05 Mei 2013

Dua ditahan dipercayai terbabit pergaduhan di Ipoh

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Mereka yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan Gunung Rapat.




IPOH: Dua lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan melibatkan lebih 300 orang penyokong parti di Station 18, Pengkalan di sini semalam.
Mereka yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan Gunung Rapat.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kedua-duanya telah dibebaskan atas jaminan polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Akta Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis menerima panggilan pada pukul 3.40 petang dari orang awam bahawa berlaku pergaduhan di Station 18, namun apabila kereta peronda polis tiba, pergaduhan itu telah dilerai oleh orang ramai.
“Namun pada pukul 4.50 petang, antara 300 hingga 400 orang remaja bermotosikal yang merupakan penyokong sebuah parti politik berpatah balik dan bertembung dengan penyokong sebuah parti lain di situ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Provokasi dan membaling objek
Beliau berkata remaja bermotosikal itu kemudiannya mewujudkan suasana tidak tenteram dengan membuat provokasi dan membaling objek kepada kumpulan pihak lawan.
“Kami menghantar sepasukan lagi polis untuk meleraikan pergaduhan tersebut sebelum menahan dua suspek yang kita percaya terlibat secara langsung dalam pergaduhan itu,” katanya.
Mohd Shukri berkata seorang remaja bermotosikal itu cedera di muka akibat terjatuh dengan sendirinya dan seorang lagi dari parti lawan cedera dipercayai akibat dihentak dan dipukul dengan objek keras.
“Polis turut menemui kayu di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika pergaduhan,” katanya.
FMT/-

Tiada ulasan: