01 Januari 2013

2013: Runtuhkan kezaliman gantikan dengan keadilan

18 Safar 1433H. [MOD] -
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,


Harapan saya setiap hari hanyalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia ini. Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana.

Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan. Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia. Insya-Allah.

Tahun 2013 ini juga akan menyaksikan berlakunya pilihan raya umum ke-13. Gunakanlah hak untuk memilih ini dengan sebaik-baiknya. Jangan silap membuat pilihan. Jika silap akan menyebabkan kita menyesal di hari Akhirat.

Yakinlah, setiap anggota badan termasuk tangan yang mengundi juga akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Amin.
Kota Darulnaim,


17 Safar 1434/31 Disember 2012

BR1M 2.0 dibayar mulai Februari


18 Safar 1433H. [MOD] -



Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) akan dilaksanakan bermula Februari depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ketua isi rumah yang tercicir dari senarai penerima BR1M yang lepas atau belum pernah memohon masih berpeluang berbuat demikian.

Beliau berkata sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 (BR1M) telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga).

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya.

Tahun lepas, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M,  dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

Bernama