Pembeli tampil tuntut janji
Khalil (tiga, kiri) bersama pembeli melihat laporan akhbar Sinar Harian yang melaporkan mengenai permasalahan pembeli Taman Emas Fasa Dua di Kuala Kangsar.
KUALA KANGSAR – Mereka dijanjikan bakal menduduki rumah baru awal Januari lalu, namun kira-kira 315 pembeli Taman Emas Fasa Dua, di sini masih kabur dengan status janji tersebut.

Setelah banyak perbincangan dan perjumpaan dilakukan, kesabaran mereka mula tercabar dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan pemaju kawasan perumahan berharga antara RM35,000 hingga RM182,000 menjadi sasaran.

Wakil pembeli, Nasaruddin Mohd Said, 41, berkata, nyata keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh pembeli di kawasan itu langsung tidak oleh MPKK dan Kerajaan Negeri yang sudah sedia maklum akan perkara tersebut.

“Masalah ini bukan masalah baru malah Sinar Harian sahaja sudah lima enam kali mengutarakan masalah kami namun kami merasakan pihak berkaitan seperti menganaktirikan kami dalam hal ini.

“Baik wakil rakyat dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun pemaju hanya pandai menabur janji demi janji yang mana akhirnya rakyat yang menanggung beban,” katanya kepada Sinar Harian.

Pembeli mendakwa, kali terakhir pembeli berbincangan diadakan sekitar penghujung tahun 2012 dan dijanjikan rumah bakal disiapkan awal Januari tahun ini.

“Kami semua bermesyuarat dengan Yang Dipertua MPKK, Adun Manong dan pemaju yang akhirnya mencapai kata putus menyatakan rumah akan siap 1 Januari lalu namun ini dah nak habis bulan Januari.

“Mesyuarat sudah, kumpulkan tandatangan dah dibuat malah apa sahaja yang diminta oleh wakil rakyat mahupun PBT sudah kami laksanakan namun tidak ada juga tindakan, kami masih menanggung bebannya,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Norizwan Abd Halim, 40, berkata, lebih mendukacitakan pembeli turut dikenakan cukai tanah walaupun masih lagi belum menduduki rumah mereka.

“Sudah janji tidak ditepati, kami turut dibebankan lagi dengan cukai tanah yang datang pada setiap tahun dan dah tiga kali saya membayar di pejabat tanah.

“Yang peliknya semasa mesyuarat menyatakan kesemua cukai yang sudah dibayar akan kembalikan semula serta dikecualikan namun awal bulan lalu sampai juga surat suruh bayar,” katanya.

Sementara itu, wakil Pas Kuala Kangsar yang juga dikhabarkan calon Pas bagi Parlimen Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim berkata, kerajaan negeri dan pusat sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah pembeli di taman itu dengan segera.

“Janji mereka perlu dilunaskan bertepatan hasrat rakyat didahulukan namun saya melihat ia tidak akan disiapkan seperti yang dijanjikan kepada pembeli sebelum ini.

“Apa yang menyedihkan kita, pembeli mendakwa telah dijanjikan kos sewa rumah mereka sekarang akan ditampung namun sehingga ke hari ini tidak menerimanya,” katanya.

Khalil  berkata, sepatutnya kedatangan Perdana Menteri di Kuala Kangsar tempoh hari digunakan sebaiknya pemimpin Barisan Nasional (BN) menyelesaikan masalah rakyat.

Taman Emas Fasa Dua sepatutnya disiapkan pada 2008 lalu apabila pemaju didakwa mengalami masalah kewangan untuk meneruskan projek berkenaan.

Rata-rata pembeli ketika ini sudah pun terpaksa membayar bayaran balik pinjaman bank dan pada masa yang sama turut membayar sewa rumah.

Sinar harian/-