azlizu, 10, nampak kelibat lelaki terbabit masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik Azri yang terbuka luas dan mengikut katanya, lelaki itu membawa sebilah parang masuk ke dalam bilik Azri. “Keadaan Azri amat mengerikan apabila belakang badannya terdapat kesan tetakan bertalu-talu yang begitu dalam serta kecederaan parah di bahagian pergelangan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian. Jaafar berkata, melihatkan keadaan anaknya yang tidak dapat menahan kesakitan, dia bersama menantunya bergegas ke hospital dan dalam perjalanan ke hospital, dia menerima panggilan mengatakan seorang lagi anaknya, Anuar serta rakannya yang melakukan kerja-kerja pendawaian bersama rakannya Mohamad juga ditetak lelaki yang sama sebelum menetak Azri yang berada di rumah. “Saya tidak tahu kenapa lelaki itu yang juga penduduk di kawasan kampung ini mengamuk dan menetak kedua-dua beradik itu termasuk rakan anak saya. “Lagipun Azri dan Anuar sebelum ini tidak pernah mempunyai musuh dan menimbulkan kekecohan dengan sesiapa di kampung ini. Apa pun saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk mengesan lelaki itu yang kini masih bebas di luar sana,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian. “Buat masa ini kita sudah mengenalpasti suspek yang berusia dalam lingkungan 24 tahun dan gerakan memburu sedang dijalankan bagi mengesan lelaki itu yang dipercayai melarikan diri bersama isteri dan anak berusia 1 tahun. “Lelaki terbabit juga bekas penagih dan semasa membuat serbuan di rumahnya, di Kampung Jejabi, dia sudah larikan diri,” katanya. Sinar Harian

Piala FA: PKNS boleh lakar kejutan

7 Safar 1433H. [MOD] - JURULATIH PKNS, Abdul Rahman Ibrahim percaya skuad bimbingannya mampu melakar kejutan di pusingan pertama Piala FA 2013 yang akan bermula bulan depan. Menurutnya, meskipun berdepan naib juara Liga Super, Lions XII merupakan satu tugas getir tapi beliau tidak menolak anak buahnya boleh menangani cabaran ini. “Kita tahu Lions XII sebuah pasukan yang kuat dan itu kita harus akui, dan rekod perlawanan sebelum ini juga kurang memihak kepada kami. "Tapi, itu tidak semestinya kami harus cepat mengalah sebelum berjuang dan itu bukan juga halangan untuk kami melakar kejutan. "Jadi, demi memastikan kami meneruskan persaingan dalam saingan Piala FA, saya akan cuba memasang strategi dan memikirkan taktikal yang terbaik bagi menyekat kemaraan Lions XII," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online. Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dengan memiliki penjaring terbanyak Liga Perdana, Patrick Ronaldinho Wleh dan beberapa pemain baru akan memberi kelebihan kepada PKNS, Abdul Rahman menyangkal dakwaan tersebut. Sebaliknya beliau tetap merendah diri dan menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri. "Patrick sememangnya berbisa dan saya percaya pemain ini mampu memberikan kelainan dalam persembahan pasukan, tapi itu bukanlah satu kelebihan buat kami. "Lions XII pun mempunyai barisan pemain yang kuat, mereka juga mempunyai peluang untuk menang. "Jadi, tiada istilah kelebihan buat kami. Apa yang penting sekarang, kita harus fokus dan merancang segala taktikal baru," ujar beliau yang turut berharap beraksi di halaman sendiri pada aksi sulung saingan akan memberi tuah kepada PKNS. "Mungkin sedikit kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri, penonton merupakan pemain ke-12 jadi saya harap pemain melakukan tugas sebagaimana diarahkan," katanya. Sinar Harian

Sekali lagi Utusan disaman, kali ini TG Nik Aziz

7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) membuat keputusan akan menyaman akhbar Umno, Utusan Malaysia yang menyiarkan dakwaan kononnya beliau merasuah dua pemimpin DAP agar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar Perak. 

Perkara ini dimaklumkan beliau dalam sidang media yang diadakan di JKR 10 semalam ekoran laporan oleh Utusan Malaysia. "Ianya satu fitnah untuk memburukkan saya secara peribadi menjelang pilihan raya," kata beliau. 

Utusan menyiarkan dakwaan satu blog Umno kononnya TG Nik Aziz merasuah pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausahanya, Nga Kor Meng agar DAP bersetuju melantik Nizar sebagai Menteri Besar Perak. Rasuah dalam bentuk tanah itu diberikan kerana Adun DAP yang paling ramai dalam DUN Perak, dakwa blog Umno yang disiarkan Utusan itu. 

Isu ini juga dibangkitkan oleh para Adun BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam sehingga mereka dicabar menyebutnya di luar Dewan. "Saya dah kata sebelum ini kalau keluar berita sensasi dalam Utusan jangan percaya, kena selidik dulu sebab sudah banyak Utusan keluar cerita fitnah," katanya. 

Ekoran itu, katanya, beliau telah membuat arahan kepada pegawainya agar membawa kes ini ke mahkamah. "Semoga apa yang berlaku di mahkamah nanti akan perjelaskan cerita yang sebenarnya," kata TG Nik Aziz.  

Tanding pilihan raya 

 Dalam sidang media ini juga, TG Nik Aziz sekali lagi menegaskan beliau akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang ini. TG Nik Aziz yakin dengan pemikiran yang sihat, beliau boleh lagi melawan Umno. "Tanding dalam politik ni tak perlu sangat badan yang sihat tetapi pemikiran yang sihat. Kalau orang ajak bertumbuk, saya tak mampulah," katanya. 

 Harakah Daily

Gaji minima: Taska dan tadika swasta bakal ditutup

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU: Sejumlah 117 buah taska berdaftar dan hampir 200 buah tadika swasta di seluruh negeri Terengganu bakal ditutup jika dasar gaji minima RM900 sebulan untuk pekerjanya dilaksanakan mulai Januari 2013. Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu, Noraini Mustafa berkata, seramai 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Taska negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara mendesak pengecualian gaji minima. “Pada hari ini, 20 Disember 2012 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu bersama 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Tadika swasta negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permintaan kami. “Semua pengusaha taska dan pengusaha tadika bersetuju untuk mendesak pengecualian gaji minima kepada kakitangan taska dan tadika swasta, kerana jika tidak kami terpaksa menutup taska dan tadika kerana tidak mampu membayar gaji pekerja dengan pendapatan yang kami ada, kerana kami tertakluk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan nisbah kanak-kanak terlalu sedikit,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membaca resolusi yang dipersetujui bersama pada Majlis Perbincangan Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu di Dewan Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, dekat sini, 20 Disember lalu. Menurutnya, peraturan tersebut akan dikuatkuasakan pada Januari 2013 kepada semua pekerja sektor swasta termasuk pengusaha taska dan tadika di seluruh negara. Pengusaha Taska Syaz, Hajah Wan Azihah Wan Isa, 47, dari Kuala Terengganu melahirkan rasa kesal, kecewa serta terkilan dengan keputusan kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 sebulan. Ini kerana, katanya peraturan baru gaji minima tersebut membebankan ibubapa serta menyulitkan pengurusan pengusaha taska dan tadika swasta di seluruh negara. Menurutnya, jika tidak dikecualikan semua pengusaha taska dan tadika swata di negeri ini akan ditutup operasi pada tahun depan. “Saya usahakan taska ini selama 25 tahun lalu. Saya rasa kesal, kecewa dan terkilan dengan peraturan baru gaji minima RM900 sebulan yang ditetapkan oleh kerajaan. “Sebab majoriti keluarga yang hantar anak di Taska dan Tadika kita ini bukan di kalangan orang kaya. Keluarga yang hantar pula bekerja berpendapatan sederhana. Andainya, kita (pengusaha) naik (harga) yuran. Ramai di kalangan ibubapa pula yang tidak mampu hendak bayar yuran dua kali ganda. “Kita (pengusaha) tidak mampu untuk menaikkan yuran memandangkan satu faktornya, kita terpaksa bersaing dengan Taska Permata yang ditaja oleh kerajaan sendiri,” jelasnya kepada Harakah. Beliau yang mempunyai enam buah cawangan melibatkan hampir 1000 orang ibubapa turut membayangkan akan ditutup jika kerajaan tidak bertolak ansur dalam isu gaji minima tersebut. Manakala, rakannya Puan Wan Badariah Wan Abdullah, 50, dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman menyifatkan peraturan baru gaji minima tersebut mengganggu periuk nasi pengusaha taska dan tadika swasta di negeri ini. Beliau merayu agar pihak kerajaan melalui kementerian berkenaan mengkaji semula peraturan mengenakan gaji minima serta dikecualikan kepada pengusaha taska. “Saya dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman. Berpengalaman hampir 20 tahun buka Taska ini. Masalah ini sangat mengganggu periuk nasi kami (pengusaha). “Kami buat perusahaan ini semata-mata perkhidmatan dan bukan untuk kaut untung sangat. Kami sangat-sangat memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan (kementerian) untuk mempertimbangkan gaji minima ini. Jika boleh dikecualikan terus dari melibatkan pekerja-pekerja di Taska,” ujarnya. Beliau mempunyai seramai lima orang pekerja dengan 20 orang kanak-kanak sudah pasti tidak mampu menawarkan gaji minima RM900 sebulan kepada pekerjanya. Sehubungan itu, katanya berlaku pelanggaran syarat serta penyalahgunaan peraturan dasar sebenar penubuhan Taska Permata oleh pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sendiri. “Taska Permata yang dikendalikan oleh pihak YPK sendiri tidak mengikuti dasar sebenar Taska Permata. Mereka (Permata) sepatutnya, tidak boleh mengambil anak-anak yang ibubapa mereka berpendapatan lebih RM3,000 sebulan dalam syaratnya. “Saya sendiri alami masalah ada di kalangan ibubapa yang berpendapatan lebih RM3,000 dan pernah menghantar anak-anak mereka ke Taska saya, kini mereka hantar di Taska Permata. “Ini suatu bentuk penganiayaan kepada pengusaha-pengusaha taska swasta serta penyalahgunaan dari segi akta pelaksanaan Taska Permata itu sendiri,” tegasnya. Wan Badariah berharap agar masalah tersebut dipandang dengan teliti oleh pihak berkenaan supaya penyalahgunaan itu tidak berlaku serta Taska-taska Swasta juga mendapat pembelaannya. Ketika ditanya kenapa baru sekarang perkara tersebut dibangkitkan beliau menjelaskan bahawa, sebelum ini pengusaha taska mendapat maklumat lisan dari sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi berkaitan peraturan itu dikecualikan kepada pengusaha taska. “Sebelum ini, kami dimaklumkan secara lisan dari sumber JKM dan lain-lain yang berkait bahawa pengusaha taska swasta dikecualikan pelaksanaan gaji minima itu. Tapi, kami (pengusaha) tidak diberi surat ‘hitam-putih’ tentang pengecualian tersebut. “Sekarang baru kami diberitahu tidak ada pengecualian. Saya pernah menghantar email kepada Persatuan Pengasuh Malaysia tetapi tidak ada sebarang maklum balas,” jelasnya dengan emosi. Menurutnya, jika semua pengusaha taska dan tadika swasta tutup di seluruh negeri akan menyusahkan ribuan ibubapa yang bekerja. Harakah Daily

Tanah 606 ekar: Nizar tuntut penjelasan Zambry

7 Safar 1433H. [MOD] - IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memohon penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berhubung pemberian 606 ekar tanah di Hutan Simpang Belukar Semang, Pengkalan Hulu, Gerik. "Saya hendak tanya kenapa diberikan kepada satu orang, walaupun satu syarikat 202 hektar tapi (ketiga-tiga) syarikat itu beralamat yang sama dan mempunyai satu pengarah yang sama," katanya ketika berbahas dalam persidangan Dun Perak. Adun Pasir Panjang itu mempersoalkan kenapa diberikan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh seorang individu itu. "Inilah syarikat yang bukan Bumiputera tetapi dinyatakan oleh Umno Hidup Melayu, Hidup Melayu. "Mana pergi Melayu hari ini? Ini satu penganiayaan kepada Melayu kerana diberikan kepada syarikat bukan Melayu untuk menguruskan tukul besi ini," tegasnya lagi. Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu memohon Dr Zambry menjelaskan kenapa tidak diberikan kepada syarikat bumiputera yang majoriti orang Melayu tinggal di situ. Beliau ingin mengetahui apakah keistimewaan individu terbabit sehingga mudah mendapat tanah dalam jumlah yang sangat besar itu. Harakah Daily

SPRM mahu tapis calon PRU-13

7 Safar 1433H. [MOD] -


Johan bercakap pada sidang media Panel Perundingan dan Pencegah Rasuah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, semalam.
Johan bercakap pada sidang media Panel Perundingan dan Pencegah Rasuah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, semalam.

Langkah pastikan wakil semua parti bersih rasuah



Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 



Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffarberkata,  ia antara yang dirangka oleh pihaknya untuk dicadangkan berkuat kuasa menjelang PRU-13 tidak lama lagi. 



“Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen atau ADUN yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.



Calon bersih



“Ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat panel berkenaan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), semalam.



Sebelum ini, parti politik menghantar senarai nama calon untuk ditapis SPRM secara sukarela menjelang PRU.



Johan bagaimanapun berkata mekanisme tapisan untuk calon pilihan raya akan ditentukan oleh SPRM.



Beliau berkata, saranan panel berkenaan juga bersesuaian dengan situasi negara yang akan menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.



“Kita mengambil semangat bahawa semua parti sudah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah dan dengan itu kami mengharapkan sokongan semua pihak terbabit,” katanya.



Anggota panel, Anis Yusal Yusoff yang juga Felo Penyelidik Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata saranan itu perlu diberi pertimbangan serius oleh parti politik kerana penting untuk memastikan ia kekal relavan.



Wakil rakyat disegani



“Sebagai parti politik bertanggungjawab, parti seharusnya mempunyai calon yang bersih dan mampu menjadi wakil rakyat yang disegani,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata cadangan itu wajar mendapat perhatian parti politik yang bakal memilih calon untuk bertanding pada PRU-13.



Semak latar belakang



“Menjadi tanggungjawab parti politik untuk menyemak latar belakang calon. Jika terbukti tidak sesuai dan tiada integriti, menjadi tanggungjawab parti pula untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.



Bagaimanapun, katanya, SPR sebagai badan yang mengurus pilihan raya, berpendapat tidak wajar langkah ini diletakkan sebagai syarat kerana ia menyekat kebebasan dan hak rakyat bertanding dalam pilihan raya. BH/-

Facebook cadang kenakan bayaran penghantaran pesanan

7 Safar 1433H. [MOD] -


SAN FRANCISCO: Facebook hari ini memulakan ujian kebolehlaksanaan dengan mengenakan bayaran sebagai jaminan mesej yang dihantar pihak yang tidak dikenali sampai kepada penerima laman rangkaian sosial. 

Facebook berkata, ujian Mesej Facebook, yang hanya dilaksanakan di Amerika Syarikat membolehkan penghantar membuat pembayaran bagi pesanan elektronik yang dihantar ke akaun seseorang, walaupun individu berkenaan tidak dikenali. 


Laman rangkaian sosial itu berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan sama ada dengan menambah isyarat pembayaran dapat meningkatkan hanya penghantaran pesanan yang relevan dan berguna disalurkan kepada ahli. - AF

Dua bas bertembung di Sudan, 33 maut

7 Safar 1433H. [MOD] -


KHARTOUM 21 Dis. - Seramai 33 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila dua bas bertembung di kawasan luar ibu negara Sudan, di sini semalam.

Pegawai berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah bas dalam perjalanan ke bandar Medani dari Khartoum cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum berlanggar dengan sebuah bas yang datang dari arah berlawanan.

Keadaan jalan sempit antara Khartoum dan Medani sering menyebabkan kemalangan dan penduduk tempatan menggelar jalan tersebut sebagai ‘jalan maut’. - DP