21 Februari 2010

Konvensyen Blogger PAS Perak capai sasaran.

Pesuruhjaya PAS Perak sedang memberikan ucapan semasa menutup Konvensyan Blogger PAS hari ini.


6 Rabiul Awwal 1431H.

PARIT BUNTAR , 20 Feb. :- Konvensyen Blogger PAS yang diadakan di sini telah mencapai sasaran penganjur apabila berjaya mengumpulkan sekitar 50 orang Blogger PAS .

konvensyen sehari itu telah menampilkan perbentangan beberapa kertas kerja yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr. khairuddin Dato Abdul Malik dan Mantan SU Akhbar MB Pakatan Rakyat Perak, Hj. Anuar Hashim. Manakala slot khas pula ialah perbentangan isu semasa dan dailog bersama DS. Nizar serta persembahan dan pelancaran album nasyid kumpulan Q-Har.

Majlis penutup pula di sempurnakan oleh Tuan Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain.

Selain itu konvensyen pada hari ini menyaksikan penubuhan Sekretariat Blogger PAS Perak.

Liwat : Polis, UMNO Dan Mahkamah Sudah Lintang Pukang

6 Rabiul Awwal 1431H
Oleh : Zabidie Abas

Kerjaaan UMNO-BN sedang huru-hara cuba melindungi Mohd Saiful Bukhari dalam pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Polis dikerahkan kesegenap ceramah Pakatan Rakyat untuk sedaya upaya mengagalkan penerangan yang disampaikan.

Mahkamah UMNO-BN pula gagal berlaku adil dan terkial-kial apabila diserang bertali-arus. Terpaksa bertangguh akibat salah membuat pertimbangan dan keputusan.

Hakikatnya Polis, mahkamah, Utusan Malaysia dan TV3 berhempas pulas menghabiskan wang rakyat dan keringat untuk membantu Datuk Seri Najib Razak.

Tiada dapat dinafikan ahli, penyokong dan pemimpin akar umbi UMNO dan BN makin terkedu masalah yang dicipta oleh Presiden UMNO.

Majoritinya yang mengatakan 'jerat makan tuan'.

Para hakim pula tiada cukup tanah nak menyorok bila diserang oleh barisan peguam professional yang mewakili Anwar Ibrahim.

Adakah anda percaya Anwar Ibrahim meliwat ? Mohd Saiful, Ghani Patail dan Musa Hassan dan ahli UMNO ada jawapannya.

Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS

6 Rabiul Awwal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi" dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.

Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.

Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.

S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?

J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?

J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.

Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.

Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.

S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?

J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.

Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.

Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.

S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.

Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.

Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.

Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.

Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.

Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.

KOLEJ TAHFIZ AL-QURAN: MINTA KERAJAAN RANGKA KERTAS DASAR YANG KOMPREHENSIF

6 Rabiul Awwal 1431H

Kenyataan Media (18 Februari 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh dan meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan cadangan untuk membina Kolej Tahfiz Al-Quran bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Maahad Tahfiz menyambung pelajaran mereka ke peringkat diploma amatlah di alu-alukan.

DPPN Pk yakin usaha Kerajaan Negeri tersebut akan memastikan satu sistem pendidikan Islam yang menyeluruh bagi Maahad Tahfiz untuk beroperasi di setiap daerah jika benar ianya sebahagian daripada agenda untuk memartabatkan pembangunan Islam di Negeri Perak ini.

Malah usaha ini adalah menjadi agenda yang perlu di laksanakan bagi memberikan kefahaman kepada generasi muda Islam untuk memahami dan melaksanakan kefahaman yang sebenarnya. DPPN Pk amat berkeyakinan usaha ini adalah langkah yang terbaik bagi menyampaikan agenda pembangunan Islam ini.

DPPN Pk sekali lagi mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri di atas langkah dan inisiatif yang telah di lakukan. Usaha untuk pembangunan Islam harus menjadi agenda utama Kerajaan Negeri untuk memberikan kefahaman berkaitan Islam yang sebenar kepada rakyat.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.



NOTIS AKHIR ZAMAN

6 Rabiul Awwal 1431H
Email : Mann Trex

Salam alaik,

Kita dah lama terima notis ini tapi masih main-main lagi dengan begitu hebat berpolitik, berpecah, bersukaria, berasabiyah, terkinja-kinja berkaraoke dan lepas tu ada hati pulak nak komplen kena tindas.

Rasulullah SAW pernah bersabda mafhumnya:
"Seluruh manusia akan mengelilingi kamu (umat Islam) bagaikan yang kebulur mengelilingi hidangan makanan.

Lalu seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah?

Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan kamu amat ramai laksana buih di lautan. Allah akan mencabut gerun daripada hati musuh terhadap kehebatan kamu dan menyematkan dalam hati kamu dengan perasaan al wahan.

Lantas sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al wahan itu? Ujar Baginda: Al-wahan ialah cintakan dunia dan takutkan mati."

(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

AL-WAHAN adalah penyakit utama penyebab Umat Islam ditindas, diancam, dihina, lemah dan perpecah-pecah. Sendiri cari penyakit, patut telan ajelah. Sebaliknya nak komplen sana-sini sehingga ramai yang dah naik jelak. Tengoklah sendiri, tiada siapa yang hormat pada Umat Islam. Perundangan Islam kena tentang dan setiap perkara yang disediakan untuk membantu Umat Islam dipersoal oleh kafirin. Ini semua sebab Al-WAHAN dalam diri.

UBAT penyakit Al-WAHAN ialah : AMALAN SOLEH dan INGAT KEPADA MATI. Bak kat Abu Huzaifah Al-Yamani, bila kenal kejahatan, maka senang kenal perkara yang baik.

Kalau tak nak nak makan ubat, bermakna sedang menyediakan diri untuk diratah oleh segala jenis kumpulan kafirin, fasikin dan munafikin. Kita mau ke keturunan kita kena buli dari segenap arah, jika kita enggan berubat?

Selamat Berkonvensyen.

Saya mengucapkan kepada semua delgasi dikalangan blogger PAS Perak dari dekat dan jauh "Selamat Berkonvensyen" semua kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membawa satu wajah baru dalam perjuangan kita sesudah ini.

Misi menawan Perak pada PRU ke 13 adalah misi yang menjadi topik utama pada hari ini. Dengan kesepaduan fikrah dan gerak kerja yang akan dijana pada hari dan diharapkan semuanya akan berjalan lancar.