29 Muharram 1433H. [MOD] -

Hasil
kajian terakhir Lingkaran Survey Indonesia (LSI) pada awal Oktober
2012 lalu mendapati sokongan terhadap parti-parti Islam di Indonesia
begitu jatuh sekali, dikalahkan oleh parti-parti sekular dan nasionalis.
Paling
atas yang diminati rakyat adalah Parti Golkar 21%, Parti Demokrasi
Indonesia Perjuangan (PDI-P) 17,2 %, Parti Demokrat 14%, Parti Gerakan
Indonesia Raya (Gerindra) 5,2% dan Parti Nasional Demokrat (Nas Dem)
5%.
Sebaliknya parti-parti Islam seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS),
Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan parti-aprti yang bernuansa Islam
diperkirakan akan hilang kerana berada dibawah 5%.
Malah Parti Bulan Bintang (PBB) tidak masuk dalam senarai ini.
Hasil
kajian ini boleh saja benar atau tidak tepat, dan juga akan berubah
selalu kerana ikut situasi; sosiologi, psikologi politik, isu dan
realiti politik semasa.
Namun setidaknya hasil kajian ini bagi
para pendukung, aktivis apalagi pimpinan parti-parti Islam hendaknya
bermuhasabah dan berfikir ulang, tentang kelemahan atau kekhilafan
selama ini.
Memang reformasi Mei 1998 memberi ruang yang
seluas-luasnya untuk mewujudkan parti-parti politik termasuklah
parti-parti Islam, apalagi dibenarkan parti Islam, berdasarkan Islam
sedangkan pada awal 1980-an zaman Suharto, parti Islam PPP harus
mengganti dasarnya dari Islam kepada Pancasila.
Setelah reformasi
di era presiden BJ Habibie, wujudlah dengan banyaknya nya parti-parti
politik termasuklah parti-parti Islam yang wujudnya bagaikan cendawan
yang tumbuh subur dan merebak tumbuh di mana-mana.
Umat Islam
yang majoriti di negara ini, yang selalu menjadi sengsara dan mangsa
kezaliman, baik di zaman Sukarno mahupun di zaman Suharto, umat dan
rakyat berharap banyak dan begitu optimis, nasib mereka akan berubah
dan kebebasan serta kemerdekaanya akan
dirasakan dan dihargai.
Amien Rais malu-malu mahu asaskan parti Islam kerana baginya parti Islam ibaratkan memakai baju sempit.
Pernyataan
Amien Rais ini dikecam dan dikiritik hebat oleh aktivis, ulama dan
pimpinan gerakan Islam seolah-olah Amien Rais tidak memahami kekuatan,
kebesaran dan kesyumulan Islam itu.
Namun pada masa yang sama dia
tidak malu-malu menyebut Parti Amanat Nasional (PAN) yang diwujudkannya
bernuansa Islam, namun kini apa sudah jadi dengan PAN?
Gus Dur
yang dianggap sangat liberal dan cenderung sekular itu memang partinya
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) tidak berdasarkan Islam, malah sikap Gus
Dur itu jelas dikiritik banyak pihak, termasuk dari pertubuhannya
sendiri Nahdlatul Ulama (NU).
PKB pun akhirnya tidak kemana dan
tidak menjadi parti besar, sikap aneh Gus Dur dan kebiasaannya suka
bermusuh dengan banyak orang, membuat Gus Dur menjadi pemimpin yang
tidak diterima majoriti umat.
Bila dipilih menjadi presiden
dikala dia tidak memenuhi syarat untuk menjadi pemimpin, akhirnya dia
pun diberhentikan pada pertengahan tahun 2001, berkuasa hanya selama 19
bulan.
PKS yang menjadi harapan banyak orang dari berbagai
kalangan, namun tidak kurang pula kewaspadaan dari para aktivis gerakan
Islam, yang sudah lama berjuang merasakan suka-duka tribulasi
perjuangan, makan asam-garam kepahitan serta sakitnya onak-duri dalam
menegakkan risalah yang suci ini.
PKS pada awal berdirinya,
mulanya bernama Parti Keadilan, namun kemudian berubah menjadi Parti
Keadilan Sejahtera (PKS), pada pilihan raya umum 1999 menang hanya 7
kursi parlimen dan pada pilihanraya umum 2004 memenangi 45 kursi
parlimen, malahan menang di Jakarta dan beberapa bandar utama di
Indonesia.
Pada awalnya pimpinan dan aktivisnya berazam, akan
mengamalkan dan menghayati gerakan dakwah 90% dan berpolitik hanya 10%,
paling tinggi antara 70:30%.
Dalam pernyataannya beberapa
pimpinannya coba memutuskan tali sejarah, dengan mengaku bahwa kami
adalah gerakan baru, tidak ada kena mengena dengan sejarah politik
Indonesia masa lampau.
Inilah membuat beberapa pimpinan utama
pertubuhan dan gerakan Islam kecewa dan terkejut, ternyata harapan umat
dan rakyat itu tidak berpanjangan, apabila PKS ikut mendukung
pencalonan Dr SBY sebagai presiden dan kemudian ikut kabinet Indonesia
Bersatu Jilid Satu.
Alasan pemikir PKS adalah untuk strategi
dakwah, terutama dalam melindungi gerakan Islam sebab kita berhadapan
dengan presiden yang berasal dari tentera.
Umat bertanya sejauh
mana amal soleh PKS dalam mengembangkan dakwah di tengah masyarakat,
terutama berdakwah terhadap pemerintah dan para politisi yang menjadi
rakan atau sahabatnya dalam kabinet ataupun di parlimen?
2009 PKS
kembali ikut mendukung SBY sebagai presiden untuk penggal kedua, yang
berpasangan dengan Prof Dr Boediono yang dinilai banyak pengamat dia
adalah seorang yang neo liberalis dan sangat berpihak kepada kapitalisme
ekonomi yang menjadi acuan Barat.
Malah SBY selalu menyebut
dengan bangga bahwa Amerika Syarikat 'is second my country'. Dan
presiden PKS masa itu Tifatul Sembiring membela isteri SBY dan Boediono
yang tidak bertudung. Memang itu masalah peribadi, tetapi pernyataan
Tifatul yang membuat umat marah adalah "apalah ertinya sehelai kain
tudung."
Dan 2010 semasa muktamarnya di Bali dengan jelas menyatakan bahwa PKS bukan lagi parti Islam, tetapi menjadi parti terbuka.
Begitu
pula dengan PPP yang dianggap parti rojak, kerana dipaksa oleh Suharto
untuk ber satu dari empat parti iaitu Parti NU, Parti Muslimin Indonesia
(Parmusi), Parti Syarikat Islam Indonesia (PSII), Parti Islam Persatuan
Tarbiyah Islam (Perti) menjadi PPP.
Padahal keempat parti itu
sudah dirosak oleh Suharto sebelumnya, kerana para pemimpinnya semua
berpihak kepada Suharto. Tahun 1973 berdasarkan Islam dan Pancasila,
namun tahun 1983 hanya boleh berdasarkan Pancasila, setelah reformasi
dia kembali kepada Islam.
Walaupun dalam perjuangan politiknya,
ada juga perjuangan yang bersifat kulit dan tidak mendasar diperjuangkan
PPP, malah sebahagian umat Islam yang awam begitu bangga dengan
beberapa keberanian PPP, malahan almarhum Pak Natsir menyebut
seburuk-buruk PPP katanya masih ada suaranya untuk memperjuangkan Islam.
Malah tahun 1979 ahli parlimen PPP berani keluar sidang parlimen (walk out) membantah
tindakan
pemerintah untuk memasukkan ajaran kebatinan dalam polisi pembangunan
negara, kemudian melarang demokrasi dan aktiviti mahasiswa di kampus,
ini dibantah oleh PPP.
Kini menghadapi pilihanraya umum awal
April 2014, parti-parti Islam dan bernuansa Islam bersatu dan
bangkitlah, paling tidak berfederasi atau berkoalisi dengan sesama dan
parti-parti nasionalis lain, yang saling menghargai dan menghormati
dasar kita. Disinilah parti-parti Islam perlu menampilkan figur yang
merakyat, jangan berlagak angkuh dan sombong.
Dulu begitu mesra
dengan panggilan akhi untuk semua, namun kini bila bersama berkuasa,
panggilan akhi hanya untuk orang kita saja, bukan untuk rakyat banyak.
Harus
disedari majoriti sekitar 88% rakyat Indonesia adalah beragama Islam,
itu adalah kekuatan kita, memang majoriti masih terbelakang, jahil dan
belum semuanya cerdas membaca dan berpolitik, tetapi dengan pendekatan
psikologi kita yang bijak dan berhikmah, marilah kita memperbanyak kawan
dan memperkecil lawan, kawan seribu lebih baik daripada menghadapi
musuh yang jumlahnya hanya sepuluh orang.
Dan yang lebih penting
lagi aktivis atau pimpinan parti Islam Indonesia, hendaklah menjadi
pemimpin bukan hanya sebagai pengikut atau pelengkap, dan lebih parah
lagi kita selalu diperangkap.
Sampai bila akan selalu berulang kita membiarkan pisang berbuah dua kali atau
orangtua kehilangan tongkat, nauzubillah.
harakah/-