17 Januari 2010

Benarkah 60 Peratus Daripada 7 Juta Responden Faham Tentang 1Malaysia ?

Usaha untuk menyakinkan rakyat dengan slogan 1Malaysia nampaknya semakin rancak dilaksanakan oleh kerajaan khususnya oleh pemimpin UMNO. Kalau dulu mereka bermati-matian dengan Islam Hadhari sekali ini mereka berhempas pulas membodek bossnya yang memperkenalkan 1Malaysia.

Akhbar arus perdana semacam diarah untuk membesarkan berita seperti dimuka hadapan edisi Berita Harian pada hari ini yang saya lihat dijual di stesen minya Petronas hentian sebelah Simpang Pulai dalam perjalan ke Serdang tengahari tadi. Dengan tajuk utama dipaparkan kononnya kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta responden rakyat Malaysia didakwa memahami tentang konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata maklum balas itu diterima melalui pungutan suara menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini kepada kira-kira 14 juta pemilik telefon bimbit.

Persoalannya benarkah dakwaan itu dan sejauh mana ianya boleh dipercayai selepas Najib juga telah melancarkan program Juara Rakyat minggu lepas. Apakah agenda yang tersembunyi dengan pendedahan Rais tersebut ?

Bagi saya agenda yang sangat jelas dan mudah difahami dari isu ini tidak lain untuk menyakinkan rakyat bahawa pimpinan Najib sudah diterima oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia. ianya adalah langkah dan satu suntikan kepada suasana yang betul-betul tidak memihak kepada kepimpinan Najib pada masa ini.

Bayangkan kalaulah diawal tahun rakyat sudah menerima pukulan BN iaitu barang naik dengan kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen, selepas itu kekecohan di peringkat kementerian pelajaran bila bantuan makan diasarama dikurangkan dari 250 hari kepada 200 hari sahaja.

Kekecohan dan penolakan dan ketidak wajaran pemotongan itu telah menyebabkan ianya ditambah 40 hari lagi menjadikan 240 hari , namun masih tinggal baki 10 hari yang masih dipotong.

Walaupun tidak ada siapa yang jelas siapakah yang melemparkan bom dan menyerang 12 gereja setakat ini namun seperti kenyataan saya sebelum ini sekurang-kurangnya ianya lahir dari kemahuan UMNO sendiri setelah memerintah malaysia melebihi 50 tahun. penolakan pengamalan islam secara syumul oleh UMNO menyebabkan lahir masyarakat islam yang tidak faham kepada ajaran islam sehingga sanggup melakukan sesuatu yang diluar batas ajaran agamanya sendiri.Inilah berita yang sedang hangat diawal tahun 2010 ini.

Tiba-tiba Rais muncul dengan dakwaannya yang mengambarkan 1Malaysia sudah faham, namun yang tidak faham sebenarnya pemimpin UMNO termasuk rais sendiri. kalau benar 1 malaysia sudah difahami kenapakah UMNO masih mengapi-apikan semangat perkauman dan cuba melaga-lagakan antara kaum sekian lama.






Sebuah lagi gereja di Seremban jadi sasaran

1 Safar 1431

Sebuah lagi gereja di Seremban - Gereja Grace Global Prayer - menjadi sasaran apabila kaca sebuah tingkapnya dipecahkan.

Ia merupakan rumah ibadat di Seremban yang disasarkan - selepas Gereja Sidang Injil Borneo yang pintunya terbakar akibat perbuatan orang yang tidak dikenali.

Menurut laporan, insiden di Gereja Grace Global Prayer yang terletak di Rasah itu, berlaku antara jam 6 petang Khamis dan petang Jumaat, ketika gereja itu kosong. Demikian satu berita dipetik dari edisi malaysiakini hari ini.

Kejadian itu disedari oleh anggota Gereja Grace Global Prayer - yang terletak di sudut barisan rumah kedai dua tingkat - yang tiba untuk bersembahyang dan mendapati kaca sebuah tingkapnya pecah.

Ahli parlimen DAP bagi Rasah Anthony Loke dan ADUN Rahang MK Arumugam mengunjungi tempat kejadian itu malam tadi.

Ia merupakan gereja ke-12 yang menjadi sasaran ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mingguan Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah dalam bahagian bahasa Malaysianya.