21 Oktober 2011

Polis Tembak Remaja Di Glenmarie: Ibu Mangsa Fail Kes Ke Mahkamah Cabar KDN

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Keluarga tiga remaja ditembak di Glenmarie cabar KDN

KUALA LUMPUR, – Ibu mangsa salah seorang daripada tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa kes itu ke mahkamah bagi membuktikan pihak polis bertindak mengikut peraturan.

Norhafizah Mohd Razali, ibu kepada Allahyarham Muhammad Syamil Hafiz Shapiei yang kecewa dengan sikap lepas tangan KDN mahu kematian Syamil dan dua rakannya diadili mengikut siasatan yang menyeluruh.

“Saya sangat kecewa dan marah dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana kes ini diperkotak-katikkan.

“Saya minta menteri KDN lihat semula laporan bedah siasat ketiga-tiga anak ini dan saya cabar menteri bawa kes ini ke mahkamah kalau betul mereka di pihak yang benar,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Muhammad Syamil, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak polis dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

Ketiga-tiga remaja itu ditembak kira-kira pukul 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.

Hari ini merupakan kali kedua Norhafizah dan ahli keluarga mangsa hadir ke Parlimen ditemani anggota Lawyers for Liberty (LFL) setelah memorandum dan rayuan mereka agar kes ini diadili mengikut saluran perundangan tidak diendahkan.

Norhafizah buat kesekian kalinya menekankan bahawa beliau tidak berpihak kepada anaknya namun kecewa apabila melihat laporan bedah siasat yang mendapati ketiga-tiga mangsa ditembak dalam keadaan mereka sudah melutut, bukan dalam keadaan menyerang seperti yang didakwa polis.

“Berapa kali saya katakan saya terima kalau anak saya benar-benar bersalah tapi sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh,” katanya sambil menahan sebak dan marah, lapor Harakahdaily.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada sidang media sama menyifatkan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa hasil siasatan mendapati tindakan polis melepaskan tembakan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang sebagai longgar dan tidak bertanggungjawab.

Hishammuddin dalam jawapan bertulis kepada soalan Gobind di Dewan Rakyat Isnin lalu berkata, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.

“Bagaimana kes yang mendapat liputan meluas di seluruh negara, setahun keluarga minta penjelasan daripada polis dan menteri dan saya sebagai seorang ahli Parlimen tanya soalan secara serius.

“Tapi jawapan menteri hanya satu perenggan, berkata tindakan mengikut lunas undang-undang.Mana faktanya? Mana hujah membantah laporan bedah siasat?” soalnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar berkata Hishammuddin memesongkan Dewan Rakyat apabila berkata kes tersebut ialah cubaan membunuh sedangkan kesemua mangsa mati ditembak.

“Menteri wajib bertanggungjawab dengan kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat.

“Budaya terlepas daripada hukuman dan menembak sembarangan di kalangan sebahagian daripada anggota pasukan polis dibenarkan berikutan sikap Menteri KDN yang melulu mempertahankan polis walaupun mereka melakukan jenayah,” katanya yang juga Naib Presiden PKR. -TMI

Mansuh ISA: 13 bebas, 16 bela diri

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Seramai 13 daripada 29 tahanan yang menyertai Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 hari ini dibebaskan manakala 16 lagi diarahkan membela diri.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membacakan keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas hampir dua tahun kes itu dibicarakan.

13 tahanan yang merupakan anggota Unit Amal iaitu pertubuhan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Pihak pendakwa bagaimanapun gagal mengemukakan bukti-bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.

Manakala 16 tahanan lagi yang didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dipanggil membela diri pada 1 dan 2 Disember depan kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis dan dipanggil membela diri.

Tiga daripada 16 tahanan tersebut ialah aktivis Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) sendiri, Nashita Md Nor dan Norlaila Othman dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

Bercakap kepada pemberita di luar kamar mahkamah, peguambela Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi yang juga berkata, berdasarkan keptusan awal, pihaknya yakin mempunyai pembelaan yang kukuh terhadap 16 tahanan tersebut.

"Kami di pihak peguam bela berasa yakin bahawa kita mempunyai pembelaan yang kukuh untuk 16 tahanan ini dan kita akan terus mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi untuk membuat persiapan dalam kes pada 1 dan 2 disember nanti," katanya yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat.

Gembira dengan pembebasan 13 tahanan itu, beliau bersama pasukan peguam bela yang lain bagaimanapun katanya perlu mempersiapkan diri untuk perbicaraan Disember depan.

"Perasan bercampur baur...kita gembira dengan pembebasan semua anggota Unit Amal yang didapati tidak bersalah dalam dua-dua pertuduhan tapi dalam masa yang sama perlu membuat persiapan untuk membela 16 yang mempunyai pertuduhan pilihan iaitu terlibat dalam perhimpunan haram," katanya.

Tambahnya kes itu agak unik kerana mereka menang pertuduhan pertama namun dipanggil membela diri untuk pertuduhan pilihan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamed mengucapkan tahniah kepada 13 Unit Amal yang bebas dan terima kasih kepada pihak peguam yang bertungkus-lumus memenangkan kes.

Beliau berkata, kemenangan itu harus dijadikan suntikan semangat untuk konsisten dalam perjuangan manakala yakin pihak peguam mampu mengulangi kejayaan untuk kes 16 tahanan lagi.

"Pemuda mengucapkan terima kasih kepada Juham yang menyediakan tenaga peguam daripada awal sehingga akhir kes.

"Tahniah kepada 13 Unit Amal dan kita harap ini memberi semangat untuk kita terus beri komitmen dalam perjuangan.

"Kepada 16 yang masih diminta membela diri, saya yakin Juham akan memnebri pembelaan yang terbaik untuk pastikan semua tahanan dibebaskan," katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud, Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh.

harakahdaily/-

Gadis Kecil Baru 10 Tahun Telah Menguasai 10 Bahasa

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Seorang murid berusia 10 tahun boleh bertutur dalam SEPULUH bahasa termasuk Kazak dan Uganda. Sonia Yang, 10 tahun telah dinobatkan sebagai 'The best young linguist' bahagian barat laut England dalam pertandingan tersebut.

Gadis kecil dari Hulme Cheadle, Stockport, dilahirkan di Taiwan tetapi berpindah ke England dengan keluarganya untuk memulakan sekolah rendah.
Semasa tiba di England, Sonia sudah fasih bertutur dalam Bahasa Taiwan Jepun, Cina dan Bahasa Inggeris. Kini dia boleh juga bertutur dalam bahasa Jerman, Perancis, Sepanyol, Portugis dan baru-baru ini telah dikesan menguasai bahasa Kazakh dan bahasa Uganda.

-OrangMuo

Mangsa simbah asid bedah mata

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Shafiq Aiman selepas selamat menjalani pembedahan mata di HKL, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang mengalami kecederaan parah selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh seorang lelaki di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran pada 19 Julai lalu selamat menjalani pembedahan mata di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Kedua-dua beradik itu, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, menjalani pembedahan tersebut yang bermula pada pukul 9 pagi dan memakan masa selama tujuh jam.

Ibu kepada dua beradik itu, Norhashimah Julaili Mansur, 44, memberitahu, tujuan pembedahan tersebut bagi membolehkan mata kedua-dua anaknya dapat dipejam secara normal.

“Sebelum dibedah, mereka tidak boleh memejam mata kerana kelopak mata mereka mengalami kerosakan.

“Jadi, melalui pembedahan tersebut, doktor ambil kulit pada bahagian belakang cuping telinga untuk dijadikan kelopak mata baharu bagi memudahkan mata mereka ditutup dan dibuka,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang yang juga jiran mangsa ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.

kosmo/-

Pengharaman merokok di Euro 2012

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BERNE - Merokok akan diharamkan dalam stadium semasa perlawanan Euro 2012 berlangsung di Poland dan Ukraine, menurut Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), semalam.

“UEFA akan menguatkuasakan satu larangan penuh pada penggunaan, jualan, atau promosi tembakau dalam semua stadia melibatkan UEFA Euro 2012. Peraturan akan digunakan tanpa pengecualian bagi semua tempat-tempat dalam perimeter stadia, luar atau dalam,” menurut kenyataan pegawai pentadbiran bola sepak Eropah.

Perbezaannya, UEFA membenarkan aktiviti merokok sewaktu perlawanan dalam Liga Juara-juara, memberitahu dasar yang dibuat adalah bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Persatuan Jantung Sedunia, dan Rangkaian Kesihatan Stadia Eropah.

“Euro 2012 bebas tembakau mengenai kesihatan penonton-penonton kami dan orang lain yang terlibat dalam perlawanan itu. Kita memandang berat standard kesihatan, keselamatan dan keselesaan pada perlawanan, malah tembakau tidak sesuai buat mereka.

SINAR HARIAN/-

Jangan Guna Budak Sebagai Senjata Politik

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG : Pimpinan kerajaan Pulau Pinang mengecam tindakan blogger pro-Umno yang memfitnah anak remaja lelaki Lim Guan Eng sambil menyeru lawan politik mereka untuk hanya menumpukan serangan terhadap orang politik.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P.Ramasamy berkata, kenyataan yang dilemparkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek baharu-baharu ini dengan mengatakan kejadian itu sebagai politik biasa di Malaysia adalah tidak wajar sama sekali.

"Bagaimana pemimpin MCA boleh berkata begitu kepada masyarakat Malaysia bila mana rakyat memandang dia sebagai seorang pemimpin. Jenis moral apakah itu? Dia sepatutnya memberitahu rakyat bahawa kita tidak sepatutnya menghukum seorang budak berusia 16 tahun. Kita perlu elakkan perkara begini. Pimpinan Umno boleh menentang kita, tetapi bukan seorang budak kecil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Datuk Mansor Othman dengan nada sinis berkata tindakan tersebut mencerminkan budaya politik
Umno-BN hari ini.

Tambahnya, adalah sesuatu yang memalukan kepada negara apabila kegilaan kuasa menyebabkan Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.

"Mahatma Gandhi dalam salah satu politik beliau iaitu Gandhi Seven Deadly Sins telah menyebut Politics Without Principal yang ternyata diamalkan hari ini oleh Umno dan BN adalah politik tanpa prinsip apabila dengan sedar telah mengheret anak Lim Guan Eng ke kancah politik kotor mereka.

Ini menunjukkan betapa rendahnya etika politik kepimpinan Umno-BN yang sanggup menggunakan taktik politik kotor dalam usaha membunuh karier politik lawan mereka," jelasnya.

Bari-baru ini blog pro Umno mendakwa anak Ketua Menteri Pulau Pinang itu terlibat dalam serangan seksual terhadap seorang gadis yang berasal dari Hong Kong.

Lim telah menyangkal semua dakwaan itu termasuk tuduhan itu ditutup dengan RM200,000.

DAP hari ini mendedahkan gambar yang digunakan blog-blog pro Umno untuk melontarkan dakwaan mereka sebenarnya merupakan juara catur bernama Anya Sun Corke yang berusia 21 tahun.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town.

Sebaliknya dia sedang mengikuti pengajian di Wellesley College, Amerika Syarikat.

Blogger pro Umno termasuk Ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Lim telah mengganggu rakan satu kelas yang berusia 16 tahun dan cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com

tv news/-

Penganggur dakwa ragut rantai sebab lapar

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 Okt. - ``Saya ada ibu bapa yang telah tua untuk disara. Saya terpaksa lakukan kesalahan ini sebab saya juga sudah beberapa hari tidak makan. Minta jasa baik Yang Arif untuk ringankan hukuman.’’

Demikian rayuan seorang penganggur yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meragut rantai leher emas bernilai RM1,000 milik seorang pekerja kilang warganegara Sri Lanka.

Ronnie Rickson Anak Aron, 30, mengaku menyamun wanita tersebut, Priantha Samara Arachi, 30, di Jalan Persiaran Budiman, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada pukul 4.40 petang, Sabtu lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada hari kejadian.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebatan.

Mengikut fakta kes, Priantha dan suaminya sedang berjalan di tempat kejadian apabila Ronnie Rickson yang berasal dari Kuching, Sarawak tiba-tiba menghampiri dan merentap rantai leher yang dipakainya.

Melihat kejadian itu, suami mangsa bertindak mengejar tertuduh serta merampas semula rantai tersebut sebelum menyerahkan lelaki itu kepada pihak polis. - Utusan

Kemalangan Feri: 74 Cedera di Hong Kong

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HONG KONG: 74 cedera apabila sebuah feri Hong Kong melanggar tiang tambatan, pada Jumaat.

Jurucakap Jabatan Marin Hong Kong, Patrick Wong, berkata daripada jumlah mangsa yang tercedera, sembilan dalam keadaan serius dan sudah dikejarkan ke hospital dengan menggunakan helikopter.

“Kira-kira jam 5 pagi tadi, feri sepanjang 29 meter yang membawa 140 penumpang melanggar kemudahan tiang tambatan perlindungan taufan sejurus berlepas dari Cheung Chau.

“Bot berkenaan tidak karam, tetapi terdapat penumpang yang cedera,” katanya. - AFP

Kakitangan akademik UIA sokong Aziz Bari

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.

“Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional,” ujar persatuan itu dalam satu kenyataan.

PKA UIAM berkata, tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

“Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau,” tambah kenyataan itu.

Berikut kenyataan penuh PKA UIAM

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.

Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an: Surah al-Anbiya’ (21:7): “Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”.

Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini Ini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini. Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al Qur’an dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Sebagai seorang ahli akademik, Professor Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya.

Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara.

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi: “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia.

Sekian. Terima kasih.

harakahdaily/-

Selangor Mahu Wujudkan Insurans Bagi Pekerja Yang Diberhentikan

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor akan mengadakan rundingan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi mewujudkan skim insurans untuk melindungi pekerja yang diberhentikan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata skim seperti ini mampu mengurangkan beban yang ditanggung mereka yang kehilangan kerja sekiranya berlaku kegawatan ekonomi pada masa hadapan.

"Skim ini bukan berbentuk pampasan sepenuhnya tetapi cukup untuk membantu mereka yang kehilangan kerja berdepan dengan hari-hari yang sukar. Saya berharap dapat mengadakan perbincangan dengan MEF mengenai perkara ini," katanya ketika pada majlis makan tengahari bersama pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Bangunan SSAAS di Shah Alam, hari ini.

Menjawab soalan salah seorang tetamu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor memandang serius kebajikan pekerja dan tidak berkompromi jika pekerja terbabit tidak dilayan secara adil oleh majikan.

"Oleh kerana itu kita menubuhkan dengan segera pasukan khas bagi menbantu pekerja di negeri ini yang hilang pekerjaan ketika ekonomi gawat pada 2008," katanya yang merujuk kepada pasukan khas yang dianggotai wakil agensi kerajaan, anak-anak syarikat kerajaan negeri, MEF, MTUC, Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) dan Agensi Pembangunan Industri Malaysia.

"Walaupun ekonomi semakin baik dan pemberhentian pekerja bukan lagi menjadi isu, pasukan khas ini akan digerakkan semula jika keadaan memerlukan," katanya.

Makan tengahari ini dihadiri lebih 60 ahli MTUC termasuk Presiden MTUC cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Gopal Krishnam, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan industri bersekutu, Syed Shahir Syed Mohamud serta wakil MEF.

TV NEWS/-

Demo sokong Aziz Bari tegang

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Beberapa orang pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.

"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Tindakan itu dipercayai bagi membantutkan usaha kumpulan mahasiswa yang mahu berdemonstrasi terhadap UIA yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Sementara itu, wartawan Abdul Rahim Sabri yang tiba di UIA sejak pagi tadi, melaporkan kira-kira 700 mahasiswa sedang berhimpun membantah penggantungan Abdul Aziz.

Perhimpunan itu berlansung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat.

Mereka melaungkan “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan.

Mereka berhimpun untuk menyokong dan mendokong Abdul Aziz dan mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Sewaktu mereka hendak berarak menghantar memorandum, berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum kepada rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak berlaku.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

MALAYSIAKINI/-

Hembus nafas ke dalam mulut anjing

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JARED THOMPSON (kiri) dan Jamie Giese (kanan) memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke hidung seekor anjing di Wausau, Amerika Syarikat pada Selasa lalu.

WAUSAU, Amerika Syarikat - Dua anggota bomba di sini memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke hidung seekor anjing yang berusia tujuh tahun pada Selasa lalu.

Anggota bomba itu, Jared Thompson dan Jamie Giese memberikan bantuan pernafasan itu selepas haiwan tersedut asap dalam kebakaran yang berlaku di rumah tuannya.

Haiwan itu dikatakan tidak bernafas semasa ia dibawa keluar oleh kedua-dua ahli bomba tersebut.

Anjing itu kemudian diberikan bantuan pernafasan melalui oksigen sebelum ia dihantar ke dua buah hospital haiwan untuk mendapatkan rawatan.

Tindakan kedua-dua anggota bomba tersebut menyebabkan anjing itu masih hidup.

Ketika kejadian, haiwan itu terperangkap di dalam rumah tuannya.

Tuannya tidak berada di rumah kerana mereka keluar ke bandar semasa kebakaran berlaku. - Agensi

Sekali tepuk RM50,000 lesap

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BATU PAHAT: Hanya sekadar menepuk bahu, seorang lelaki berwatak alim mampu membuatkan mangsanya secara tanpa disedari menyerahkan geran tanah, wang tunai serta barangan kemas kepada pengamal ilmu pukau terbabit.

Seorang daripada mangsa amalan sihir itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salim dari Seri Medan di sini, berkata dia kerugian RM50,000 dan hanya menyedari dipukau selepas pemeriksaan mendapati wang dalam akauan banknya berkurangan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu bersyukur tidak sempat menyerahkan geran tanah miliknya kerana penipu terbabit menghilangkan diri terlebih dulu. Salim berkata, segala-gala bermula pada awal September lalu selepas dia bersua muka dengan lelaki dikenali sebagai Roslan, 40-an, yang selalu memakai jubah serta kopiah.

“Saya menerima panggilan telefon daripadanya dan bila saya tanya bagaimana dia dapat nombor telefon saya, Roslan memaklumkan kami mempunyai naluri rasa yang sama.

“Tanpa membuang masa, Roslan menawarkan peluang perniagaan yang boleh menjana pendapatan lumayan namun saya menolaknya dengan baik dan mengatakan tidak berminat dengan urus niaga seperti itu,” katanya di sini, semalam.

metro/-

Selangor peruntuk RM4 juta untuk sekolah Tamil

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 Okt: Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM4 juta bagi tujuan pembangunan pendidikan kepada Sekolah Jenis Tamil seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) berkata, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM16 juta yang diperuntukkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada 2011.

Katanya, bagi penyerahan bantuan pendidikan fasa pertama kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM6,692,786 termasuk 121 buah sekolah (SRA), 75 buah (SJKC) dan 97 buah (SJKT).

Menurutnya, sebanyak 97 buah sekolah telah menerima peruntukan bantuan pendidikan fasa pertama yang telah diserahkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Selangor pada 9 Jun yang lalu.

“Peruntukan untuk Sekolah (SKJT) bagi fasa 2 ini sebanyak RM1,385,400 dengan melibatkan 43 buah sekolah yang layak menerima bantuan tersebut melalui tapisan Jawatankuasa Kecil Penilaian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT),” katanya pada majlis penyerahan bantuan fasa dua bagi SRJK, kelmarin.

Katanya, semasa bantuan diberikan pada Jun yang lalu telah umumkan bagi sekolah-sekolah yang inginkan bantuan, mereka boleh membuat permohonan yang bermula pada 10 Jun dan berakhir pada 11 Julai.

“Bantuan pendidikan ini akan di buat penilaian terlebih dahulu ke atas permohonan yang dibuat daripada sekolah-sekolah. Ia berdasarkan keutamaan dan keperluan sekolah tersebut iaitu baik pulih dan pembinaan infrastruktur sekolah dan program pembangunan pendidikan,” ujarnya yang juga Adun Selat Klang.

Dr Halimah berharap Jawatankuasa PIBG SJKT bekerjasama dengan pentadbiran sekolah bagi membantu dan merancang meningkatkan kemudahan infrastruktur dan menyediakan program- program pembangunan pendididikan yang berkualiti untuk para pelajar.

“Jawatankuasa PIBG SJKT juga hendaklah amanah dengan peruntukan yang diberikan ini. Semoga dengan adanya bantuan daripada kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) tanpa mengira ideologi politik sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pencapaian di sekolah masing-masing,” katanya pada majlis yang diadakan di ruang legar Bangunan SSAAS.

harakahdaily/-

Siswa desak UIA tarik balik gantung tugas Aziz Baru

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sekumpulan mahasiswa hari ini mendesak Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugasnya semalam.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.

Ia akan diserahkan kepada Zaleha selepas perhimpunan membantah tindakan terhadap Abdul Aziz petang ini.

Memondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

malaysiakini/-

Pakistan tembak 34 anggota militan

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ISLAMABAD 21 Okt. – Pasukan separa tentera Pakistan menembak mati seramai 34 anggota militan dalam pertempuran di wilayah bergolak di sempadan Afghanistan, semalam.

Tiga anggota tentera turut terbunuh dalam kejadian tersebut.

“Kumpulan militan melancarkan serangan ke atas pasukan separa tentera ketika mereka melakukan rondaan di kawasan terbabit,” kata pihak berkuasa. – REUTERS

Babun buka pintu kereta larikan barang

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BABUN itu melarikan diri dengan membawa sebuah beg manakala Hendrik Raven mengelakkan diri daripada dirempuh haiwan tersebut.

CAPE TOWN, Afrika Selatan - Seekor babun membuka pintu dan melarikan beberapa barang dari sebuah kereta di pinggir Cape Town, Afrika Selatan kelmarin.

Babun itu yang merupakan sejenis beruk besar dilihat mengendong seekor anaknya semasa dia melarikan barang dari kereta milik Hendrik Raven.

Raven hanya memerhatikan gelagat babun itu tanpa melakukan sebarang tindak balas.

Babun itu melarikan makanan dan beg yang terdapat dalam kereta tersebut.

Sejumlah pekerja diupah sebagai pemantau babun bagi menghalang haiwan berkenaan memasuki kereta, rumah dan menyelongkar tong sampah.

Kumpulan pekerja itu menghabiskan masa dengan mengikuti pergerakan haiwan berkenaan di Semenanjung Cape untuk memastikan babun tidak berkelakuan tidak menyenangkan.

Para pelancong juga dinasihatkan supaya tidak memberikan makanan kepada haiwan itu.

Babun merupakan spesies yang dilindungi oleh undang-undang Afrika Selatan tetapi sikap haiwan itu yang mencari makan telah mencetuskan konflik dengan penduduk. - Agensi

PR minta tubuh suruhanjaya siasat kes Ahmad Sarbaini

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja, bagi menyiasat kes kematian Pegawai Kastam Ahmad Sarbaini Mohamad.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan dibuat Mahkamah Koroner September tahun lalu, menyatakan kematian Ahmad Sarbaini disebabkan nahas, tidak dapat diterima ahli keluarganya.

“Tindakan keluarga menolak keputusan itu kerana ada beberapa fakta mengelirukan.

“Oleh itu, pihak keluarga tidak berpuas hati dengan keputusan dan meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Hadir sama, bapa arwah, Mohamad Hitam Taib dan ibunya, Aishah Abdul Raof.

Sementara itu, sepupu Ahmad Sarbaini, Mokhtar Mansor berkata, mereka sekeluarga berharap satu suruhanjaya ditubuhkan.

“Ini bertujuan membersihkan nama arwah, sama ada kami akan menerima keputusan atau tidak, bergantung kepada keputusan dibuat suruhanjaya itu nanti,” katanya.

Ahmad Sarbani, 56, bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

sinar harian/-

PAS Bukit Katil nafi laporan Sinar Harian

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MELAKA, 21 Okt: PAS Kawasan Bukit Katil menggesa akhbar Sinar Harian membuat penafian berita mengenai penyertaan bekas ketua PAS cawangan ke dalam Umno.

Setiausahanya, Ramli Dalip (gambar kecil) menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar tersebut hari ini bahawa 30 ahli PKR Ranting Bukit Piatu Parlimen Bukit Katil bertindak membubarkan ranting tersebut dan bertindak menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam laporan itu, bekas Ketua Ranting PKR Bukit Piatu, Md Said Abu berkata mereka sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR yang tidak menjaga kebajikan ahli.

Gambar dalam akhbar itu juga menunjukkan bahawa bekas Ketua PAS Cawangan Bukit Piatu, Abdul Samad Mamat ada bersama-sama dengan Mohd Ali dan Md Said.

Menurut Ramli, malam tadi beliau telah bertemu sendiri dengan kedua-dua bekas pemimpin cawangan PAS dan ranting PKR Bukit Piatu itu.

Katanya, mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Mohd Ali.

"Gambar itu diambil semasa satu majlis yang melibatkan NGO bukannya majlis Umno atau majlis penyerahan borang Umno, mereka telah manipulasikan program tersebut ambil gambar kata Md Said masuk Umno.

"Cikgu Samad juga menafikan beliau menyertai Umno dan beliau masih aktif membantu Penyelia PAS Dun Kuala Linggi," ujarnya yang juga anggota Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Ramli berkata tindakan media itu menyiarkan berita tersebut adalah berniat jahat dan cuba memburuk-burukkan PAS dan PKR khususnya di Bukit Piatu dan Parlimen Bukit Katil.

"Kita menyelidik berita tersebut sebelum menyiarkannya kepada umum, ianya memberikan impak yang besar kepada imej individu yang ditunjukkan dalam gambar tersebut," jelas Ramli.

harakahdaily/-

NTC umum pembebasan Libya

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 21 Okt. - Pemimpin kerajaan sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil akan mengisytiharkan pembebasan Libya dan memberi maklumat terperinci mengenai kematian Muammar Gaddafi, kata perdana menteri kerajaan sementara, Mahmud Jibril kepada pemberita.

“Abdel Jalil akan muncul hari ini atau selewat-lewatnya esok untuk mengisytiharkan pembebasan negara ini dan mengumumkan maklumat terperinci mengenai kematian Gaddafi,” kata orang nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) itu.

“Dengan pengumuman itu semua mereka yang jahat, termasuk Gaddafi telah dihapuskan dari negara tercinta ini ... ini adalah masa bagi Libya untuk memulakan negara baru, sebuah Libya yang bersatu, satu rakyat dan satu masa depan,” katanya. - AFP

Juadah dekat longkang

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JIJIK...keadaan dapur yang tidak bersih walaupun perniagaan baru beroperasi.

KUALA LUMPUR: Sangat kotor! Itulah ungkapan paling sesuai diberikan kepada sesetengah pemilik kedai makan sekitar Jalan Genting Klang yang tidak menjaga kebersihan sehingga memaksa pihak Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis penutupan kepada kedai berkenaan.

Harian Metro turut serta dalam operasi lawatan kebersihan ke beberapa premis makanan itu mendapati rata-rata pelanggan yang datang seolah-olah tidak sedar mengenai tahap kebersihan kedai yang mereka kunjungi itu amat teruk.

Tinjauan mendapati ayam yang sudah dimasak dibiar tergantung dekat longkang tiada penutup dan tersumbat. Malah, lipas berlegar-legar di setiap sudut dapur kedai berkenaan.

Seorang pelanggan, Malissa, 21, berkata, dia tidak pernah sakit perut atau keracunan makanan setiap kali ke kedai berkenaan.

“Saya tidak tahu pun kedai ini kotor, mungkin sebab saya selalu memesan makanan dari depan jadi tidak nampak apa yang berlaku di belakang.

“Rumah saya dekat kedai ini, sebab itu saya sering datang makan, tetapi selepas dapat tahu mengenai perkara itu, mungkin saya tidak akan datang lagi sehingga mereka bersihkan kedai terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu Pegawai Kesihatan Parlimen Wangsa Maju dan Setia Wangsa, Dr Jamaiyah Mohd Yunus berkata, jika ada kedai yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan Seksyen 11 Akta Makanan 1983, premis mereka akan dikenakan kompaun atau kedai perlu ditutup.

“Antara syarat perlu dipatuhi semua pengendali makanan ialah perlu mendapatkan suntikan, memakai apron, topi dan menghadiri kursus asas pengendalian makanan,” katanya.

Sembilan kakitangan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL menyertai operasi itu dan enam kompaun dikeluarkan dengan kesalahan berniaga di luar premis, membuang sisa makanan di longkang awam, ada urungan lipas, tiada suntikan dan tiada lesen perniagaan.

metro/-

Anya Sun: Saya tak kenal, tak pernah jumpa anak Guan Eng

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Seorang pelajar perempuan, yang gambarnya digunakan oleh blog-blog pro-Umno untuk mengaibkan anak lelaki Lim Guan Eng kononnya telah melakukan gangguan seksual ke atasnya, hari ini menafikan dia mengenali atau pernah berkawan dengan remaja berkenaan.

Dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan hari ini, juara sukan catur Anya Sun Corke (gambar) menegaskan, gambarnya telah digunakan secara tidak wajar tanpa pengetahuan atau keizinannya.

“Hakikatnya, saya tidak pernah dijadikan mangsa dalam mana-mana keadaan oleh budak ini atau keluarganya,” kata Corke lagi.

Corke yang sedang belajar di Wellesley College, Amerika Syarikat, berkata, dia terkejut dan kecewa dengan perkembangan ini.

“Saya berharap bahawa ia tidak akan berulang,” katanya lagi.

Dia seterusnya berkata, “saya tidak pernah melawat Malaysia sejak tujuh tahun yang lalu.”

“Saya tidak pernah bertemu atau mendengar mengenai mana-mana pihak yang terlibat (dalam isu ini). Saya pun tidak pernah diserang secara fizikal dalam apa jua cara,” katanya sambil menambah, dia bersimpati dengan remaja terbabit.

Kenyataan Corke dikeluarkan dua hari selepas DAP mendedahkan gambar, yang digunakan oleh blog-blog pro-Umno untuk melontarkan dakwaan serangan seksual terhadap anak lelaki Lim, sebenarnya merupakan juara catur berusia 21 tahun dari Hong Kong.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town, kata DAP kelmarin.

Pemblog-pemblog pro-Umno termasuk ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Ketua Menteri telah mengganggu pelajar perempuan satu kelas dan telah cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Kelmarin, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com.

“Papan catur telah dipadamkan. Tanpa ragu-ragu, ia menunjukkan bahawa dakwaan mereka tidak lain tidak bukan hanya satu pembohongan yang kejam,” katanya.

Pengetua sekolah anak lelaki Lim pernah juga telah menafikan dakwaan sedemikian.

Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP awal minggu ini telah mengecam tindakan blog-blog pro-Umno dan beberapa pemimpin Umno yang mengaibkan beliau dan anaknya dengan dakwaan tidak berasas.



Themalaysianinsider/-

Turki serang Iraq

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANKARA : Tentera Turki termasuk pasukan pengebom tentera udara dan helikopter melancarkan serangan mengejut ke atas utara Iraq, beberapa jam selepas pemberontak Kurdish membunuh 24 askar negara ini dan mencederakan 18 yang lain dalam serangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara, hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan membatalkan lawatan ke Kazakhstan dan mengadakan sidang media bagi mengumumkan Turki melancarkan serangan ke atas Iraq.

"Kami tidak akan tunduk terhadap mana-mana serangan sama ada dari dalam Turki atau dari luar," katanya.

Serangan yang dianggap sebagai terbesar dalam tempoh lebih tiga tahun itu turut mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Televisyen NTV melaporkan, tentera Turki memasuki kira-kira empat kilometer ke sempadan Iraq, manakala agensi berita Dogan melaporkan sekurang-kurangnya 20 pemberontak Kurdish terbunuh dalam serangan itu.

Kesahihan laporan itu masih tidak dapat dipastikan.

Serangan yang dipercayai dilancarkan kira-kira 200 pemberontak Kurdish di dua kawasan berasingan berhampiran sempadan Turki-Iraq itu merupakan serangan terbesar sejak 1990-an.

"Kami bertempur dengan tentera Turki di dua kawasan sejak pukul 3 pagi (waktu tempatan) hari ini," kata jurucakap pemberontak Kurdish, Dostdar Hamo di utara Iraq.

Sementara itu di Baghdad, jurucakap kerajaan tidak dapat dihubungi untuk ulasan berhubung serangan tersebut.

Presiden AS, Barack Obama menerusi kenyataan yang dikeluarkan White House mengutuk serangan ke atas Turki dan menyatakan sokongan kepada negara ini.

"Turki merupakan sekutu kami dan AS akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada Turki bagi membendung ancaman keganasan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan berusaha mewujudkan keamanan terutamanya di tenggara negara itu," katanya. - AGENSI

Padah tumbuk muka isteri

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ZAINON (kiri) semasa hadir pada perbicaraan suaminya yang didakwa kerana mencederakannya di Mahkamah Majistret Melaka semalam.

MELAKA – Gara-gara mencederakan isteri sendiri dengan menumbuk mukanya ketika bertengkar, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Norazman Mohd. Said, 44, selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan kedua yang disabitkan ke atasnya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut isterinya yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan kedua itu, Md. Norazman didakwa mencederakan Zainon Basir, 43, di rumah No. 15, Jalan M27 Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 12.30 malam, 1 Ogos lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya diringankan.

“Jika boleh saya hanya mahukan hukuman denda dan tidak dikenakan hukuman penjara,” katanya.

kosmo/-

Susilo ingatkan rakyat tidak melampaui batas

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

NAJIB bersama Susilo pada sidang media selepas perundingan tahunan pemimpin kedua-dua negara ke-8, di Lombok semalam. Turut sama menteri Kabinet Malaysia (kiri) dan Indonesia.

Hubungan demokrasi Jakarta, KL patut dipertahankan

PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, mengingatkan rakyat negara itu supaya tidak melampaui batas ketika melakukan tunjuk perasaan membantah sesuatu perkara terhadap Malaysia.

Beliau berkata, dalam alam demokrasi negara itu, tunjuk perasaan boleh terjadi. Bagaimanapun, tunjuk perasaan tidak boleh melebihi sepatutnya kerana boleh melukai hati negara sahabat.

“Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka strategik, fundamental dan jangka panjang.

“Sebagai negara tetangga, pasti ada masalah. Indonesia dan Malaysia, walaupun saudara dekat, selalu ada masalah seperti itu,” katanya pada sidang media selepas perundingan tahunan pemimpin kedua-dua negara ke-8 di sini, semalam.

Tunjuk perasaan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini berikutan dakwaan bahawa Malaysia merampas tanah milik republik itu di Kalimantan menjadi isu hangat apabila bertukar ganas.

Tindakan penunjuk perasaan merosakkan bahagian depan kedutaan di Jalan Rasuna Said menyebabkan ramai rakyat negara ini meminta kerajaan republik itu melakukan sesuatu.

Susilo berkata, semangat rakyat negara itu, walaupun apa pun terjadi tidak boleh merosak dan mengganggu hubungan strategik dan jangka panjang kedua-dua negara.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan penyelesaian masalah membabitkan kedua-dua negara, tiada lagi persepsi yang keliru dan isu diangkat mana-mana pihak.

“Kita perlu melangkah ke depan dengan semangat baru dan dengan tiada lagi masalah, tiada lagi isu yang boleh disalahertikan sebahagian rakyat Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ada empat prinsip yang mendasari hubungan kedua-dua negara.

Katanya, prinsip pertama ialah sebarang masalah yang wujud perlu diselesaikan secepat mungkin.

Selain itu, katanya, perlu ada suatu tempoh masa untuk menyelesaikan masalah, perhubungan berdasarkan layanan sama rata dan keadaan sama menang yang bukan hanya membabitkan kerajaan, malah rakyat.

berita harian/-

Lari tanpa seluar dalam

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA – Seorang pelanggan lelaki sebuah pusat urut batin di SS2 dekat sini, lari lintang pukang hingga tidak sempat memakai seluar dalam ketika premis itu serbu anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Lelaki berusia 30-an itu sempat meloloskan diri bersama seorang tukang urut dengan hanya bertuala mandi selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang premis urut berkenaan.

Dalam serbuan itu, tiga premis urut yang berselindung di sebalik pusat refleksologi turut tidak terlepas dikenakan tindakan kerana beroperasi secara haram.

Operasi diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Khir Johari itu turut menyerbu dua pusat siber judi yang satu daripadanya berselindung di sebilik operasi sebuah pusat snuker berlesen di situ

Sementara itu, Ahli MBPJ Zon 8, Tony Cheong berkata, semua premis terbabit dikenakan kompaun manakala peralatan serta barangan masing-masing turut disita.

“Pihak Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ turut mengeluarkan notis supaya bahan binaan tanpa kebenaran dalam premis haram itu juga perlu diroboh segera dalam tempoh 14 hari

“Sebanyak 100 unit komputer dan unit pemproses pusat (CPU) serta peralatan seperti tilam dirampas dalam serbuan kali ini,” katanya.

Kata Tony, operasi akan diadakan tiga bulan sekali selain pemantauan akan dibuat secara berterusan di kawasan itu bagi mengelak ianya dari terus popular sebagai lokasi premis haram beroperasi.

Tindakan diambil dibawa Undang Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MBPJ 2007 dan Undang-Undang Kecil Pusat Kesihatan dan Kecantikan MBPJ 2007 dan Akta 133 (seksyen 71 (1) membuat binaan dalam premis tanpa izin.

sinar harian/-

Indonesia benar pembantu rumah ke M'sia mulai 1 Dis

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Pembantu rumah Indonesia dibenarkan dihantar semula ke Malaysia mulai 1 Disember ini, sekaligus menamatkan moratorium lebih dua tahun untuk penghantaran tenaga kerja sektor informal ke Malaysia.

Keputusan mengenai perkara itu dimumumkan pada sidang akhbar bersama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di akhir mesyuarat delegasi dua hala pada acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di Mataram Khamis.

"Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh kerana itu, kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaiknya kepada tenaga kerja Indonesia.

"Kita juga telah bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani pada 2006, mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah, pada 1 Disember kita akan menormalisasikan hal ini," kata Yudhoyono ketika mengumumkan hasil pertemuan itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan itu, kedua-dua negara telah berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, telah menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.

Najib, yang menyambut baik keputusan Indonesia itu, berkata persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara menyelesaikan beberapa isu yang selama ini menjadi persoalan kepada proses membawa masuk pembantu rumah Indonesia.

Katanya mengikut kesepakatan hari ini Pasukan Petugas Khas Bersama yang ditubuhkan untuk mengendali urusan pengambilan dan penempatan pembantu rumah diminta mengemukakan laporan penuh kepada beliau dan Yudhoyono bulan depan.

“Semua masalah dan rintangan dapat diselesaikan. Laporan Pasukan Petugas Khas Bersama akan dibuat kepada saya dan Presiden Yudhoyono semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali pada 17 dan 18 November ini.

"Kalau semuanya selesai, Insya-Allah tarikh moratorium itu ditarik balik pada 1 Disember ini,” katanya.

Ditanya mengapa tarikh 1 Disember dipilih, beliau berkata ia kerana jadual beliau dan Yudhoyono yang sibuk untuk mengadakan pertemuan semula, dan tarikh-tarikh semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali memberi peluang kepada mereka bertemu kembali untuk pertemuan bilateral.

Perdana menteri turut memberi peringatan kepada bakal-bakal majikan di Malaysia agar tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Indonesia, yang bersetuju untuk menghantar semula pembantu rumah ke Malaysia.

Indonesia merupakan pembekal utama tenaga kerja di sektor tidak formal di Malaysia.

Najib berharap rakyat Malaysia tidak akan lupa untuk membalas keikhlasan dan ketulusan Yudhoyono dalam membuat pertimbangan untuk menarik balik moratorium ini dengan kebaikan juga, bukannya dengan penganiayaan terhadap pembantu rumah mereka.

“Yang penting tidak lakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

"Saya meminta semua bakal majikan memahami perkara ini untuk menjaga persepsi Indonesia terhadap rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana menteri berkata persoalan tentang pembantu rumah Indonesia merupakan topik yang hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia termasuk di kalangan pengikut beliau di laman sosial facebook dan twitter.

Kebanyakan mereka meletakkan harapan agar isu moratorium itu dibincang dan dicari penyelesaian segera melalui perundingan dengan Presiden Indonesia.

- Bernama

Tanah runtuh di Genting Highlands, lelaki cedera

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Seorang lelaki cedera ringan selepas bahagian hadapan keretanya dihempap tanah runtuh dalam kejadian di KM 13.9 Genting Highlands, Bentong malam semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong ketika dihubungi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mangsa yang berumur awal 40-an sedang memandu berseorangan menuju ke tanah tinggi tersebut.

Beliau berkata mangsa dihantar ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan.

"Disebabkan kejadian itu, jalan selepas check point pertama itu terpaksa dilencongkan," katanya.

Tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam membabitkan laluan menuju ke arah Genting Highlands dan ia tidak menjejaskan pergerakan trafik di sekitar kawasan terbabit.

- Bernama

Balak: Najib dituntut bayar Kedah RM100 juta

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dituntut melaksanakan janjinya untuk membayar imbuhan sebanyak RM100 juta setahun kepada Kerajaan Kedah kerana tidak menebang balak di negeri itu.

Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, janji tersebut bukan hanya dibuat oleh Najib, malah oleh dua bekas Perdana Menteri sebelum ini, tetapi masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

Katanya, Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap sahaja untuk membayar imbuhan tersebut, tetapi tidak pula mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.

"Janji itu telah terlalu lama, malah sejak dua bekas Perdana Menteri sebelum ini dan sekarang perlu ditunaikan sejajar dengan janji yang telah dibuat," katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Jika janji itu tidak dilaksanakan juga, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, menurut beliau, berhak menuntutnya kerana Kerajaan Kedah sememangnya berhak mendapat imbuhan tersebut.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan Kerajaan Pusat memberikan imbuhan kepada persatuan pemandu teksi bagi membantu ahli-ahlinya dengan kadar yang berpatutan paling kurang RM15,000 setahun.

Selain itu, beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan agar memberikan elaun kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja penghantaran pesakit menerusi ambulan yang bukan dimiliki oleh hospital, tetapi Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Pertahanan Awam.

Menurutnya, peranan mereka juga penting bagi membolehkan orang sakit atau mereka yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital dengan segera, memandangkan ambulan hospital kadang-kalanya lambat tiba setelah dipanggil.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar mereka yang terlibat dengan kerja-kerja itu diberikan latihan mencukupi, bagi membolehkan mereka memberikan bantuan kepada pesakit dengan betul agar tidak mencederakan atau menambahkan lagi kecederaan pesakit.

"Jika terdapat pesakit yang perlu dimasukkan air ke dalam badannya, sekiranya mereka diberikan latihan, bolehlah mereka melakukan kerja-kerja itu dengan betul bagi membantu pesakit sepanjang berada di dalam ambulan," tegasnya.

Menyentuh tentang kepentingan pelajaran anak-anak, beliau menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi melakukan penyelarasan terhadap tawaran masuk para pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, kini tawaran masuk para pelajar ke IPTA agar lambat berbanding tawaran yang diterima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sehingga terdapat para pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu sebelum ke IPTA.

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, diumumkan pada bulan Mac, manakala tawaran dari IPTS telah diterima oleh para pelajar sekitar bulan Jun dan ke IPTA pula sekitar bulan September.

"Disebabkan tawaran ke IPTA lambat, terdapat pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu kerana bimbang tidak akan mendapat tawaran ke IPTA.

"Apabila tawaran ke IPTA diterima kemudiannya, terdapat pelajar yang menanggung kerugian sehingga RM500 akibat membayar yuran yang tidak akan dipulangkan kembali kepada pihak IPTS terlebih dahulu," ujarnya.

Sebelum itu juga, beliau turut menyarankan Kementerian Kewangan agar turut membayar elaun kepada kakitangan kumpulan sokongan yang bertugas di hospital, setelah pihak kerajaan memutuskan untuk membayar elaun khas kepada para doktor dan pembantu perubatan baru-baru ini.

Beliau sebelum itu turut menuntut Kerajaan BN melaksanakan janjinya untuk membina hospital di Pendang di atas tapak seluas 40 hektar dengan kos RM150 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, memandangkan janji tersebut telah diulang banyak kali setiap kali pembentangan bajet dilakukan setiap tahun.

"Jadi bilakah lagi nak dibina hospital di kawasan itu? Janganlah hanya menunggu hendak diadakan pilihanraya barulah nak dibina hospital di Pendang," katanya.

Di awal ucapannya, beliau mendesak Kerajaan Pusat mengambil perhatian ke atas nasib para petani, khususnya yang mengusaha tanaman padi agar membantu memberikan benih padi kepada mereka, memandangkan para petani di kawasan Pendang khususnya dan di Kedah amnya kini mengalami kekurangan benih padi.

Kejadian tersebut, menurut beliau, tidak akan berlaku sekiranya perancangan yang dibuat oleh pihak kerajaan betul, tetapi disebabkan terdapat permainan politik di sebaliknya menyebabkan para petani pula yang terpaksa menanggung akibatnya.

Katanya, masalah tersebut tidak sepatutnya dipandang mudah oleh kerajaan kerana ia amat penting bagi kepentingan bekalan beras negara, memandangkan Malaysia kini hanya mempunyai stok beras sebanyak 295,000 tan sahaja setahun.

"Selebihnya, iaitu sebanyak 60 peratus lagi terpaksa diimport dari negara lain termasuk dari Thailand, tetapi Thailand pula baru-baru ini telah dilanda banjir sehingga menyebabkan 1.8 hektar kawasan tanaman padi di negara itu ditenggelami banjir.

Sebelum itu, beliau bertanya kepada Kerajaan BN mengenai status jalan raya yang hendak dibina oleh JKR khususnya jalan timur barat Pendang ke Sungai Tiang yang menelan belanja RM160 juta.

"Projek itu menelan belanja yang besar, tetapi status jalan itu sendiri pun tidak dimaklumkan. Adakah Lebuh Raya Timur Sepang? Apakah status sebenarnya jalan itu?" katanya.

harakahdaily/-