21 Disember 2012

Sekali lagi Utusan disaman, kali ini TG Nik Aziz

7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) membuat keputusan akan menyaman akhbar Umno, Utusan Malaysia yang menyiarkan dakwaan kononnya beliau merasuah dua pemimpin DAP agar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar Perak. 

Perkara ini dimaklumkan beliau dalam sidang media yang diadakan di JKR 10 semalam ekoran laporan oleh Utusan Malaysia. "Ianya satu fitnah untuk memburukkan saya secara peribadi menjelang pilihan raya," kata beliau. 

Utusan menyiarkan dakwaan satu blog Umno kononnya TG Nik Aziz merasuah pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausahanya, Nga Kor Meng agar DAP bersetuju melantik Nizar sebagai Menteri Besar Perak. Rasuah dalam bentuk tanah itu diberikan kerana Adun DAP yang paling ramai dalam DUN Perak, dakwa blog Umno yang disiarkan Utusan itu. 

Isu ini juga dibangkitkan oleh para Adun BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam sehingga mereka dicabar menyebutnya di luar Dewan. "Saya dah kata sebelum ini kalau keluar berita sensasi dalam Utusan jangan percaya, kena selidik dulu sebab sudah banyak Utusan keluar cerita fitnah," katanya. 

Ekoran itu, katanya, beliau telah membuat arahan kepada pegawainya agar membawa kes ini ke mahkamah. "Semoga apa yang berlaku di mahkamah nanti akan perjelaskan cerita yang sebenarnya," kata TG Nik Aziz.  

Tanding pilihan raya 

 Dalam sidang media ini juga, TG Nik Aziz sekali lagi menegaskan beliau akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang ini. TG Nik Aziz yakin dengan pemikiran yang sihat, beliau boleh lagi melawan Umno. "Tanding dalam politik ni tak perlu sangat badan yang sihat tetapi pemikiran yang sihat. Kalau orang ajak bertumbuk, saya tak mampulah," katanya. 

 Harakah Daily

Tiada ulasan: