10 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
Semalam,
saya telah meminta agar diakhiri politik penipuan dan pembohongan
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, yang akan diadakan paling lewat
sekitar 156 hari lagi pada 27 Jun, akan tetapi dijangkakan akan
berlangsung kurang daripada 70 hari.
Saya merujuk kepada kalahnya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia di
dalam saman fitnah, kali ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat
teguran daripada Hakim V.T. Singham yang mendapati Utusan Melayu (M) Bhd
dan ketua editornya Abdul Aziz Ishak bersalah merosakkan reputasi Anwar
dan mendedahkan dirinya kepada cemuhan.
Di dalam penghakimannya, Singham menekankan bahawa wartawan dan
editor perlu berhati-hati dengan apa yang mereka tulis supaya tidak
memasukkan komen yang mungkin menimbulkan keraguan kepada seseorang.
Hakim berkata: “Akhbar sepatutnya tidak mempunyai kuasa yang lebih
besar dalam menarik perhatian atau mengelirukan fikiran rakyat apabila
dibandingkan dengan reputasi individu.
“Adalah penting bagi wartawan, editor dan penerbit mengambil langkah
berhati-hati sebelum sebarang artikel yang cenderung merosakkan reputasi
individu diterbitkan. Rencana sebarangan yang mengandungi sindiran atau
tohmahan tanpa pengesahan hendaklah dielakkan.”
Akan tetapi nasihat hakim tidak mempunyai sebarang kesan kepada media
perdana UMNO/BN dan begitu juga permintaan saya agar diakhiri segala
politik penipuan dan pembohongan , terutamanya media perdana
UMNO/Barisan Nasional sepatutnya memelihara peraturan dan etika
kewartawanan dan berhenti menjadi “Akhbar Tipu”.
Ini ditunjukkan oleh satu lagi penipuan dan pembohongan melampau
media perdana UMNO/BN hari ini – kali ini New Straits Times dan laporan
palsunya bertajuk “Wife of ailing MP angry at DAP” (ms. 6) yang tidak
lain hanyalah penipuan tanpa secubit pun kebenaran.
Memetik daripada satu lagi portal berita yang jahat, NST mendakwa
Irene Chang, isteri kepada Ahli Parlimen DAP Sibu dan Pengerusi DAP
Sarawak Wong Ho Leng, “dikatakan mengkritik parti kerana gagal
memberikan bantuan kewangan kepada suaminya, yang menghidap tumor otak”
malahan memetiknya sebagai berkata “kepimpinan parti tidak berhati
perut” dan memarahi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menerbitkan penipuan dan pembohongan telah pun melanggar kebanyakan
etika dan peraturan asas kewartawannan, akan tetapi untuk mereka-reka
penipuan dan pembohongan bagi memperoleh keuntungan politik dan tidak
mempedulikan kesengsaraan yang mereka wujudkan kepada individu yang
telah pun berada dalam keadaan tertekan seperti mana yang dilakukan NST
kepada Wong Ho Leng dan Irene Chang adalah perbuatan yang durjana dan
hina, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan atau bukan manusia saja
mampu membenarkan tindakan sedemikian.
Apa yang menjadikan tindakan NST tidak dapat dimaafkan adalah Irene
Chang telah meletakkan penjelasan berikut di Facebooknya semalam:
“Saya telah dimaklumkan mengenai rencana tertentu yang diposkan
secara atas talian yang melaporkan saya merungut terhadap kempimpinan
parti kami.
“Saya benar-benar marah. Tiada kebenaran di dalam artikel itu.
“Saya tidak pernah diwawancara atau merungut terhadap parti kami
atau sesiapa pun. Lebih penting lagi, tidak pernah saya rasa, walau
sesaat bahawa saya mempunyai sebab untuk merungut berkenaan parti kami
atau sesiapa khususnya.
“Hakikatnya, selepas keadaan kesihatan suami saya didiagnosis,
saya begitu risaukan keadaan kesihatannya berbanding merisaukan sama ada
parti akan memberikan bantuan kewangan atau tidak.
“Sungguhpun begitu, saya ingin jelaskan bahawa semenjak pemimpin
parti kami dimaklumkan tentang keadaan suami saya, setiap seorang
daripada mereka, benar-benar memberikan sokongan dan mengambil berat.
“Suami saya dan saya, sebenarnya merasakan kami benar-benar
bertuah mengenali mereka, yang melangkaui peranan sebagai rakan
seperjuangan politik menjadi sahabat yang sangat mengambil berat.
“Keluarga saya dan saya begitu amat tersentuh dengan seruan
mendapat sokongan untuk suami saya oleh Setiausaha Agung, YAB Lim Guan
Eng, sebuah penghargaan mengenainya telah diposkan oleh anak sulung
kami, Suzanne Gail Wong, di dalam facebooknya pada 14 Januari 2013.
“Oleh itu, adalah tidak adil untuk membiarkan rencana itu
disebarkan supaya orang ramai menghakimi pemimpin parti kami, parti kami
dan diri saya, tanpa sebarang asas langsung. Saya dengan itu mengecam
sekeras-kerasnya rencana itu kerana setiap ayatnya adalah penipuan.”
Soalan yang saya ingin tujukan kepada pemimpin UMNO/BN hari ini ialah
ke dasar tanpa etika dan lubang mana lagi yang pemimpin UMNO/BN dan
media perdana mereka akan gali sebelum PRU13?