05 Mei 2013

Dua ditahan dipercayai terbabit pergaduhan di Ipoh

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Mereka yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan Gunung Rapat.




IPOH: Dua lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan melibatkan lebih 300 orang penyokong parti di Station 18, Pengkalan di sini semalam.
Mereka yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan Gunung Rapat.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kedua-duanya telah dibebaskan atas jaminan polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Akta Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis menerima panggilan pada pukul 3.40 petang dari orang awam bahawa berlaku pergaduhan di Station 18, namun apabila kereta peronda polis tiba, pergaduhan itu telah dilerai oleh orang ramai.
“Namun pada pukul 4.50 petang, antara 300 hingga 400 orang remaja bermotosikal yang merupakan penyokong sebuah parti politik berpatah balik dan bertembung dengan penyokong sebuah parti lain di situ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Provokasi dan membaling objek
Beliau berkata remaja bermotosikal itu kemudiannya mewujudkan suasana tidak tenteram dengan membuat provokasi dan membaling objek kepada kumpulan pihak lawan.
“Kami menghantar sepasukan lagi polis untuk meleraikan pergaduhan tersebut sebelum menahan dua suspek yang kita percaya terlibat secara langsung dalam pergaduhan itu,” katanya.
Mohd Shukri berkata seorang remaja bermotosikal itu cedera di muka akibat terjatuh dengan sendirinya dan seorang lagi dari parti lawan cedera dipercayai akibat dihentak dan dipukul dengan objek keras.
“Polis turut menemui kayu di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika pergaduhan,” katanya.
FMT/-

SPR: 80% keluar megundi, paling tinggi

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Wan Ahmad Wan Omar


Wan Ahmad Wan Omar
KUALA LUMPUR - Sebanyak 80 peratus daripada 12,992,661 pengundi berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hari ini, peratusan tertinggi pernah dicatatkan dalam PRU di negara ini.
    
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesemua pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang ini.
    
Sejumlah 8,245 pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi di seluruh negara melibatkan 25,337 saluran tempat mengundi, dengan 80 peratus daripadanya membabitkan bangunan sekolah, dewan serba guna dan balai raya.
    
Dua pusat mengundi bagi dewan undangan negeri (DUN) Tungku, di daerah Tanjung Labian dan Tambisan, dan satu lagi di kawasan DUN Lahad Datu, di daerah Sakar, Sabah, ditutup pada pukul 3 petang.
    
Pengiraan undi dijangka bermula pada pukul 5.30 petang diikuti dengan proses penjumlahan undi selepas itu.
  
Keputusan pertama dijangka diketahui pada kira-kira pukul 7.30 malam.  

- Bernama

12 Myanmar dan Bangladesh ditahan di Lembah Pantai

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Enam warga Myanmar dan sebuah van yang dipenuhi enam warga Bangladesh di'ajak minum teh' oleh orang ramai setelah cuba memasuki tempat mengundi.

Mereka dibawa keluar dari kawasan itu untuk diajak minum teh dan tidak dibenarkan oleh orang ramai pergi ke pusat pengundi.

12 mereka itu didapati cuba memasuki pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Pantai, Pantai Dalam dalam Parlimen Lembah Pantai.

Di Sekolah Kebangsaan Sri Suria, Bangsar pula Harakahdaily diberitahu, beberapa buah kenderaan bercermin gelap memasuki kawasan pengundian itu melalui pintu belakang.

Tidak diketahui apa tujuan tetapi kejadian yang berlaku ketika pengundian sedang berjalan menimbulkan kekecohan di sekolah itu.

Naib Presiden  PKR, Nurul Izzah Anwar mempertahankan kerusi itu dengan dicabar oleh Datuk Seri Raja Nong Chik dari BN. Turut serta mencuba nasib adalah calon Bebas, Rusli Baba.

Harakahdaily/-

Dakwat tak kekal, tak apa: Pengundi hantu, mana ada?

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Meskipun hari pengundian dicemari dengan pelbagai insiden dakwat tak kekal dan warga asing mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya memberikan respon seolah-olah segalanya ok.


(Antara kad pengenalan warga asing yang ditahan di pusat pengundian)

Dalam isu dakwat tidak kekal, timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata dakwat tak lekat itu bukan satu masalah lagi.


Ini kerana, katanya, besok pengundi tidak boleh mengundi lagi.



“Saya tidak bimbang dengan dakwat kekal boleh dibasuh hari ini kerana esok anda tidak boleh mengundi. Bagaimana dia boleh mengundi tanpa MyKad atau nombor IC? Satu nama hanya ditulis sekali,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.



Meskipun diberi setahun untuk mencari dakwat kekal yang terbaik untuk mencegah penipuan, Wan Ahmad berkata SPR tidak tahu kualiti dakwat kekal yang digunakan.



Bos Wan Ahmad pula Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pula secara tiba-tiba hari ini menyalahkan kualiti dakwat kekal kerana ingin mengikut garis panduan status halal.



Dua hari lepas, selepas ditekan oleh rakyat ekoran laporan dakwat kekal pada pengundi awal tidak kekal, Abdul Aziz telah menyangkal segala dakwaan dan berkata insiden itu berlaku kerana ada pegawai SPR yang terlupa mengoncang botol.



Malah, SPR sendiri membuat demonstrasi kepada umum bahawa dakwat itu kekal. Pada masa itu, Abdul Aziz langsung tidak menyentuh mengetahui penurunan kualiti dakwat kekal kerana panduan halal.



“Pada masa sama, terdapat surat dari Kementerian Kesihatan menyatakan kandungan silver nitrate mesti tidak melebihi satu peratus,” katanya, sambil menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan dakwat tersebut tidak boleh menghalang air untuk melaluinya.



Selain itu, Abdul Aziz juga terus mempertahankan bahawa daftar pengundi adalah bersih walaupun di alam maya laporan daripada petugas-petugas parti berlambak mengenai tangkapan warga asing yang diberikan kuasa mengundi walaupun mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak tahu menyanyi lagu Negaraku.



Tiga hari sebelum mengundi, warga asing daripada Bangladesh, Pakistan dan Nepal dilihat membanjiri lapangan terbang di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar.



Abdul Aziz bertegas bahawa tiada pengundi yang meragukan dalam senarai itu kerana daftar pemilih itu diselaraskan dengan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



"Ini bagi memastikan semua nama dalam pasti pemilih merupakan rakyat Malaysia," katanya.



Walaubagaimanapun, Abdul Aziz Yusof mempertahankan bahawa nama-nama dalam daftar pemilih memang warganegara Malaysia, sekaligus pengundi yang sah.

Harakahdaily/-

TG Nik Aziz lena di surau sebelum teruskan kempen

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

TG Nik Aziz berehat sebentar sebelum meneruskan kempen

PENGKALAN CHEPA: Inilah pemimpin rakyat. Kelihatan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berehat di sebuah surau sebelum meneruskan penjelajahan kempen ke seluruh Kelantan.

Inilah yang berlaku kepada Tuan Guru Datuk Abdul Aziz yang kini adalah Menteri Besar Kerajaan Sementara Kelantan. 

Setelah keluar mengundi awal pagi bersama isteri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau belum berehat.

Awal pagi tadi beliau beratur panjang bagi menunggu giliran membuang undi.


(Beratur di awal pagi untuk mengundi)

Menteri Besar tidak menggunakan kedudukan sebagai ketua kerajaan untuk mengelak daripada beratur. Biar pun agak keuzuran namun beliau tetap beratur bersama pengundi-pengundi lain di Sekolah Menengah Raja Sakti, Kota Jembal.

Beliau dan isteri tiba di pusat mengundi tersebut kira-kira jam 8.15 pagi. Tiga anaknya, Nik Adli, Nik Abdul Rahim dan Nik Omar turut mengundi di tempat yang sama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga calon Dun Chempaka ketika ditemui pemberita berharap Kelantan terus kekal di bawah pentadbiran ulama.

Menurutnya, tidak ada sebab langsung rakyat menolak kerajaan yang ada sekarang.

“Tengok pada zahirnya dan sekiranya PRU 13 ini berjalan mengikut demokrasi sebenar, PAS masih mampu mengekalkan pentadbirannya.

“Bagaimanapun kita tahu, PAS sering berhadapan dengan pelbagai dugaan, ugutan, politik wang untuk menjatuhkan kita,” ujarnya.

Manakala di Pasir Mas keghairahan rakyat untuk mengundi jelas kelihatan apabila orang ramai menyerbu tempat pembuangan undi sejak awal lagi.

Sebaik sahaja tempat pembuangan undi dibuka orang ramai terus menyerbu masuk.


(Saya sudah mengundi ...kata TG Nik Aziz dan isterinya)

Bagaimanapun sistem manual untuk mendapatkan kupon SPR bagi membolehkan mengundi masuk ke tempat pembuangan undi, sesak teruk sehingga mereka yang keuzuran berpatah balik.

Ramai merungut kerana kaedah mencari nama pengundi masih secara manual dengan mencari nama dan menggaris sebelum dikeluarkan kupon SPR mengikut saluran ditetapkan.

Keadaan itu menimbulkan bantahan orang ramai terutamanya orang tua-tua. Malah tidak ada petugas SPR di Sekolah Kebangsaan Kasa bagi membantu orang tua dan kurang upaya mendapatkan kupon SPR tanpa perlu menunggu lama.

Saluran pengundi muda iaitu lima hingga tujuh biar pun agak panjang, namun mereka lebih cepat membuang undi.

Kemungkinan jangkaan untuk mengetahui pemenang boleh diketahui lebih awal.

Petugas PAS di kaunter semakan daftar pemilih d luar sekolah tersebut memberihu kehadiran orang ramai membuat semakan di kaunter PAS lebih sibuk berbanding Umno.

Situasi serupa juga dapat disaksikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban. Bagaimanapun di Dun Tendong keadaan lebih seimbang.

Di Kubang Kerian, hampir 70 peratus pengundi luar yang didaftar PAS telah mengeluar mengundi di sebelah pagi.

Menurut calon PAS Dun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus, semangat yang ditunjukkan pengundi luar dan pengundi pertama kali amat memberangsangkan berbanding PRU 2008.

Katanya kesungguhan anak-anak muda dan pengundi luar membuktikan peranan media baru boleh membantu menambahkan pengetahuan mereka.

“Saya amat terharu kerana di setiap peti undi yang saya kunjungi anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang memberi sokongan padu,” ujar beliau.

“Kembalinya anak-anak yang berada di luar Kelantan, telah mengubah pendirian keluarga masing-masing yang mana sebelum ini ada yang menyokong Umno,” katanya.

Harakahdaily/-

Penduduk setempat di Sabah belasah pengundi ‘hantu’

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Lelaki ini ditahan polis selepas beberapa pengundi di Moyog mensyakinnya sebagai pengundi "hantu". — Gambar oleh Borneo Insider
KUALA LUMPUR — Penduduk setempat di Penampang, Sabah telah membelasah cubaan pengundi “hantu” yang cuba mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan hari ini.

Dalam Laporan yang dihantar saksi ditempat kejadian, insiden belasah tersebut berlaku di Inobong, manakala dalam satu insiden berasingan di Moyog, kerusi dewan undangan negeri (DUN di Parlimen Penampang pula pengundi “hantu” dikatakan telah ditahan anggota polis hasil aduan penduduk tempatan.
Disamping itu, beberapa pengundi dalam keadaan mencurigakan turut dikesan penyokong PKR yang membuat pemantauan di Sekolah Chung Hwa, namun apabila didekat mereka cuba melarikan diri dan didapati tergesa-gesa semasa mengundi di pusat pengundiaan.
Pihak polis walaubagaimanapun tidak membuat sebarang pengesahan tentang dua pengundi “hantu” yang ditahan pada awal tadi di Inobong dan Moyog.
Dalam perkembangan terkini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak menafikan penglibatan terhadap tuduhan pengundi “hantu” pagi tadi.
Perdana menteri sementara yang mengetuai gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah menulis di akaun Twitternya @najibrazak BN komited untuk pilihan raya adil.
“Pertuduhan mengatakan parti mesra BN membawa pekerja asing untuk mengundi adalah tidak benar. Kami komited untuk pilihan raya adil,” tulis beliau.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media juga berkata pihak polis akan memastikan tiada pengundi hantu atau warga asing mengundi pada Pilihan Raya 2013.
“Pihak polis menggesa pihak yang membuat fitnah mengatakan orang asing boleh mengundi agar hentikannya ... ia adalah suatu perkara yang mustahil akan berlaku.
“Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” kata Khalid di Bukit Aman semalam.
Kumpulan Asalkan Bukan Umno (ABU) juga telah memasang kain rentang di seluruh semenanjung Malaysia yang memberikan amaran kepada warga asing supaya tidak mengundi pada Pilihan Raya 2013, mengancam mereka akan diserahkan kepada pihak polis jika berdegil.
Hampir 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, berjumlah kira-kira 889,000 orang, rakyat asing yang kebanyakkannya datang dari Filipina dan Indonesia.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah, yang bermula Januari lalu mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.
The Malaysian Insider/-

Helikopter terbalik, Hishammuddin dan keluarga selamat


 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama keluarga terselamat selepas helikopter yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi hari ini. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan kejadian itu dalam sidang media di Bukit Aman di sini, berkata kesemua mereka iaitu isteri, anak dan menantu Hishammuddin selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tengah hari ini.
Beliau berkata helikopter sewa milik syarikat swasta itu terbalik selepas mendarat berikutan angin kencang melanda kawasan itu.
“Hishammuddin menaiki pesawat itu untuk datang ke Kuala Lumpur setelah pulang mengundi di Johor,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.Hishammuddin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor, pada pilihan raya umum ke-13. 
— Bernama

Pengundian selesai, undi mula dikira

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PRU13

SHAH ALAM - Proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) - yang dilihat sebagai 'ibu kepada segala pilihan raya' sudah selesai sebentar tadi.

Kini proses pengiraan sedang berlangsung.

Proses pengundian ditutup pada jam 5 petang.

Pertandingan melibatkan kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sejumlah 8,245 pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi di seluruh negara bagi membolehkan 12,885,434 pemilih untuk mengundi.
   
Dua pusat mengundi bagi dewan undangan negeri (Dun) Tungku, di daerah Tanjung Labian dan Tambisan, dan satu lagi di kawasan Dun Lahad Datu, di daerah Sakar, Sabah, ditutup pada pukul 3 petang.
   
Pengiraan undi dijangka bermula pada pukul 5.30 petang diikuti dengan proses penjumlahan undi selepas itu.
   
Keputusan pertama dijangka diketahui pada kira-kira pukul 7.30 malam. 

- Bernama

Azmin: Dakwat mudah tanggal, dedah kepada penipuan

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Azmin: Dakwat mudah tanggal, dedah kepada penipuan

Pengundi kerusi Parlimen Lembah Pantai (dari kiri) Murni Mohamed Onn, Dharmendran dan Azman Hasim menunjukkan jari dicalit dengan dakwat kekal, hari ini. - Foto Bernama
GOMBAK - "Ramai yang berjumpa saya dan menunjukkan bukti dakwat ini tidak kekal."

Demikian dakwaan calon Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui selepas membuang undi di SK Klang Gate di sini.

"Di semua pusat pembuangan undi, mereka terkejut, apabila cuci dengan air biasa pun dakwat ini hilang," ujar beliau.

"Ini akan mendedahkan kepada penipuan yang mungkin berlaku," tambah beliau lagi.

Menurut Azmin, beliau sudah mengarahkan petugas-petugas Pakatan Rakyat (PR) membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Azmin yang juga calon bagi kawasan Dun Bukit Antarabangsa turut  melahirkan kekesalan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak prihatin terhadap pertambahan bilangan pengundi di kawasannya.

Jumlah saluran mengundi di pusat-pusat pembuangan undi yang disediakan tidak mampu menampung jumlah pemilih berdaftar, dakwa beliau.

"Jumlah pengundi di Gombak ini besar, tahun 2008 pengundi hanya 99 ribu, kali ini ada 123,000.

"Sewajarnya SPR telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan proses pengundian berjalan baik dan lancar," tegas beliau.

Sinar/-

Idham Lim mohon doa restu ibu mertua dan tunaikan amanah

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PARIT BUNTAR: Calon Parlimen Kuala Kangsar yang juga mantan ADUN Titi Serong telah menunailkan amanah sebagai pengundi bersama isterinya. Mereka berdua telah hadir di Sekolah Menengah Agama Al Falah Parit Tok Ngah di sini  sekitar jam 8.15 pagi dan meninggalkan pusat pembuangan undi itu sekitar 15 minit  kemudian.

Sebelum itu Drs. Khalil sempat balik menziarahi ibu mertuanya di kampung yang sama bagi memohon doa dan restu.






Karpal 'protes' dakwat kekal ‘hilang’ dalam 2 jam

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Karpal

Karpal
GEORGETOWN - Kerana tidak berpuas hati dengan dakwat kekal yang didakwanya hilang setelah dicuci, Pengerusi DAP, Karpal Singh berpatah balik ke pusat pembuangan undi di Penang Free School untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Karpal pada mulanya tiba di pusat itu pada jam 9.15 pagi bersama isteri, Gurmit Kaur; anak perempuannya, Sangeet Kaur dan beberapa pengiring termasuk calon DAP Seri Delima, RSN Rayer untuk membuang undi.

Beliau tiba dengan menaiki sebuah kereta dan turut diiringi dengan dua buah kereta lain yang mana ketiga-tiganya memaparkan logo serta bendera parti.

Karpal kemudiannya memasuki bilik mengundi sambil diiringi Gurmit dan Sangeet untuk membuang undi.

Karpal kemudiannya meminta petugas SPR supaya meletakkan 10 kertas undi bagi beliau memilih sendiri dan bukannya diberikan oleh petugas yang bertugas di situ.

Karpal sempat meminta SPR melakukan perkara sama kepada semua pengundi kerana ia termaktub di bawah undang-undang di bawah Perkara 19(5A) dan 5(B) Akta Pilhan Raya 1981.

Pada satu sidang medianya, Karpal berkata, pengundi berhak untuk menuntut serta memilih kertas undi secara rawak untuk membuang undi.

Ketika mengadakan sidang media, Karpal diminta polis untuk mengalihkan ketiga-tiga keretanya berikutan ia berunsurkan kempen berikutan memaparkan logo serta bendera parti.

Karpal kemudiannya meninggalkan pusat mengundi itu kira-kira jam 9.45 pagi.

Kira-kira 11.30 pagi, keadaan di pusat mengundi itu kecoh apabila Karpal dilihat kembali dengan diiringi beberapa pengiring termasuk Rayer namun tanpa isteri dan anaknya.

Sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya, Karpal berkata, kehadirannya itu adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada SPR berhubung dakwat yang disapu di jarinya, yang telah hilang, setelah dicuci dengan menggunakan air dan sabun.

Menurutnya, beliau mahukan penjelasan daripada SPR berhubung isu itu kerana mendakwa ia tidak telus serta satu usaha untuk menipu rakyat.

“Saya mahukan mereka beri penjelasan kepada saya, mengapa ini (dakwat hilang setelah dicuci) berlaku sedangkan SPR sebelum ini berkata, dakwat ini akan kekal selama tiga hari.

“Saya juga ingin meminta sampel dakwat yang mereka gunakan untuk dibuat kajian. Saya juga akan buat laporan polis selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPR negeri,Morat Pora ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan hadir untuk bertemu serta memberi penjelasan kepada Karpal berhubung perkara itu.

“Kita tidak akan hadir untuk bertemu dengannya, jika beliau tidak berpuas hati, beliau boleh teruskan niatnya untuk membuat laporan polis.

“Kita tidak akan memberi sebarang sampel dakwat kepada sesiapa pun, ia prosedur, perlu dipatuhi,” katanya.

Karpal kemudiannya dilihat bergerak meninggalkan pusat pembuangan undi itu setelah membuat laporan kepada Ketua Pusat Mengundi, Ismail Pawanteh.

Menurutnya, beliau tidak akan membuat laporan polis berikutan sudah membuat laporan kepada SPR selain mengatakan kes itu di bawah tanggungjawab SPR.

Sinar/-

PRU13: Pengundi sempat mengundi tetapi meninggal dunia akibat sakit jantung

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas sempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah pagi tadi sebelum diserang penyakit jantung dan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari tadi. 

Mangsa, Mat Cha, 70-an, mengadu sakit dada selepas pulang mengundi sebaik tiba di rumahnya di Kampung Hilir Tandop Kuala Kedah. 


Berita Harian/-

Kamilia Keluar Buang Undi Ditemani Anak-Anak, Rasa 'Lebih Bebas'

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kamilia menunjukkan jarinya yang telah ditanda dengan dakwat kekal sebelum beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Piul, Kuala Kangsar, Ahad.
KUALA KANGSAR: Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar menyifatkan pengundiannya kali ini sebagai 'lebih bebas'.
Beliau berkata sudah sampai masanya beliau memasuki fasa senario politik tanpa perlu terikat dengan ideologi atau dasar-dasar yang ditentukan parti.
"Pada hari ini saya bebas untuk berfikir secara individu untuk negara.
"Saya mahu berkhidmat secara bebas untuk negara dan menentukan yang terbaik untuk rakyat tanpa sebarang unsur rasuah, kroni dan halangan hanya kerana parti dan janji pilihan raya," katanya kepada mStar Online ketika hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Piul, dekat sini, Ahad.
Kamilia, bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno tiba bersama enam anaknya dan beberapa penyokong kira-kira pukul 9.40 pagi.
Beliau bagaimanapun sedikit kecewa kerana tidak dapat menjadi pengundi pertama.
"Saya rancang mahu jadi pengundi pertama di sini tetapi anak-anak saya semua mahu menemani saya dan akhirnya saya terlepas peluang itu," katanya.
Menurut Kamilia beliau berasa selesa bertanding pada kali ini setelah 30 tahun berpolitik dengan parti.
Jelasnya, keadaannya sekarang membolehkan beliau melihat situasi politik negara dengan lebih terbuka.
"Melalui kempen saya dapat bertemu dengan kumpulan masyarakat yang sebelum ini tidak pernah saya temui.
"Saya dapat bertemu golongan yang menolak fahaman kedua-dua parti (Barisan Nasional dan pembangkang)," katanya.
Mengenai peluangnya untuk menang, beliau berkata ia bergantung kepada pilihan dan kehendak rakyat yang akhirnya ditentukan Allah.
"Saya terima apa sahaja keputusannya kerana ia menunjukkan apa yang dimahukan rakyat," katanya.
Katanya, apa yang pasti beliau akan bertanding dan menjadi pemimpin yang jujur, ikhlas dan berintegriti jika dipilih rakyat dengan memberi fokus kepada perjuangan untuk kaum wanita.
Kamilia berkata beliau melihat apa yang berlaku kepada dirinya sebagai hikmah yang membolehkan beliau sedar dan mempelajari seuatu.
"George Washington pernah berkata dalam negara demokrasi kita tidak boleh terlalu taksub dengan sesuatu parti kerana kalau kita taksub kita tidak akan nampak keburukan parti itu," katanya.
Kamilia berkata belum pasti untuk mendengar keputusan pilihan raya malam ini sama ada melalui televisyen atau saluran lain.
mStar/-

PRU13: Warga tua meninggal dunia di pusat mengundi di Perak

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

IPOH: Seorang warga tua, V Selvaraju, 56, meninggal dunia di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simee, di sini, jam 12 tengah hari tadi. 

Lelaki itu dikatakan mengadu berasa tidak selesa lalu berbaring sebelum disahkan meninggal dunia. 

Berita Harian/-

SPR: Hampir 60 peratus mengundi sehingga jam 12 tengah hari

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Seorang penyokong PAS membantu sekumpulan kanak-kanak memakai baju dengan lambang Barisan Nasional melintas Jalan Muda Abduk Aziz, Kampung Baru 5 Mei, 2013. — Gambar oleh Choo Choo May
PUTRAJAYA – 7,600,499 atau 58.99 peratus rakyat Malaysia telah mengundi dalam Pilihan Raya 2013 hari ini sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, jika ditambah dengan pengundian awal oleh anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing, jumlah keseluruhan yang sudah mengundi sehingga jam 12 tengah hari tadi adalah 7,916,703 ataupun 59.67 peratus pengundi.
Sebelum ini SPR mengatakan terdapat 13,268,002 pengundi layak mengundi, termasuk 12,992,661 pengundi biasa, 161,251 anggota tentera dan pasangan mereka, 111,136 anggota polis dan pasangan mereka serta 2,954 pengundi tidak hadir.
Selangor mencatat 58.96 peratus atau 1.2 juta daripada 2.03 juta pengundi di negeri itu.
Di Negeri Sembilan setakat 1 tengah hari mencatat 58.35 peratus daripada 555,982 pengundi manakala di Melaka setakat 12 tengah hari mencatat 40 peratus daripada keseluruhan 424,519 pengundi berdaftar.
Di Perak, SPR negeri melaporkan sebanyak 30 peratus daripada 1.36 juta pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 11 pagi.
Di Pahang, seramai 29.44 peratus atau 216,681 pengundi daripada sejumlah 736,111 pengundi juga telah mengundi sehingga 11 pagi.
Kelantan pula mencatat 13.19 peratus daripada sejumlah 918,573 pengundi sehingga 11.30 pagi.
Sementara itu, pusat pengundian di kawasan terpencil di Sabah iaitu di Kampung Mangkasulap, Beluran dan beberapa tempat di Penampang dan Kudat ditutup pada pukul 11 pagi.
The Malaysian Insider/-

"Kuala Kangsar Spring" (2)

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -