13 Disember 2012

Bangkitlah parti Islam Indonesia, ummah perlukan mu

29 Muharram 1433H. [MOD] -



Hasil kajian  terakhir Lingkaran Survey Indonesia (LSI) pada awal Oktober 2012 lalu mendapati sokongan terhadap parti-parti Islam di Indonesia begitu jatuh sekali, dikalahkan oleh parti-parti sekular dan nasionalis.

Paling atas yang diminati rakyat adalah Parti Golkar 21%, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) 17,2 %, Parti Demokrat 14%, Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra)  5,2% dan Parti Nasional Demokrat (Nas Dem) 5%. Sebaliknya parti-parti Islam seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan parti-aprti yang bernuansa Islam diperkirakan akan hilang kerana berada dibawah 5%.

Malah Parti Bulan Bintang (PBB) tidak masuk dalam senarai ini.

Hasil kajian ini boleh saja benar atau tidak tepat, dan juga akan berubah selalu kerana ikut situasi; sosiologi, psikologi politik, isu dan realiti politik semasa.

Namun setidaknya hasil kajian ini bagi para pendukung, aktivis apalagi pimpinan parti-parti Islam hendaknya bermuhasabah dan berfikir ulang, tentang kelemahan atau kekhilafan selama ini.

Memang reformasi Mei 1998 memberi ruang yang seluas-luasnya untuk mewujudkan parti-parti politik termasuklah parti-parti Islam, apalagi dibenarkan parti Islam, berdasarkan Islam sedangkan pada awal 1980-an zaman Suharto, parti Islam PPP harus mengganti dasarnya dari Islam kepada Pancasila.

Setelah reformasi di era presiden BJ Habibie, wujudlah dengan banyaknya nya parti-parti politik termasuklah parti-parti Islam yang  wujudnya bagaikan cendawan yang tumbuh subur dan merebak tumbuh di mana-mana.

Umat Islam yang majoriti di negara ini, yang selalu menjadi sengsara dan mangsa kezaliman, baik di zaman  Sukarno mahupun di zaman Suharto, umat dan rakyat berharap banyak dan begitu optimis, nasib mereka akan  berubah dan kebebasan serta kemerdekaanya akan
dirasakan dan dihargai.

Amien Rais malu-malu mahu asaskan parti Islam kerana baginya parti Islam ibaratkan memakai baju sempit.

Pernyataan Amien Rais ini dikecam dan dikiritik hebat oleh aktivis, ulama dan pimpinan  gerakan Islam seolah-olah Amien Rais tidak memahami kekuatan, kebesaran dan kesyumulan Islam itu.

Namun pada masa yang sama dia tidak malu-malu menyebut Parti Amanat Nasional (PAN) yang diwujudkannya bernuansa Islam, namun kini apa sudah jadi dengan PAN?

Gus Dur yang dianggap sangat liberal dan cenderung sekular itu memang partinya Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) tidak berdasarkan Islam, malah sikap Gus Dur itu jelas dikiritik banyak pihak, termasuk dari pertubuhannya sendiri Nahdlatul Ulama (NU).

PKB pun akhirnya tidak kemana dan tidak menjadi parti besar, sikap aneh Gus Dur dan kebiasaannya suka bermusuh dengan banyak orang, membuat Gus Dur menjadi pemimpin yang tidak diterima majoriti umat.

Bila dipilih menjadi presiden dikala dia tidak memenuhi syarat untuk menjadi pemimpin, akhirnya dia pun diberhentikan pada pertengahan tahun 2001, berkuasa hanya selama 19 bulan.

PKS yang menjadi harapan banyak orang dari berbagai kalangan, namun tidak kurang pula kewaspadaan dari para aktivis gerakan Islam, yang sudah lama berjuang merasakan suka-duka tribulasi perjuangan, makan asam-garam kepahitan serta sakitnya onak-duri dalam menegakkan risalah yang suci ini.

PKS pada awal berdirinya, mulanya bernama Parti Keadilan, namun kemudian berubah menjadi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), pada pilihan raya umum 1999 menang hanya 7 kursi parlimen dan pada pilihanraya umum 2004 memenangi 45 kursi parlimen, malahan menang di Jakarta dan beberapa bandar utama di Indonesia.

Pada awalnya pimpinan dan aktivisnya berazam, akan mengamalkan dan menghayati gerakan dakwah 90% dan berpolitik hanya 10%, paling tinggi antara 70:30%.

Dalam pernyataannya beberapa pimpinannya coba memutuskan  tali sejarah, dengan mengaku bahwa kami adalah gerakan baru, tidak ada kena mengena dengan sejarah politik Indonesia masa lampau.

Inilah membuat beberapa pimpinan utama pertubuhan  dan gerakan Islam kecewa dan terkejut, ternyata harapan umat dan rakyat itu tidak berpanjangan, apabila PKS ikut mendukung pencalonan Dr SBY sebagai presiden dan kemudian  ikut kabinet Indonesia Bersatu Jilid Satu.

Alasan pemikir PKS adalah untuk strategi dakwah, terutama dalam melindungi gerakan Islam sebab kita berhadapan dengan presiden yang berasal dari tentera.

Umat bertanya sejauh mana amal soleh PKS dalam mengembangkan dakwah di tengah masyarakat, terutama berdakwah terhadap pemerintah dan para politisi yang menjadi rakan atau sahabatnya dalam kabinet ataupun di parlimen?

2009 PKS kembali ikut mendukung SBY sebagai presiden untuk penggal kedua, yang berpasangan dengan  Prof Dr Boediono yang dinilai banyak pengamat dia adalah seorang yang neo liberalis dan sangat berpihak kepada kapitalisme ekonomi yang menjadi acuan Barat.

Malah SBY selalu menyebut dengan bangga bahwa Amerika Syarikat 'is second my country'. Dan presiden PKS masa itu Tifatul Sembiring membela isteri SBY dan Boediono yang tidak bertudung. Memang itu masalah peribadi, tetapi pernyataan Tifatul yang membuat umat marah adalah "apalah ertinya sehelai kain tudung."

Dan 2010 semasa muktamarnya di Bali dengan  jelas menyatakan bahwa PKS bukan lagi parti Islam, tetapi menjadi parti terbuka.

Begitu pula dengan PPP yang dianggap parti rojak, kerana dipaksa oleh Suharto untuk ber satu dari empat parti iaitu Parti NU, Parti Muslimin Indonesia (Parmusi), Parti Syarikat Islam Indonesia (PSII), Parti Islam Persatuan Tarbiyah Islam (Perti) menjadi PPP.

Padahal keempat parti itu sudah dirosak oleh Suharto sebelumnya, kerana para pemimpinnya semua berpihak kepada Suharto. Tahun 1973 berdasarkan Islam dan Pancasila, namun tahun 1983 hanya boleh berdasarkan Pancasila, setelah reformasi dia kembali kepada Islam.

Walaupun dalam perjuangan politiknya, ada juga perjuangan yang bersifat kulit dan tidak mendasar diperjuangkan PPP, malah sebahagian umat Islam yang awam begitu bangga dengan beberapa keberanian PPP, malahan almarhum Pak Natsir menyebut seburuk-buruk PPP katanya masih ada suaranya untuk memperjuangkan Islam.
Malah tahun 1979 ahli parlimen PPP berani keluar sidang parlimen (walk out) membantah
tindakan pemerintah untuk memasukkan ajaran kebatinan dalam polisi pembangunan negara, kemudian melarang demokrasi dan aktiviti mahasiswa di kampus, ini dibantah oleh PPP.

Kini menghadapi pilihanraya umum awal April 2014, parti-parti Islam dan bernuansa Islam bersatu dan bangkitlah, paling tidak berfederasi atau berkoalisi dengan sesama dan parti-parti nasionalis lain, yang saling menghargai dan menghormati dasar kita. Disinilah parti-parti Islam perlu menampilkan figur yang merakyat, jangan berlagak angkuh dan sombong.

Dulu begitu mesra dengan panggilan akhi untuk semua, namun kini bila bersama berkuasa, panggilan akhi hanya untuk orang kita saja, bukan untuk rakyat banyak.

Harus disedari majoriti sekitar 88% rakyat Indonesia adalah beragama Islam, itu adalah kekuatan kita, memang majoriti masih terbelakang, jahil dan belum semuanya cerdas membaca dan berpolitik, tetapi dengan pendekatan psikologi kita yang bijak dan berhikmah, marilah kita memperbanyak kawan dan memperkecil lawan, kawan seribu lebih baik daripada menghadapi musuh yang jumlahnya hanya sepuluh orang.

Dan yang lebih penting lagi aktivis atau pimpinan parti Islam Indonesia, hendaklah menjadi pemimpin bukan hanya sebagai pengikut atau pelengkap, dan lebih parah lagi kita selalu diperangkap.

Sampai bila akan selalu berulang kita membiarkan pisang berbuah dua kali atau
orangtua kehilangan tongkat, nauzubillah.

harakah/-

Tiada ulasan: