27 Ogos 2011

Tasabih, tahmid dan tahlil istihar kemenangan Islam

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh Ahmad Baei Jaafar

Sebaik-baik sahaja Pemegang Mohor Raja-Raja Melayu mengisytiharkan esok adalah hari raya Aidilfitri, maka berkumandanglah takbir raya di stesen-stesen radio dan televisyen. Walaupun sekadar rakaman, takbir yang dialun mendayu itu begitu menyentuh kalbu dan menerbitkan rasa sayu dihati lalu teringat akan kampung halaman. Demikian perasaan mereka yang tidak dapat pulang ke kampung kerana bertugas. Tetapi lain pula bagi mereka yang sudah berada di kampung atau sedang dalam perjalanan pulang, terbayang dalam fikiran mereka kegembiraan berhari raya di kampung.

Timbul persoalan di sini, dalam kesyahduan menikmati gema takbir berapa ramai dalam kalangan kita yang turut sama bertakbir? Realitinya mereka yang tidak pulang ke kampung, mungkin dek kerana sibuk membuat persiapan akhir mengemas rumah atau menyediakan juadah hari raya seperti membuat ketupat, terus terleka dan asyik sehingga tidak bertakbir. Alangkah baiknya jika pada waktu itu, sambil membuat persiapan kita turut sama bertakbir seiring takbir yang dikumandangkan di radio atau televisyen. Dan kalau takbir itu sudah tamat, kita boleh terus mengumandangkannya sendiri bagi menyemarakkan suasana malam raya. Ya, senario begitulah yang belum menjadi realiti dalam masyarakat Islam kita hari ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperbetulkannya.

Demikian juga dengan mereka yang sudah berada di kampung atau yang sedang dalam kenderaan untuk pulang ke kampung. Perjalanan yang memakan masa yang agak lama disebabkan jarak yang jauh atau keadaan jalan raya yang sesak pada malam raya itu sebaik-baiknya dimanfaatkan untuk bertakbir daripada dipenuhi dengan perbualan kosong yang mungkin bertujuan untuk memecah kesunyian bagi mengelakkan mengantuk. Mari sama-sama kita cetuskan tradisi yang akan diwarisi oleh generasi muda selepas kita.

Tanda Kemenangan

Tasbih, tahmid dan tahlil adalah pujian yang wajar diucapkan oleh umat Islam sebagai tanda. kemenangan selepas menghadapi ujian besar. Ya, sepanjang bulan Ramadan kita diuji dengan pelbagai latih tubi; segala yang halal serta merta diharamkan, ibadah pada bulan Ramadan ditawarkan ganjaran yang banyak berbanding pada bulan-bulan biasa bagi mereka yang membanyakkan ibadah lalu kita pun berlumba-lumba merebutnya.

Selain itu, walaupun gangguan syaitan sudah tiada kerana telah dirantai fizikalnya, kita masih dibekalkan nafsu yang sifatnya sangat mengajak kepada keburukan. Nafsu inilah yang cuba menghalang amalan yang cuba ditingkatkan, nafsu jugalah yang cuba menggagalkan usaha kebaikan sepanjang bulan Ramadan. Jika umat Islam berjaya melepasi ujian berat di atas terutama ujian nafsu, maka itulah kemenangan yang dimaksudkan.

Jadi, setelah kita berjaya melepasi ujian itu amat wajarlah kita mengucap syukur dengan bertasbih, bertahmid dan bertahlil kepada Allah. Walaupun merasakan masih gagal mencapainya, syukurilah juga atas kemenangan Islam keseluruhannya.

Syaitan dikatakan dirantai di penempatannya supaya tidak mengganggu manusia secara langsung. Namun, kita harus sedar bahawa ia masih boleh menyaksikan tindak tanduk manusia. Jika syaitan mahu menggoda tentu dengan perantaraan sistem kawalan jauh ia boleh dilaksanakan, lantaran sistem komunikasi antara musuh nombor satu manusia ini dengan nafsu yang masih terbuka luas.

Oleh sebab itu adalah menjadi keutamaan bagi umat Islam untuk mendidik nafsu agar tunduk kepada kehendak hati yang baik.  Nafsu yang sudah dapat dijinakkan dalam bulan Ramadan pasti akan merosakkan hubungannya dengan syaitan. Di sini kita boleh melihat kepada perkembangan diri sendiri, apakah kita semakin baik pada bulan ini? Andainya bertambah baik, itulah kemenangan yang perlu disyukuri.

Kemenangan yang paling besar ialah sifat taqwa yang diberikan kepada umat Islam yang dapat mengatasi semua halangan. Mereka ini takut untuk melakukan dosa walaupun peluang sudah di hadapan mata. Mereka ini juga akan melakukan kebaikan sebanyak mungkin walaupun pelbagai halangan datang menduga. Dan mereka akan mencari peluang menabur kebajikan walaupun dalam keadaan yang sukar.

Atas rasa kemenangan itulah pada malam hari raya itu Rasulullah mengajak semua umat Islam mengalunkan pujian, tasbih, tahmid dan tahlil.

 اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ. لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Bacaan ini biasanya kita baca sebagai penutup takbir raya iaitu:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَالله أَكْبَرُ، الله أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Hari ini alasan tidak boleh mengalunkan takbir seperti mana petikan itu sudah tidak boleh diterima lagi kerana kita boleh mengikut takbir yang dikumandangkan di radio dan televisyen dan boleh juga merujuknya dalam majalah atau buku agama. Jadi, marilah kita meriahkan malam raya ini dengan takbir.

Waktu membaca

Secara umum pujian terhadap Allah tidak mempunyai had masa, tetapi bagi takbir raya terdapat waktu-waktu yang dikhaskan. Berdasarkan itu sebarang bacaan yang dilakukan di luar waktu tersebut tidak dikira sunah, malah sesetengah ulama meletakkannya sebagai makruh. Ini kerana bacaan takbir didatangkan dalam bentuk pakej untuk sambutan hari raya.

Takbir hari raya terbahagi kepada dua; takbir mursal dan takbir muqaiyat. Malangnya, kedudukan kedua-dua jenis takbir ini kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Malah kadang-kadang atas kejahilan, mereka bertakbir bukan pada tempatnya.

Takbir mursal;  takbir yang dibaca tanpa terikat pada solat atau tempat. Menurut definisi dalam kitab Mathla’l-Badrain m/s 48, disebutkan bahawa: “Takbir mursal dan iaitu takbir yang tidak mengiringi sembahyang.”

Maknanya takbir ini boleh dibaca pada waktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu menonton tv, memasak ketupat dan juga ketika di pasar. Dan waktunya pula bermula pada waktu maghrib (malam raya, sama ada hari raya haji mahupun hari raya puasa) dan berakhir apabila imam memulakan solat Aidilfitri ataupun Aidiladha.

Berdasarkan ini, mereka yang balik kampung pada malam raya boleh mengalunkan takbir itu secara beramai-ramai. Boleh juga bertakbir secara bergilir-gilir sehingga letih. Bagi mereka yang sedang memasak lemang misalnya boleh terus bertakbir, begitu juga mereka yang masih di pasar raya, bolehlah bertakbir secara perlahan. Dan akhirnya pada pagi sebelum menunggu solat hari raya, bertakbirlah beramai-ramai bagi menterjemahkan rasa syukur atas kemenangan mengharungi Ramadan dan kurniaan nikmat-nikmat daripada-Nya.

Takbir muqaiyat; takbir yang dibaca mengiringi solat sama ada fardu atau sunat dan terdapat sedikit perbezaan antara Aidilfitri dengan Aidiladha di sudut waktunya.

Aidilfitri; bermula selepas solat Maghrib satu Syawal hingga sebelum imam memulakan solat Aidilfitri. Ini bermakna selepas solat Maghrib boleh bertakbir. Dan setelah selesai solat sunat ba’diah Maghrib boleh bertakbir lagi. Begitu juga selepas solat sebelum solat Isyak, boleh bertakbir raya. Kemudian selepas solat Isyak dan selepas solat sunat yang mengiringinya. Begitu juga sewaktu bangun bertahajud, bolehlah bertakbir lagi. Bahkan andainya pada pagi raya itu diadakan solat jenazah, sunat juga bertakbir raya.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang tidak melakukan solat raya atas sebab keuzuran dan tidak pula hadir sewaktu khutbah, dia boleh bertakbir hingga sebelum gelincir matahari. Begitu juga dengan mereka yang bersolat sendirian kerana tidak sempat bersama jemaah atas urusan tertentu, maka waktu akhir untuk bertakbir ialah sebelum mengangkat takbiratulihram untuk solat hari raya.
Aidiladha; takbir muqaiyatnya bermula pada subuh hari Arafah sehingga jatuh matahari hari akhir tasyrik. Waktu yang panjang ini memberi peluang umat Islam bertakbir dengan sebanyak-banyaknya. Maknanya kita di Malaysia boleh mulakan pada pagi 9 Zulhijah selepas solat Subuh. Kemudian jika mendirikan solat Duha, bolehlah bertakbir lagi. Takbir ini boleh dilanjutkan hingga selepas solat Asar 13 Zulhijah. Namun begitu kalau kita masuk masjid sebelum waktu maghrib, bolehlah lakukan solat sunat Wuduk dan Tahiyatul Masjid kemudian bertakbir raya selepasnya.

Takbir yang Diabaikan
Berdasarkan hukum ini, kita dapati ramai umat Islam yang tidak mengambil peluang yang baik ini untuk bertakbir raya, sekurang-kurangnya pada dua keadaan berikut:
1. Selepas solat Aidiladha, sama ada imam itu lupa atau tidak tahu, takbir raya tidak dikumandangkan selepas solat hari raya haji. Sedangkan takbir muqaiyat ini waktunya termasuk selepas solat sunat hari raya haji.
2. Selepas solat sunat, jarang kita lihat orang kita bertakbir raya selepas solat sunat Rawatib, Tahajud dan Tahiyatul Masjid. Jauh sekali bertakbir selepas solat jenazah.
Sebaliknya terdapat kesilapan pada dua keadaan berikut:
1. Bertakbir selepas solat Aidilfitri.
2. Bertakbir di rumah yang diziarahi selepas solat Aidilfitri.
Dua keadaan ini pernah berlaku walaupun tidak selalu. Meskipun tidak sampai kepada peringkat haram, amalan yang salah atas kejahilan ini amat tidak patut berlaku. Umat Islam mempunyai banyak peluang dan ruang untuk menambahkan ilmu pengetahuan dengan membaca, melayari Internet dan meneroka berbagai-bagai-bagai sumber maklumat. Maka peluang yang ada itu perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya agar segala amalan kita berteraskan ilmu yang tepat untuk dinilai oleh Allah sebagai ibadah di sisi-Nya.

Khutbah Aidil Fitri

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Dewan Ulamak PAS Perak

خطبة عيد الفطري
كواجيفن ممفرتاهنكن عقيدة أومت
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا ، وَالحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً.
اَلحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتاَبِ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجاً
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَباَرِكْ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَياَ عِباَدَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقاَتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
واهي همب-همب الله،
برتقواله كامو كفد الله دغن سبنر-بنر تقوى، دان جاغنله كامو ماتي ملأينكن دالم كادأن كامو بنر-بنر سباضاي اورغ-اورغ إسلام.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
سيدغ حاضرين سكلين,
دانتارا كإيستيميوأن عيد الفطري دنضارا اين فد تاهون اين اداله كران اياث دسمبوت سلغ سهاري دغن سمبوتن هاري اولغ تاهون كمرديكأن نضارا. كيت مراعيكن دوا كضمبيرأن فد هاري اين دمان كيت تله برجايا منجالاني عبادة فواس سبولن رمضان دتمبه دغن كضمبيرأن مغنغ دتيك فمبيباسن نضارا داري كظاليمن فنجاجه. كضمبيرأن اين تيدق اكن كيت كخافي جك كيت ماسيه لاضي دبلغضو دان دفرينته اوليه فنجاجه يغ فستيث تيدق اكن ممبريكن حق سفنوهث باضي كيت اونتوق تروس بيباس برضرق، بيباس برضمبيرا دان بيباس مغعملكن اضام كيت.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
سيدغ حاضرين سكلين,
كضمبيرأن دان كبيباسن اين واجب كيت فرتاهنكن سلاضي اد حياة كيت. دسباليق حق كيت مراعيكن عيد الفطري دان مغنغ كمرديكأن نضارا، اد امانه دان تغضوغجواب يغ ترلتق دباهو ستياف كيت. سباضاي خليفة الله دموكا بومي، كيت واجب ممستيكن بهوا دنيا اين دتدبير اوليه مريك يغ مغتهوءي تغضوغجواب مريك أونتوق منجاض اضام دان منتدبير دنيا دغن فراتوران اضام الله.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين يغ درحمتي الله سكلين,
أومت اسلام دنضارا اين سدغ مغهادافي انخامن ترهادف عقيدة دان كإيمانن مريك. كبيباسن فغانوت اضام لأين باضي مغعملكن اضام مريك تله مولا دسالهضوناكن اوليه موسوه-موسوه الله. افاكه أومت اسلام يغ تيغضل دنضارا يغ دفرينته اوليه أورغ-أورغ بوكن اسلام اكن دبنركن سبيباس- بيباسث مثيبركن اجاران اسلام كفد فغانوت اضام نضارا ترسبوت. ماله دسبهاضين بسر نضارا بوكن اسلام أومت اسلام دهالغ برعمل دغن اجاران اسلام ماله دكناكن برباضاي اوندغ-اوندغ كاروت سباضايمان مشاركت اسلام ( Xinjiang) ، بارت لاوت خينا يغ دحرامكن برفواسا، برصلاة تراويح دان منجالنكن اكتيؤيتي كأضمأن اوليه كراجأن مريك. باضي أومت اسلام يغ بردضيل اكن دكناكن برباضاي حكومن يغ دريكا سسوكا هاتي مريك. مك افاكه واجر كتيك كيت ممرينته كيت ممبياركن مريك برضرق بيباس ممرتدكن أومت اسلام. كضمبيرأن كيت مثمبوت رمضان تله دخماري دغن بريتا ساتو ضريجا خوبا ممرتدكن أومت اسلام دغن ممبري مكانن فرخوما دان بنتوان كواغن. كيت جوضا دضمفركن دغن كيس فوست تويشين (Tuisyen) يغ مماسوقكن فغاروه كريستيان (Kristian) كفد انق-انق أومت اسلام. مك افاكه تينداقكن كيت دالم مغهادافي كضاواتن اين. جك تيدق اد تيندافكن تضس درفد فيهق بركواس، مك افاكه جامينن بهوا فركارا اين تيدف اكن براولغ. سيا-سياله سمبوتن عيد الفطري دان سمبوتن كمرديكأن يغ كيت سمبوت فد تاهون اين جك كيت هاث ممبياركن سهاج سودارا سأضام كيت دمرتدكن، سدغكن دالم ماس يغ سام كيت بربغضا دغن كواس فمرينتاهن يغ اد فد كيت. نينيق مويغ كيت برقوربان ثاوا ممبيباسكن عقيدة كيت داري فنجاجه، مالغث كيت ممبياركن انق خوخو كيت دروسقكن عقيدة مريك سوينغ-وينغث دالم فمرينتاهن كيت.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين يغ درحمتي الله سكلين,
كضاواتن اين منونجوقكن كضاضالن كيت دالم ملقساناكن أمانه سباضاي فمرينته يغ دبريكن ككواسأن اوليه الله. افاكه واجر ستله 54 تاهون كيت بيباس دري فنجاجاهن، عقيدة اومت اسلام ماسيه بضيتو لمه دان بوليه دمرتدكن سبضيتو موده. كنافاكه كتيك كيت ماسيه ممرينته دان ممفوثإي كواس اونتوق منغكف سسيافا سهاج، كيت مغواسإي ميديا (MEDIA) اونتوق ممبوات برباضاي فروفاضندا، نامون كيت ماسيه ضاضل ممفرتاهنكن عقيدة اومت. كنافاكه ستله سكين لاما كيت منجادي فمرينته، كيت ماسيه ضاضل منجاديكن اسلام دليهت سباضاي خارا هيدوف يغ ترباءيق. الله برفرمان دالم سوره الحج ايات 41 :
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ ﴿٤١﴾
يإيت مريك يغ جك كامي بريكن مريك ككواسأن ممرينته دبومي نسخاي مريك منديريكن سمبهيغ سرتا ممبري زكاة، دان مريك مثوروه بربوات كبإيقكن سرتا ملارغ دري ملاكوكن كجاهتن دان فركارا يغ موغكر دان ﴿ايغتله﴾ باضي الله جواله كسودهن سضالا اوروسن.
ساله ساتو توضس ترفنتيغ فمرينته اداله "امر معروف نهي منكر". تيدق اد كموغكرن يغ لبيه بسر كخوالي كموغكرن بركاءيتن عقيدة دان مثكوتوكن الله. فرمان الله سبحان وتعالى :
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيدًا ﴿١١٦﴾
سسوغضوهث الله تيدق اكن مغمفونكن دوسا اورغ يغ ممفرسكوتوكنث دغن سسواتو دان اكن مغمفونكن يغ لاين درفد كسالهن ايت باضي سسيافا يغ دكهندقكيث ; دان سسيافا يغ ممفرسكوتوكن الله دغن سسواتو، مك سسوغضوهث دي تله سست دغن كسساتن يغ امت جاوه – سوره النساء ايات 116.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين مسلمات سكلين,
عقيدة اومت تيدق اكن ممفو دفرتاهنكن كخوالي اوليه مريك يغ سمفورنا كايماننث. كتيك سيدنا عمر الخطاب ممفرتيكايكن تيندقكن خليفة ابو بكر الصديق يغ مرنخغ ممراغي ضولوغن يغ اغضن ممباير زكاة، بضيندا دغن تضسث تله مثيندير سيدنا عمر دغن كاتث :
اكو مغهارفكن اغكاو اكن منولوغكو. تافي اغكاو داتغ مغخيواكنكو سباضاي سمسيغ دزمان جاهلية دان سباضاي فغخوت دزمان اسلام. دمي الله اكو اكن ممراغي مريك يغ ممبيذاكن انتارا كواجيفن زكاة دان كواجيفن صلاة.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين مسلمات سكلين,
كالاو كيت مليهت كفد تيندقكن خليفة ابو بكر، اياث تيدق هاث ترحد كفد فرلاكوان مرتد سخارا جلس. باضي كيس ضولوغن يغ اغضن ممباير زكاة، مريك دأغضف سباضاي مرتد عقيبة منولق سباهاضين درفد حكوم-حكوم الله. الله ممرينتهكن كيت منريما اسلام سخارا كسلوروهنث تنفا مميليه-ميليه حكوم يغ كيت سوك سهاج يغ اونتوق دطاعتي. فرمان الله سبحانه وتعالى :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ‌ٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ﴿٢٠٨﴾
واهاي اورغ-اورغ يغ برايمان! ماسوقله كامو كدالم اضام اسلام ﴿دغن مماتوهي﴾ سضالا حكوم-حكومث دان جاغنله كامو منوروت جيجق لغكه شيطان; سسوغضوهث شيطان ايت موسوه باضي كامو يغ ترغ ثات.
اسلام مستيله دتريما دان دعمالكن سخارا مثلوروه. كيت تيدق دكيرا برايمان جك كيت برايمان دان فاتوه كفد سباهاضين اجارن القرءان دالم ماس يغ سام مغايغكاري دان منولق سباهاضين درفد اجارن القرءان. اندايث خليفة ابو بكر الصديق ماسيه اد هاري اين افاكه اوسها ممراغي ضولوغن مرتد اين ماسيه برتروسن سهيغض كهاري اين.
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَـٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍۢ ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذَ‌ٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْىٌۭ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلْعَذَابِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ﴿٨٥﴾ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْءَاخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ﴿٨٦﴾
مك فاتوتكه كامو هاث فرخاي كفد سباهاضين كتاب دان مغايغكاري اكن سباهاضين يغ لأين؟ مك تيادله بالسن باضي اورغ يغ بربوات دمكين ايت دانتارا كامو، سلاين دري كهينأن كتيك هيدوف ددنيا دان فد هاري قيامة اكن دتولق مريك كدالم عذاب سيقسا يغ امت برت دان ﴿ايغتله﴾، الله تيدق سكالي-كالي لالاي اكن اف يغ كامو لاكوكن.
مريك ايتله اورغ-اورغ يغ ممبلي كهيدوفن دنيا دغن ﴿منيغضلكن فرينته-فرينته الله يغ ممباوا كبهاضيأن دالم كهيدوفن﴾ آخرة; مك تيدق اكن دريغنكن عذاب سيقسا مريك دان مريك فولا تيدق اكن دبريكن فرتولوغن.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
خطبة كدوا
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ،
اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ،
اللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.
مسلمين دان مسلمات يغ درحماتي الله سكلين،
ساي برفسن كفد كامو سموا دان جوض كفد ديري ساي سنديري سفاي برتقوى كفد الله تعالى دغن سبنر-بنر تقوى. سسغضوهث برجاياله اورغ-اورغ يغ برتقوى ددنيا دان دآخرة. خاريله بكالن، كران سسغضوهث بكالن يغ تربأيك اياله برتقوى كفد الله.
فد هاري راي عيدالفطر يغ مليا اين، كيت بركمفول درومه الله انتوق ممبسركن الله، برتحميد دان برتكبير مننداكن كشكوران يغ تيدق ترهيغض كفد الله يغ تله مغورنياكن نعمة ايمان دان اسلام. كيت جوض برشكور دان برضمبيرا كران برجاي منجالني ساتو عبادة، يأيت عبادة فواس يغ فنوه دغن اوجيان. دهارفكن بضيتوله جوض دغن عبادة-عبادة لأين يغ كيت لقسناكن دغن فنوه كإخلاصن كفد الله.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين دان مسلمات سكلين،
باثق لاضي توضس دان أمانه يغ سفاتوتث كيت لاكوكن تتافي كيت ابايكن بضيتو سهاج. اوليه كران جناية مرتد اداله مروفاكن جناية بسر ترهادف فنخيفتا مك تيندقكن تضس مستيله دكناكن ترهادف مريك دان سسيافا سهاج يغ برشبهة دغن مريك. اوليه كران سباهاضين فنجناية اين اداله اورغ بوكن اسلام مك محكمة عوام هندقله دضوناكن باضي مغمبيل تيندقكن. حق ضولوغن مرتد سباضاي بوميفوترا هندقله دلوخوتكن كران مريك بوكن لاضي ملايو مغيكوت تعريف فرلمباضأن فرسكوتوأن. بضيتو جوضله دغن حق مريك دالم مورايثي هرتا فساكا، حق منجادي والي، هوبوغن سوامي استري دان سباضايث.
جك مريك يغ ترليبت دالم مغضالقكن جناية اين برلاكو اداله اورغ-اورغ بوكن اسلام، مك حكومن كأتس مريك جوض مستيله دكناكن كران اياث ملغضر اوندغ-اوندغ نضارا.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آَلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آَلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَّجِيْدٌ.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً، وَيَقِيْنًا صَادِقًا، وَلِسَانًا ذَاكِرًا، وَقَلْبًا خَاشِعًا، وَعَمَلاً صَالِحًا مُتَقَبَّلاً.
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ. اَللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا اْلإِيْمَانَ وَزَيِّنْهُ فِى قُلُوْبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِيْنَ.
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.
اَللَّهُمَّ لاَ تُؤَآخِذْنَا بِمَا فَعَلَ السُّفَهَآءُ مِنَّا، وَلاَ تَحْرِمْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا فَضْلَكَ، وَلاَ تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لاَ يَخَافُكَ وَلاَ يَرْحَمُنَا.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ. وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ، وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ أَعْدَآءَكَ أَعْدَآءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَان أزلن محب الدين شاه ابن المرحوم سلطان يوسف عز الدين شاه غَفَرَ اللهُ لَهُ ، كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلاَتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِناَ وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَآءِ ذِىْ الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ. يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. وَاذْكُرُوا اللهَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ. وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهَ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Agihan borang tanah kepada Masyarakat Asal

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Saidina Sobri

Bota- Masyarakat orang asal Kg. Gedong Batu, Kg. Tumboh Hangat dan Kg. Benut, menyambut baik tindakan Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat di dalam memberikan penerangan di Kg. Suak Padi, Seri Iskandar. Bota, Perak, berkaitan, kepentingan tanah untuk kehidupan kaum orang asal pada era pembangunan dan kemodenan yang terus berlaku pada masa kini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat,Sdr Mazlan Aliman, menjelaskan bahawa kaum orang asal akan mengalami masalah sekiranya kaum mereka tidak mempunyai pemilikan geran keatas tanah yang diduduki.

Semua ini adalah kerana arus pembangunan yang terus berjalan sehingga pada masa ini menyebabkan tanah yang ada semakin mengecil, dan sudah tentu, sekiranya kaum orang asal tidak diberi pemilikan geran tanah, maka kaum orang asal akan kehilangan tanah untuk diduduki ataupun diusir dari pada penempatan yang ada pada hari ini.
Turut bersama didalam majlis pelancaran agihan borang tanah itu, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Negeri Perak,Tn Hj RazmanZakaria,

Memetik ucapan beliau, “kaum orang asal mestilah mempunyai kesedaran bagi mengelak masalah ini daripada berlaku. Arus kemodenan yang terus berlaku pada hari ini tidak boleh lagi ditolak oleh kaum orang asal di negara ini oleh kerana, kerajaan yang ada pada hari ini tidak pernah mengeluarkan sebarang geran pemilikan tanah kepada kaum orang asal. Selama ini hak orang asal hanya dipersetujui sebagai kawasan 'rayau' untuk perburuan dan pertanian sahaja, dan tidak pernah tercatat didalam pemetaan Negara sebagai kawasan penempatan untuk kaum orang asal.”

Kesan daripada pembangunan tanah yang diduduki oleh kaum orang asal akan berlaku sekiranya kerajaan mahu membangunkan tanah yang diduduki, kerana tanah penempataan orang asal tiada catatan didalam pemetaan Negara, dan seterusnya menyebabkan kaum orang asal mendiami tanah-tanah ini di usir keluar. Dan diatas tujuan untuk menuju kearah negara berkebajikan PAS telah mengambil inisiatif untuk membela kaum orang asal dengan tidak meminggirkan golongan ini untuk turut bersama berada didalam arus kemajuan yang telah direncanakan oleh Pakatan Rakyat yang akan berusaha untuk menggazetkan tanah kekal untuk penempatan kaum orang asal sekiranya, rakyat memberi kepercayaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir pemerintahan negara melalui peti undi pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Jelas beliau lagi, Masyarakat orang asal perlu memiliki tanah bagi meneruskan kehidupan, dengan kesedaran inilah Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat mengambil inisiatif bahawa janji Pakatan Rakyat untuk menunaikan pembatalan Felda Plantation dan tanah-tanah inilah yang akan diagihkan kepada Rakyat yang berkeluasan 800 ribu ekar di seluruh Malaysia.

Jadi, tidak ada cara lain untuk merealisasi janji yang telah diberikan oleh Pakatan Rakyat melainkan,rakyat mestilah membuat perubahan untuk menukar kerajaan yang ada pada hari ini iaitu,Memenangkan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke -13 yang akan datang.

Darurat di New York, tiga negeri AS

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Taufan Irene melanda timbul panik

NEW YORK: Gabenor New York, Andrew Cuomo, mengisytiharkan darurat di seluruh negeri itu ketika ratusan ribu penduduk diarah meninggalkan kediaman masing-masing sebagai persediaan berdepan impak Taufan Irene.

“Saya menyarankan penduduk New York supaya bersedia menghadapi taufan dan bekerjasama dengan pegawai kecemasan. Dengan bekerjasama, kita akan dapat berdepan taufan ini dalam keadaan tenang dan terancang,” katanya.

Darurat juga diisytiharkan di Carolina Utara, Virginia dan New Jersey. Di Cape May, New Jersey, seramai 750,000 penduduk diarah berpindah tengah malam kelmarin.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, juga mengarahkan pemindahan hospital dan institusi penting lain di kawasan paling rendah di bandar raya itu.

Ramalan menunjukkan Irene bakal menjadi taufan pertama menyerang Amerika Syarikat sejak 2008, ketika taufan Ike membunuh lebih 50 orang dan menyebabkan kerugian AS$30 bilion (RM89.7 bilion).

“Bahagian timur menjadi laluan taufan ini. Kita dapat lihat impaknya,” kata Pengarah Pusat Taufan Kebangsaan Amerika, Bill Read.
Taufan kategori tiga itu, diletakkan sekuat Katrina pada 2005, melanda sebahagian Bahamas dan menyebabkan tiga kematian di Haiti dan Puerto Rico.

Lovely Bay terletak di kepulauan terpencil Bahamian Acklins, dimusnahkan angin sekencang 177 kilometer sejam manakala berpuluh-puluh rumah ranap di pulau lain, kata pihak berkuasa.

Sementara itu hujan setinggi 0.30 meter dijangka turun diiringi dengan ombak besar dan bahaya.

Arahan pemindahan mandatori itu dikeluarkan kepada 200,000 penduduk di kawasan pesisiran pantai Dare dan Hyde di Carolina Utara. Penduduk di Dare dijangka tiba di tempat perlindungan khas menjelang 8.00 pagi manakala pelancong diminta meninggalkan kawasan itu secepat mungkin kerana impak Taufan Irene dijangka dirasakan hari ini.

“Taufan Irene mungkin menjadi sekali dan setiap 50 tahun yang melanda timur laut. Tingkap kaca mungkin retak di bangunan pencakar langit di bandar raya ini,” kata pakar kaji cuaca bagi Accuweather, Kristina Pydynowski, yang meramalkan banyak pokok tumbang, bekalan elektrik terjejas dan kerosakan bangunan.

Taufan itu dijangka meningkat ke kategori empat sebaik melepasi Florida tengah hari semalam, sebelum ia lemah apabila melanda pantai timur.

Bloomberg meramalkan keadaan bakal menjadi seperti ribut tropika dengan hujan lebat serta angin selaju 96 kilometer sejam di New York. Amaran banjir juga dikeluarkan di beberapa kawasan termasuk daerah kewangan.

“Kita berharap yang terbaik tetapi bersedia berdepan terburuk,” katanya.
Akhbar tabloid di New York menggabungkan gambar satelit besar Taufan Irene di muka depan akhbar masing-masing.

Sementara itu, penduduk di Washington turut diberi amaran akan dilanda taufan itu jika ada sebarang lencongan pada laluan Irene.

Pentadbir Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan, Craig Fugate, memberi taklimat kepada Presiden Barack Obama mengenai keadaan itu. – Agensi

Trafik bergerak perlahan di bahagian utara

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Trafik bergerak lancar di kebanyakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kecuali di bahagian utara yang bergerak perlahan berikutan peningkatan jumlah kenderaan.

Seorang jurucakap PLUSLine memberitahu Bernama trafik bergerak perlahan antara Bukit Kayu Hitam ke Thailand, Bukit Tambun ke Juru, Pulau Pinang, Terowong Menora ke R&R Sungai Perak dan Slim River ke Sungkai.

police parliament blockade traffic jams in city area 140708 02Katanya trafik dari tol Sungai Besi ke arah Selatan masih lancar dan kenderaan dikesan mula meningkat dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

"Kita menjangkakan kenderaan akan bertambah selepas waktu tengah hari hingga ke petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu menurut twitter Plus Trafik, terdapat satu kemalangan yang berlaku pukul 11.57 pagi ini di km30.8 arah utara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Putrajaya, namun tiada laluan terhalang dan trafik lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula memberitahu kenderaan bergerak perlahan di Plaza tol Gombak.

- Bernama

Pemohon PR dikesan pula di daftar pemilih

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kontroversi yang menyelubungi sekitar kira-kira seribu penduduk tetap (PR) yang disenaraikan sebagai pengundi di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semakin kusut dengan seorang pemegang kad pengenalan sementara pula turut dikesan.

Yunasti Haris Lakmana permanent resident pr applicant electoral roll recordHasil maklumat daripada Pemuda PAS, Malaysiakini mendapati bahawa Yusnati Haris Lakmana yang disenaraikan sebagai pengundi di laman web SPR, adalah pemegang kad pengenalan sementara.

Kad pengenalan sementara berwarna hijau, manakala penduduk tetap diberi kad merah dan warganegara Malaysia, pula berwarna biru.

Semakan ini boleh dibuat di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh diakses oleh orang ramai.

Yunasti Haris Lakmana permanent resident pr applicant green cardSemakan mendapati Yusnati adalah pemegang kad pengenalan (MyKad) hijau, dan telah mengumpul kad itu

Ini bermakna bahawa Yusnati, seorang pengundi di DUN Chempaka dan kawasan parlimen Pandan, belum diberikan status pemastautin tetap tetapi dalam proses memohon untuk menjadi penduduk tetap.

Malaysiakini telah menghubungi JPN, yang berkata pihaknya akan memeriksa untuk mengesahkan status Yusnati pada hari Isnin kerana ia tidak beroperasi pada hujung minggu.

Suruhanjaya Pilihan Raya pula, berkata bahawa pihaknya hanya akan dapat mengesahkan status Yusnati selepas cuti Hari Raya Aidilfitri kerana pegawai yang bertanggungjawab sudah mula bercuti.

azlanSebelum ini, dalam kes kira-kira seribu penduduk tetap yang disenaraikan sebagai pengundi dalam daftar pemilih, JPN dan SPR mendakwa kesilapan berpunca akibat "kecuaian teknikal".

NONEPengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata JPN tidak mengemas kini pangkalan data mereka untuk menunjukkan bahawa penduduk tetap berkenaan telah diberikan kewarganegaraan.

Paling ketara adalah kes Mismah, pengundi di Ijok yang telah disenaraikan oleh JPN sebagai seorang pemastautin tetap pada semakan 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun status wanita itu dikemaskini pada pangkalan data JPN empat jam selepas Malaysiakini mendedahkan perkara itu pada hari yang sama. Ini menimbulkan pelbagai spekulasi.

JPN kemudian menjelaskan bahawa Mismah yang dilahirkan di Indonesia itu sebenarnya, telah diberikan kewarganegaraan pada 31 Januari tahun ini, selepas 29 tahun sebagai penduduk tetap.

malaysiakini/-

Senjata doa atasi muslihat BN guna projek IC

27 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 27 Ogos: Biar pun tanpa nasi bungkus percuma untuk bersahur, namun ribuan anak-anak muda memenuhi Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal pagi tadi bagi mengikuti munajat pilihan raya.

Malah ada membawa beg galas besar, kemungkinan baru kembali ke kampung halaman, bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dua hari lagi. Ada juga yang keletihan tidur di belakang khemah solat tarawih.

Khemah gergasi tempat solat dan munajat itu penuh sesak dengan orang ramai. Khemah tersebut boleh memuatkan sehingga 3,000 orang. Sebahagian lagi terpaksa solat dan munajat di bahagian luar khemah.

Jumlah kehadiran itu dianggap luar biasa memandangkan bulan Ramadan sekarang lebih ramai memilih bersahur bersama keluarga. Malah program agak sendat apabila amanat pimpinan yang disiarkan secara langsung menerusi internet berakhir jam 12 malam tadi, disambung pula dengan munajat.

Sebahagian peserta yang hadir rata-rata golongan muda. Program bermula jam 3 pagi diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Bacaan zikir dan munajat pula dikepalai Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Program munajat berakhir kira-kira jam 4.50 pagi, bagi memberi peluang orang ramai yang hadir bersahur. Jualan nasi bungkus disediakan berhampiran Qaryah Ramadan.

Mubarak Kafe di sebelah khemah tarawih kelihatan penuh sesak dengan pelanggan. Beberapa kedai makan dan restoran di Dataran Usahawan juga masih beroperasi.

Berucap ringkas sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan terus memancak Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada akhir 1990.

“Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa,” katanya.

Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.

Ketika ucapan yang disiarkan secara langsung di 19 lokasi di seluruh negara termasuk boleh diikuti di Sabah dan Sarawak malam tadi Menteri Besar berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah Taala.

Katanya di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa.

Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar.

“Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan, iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hambaNya,” ujarnya pada program yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad , pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Program itu bermula jam 10 malam di mana siaran internet dipancarkan dari dua lagi lokasi iaitu Rusila, Terengganu dan Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Sebanyak 19 tempat pemimpin dan penyokong PAS berkumpul bagi mengikuti program berkenaan. Siaran itu boleh diikuti dengan jelas gambar dan audionya. Pengerusi program, Ustaz Idris Ahmad berada di Taman Melewar.

Di Rusila dua pemimpin berucap iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Ahmad Ghazali.

harakahdaily/-