KUALA LUMPUR — Penduduk setempat di Penampang, Sabah telah membelasah cubaan pengundi “hantu” yang cuba mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan hari ini.
Dalam Laporan yang dihantar saksi ditempat kejadian, insiden belasah tersebut berlaku di Inobong, manakala dalam satu insiden berasingan di Moyog, kerusi dewan undangan negeri (DUN di Parlimen Penampang pula pengundi “hantu” dikatakan telah ditahan anggota polis hasil aduan penduduk tempatan.
Disamping itu, beberapa pengundi dalam keadaan mencurigakan turut dikesan penyokong PKR yang membuat pemantauan di Sekolah Chung Hwa, namun apabila didekat mereka cuba melarikan diri dan didapati tergesa-gesa semasa mengundi di pusat pengundiaan.
Pihak polis walaubagaimanapun tidak membuat sebarang pengesahan tentang dua pengundi “hantu” yang ditahan pada awal tadi di Inobong dan Moyog.
Dalam perkembangan terkini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak menafikan penglibatan terhadap tuduhan pengundi “hantu” pagi tadi.
Perdana menteri sementara yang mengetuai gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah menulis di akaun Twitternya @najibrazak BN komited untuk pilihan raya adil.
“Pertuduhan mengatakan parti mesra BN membawa pekerja asing untuk mengundi adalah tidak benar. Kami komited untuk pilihan raya adil,” tulis beliau.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media juga berkata pihak polis akan memastikan tiada pengundi hantu atau warga asing mengundi pada Pilihan Raya 2013.
“Pihak polis menggesa pihak yang membuat fitnah mengatakan orang asing boleh mengundi agar hentikannya ... ia adalah suatu perkara yang mustahil akan berlaku.
“Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” kata Khalid di Bukit Aman semalam.
Kumpulan Asalkan Bukan Umno (ABU) juga telah memasang kain rentang di seluruh semenanjung Malaysia yang memberikan amaran kepada warga asing supaya tidak mengundi pada Pilihan Raya 2013, mengancam mereka akan diserahkan kepada pihak polis jika berdegil.
Hampir 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, berjumlah kira-kira 889,000 orang, rakyat asing yang kebanyakkannya datang dari Filipina dan Indonesia.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah, yang bermula Januari lalu mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.
The Malaysian Insider/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan