14 Jun 2009

Lee Kuan Yew kunjung hormat MB Kelantan pagi ini.

Menteri Mentor singapura, Lee Kuan Yew akan mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 11.30 pagi ini, demikian kenyataan yang dinyatakan oleh seorang pegawai dari pejabat MB Kelantan kepada blog Cina Islam.

Anwar: Sedia bincang dengan Najib, tapi bukan k'jaan perpaduan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi tidak timbul langsung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Tidak timbul isu kerajaan perpaduan. Isu kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali," tegas beliau dalam ucapannya di Kongres Nasional Khas PKR di Nilai hari ini.

"PAS telah menjelaskan pandangan degan sebaiknya. Kita sedia berbincang dengan syarat hentikan kezaliman, bebaskan badan kehakiman dan pastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

"Kalau ini semangat yang ada, tidak ada masalah untuk kita berbincang. Tidak timbul isu yang diwarkan-warkan, (iaitu) kerajaan perpaduan," tegas Anwar.

Beliau mengulas isu kerajaan perpaduan yang diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan andaiaan bahawa parti Islam itu berniat bergabung dengan Umno.

"Selepas Muktamar PAS, saya hubungi Ustaz Abdul Hadi dan berbincang panjang. Kita akan jelaskan melalui kenyataan media yang bakal keluarkan," tambahnya.

Sementara itu, Anwar berkata, PKR tidak bersetuju dengan tindakan "mengharamkan badan tertentu dengan sewenang-wenangnya" atas "prinsip kebebasan".

Walaupun beliau tidak menyebut nama pertubuhan tersebut, ia dipercayai berkaitan dengan usul yang diluluskan muktamar PAS berhubung isu tersebut minggu lalu.

Muktamar itu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan, yang disertai PAS, dan sejumlah NGO.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantah cadangan tersebut.

Sidang akhbar

PAS Shah Alam semalam menyatakan hasratnya untuk menarik balik sebahagian perkataan dalam usul tersebut, antaranya "mengharamkan", dengan alasan ia tidak sempat dimuktamadkan sebelum dibawa ke mukamar.

Yang Dipertuanya, Khalid Samad dijadual mengadakan sidang akhbar jam 2 petang esok bagi menjelaskan lagi kontroversi usul tersebut.

Timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali sebelum ini turut dilaporkan tidak bersetuju dengan usul PAS kawasan Shah Alam yang diterima tanpa bahas.

PKR hari ini melangsungkan kongres khas bagi meminda perlembagaanya "bagi menjadi parti paling demokrasi di Malaysia".

Kongres itu akan membincang dan meluluskan tujuh usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri. Malaysiakini.

Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi'

Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".

PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.

Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.

Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.

'Kemungkinan p'raya mengejut'

"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.

Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.

Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu. Malaysiakini.

Tahniah kepada Presiden Iran.

PENYOKONG Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad meraikan kemenangan selepas berjaya mengekalkan kedudukannya. Mahmoud kekal sebagai Presiden republik Islam itu dengan mendapat 62.63 peratus undi.


Zaid Ibrahim masuk PKR

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.

Reaksi Zaid

Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).

Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.

“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.

Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”

Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:

“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.

“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya. Malaysiakini.