23 Mei 2008

MB Perak: Muzakarah membuktikan keperihatinan terhadap perkembangan dan ketamadunan islam

IPOH, 20 Mei:- Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak berkenan merasmikan Muzakarah Cendekiawan Islam 2008 Sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Baginda disini selasa lepas.

Dalam buku cenderamata sempena majlis tersebut, MB Perak Y.A.B Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin berkata, bersyukur kehadrat Allah Subhana Wataa'la kerana pada tahun ini Kerajaan Negeri Perak sekali lagi dapat mengadakan Muzakarah Cendekiawan Islam Sempena Ulang Tahun hari Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dengan temanya "PEMBENTUKAN MODAL INSAN TERBILANG KE ARAH NEGERI PERAK MAJU".

Sesungguhnya muzakarah yang kita adakan pada hari ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Perak terhadap perkembangan dan ketamadunan Islam di negeri ini khususnya. Muzakarah kali ini sangat penting dalam memacu kemajuan negeri selaras dengan kehendak Allah S.W.T.

Mudah-mdahan muzakarah kita ini akan menjadi usaha murni dan menjadi satu ibadah yang diberkati Allah Subhanahu Wata'ala. Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan pandangan yang membina oleh para ulama' dan cendekiawan Islam dalam usaha mewujudkan sebuah negeri yang makmur dan maju dalam menuju wawasan Negeri Perak Maju.

Mari bermunajat selamatkan Pulau Batu Putih

PARIT BUNTAR, 22 Mei:- Esok adalah tarikh penting bagi seluruh rakyat Malaysia, dimana status Pulau Batu Putih akan ditentukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge adakah milik Malaysia atau Singapura.

Satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh Timbalan Yang Di Pertua PAS kawasan Parit Buntar, yang juga ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim supaya semua cawangan PAS di Parit Buntar mengadakan Zikir Munajat dan Majlis Bacaan Yassin bagi memohon daripada Allah supaya kedaulatan Pulau Batu Putih memihak kepada Malaysia.

Sehubungan dengan itu, ADUN Titi Serong juga berharap program yang sama dilakukan oleh seluruh peringkat parti di seluruh Malaysia.

SUKMA 2008, "Jangan pandang rendah pada kami"

MB Perak menyampaikan anugerah kepada olahragawati Perak 2007, Cheng Karmen (Renang).


Ketua Kontinjen SUKMA Perak 2008, Dato' Jamalludin Al-Amini Bin Hj. Ahmad menerima Bendera Kontinjen dari MB Perak.

IPOH, 21 Mei: Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat(PR). Demikian antara ucapan MB Perak, YAB. Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semasa merasmikan Majlis Anugerah Sukan dan Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Perak disini malam tadi.

MB Perak berkata, sukan adalah satu jalinan kemasyarakatan yang membawa kepada kemakmuran dan kesepaduan rakyat. Bahkan, sukan turut memberikan impak yang positif dalam mengharumkan nama negeri dan negara amnya. Justeru itu penganugerahan seperti ini wajar dilaksanakan sebagai inisiatif untuk melonjakkan semangat juang di kalangan warga sukan dalam konteks memajukan era sukan tanah air.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua warga sukan di seluruh pelusuk negara kerana keazaman dan displin yang tinggi telah membuka terusan kegemilangan untuk Negeri Perak. Jadikan anugerah ini sebagai inspirasi dan semangat untuk terus mencipta kegemilangan.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Negeri Perak mendoakan agar Kontinjen Negeri Perak akan dapat menempa sejarah gemilang di Temasya SUKMA XII Terengganu 2008", katanya.

Selain itu, satu sketsa menarik dengan judul "Jangan rendah pada kami" telah mendapat tepukan gemuruh dari hadirin. MB Perak juga menyampaikan anugerah kepada olahraga dan olahragawati Perak tahun 2007.