23 Disember 2009

Jumlah Pengeluaran Bahan Makanan di China Cipta Rekod Tertinggi dalam Sejarah

5 Muharram 1431H

Jumlah pengeluaran bahan makanan di China mencipta rekod tertinggi dalam sejarah sementara bekalan bahan makanan, minyak dan sayur-sayuran adalah mencukupi.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penanaman Kementerian Pertanian China, Ye Zhenqin di Beijing hari ini.

Myentuh masalah kenaikan harga bahan makanan, minyak dan sayur-sayuran baru-baru ini, beliau berkata, jumlah pengeluaran bahan makanan di China dijangka akan melebihi 500 bilion kilogram pada tahun ini. Jumlah pengeluaran sawi pula mencipta rekod tertinggi dalam sejarah.

CRI/-

Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah

5 Muharram 1431H

Majlis Penyampaian Bantuan kepada murid miskin disempurnakan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat ADUN Titi Serong, Saudara Haji Zakaria Abdullah sambil disaksikan oleh AJK PAS Cawangan Parit Tok Ngah.

Parit Buntar, 22hb Disember, 2009 : Pusat Khidmat ADUN Titi Serong dengan kerjasama PAS Cawangan Parit Tok Ngah Darat hari ini tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada murid miskin dalam DUN Titi Serong.

Menurut penjelasan ADUN Titi Serong YB. Drs. Khalil Idham Lim, bahawa program penyampaian bantuan kepada murid-murid yang tidak berkemampuan akan diteruskan sebagaimana biasa walaupun dinafikan peruntukkan oleh kerajaan negeri.

Jelas beliau lagi pihaknya akan berusaha mengumpul dana dari pelbagai pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk menjayakan program sebegini apabila menjelang penggal persekolahan yang baru.

Untuk tahun ini pihak Pusat Khidmat ADUN Titi Serong mendapat kerjasama sepenuhnya daripada PAS Cawangan Parit Tok Ngah Darat untuk menyumbangkan bantuan kepada pihak terbabit.

Bantuan yang dihulurkan pada tahun ini berupa pakaian sekolah, stokin dan kasut sekolah dan lain-lain keperluan.

Pusat Khidmat ADUN mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma yang menyumbang sumbangan untuk menjayakan program bantuan kepada murid-murid miskin. Semoga sumbangan yang dihulurkan itu dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Sebarang sumbangan boleh dihulurkan terus kepada Tabung Amal DUN Titi Serong (MBB : 558417101923) bagi menjayakan program-program bantuan kepada fakir-fakir miskin dalam DUN Titi Serong.

SURAT RASMI CABARAN DEBAT ISU KETUANAN MELAYU

5 Muharram 1431H
Email : Safarizal saleh

Kepada :

Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi
Penolong Setiausaha,
Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak,
Tingkat 5, Bangunan UMNO Perak,
Jalan Raja Dr. Nazrin Shah,
30250 Ipoh.

Y.Bhg. Saudara;

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar untuk mengadakan debat dengan pihak Y.Bhg. saudara isu ‘Ketuanan Melayu’ yang diwar-warkan oleh pihak Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa ketika ini. Saya mencadangkan agar debat ini diadakan bagi membuktikan bahawa siapakah yang mengadai bangsa Melayu selama ini?

Debat ini perlu diadakan jika UMNO benar-benar ikhlas dan berani untuk menyelamatkan bangsa Melayu. Kami di pihak DPPN Pk yang memperjuangkan syariat Islam sudah pasti meletakkan Islam sebagai asas penyatuan dan memastikan orang Islam untuk patuh menjadi hamba kepada PenciptaNya.

Kami tidak ingin lagi mendengar retorik daripada UMNO yang mengatakan mahu membela dan menjaga bangsa Melayu tetapi dalam masa yang sama UMNO lah yang sebenarnya menggadaikan bangsa Melayu sehingga menyebabkan bangsa Melayu tetap mundur dan menjadikan mereka alat politik bagi menyokong kepentingan UMNO. Mengapa perlu menyalahkan bangsa lain atas kemusnahan yang dilakukan oleh UMNO itu sendiri.

Jika benar UMNO membela bangsa Melayu, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu tidak diberikan hak royalti minyak yang sepatutnya? Apakah yang UMNO ingin buktikan hak rakyat Negeri Kelantan dengan wang Ehsan?

Pihak kami akan menunggu persetujuan dan menyerahkan penetapan tarikh, masa dan tempat bila-bila masa sahaja daripada pihak Y.Bhg. saudara.

Saya menyarankan supaya bukan sahaja cabaran ini antara saya dan saudara tetapi kita secara bersama boleh menjadi orang tengah untuk menjadikan satu pentas debat dan keadilan antara UMNO dan juga PAS pada bila-bila masa.

Sekian, Terima kasih. Wasallam.

Saya yang benar,

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PERLAWANAN BOWLING PERSAHABATAN ANTARA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK DAN WARTAWAN

5 Muharram 1431H

Kepada :-

Semua Editor dan Wartawan,
Media Massa.

Saudara / saudari,

Adalah dimaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) akan menganjurkan perlawanan tersebut pada maklumat seperti berikut :-

Tarikh : 23 Disember 2009 / 6 Muharram 1431H (RABU)
Masa : 9.00 malam
Tempat : Ampang Superbowl, Ipoh Parede, IPOH.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak juga akan meraikan wartawan-wartawan yang akan berpindah daripada Negeri Perak.

Semua wartawan dijemput hadir untuk membuat liputan. Terima kasih.

Saya yang menjalankan tugas,

SAFARIZAL BIN SALEH
Penolong Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PR akan realisasikan jalan ke Putrajaya - Chua Jui Meng

5 Muharram 1431H

KULIM, 21 Dis: Hasrat Pakatan Rakyat (PR) merealisasikan impian untuk menakluki Putrajaya akan menjadi realiti sekiranya kerjasama dan kesatuan yang sedia ada dipertahankan setelah mendapat kepercayaan rakyat.

Menurut bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng, kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu harus menjadi platform dan landasan untuk menambat hati rakyat dengan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diharapkan oleh mereka diperjuangkan oleh PR.

(Gambar: Datuk Seri Chua Jui Meng disambut ketika hadir dalam majlis makan malam anjuran PKR Padang Serai.)

"Saya yakin PR tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana calon yang diletakkan oleh Barisan Nasonal (BN) dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan kerana rakyat sendiri sedar dan inginkan pembaharuan dilakukan dalam negara.

"Saya tidak lupa semasa saya berada dalam MCA, PR berhadapan dengan kritikan hebat daripada BN kerana ketiga-tiga parti dalam PR tidak bersatu dan membawa hala tuju masing-masing.

"Namun begitu setelah mereka disatukan dalam satu Pakatan maka pengaruh yang ada pada mereka semakin kuat. Rakyat semakin optimis untuk memberi sokongan kepada PR untuk membawa perubahan dalam sistem pemerintahan negara," katanya.

Menurut beliau lagi usaha harus ditingkatkan oleh PR untuk menjadikan impian menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

"Saya ingin menegaskan disini sekiranya BN dan kerajaan yakin bahawa dengan dakwaan serta cubaan mereka untuk menangkap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mematahkan semangat yang ada dalam pimpinan dan penyokong PR dan akan melumpuhkan sama sekali PR, ini adalah satu prasangka yang silap. PR tidak akan berpecah.

"Kita juga akan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mempertahankan dakwaan tentang isu rasuah keatas Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sengaja digembar-gemburkan oleh BN bagi mencapai hasrat mereka untuk memesongkan pemikiran rakyat yang sedia menyokong PR," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Jamuan Makan Malam sempena 10 tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) anjuran PKR Padang Serai di Kulim, Kedah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan serta kepimpinan PR Negeri Kedah.

HarakahDaily.Net/-

Anwar dapat anugerah 'pingat demokrasi' antarabangsa

5 Muharram 1431H

SHAH ALAM, 21 Dis: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan 'pingat demokrasi' oleh Persatuan Antarabangsa Konsultan Politik (IAPC) dalam satu majlis di Shah Alam Convention Centre, dekat sini petang ini.

IAPC ditubuhkan pada tahun 1968. Ia adalah organisasi global yang profesional politik dan penasihat urusan awam yang didedikasikan untuk menggalakkan demokrasi di seluruh dunia.

Ia dianggotai oleh ahli daripada lebih 20 negara di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Australia.

Menurut satu kenyataan IAPC, setiap tahun, IAPC akan menganugerahkan pingat penghargaan kepada individu atau pertubuhan yang melambangkan komitmen untuk demokrasi melalui ucapan dan tindakan mereka.

Sebelum ini, antara penerima pingat ini adalah Morgan Tsvangerai dari Afrika Selatan dan Martin Lee dari Hong Kong.

Pada tahun 2009 Anwar Ibrahim dipilih sebagai penerima pingat ini kerana keberanian dan usaha yang tak henti-henti beliau untuk memulihkan kerajaan demokratik di Malaysia, kata kenyataan itu.

Setelah menghabiskan satu dekad berpolitik, tsunami politik berlaku di Malaysia iaitu pilihanraya umum Mac 2008. Ia telah selamanya mengubah lanskap politik Malaysia.

"Ada akauntabiliti yang lebih besar dalam kerajaan dan sudah ada kebangkitan umum dalam masyarakat Malaysia dan menemukan kembali kekuatan suara mereka," kata kenyataan itu.

Selepas ditangkap, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen apabila beliau menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ogos 2008. Dia kemudiannya dilantik sebagai ketua pembangkang di parlimen Malaysia.

"Dia terus menjadi suara terkemuka untuk pembaharuan dan perubahan di negara ini," kata kenyataan itu.

Foreign Policy Magazine menamakan beliau salah seorang 100 pemikir global dan Royal Institute of Strategic Studies memasukkan beliau dalam senarai daripada 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia.

Tokoh yang akan menyampaikan penghargaan untuk Anwar Ibrahim petang ini adalah Ahli Majlis IAPC, Robert Murdoch.

HarakahDaily.Net/-

Rasuah sebabkan Umno tidak sesuai lagi untuk perintah negara - Mohamad Sabu

5 Muharram 1431H

KULIM, 21 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional(BN) sudah tidak sesuai lagi untuk meneruskan pemerintahan mereka dalam negara ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Padang Serai di Kelab Rekreasi Cina, Kulim, Kedah.

Menurut Mohamad lagi, dengan pemerintahan Umno dan BN rakyat bukan saja menjadi mangsa kepada bentuk pemerintahan yang tidak adil dilaksanakan oleh mereka malah amalan korupsi yang sekian lama diperdebatkan oleh rakyat tidak menjadi satu perkara yang pelik kepada mereka.

(Gambar: Mohamad Sabu disambut ketika menghadiri majlis makan malam anjuran PKR Padang Serai)

"Makin banyak perkara rasuah dan korupsi yang kita utarakan semakin banyak lagi berlakunya amalan tersebut dikalangan pemimpin Umno dan BN.

"Bagi mereka adalah suatu perkara yang tidak pelik apabila memperkatakan rasuah yang menjadi amalan kepada kepimpinan mereka.

"Sepatutnya sebagai pemimpin dalam kerajaan yang memerintah mereka harus peka dan berasa malu dengan amalan rasuah yang menjadi sebahagian daripada hidup kepimpinan mereka. Tetapi ini tidak membawa apa-apa makna kepada mereka," kata Mohamad.

Menurut beliau lagi oleh kerana itu maka rakyat harus menjadi penentu kepada hidupnya Pakatan Rakyat (PR) dalam era pemerintahan kini dan akan datang.

"Justeru itu rakyat harus memberi dokongan yang kuat kepada PR supaya apa yang menjadi hasrat kita bagi mengembalikan keadilan kepada rakyat dan mengenyahkan amalan rasuah dan korupsi yang menjadi amalan kepada Umno dan BN dapat kita hapuskan," tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan dan kepimpinan PAS, DAP dan PKR Kedah.

HarakahDaily.Net/-

Muslimat PAS sambut baik dasar PR tingkatkan peranan wanita

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyambut baik usaha Pakatan Rakyat (PR) meningkatkan peranan serta memartabatkan golongan wanita di negara ini, kata Timbalan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yussof.

Siti Zailah ketika diminta mengulas berhubung dasar mengenai wanita dan institusi keluarga yang dipersetujui Pakatan berkata, usaha itu membuktikan PR memberikan kepercayaan kepada golongan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kemajuan negara.

"Kita (DMPP) sambut baik hasrat PR untuk memartabatkan kaum wanita setaraf dengan kaum lelaki. Ini menunjukkan Pakatan semakin meletakkan kepercayaan kepada wanita untuk terlibat dalam urus tadbir masyarakat dan negara," katanya ketika dihubungi harakahdaily pagi tadi.

Menurut Siti Zailah, pencapaian golongan wanita dalam pelbagai aspek merangkumi pendidikan, politik dan kemasyarakatan tidak dapat disangkal lagi apabila golongan ini sentiasa terkehadapan dalam membawa isu masyarakat.

"Kita lihat sekarang ini peranan wanita begitu penting dalam pembangunan negara dan wanita ada di mana-mana sahaja dalam memperjuangkan isu-isu rakyat. Jadi pengiktirafan yang diberikan pakatan sangat munasabah dengan pencapaian yang telah ditunjukkan,"katanya yang juga Ketua Muslimat Kelantan.

Ketiga-tiga parti, PAS-PKR-DAP dalam konvensyen Pakatan Rakyat Sabtu lalu sebulat suara bersetuju dengan dasar yang ditetapkan mengenai wanita iaitu memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60 peratus dalam empoh 10 tahun akan datang berbanding 46 peratus sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

Selain itu, PR juga bersetuju untuk memperuntukkan 30 peratus perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

Menurut Siti Zailah lagi, wanita khususnya Wanita PR harus menyambut baik dasar tersebut dan tidak harus mensia-siakan peluang dan ruang yang diberikan kepada golongan wanita.

"Saya menyeru semua wanita terutama Wanita Pakatan Rakyat, menyambut baik usaha ini dan bersedia serta membuat persiapan dari sekarang agar dasar yang ditetapkan itu menjadi kenyataan," tegas Ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Beliau juga yakin Wanita Pakatan dapat bersaing dan menandingi Wanita Umno BN dalam menjuarai isu-isu dalam negara sekiranya mereka berusaha gigih untuk mencapai matlamat itu.

Sementara itu, dalam perutusan Maal Hijrahnya yang disiarkan di blognya, sitizailah.blogspot.com, beliau menyeru seluruh muslimat PAS memantapkan persiapan dalam segenap aspek untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13.

Beliau berkata, muslimat sudah tidak mempunyai banyak masa untuk berlengah-lengah dalam usaha memenangkan parti.

"Semua muslimat di semua peringkat hendaklah berubah dari segi tindakan, gerak kerja, strategi ke arah mencapai kecemerlangan. Kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk berfoya-foya dan bermain-main dalam kerja kita. Setiap detik hendaklah diisi dengan program dan gerak kerja yang memberi keuntungan kepada Islam," tulisan beliau dipetik.

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah ini, beliau juga mengajak muslimat menyorot sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam.

Ujarnya, kejayaan Rasulullah S.A.W. membentuk negara Islam pertama di madinah dengan masyarakat yang majmuk membuktikan Islam mampu memerintah dengan cemerlang sehingga menggerunkan kerajaan Rom dan Parsi pada waktu itu.

Beliau berkata, muslimat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah ini dengan membuat penghijrahan dalam hidup ke arah kebaikan.

"Tahun Baru Hijrah mengingatkan kita dengan perjuangan Nabi S.A.W dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Seharusnya kita sebagai umat Islam mengambil iktibar dari peristiwa hijrah ini dengan membuat penghijrahan dalam hidup kita ke arah yang lebih baik tidak kira dari segi ibadah dan akhlak supaya terus istiqamah mengikut jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W.," katanya.

Menurut Siti Zailah lagi, selari dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah, muslimat seharusnya menanam semangat daya juang dan kesungguhan dalam memperjuangkan Islam tanpa mengenal erti putus asa.

"Tahun baru hijrah juga seharusnya menanam semangat daya juang dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah. Keikhlasan, kesungguhan, pengorbanan yang tinggi, kecintaan hanya pada Allah mengatasi segala yang lain, kesabaran, keikhlasan setiap langkah perjuangan dilalui dan aiatur penuh strategi, ketabahan dan kekuatan azam dalam berdepan dengan musuh, keyakinan terhadap pertolongan Allah dan memperbanyakkan doa dalam setiap detik cabaran perjuangan yang dihadapi,"katanya.

HarakahDaily.Net/-

Bini PM ini GILA kuasa!

5 Muharram 1431H
ubokkawah.blogspot.com/

Saya pernah bertugas dibawah PM Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, saya juga pernah bertugas dibawah PM Malaysia kedua, Tun Haji Abdul Razak Hussain, tetapi isteri PM pertama dan isteri PM kedua tu tak pernah mencampuri urusan Negara yang dikendalikan oleh suami-suami mereka. Begitu juga dengan isteri Tun Hussin Onn, dan isteri Tun Dr Mahathir.

Mereka hadir ke Majlis-Majlis rasmi bila mana kehadiran mereka dituntut oleh protokol.

Tetapi bini PM yang ada sekarang ni, hari-hari mahu beritanya disiarkan didada-dada akhbar dan dikaca-kaca tv, dan berucap seolah-olah dialah PM dan dialah yang mewakili Kerajaan.

Meluat betul melihat telatah yang lebih sudu dari kuali ni. Insya Allah, perbuatan yang di "nyampah" oleh rakyat ini akan mempercepatkan BN tumbang!

HarakahDaily.Net/-

Enjin jet dan C4: Menteri Pertahanan mesti ambil tanggungjawab

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Pemimpin Umno yang menjadi Menteri Pertahanan ketika berlakunya kehilangan enjin jet Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bukan membuat penafian begitu sahaja.

Pemimpin berkenaan juga perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan seorang wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu, sehingga hancur berkecai kerana ia biasanya digunakan tentera bukannya polis.

Demikian kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Sebagai menteri beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kedua-dua kejadian ini, beliau mesti menjawab secara rasmi, dengan kenyataan bertulis dan disertakan dengan sokongan-sokongan bukan hanya melalui penafian dan sumpah semata-mata," kata Dr Lo' Lo'.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting ini kerana ia melibatkan penyalahgunaan kuasa yang begitu jelas dan menimbulkan tanda tanya.

Dr Lo' Lo' dipercayai mengulas peristiwa kehilangan sebuah enjin jet pejuang F-5E milik TUDM yang berharga lebih RM50 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan tidak berniat untuk menutup hal itu.

Beliau berkata, TUDM dan Kementerian Pertahanan telah membuat laporan polis sebaik sahaja perkara itu diketahui hujung tahun lepas.

Ketika peristiwa kehilangan enjin jet itu berlaku, Menteri Pertahanan adalah Najib sendiri.

HarakahDaily.Net/-

Gerak cadang lantik pesuruhjaya SPRM, AG lalui Parlimen

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Perlantikan Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara (AG) yang baru disarankan melalui sesi penghujahan dan saringan integriti di bawah bidang kuasa Parlimen.

Pengerusi Gerakan Anti Rasuah dan Korupsi (Gerak) Mohd Nazree Mohd Yunus petang tadi berkata, dengan berbuat demikian mampu memperkasa Malaysia sebagai 'Good Governance'.

Jelasnya, suatu usul diperlukan pada sidang akan datang demi membolehkan semua Ahli Parlimen menyertai sesi penghujahan tentang calon-calon kedua-dua jawatan penting itu.

Ujarnya lagi, suatu saringan yang ketat dan serius turut diperlukan demi memulihara semula tanggapan awam terhadap institusi kehakiman negara dan SPRM sendiri.

Beliau juga berpendapat perlantikan melalui parlimen lebih menyerlahkan lagi budaya integriti nasional, berbanding kaedah perlantikan yang sedia ada - iaitu Perdana Menteri mencadangkan nama calon dan diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang sepatutnya tamat kontrak perjawatan Mei tahun depan, meminta ditamatkan kontrak lebih awal, iaitu pada 31 Disember ini.

Keputusan Ahmad itu dipercayai umum ekoran beberapa desakan, termasuk kes kematian Teoh Beng Hock Ogos lalu.

Pengunduran Ahmad memberi laluan kepada Datuk Abu Kassim Mohamed menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan diperkenan oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pun begitu, Peguam Negara Abdul Ghani Patail masih enggan berundur, walaupun banyak pihak mempertikai kredibilitinya.

Selagi kerajaan menggunakan kaedah perlantikan yang sedia ada, selagi itu masyarakat mempertikai kesungguhan kerajaan dalam merealisasikan 'Good Governance' di Malaysia.

HarakahDaily.Net/-

Perhentian bas Kuala Berang pula runtuh

5 Muharram 1431H

HULU TERENGGANU, 21 Dis: Bangunan Perhentian Bas Kuala Berang dekat sini runtuh kira-kira jam 4 petang tadi menjadikannya ianya yang ke empat seumpamanya di Terengganu selepas sekolah, stadium dan juga masjid runtuh sebelum ini.

Menurut saksi kejadian, bahagian depan bangunan belum siap sepenuhnya itu runtuh dipercayai selepas pekerjaan pembinaannya memijak bahagian depan bangunan ketika mahu memasang cermin di atas bangunan itu.

(Gambar: Bahagian depan bangunan stesen bas Kuala Berang yang masih dalam pembinaan runtuh)

Menurut beliau, bahagian yang terputus adalah bahagian penghubung yang dipeteri antara bangunan dengan atap depan bangunan itu.

Menurut papan tanda di depan projek tersebut, bangunan ini adalah milik Majlis Daerah Hulu Terengganu. Ia berupa projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam.

Arkitek projek ini adalah SAM Arkitek Perunding, juruteranya adalah MNA Consultant Sdn Bhd, juruukur bahan adalah Contract Management Consultant dan kontraktornya adalah Gemilang Mega Sdn Bhd.

(Gambar: Papan tanda di depan bangunan ini)

Di atasnya jelas tertulis perkataan "Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional".

Ketika kejadian tidak ada sebarang ribut atau angin kencang melanda kawasan itu sungguhpun Pantai Timur sekarang sedang menghadapi banji semula.

Projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam di Kuala Brang itu bernilai RM4.2 juta itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang menyebabkan empat pekerja termasuk tiga warga Bangladesh cedera.

Akibat runtuhan itu, atap gentian kaca yang berukuran 1 x 2 meter bertaburan di bahagian laluan pejalan kaki bersama penyokong yang tercabut dengan bahagian bumbung itu.

Harakahdaily difahamkan kos untuk pemasangan bahagian bumbung pada projek yang dimulakan pertengahan 2008 lalu itu sekitar RM700,000.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman runtuh di negeri ini.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok dilaporkan bocor.

HarakahDaily.Net/-



Ahli parlimen BN lebih pentingkan projek

5 Muharram 1431H

KOTA BHARU, 21 Dis: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan anggota-anggota parlimen Barisan Nasional (BN) lebih mementingkan projek sehingga ramai tidak hadir pada persidangan parlimen.

Mursyidul Am PAS itu berkata, mereka bukan menjalankan tanggungjawab untuk memperjuangkan isu rakyat, sebaliknya menjaga poket sendiri.

“Kerana itu wakil rakyat mereka tidak pedulikan nasib rakyat, sebaliknya lebih pentingkan makan angin, berniaga dan banyak urusan luar dan bukannya menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini seramai 70 anggota parlimen BN tidak hadir ketika undi belah bagi meluluskan Bajet 2010 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak.

Bacaan kali ketiga Bajet 2010 diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dengan hanya kelebihan tiga undi, di mana 63 anggota parlimen menolak manakala 66 lagi anggota parlimen menyokong.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, wakil rakyat Umno sebagai wakil rakyat korporat kerana mereka tidak ikhlas menjalankan tanggungjawab.

Katanya, wakil rakyat BN bukan menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya lebih bersifat korporat menyebabkan mereka mengambil mudah tanggungjawab untuk membawa masalah rakyat ke Parlimen.

“Bila kepentingan diri lebih besar berbanding hak rakyat ditambah pula mereka bertanding untuk mencari kesenangan, maka tidak perlunya hadir di persidangan Parlimen,” ujarnya.

Beliau juga hairan mengapa begitu ramai anggota parlimen BN tidak hadir sedangkan tugas mereka menghadiri persidangan parlimen bagi membahas isu bagi kepentingan rakyat.

“Ini membuktikan Umno telah jauh menyimpang dari perjuangan politik. Rakyat yang memilih mereka hanya sia-sia sahaja kerana tidak menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana sebahagian besar wakil rakyat Pakatan Rakyat khususnya PAS sentiasa istiqamah hadir pada persidangan parlimen.

Hanya lima yang tidak hadir di kalangan wakil rakyat PAS kerana mempunyai urusan lain ketika itu.

HarakahDaily.Net/-

Pendaftaran Pakatan Rakyat di tangan ROS - Presiden PAS

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, apa yang dimaksudkan oleh beliau dalam kenyataannya baru-baru ini adalah Pakatan Rakyat masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia masih dalam proses pertimbangan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Penjelasan ini diberikan oleh beliau kepada Harakahdaily ekoran kekeliruan yang dibuat oleh media berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar berkata, beliau telah diminta menjelaskan perkara ini oleh presiden PAS itu.

"Saya telah dihubungi oleh Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada hari ini dan telah dimaklumkan oleh Tuan Guru bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau adalah:

"bahawa penubuhan Parti Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ianya masih dalam proses pertimbangan kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

Ustaz Hadi ketika bercakap kepada media selepas Konvensyen Blogger PAS dilaporkan berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mendaftarkan Pakatann Rakyat.

Ekoran itu, sebuah akhbar Cina melaporkan kononnya PAS tidak berminat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Dengan penjelasan ini bermakna, Ustaz Hadi bermaksud, Pakatan masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia terletak di tangan ROS.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pendaftaran Pakatan Rakyat mengambil masa sedikit kerana ia hak ROS.

HarakahDaily.Net/-

UMNO Politikkan dan putar belit isu perlantikan AJK Mesjid di Perak.

5 Muharram 1431
Cina Islam

Saya sangat terpanggil untuk membangkitkan Isu ini kerana buka untuk membela mana-mana pihak namun kebenaran sebenarnya sesuatu yang mesti di tegakkan. Atas prinsip itu saya kira apapun tindakan untuk kebaikan ummah khususnya dalam soal mengimarahkan mesjid mesti di lakukan pembelaan.

Sebenarnya masaalah ini tidak lain berpunca dari rampasan kuasa yang dilakukan oleh UMNO di Perak dan menyebabkan isu perlantikan mesjid terpalit sama bila usaha dilakukan untuk menghalang senarai yang telah siap dipilih dan diserahkan kepada Raja Muda Perak cuba ditukar.

Sebenarnya usaha untuk menukar senarai yang sudah hampir di sahkan itu melalui liku-liku yang sangat panjang dan rumit.

Bila senarai yang telah disahkan oleh Raja Muda Perak di umumkan, UMNO telah menuduh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ.

Satu tuduhan yang tidak berasas demi menyampaikan niat jahat dan jelas UMNO telah sekali mempolitikkan mesjid. Sebenarnya Senarai itu adalah yang telah disahkan oleh DYTM Raja Musa Perak termasuklah yang dipertikaikan Di Parlimen Tanjung malim.

Tuduhan tanpa bukti yang jelas ini tersiar luas dalam media Pro BN dan kita tidak dapat membaca kenyataan tersebut dalam keadaan Pengarah JAIP pada satu masa semacam kena tutup mulut.

Sekadar dakwaan tanpa ada bukti yang kukuh dan sekadar mengatakan siap PAS dan UMNO dalam senarai AJK Mesjid yang terpilih adalah sesuatu tuduhan yang boleh dipertikaikan dan mempunyai niat jahat.

Tambahan pula perlu diingatkan bahawa Pengarah JAIP adalah juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perak yang dsipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Malah tidak semudah tuduhan pihak Pengarah dan pegawainya menukar nama yang telah diperkenankan oleh Raja Muda Perak sedangkan semua pihak cuma diapi-apikan dengan hasrat UMNO yang cuba mempolitikan mesjid sekian lama dengan cuma beralasan antaranya senarai Pengerusi dan Setiausaha Masjid di Mukim Slim dan Behrang Ulu dalam Parlimen Tanjong Malim didapati berlainan dari senarai asal.

Paling berat bila pihak UMNO menuduh senarai baru itu diserahkan kepada PTA yang kemudiannya mengaturkan majlis penyerahan tauliah secara tergesa-gesa bagi mengelakkan gerakan mereka dikesan. Selepas tauliah disampaikan, senarai Jawatankuasa Qariah itu akan dipamerkan di masjid-masjid.

Sedangkan kita semua sudah maklum senarai AJK mesjid telah tertangguh perlantikan sejak tahun 2007 lagi, apakah salah untuk mengumumkan senarai baru yang ditunggu-tunggu sejak beberapa tahun.

Sebenarnya Pengarah JAIP dan PTA bertegas dengan senarai tersebut kerana memang telah mendapat perkenan DYTM Raja Muda, dan tidak timbul isu meminda senarai asal yang telah diperkenankan oleh baginda.

Tindakan UMNO mempertikai senarai yang diumumkan adalah bagi saya telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak.

Untuk menjelaskan lebih lanjut , saya suka untuk menyambung tulisan ini dbagi menjelaskan bagaimanakah prosuder sebenar perlantik AJK Mesjid di Perak..Bersambung...

Selangor raikan 800 pelajar Cemerlang UPSR

5 Muharram 1431H

SHAH ALAM, 21 Dis: Seramai 800 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) pelbagai kaum seluruh negeri menerima sumbangan berjumlah RM120,000 daripada kerajaan negeri sempena sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Sumbangan berupa wang tunai 50 ringgit, beg sekolah, set geometri dan kalkulator disampaikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar kepada kumpulan pelajar cemerlang yang berasal dari keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan ke bawah ini.

“Saya berharap bantuan ini akan dapat menggalakkan pelajar untuk kembali ke sekolah selain membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Dewan Raja Muda Musa,Kompleks Belia Seksyen 7, di sini pagi tadi.

Beliau juga berharap sumbangan ini dapat meningkatkan semangat anak-anak yang dapat 7A dan juga pada masa yang sama untuk ibu bapa agar memberi galakan kepada anak-anak untuk terus belajar.

Program ini membabitkan 265 pelajar sekolah kebangsaan, 270 pelajar sekolah tamil dan 265 pelajar sekolah Cina yang menerima bantuan berjumlah RM150 seorang.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

HarakahDaily.Net/-