Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Teks ucapan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim
MUQADDIMAH
1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.
2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.
BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT
4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.
5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?
6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.
7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:
a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;
b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;
c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;
d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan
e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.
9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.
10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.
BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK
11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”
12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.
13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.
14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.
15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.
16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.
17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.
18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.
19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?
20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .
21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.
22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.
23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.
24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .
25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:
a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.
b.Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.
c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.
f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.
BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT
26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .
27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.
28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.
29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.
30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.
31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.
32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.
33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.
34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:
a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;
b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;
c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;
e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;
f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;
g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;
h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;
i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan
j.Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.
BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA
35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.
36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.
37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.
39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.
40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.
41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.
42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).
43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;
b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;
c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;
d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;
e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;
f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;
g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan
h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.
BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI
44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.
45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.
46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.
47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.
48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:
a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;
b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;
c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan
d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.
BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA
49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.
50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.
51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.
52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:
a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;
b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan
c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.
BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT
53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.
54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.
55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.
56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.
57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.
58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.
59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:
a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;
b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;
c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;
d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;
e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan
f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.
PENUTUP
60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.
61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.
62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.
63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.
64. Sekian, terima kasih.
04 Oktober 2011
12 puak Syiah mati ditembak di Pakistan
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
QUETTA (Pakistan): Polis berkata lelaki bersenjata menembak mati 12 anggota Syiah di barat daya Pakistan dalam satu serangan yang dikaitkan dengan berbezaan mahzab.
Pegawai polis Hamid Shakeel berkata penyerang terbabit menahan sebuah bas yang membawa anggota Syiah terbabit di pinggir bandar Quetta, di Wilayah Baluchistan.
Seorang lelaki bersenjata kemudian memaksa penumpang bas berkenaan berbaris dan mula melepaskan tembakan, dengan 12 orang maut manakala enam lagi parah. - AP
'Pantang larang semarakkan filem hantu'
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fenomena filem hantu bukan sahaja disebabkan kecenderungan penonton tetapi juga kerana ruang berkarya yang sempit.
Katanya, pantang larang berasaskan aliran pemikiran yang sempit menyebabkan banyak karya yang baik bertemakan perkara lain akhirnya gagal mendapat kelulusan.
"Banyak karya yang baik tetapi tidak boleh mendapat kelulusan di media kita disebabkan 'pantang larang' pihak penapisan yang bukan atas asas moral atau agama, tetapi (berdasarkan) aliran pemikiran yang sempit," kata Dr Asri (kanan).
Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, karya berkaitan isu agama dan politik kadang kala dinilai dengan cara yang begitu sempit.
"Umpamanya 'satira politik' mungkin sukar diluluskan jika ia mengkritik parti pemerintah. Satira politik (sebaliknya) boleh mendapat tempat sepatutnya.
"Ia boleh membangunkan kesedaran tentang kenegaraan. Satira politik merangkumi (kritikan pada) pembangkang dan kerajaan," katanya lagi.
Polemik
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, Dr Asri mengakui, lambakan filem hantu memang fonomena yang buruk, merosakkan minda dan kadang kala akidah umat Islam.
Isu kesan negatif filem hantu dan seram muncul semula selepas kontroversi Hantu Bonceng karya Ahmad Idham yang didakwa Pemuda PAS sebagai menghina Islam dan mempermainkah kalimah syahadah.
Selepas polemik itu dianggap selesai, media semalam melaporkan penggiat dan pengarah filem tema itu menafikan karya mereka menjadi punca suburnya kepercayaan tahyul dan merosakkan akidah.
Sehari sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dilaporkan berkata, lambakan cerita hantu menggalakkan kepercayaan karut dan tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah melalui pendekatan saintifik.
Bekas perdana menteri berkata, cerita mitos pula banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.
Senada dengan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem jenis itu.
'Keburukan lebih banyak'
Sementara itu, seorang editor buku-buku agama Zahiruddin Zabidi (bawah) berkata, walaupun bukan semua filem hantu membawa keburukan, hakikatnya "keburukan itu lebih banyak daripada kebaikan" dan wajar diatasi segera.
"Tidak cukupkah lagi bukti yang ada di sekeliling kita mengenai kesan segala tahyul mahyul cerita hantu ini?" katanya yang menyokong penuh kenyataan Dr Mahathir.
Menurut graduan pengajian usuludin itu lagi, menjadi keutamaan kepada pendakwah pelbagai NGO dan agensi kerajaan menyatakan sokongan padu kepada teguran Dr Mahathir.
"Semoga dengan teguran bernas daripada tokoh berpengaruh tanah air ini, para karyawan akan sedar dan tidak hanya terus memikirkan keuntungan wang ringgit sahaja sehingga sanggup melihat anak bangsa terus punah dengan hasutan-hasutan dan pemikiran tahyul dalam filem-filem mereka," kata Zahiruddin.
Dalam masa yang sama, tambahnya, masyarakat tetap mengharapkan pekerja seni terus berkreatif dan menghasilkan filem yang membawa nilai positif kepada agama, bangsa dan negara.
Bagaimanapun, kumpulan ini memerlukan panduan dan petunjuk seperti tergambar dalam pertemuan Pemuda PAS dengan produksi Hantu Bonceng sebelum ini, kata Zahiruddin lagi.
MALAYSIAKINI/-
SPR Sahkan Tiada Pilihan Raya Kecil Dun Johol
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 04 OKT : Pilihanraya kecil tidak akan diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri Johol, Negeri Sembilan biarpun ada kekosongan di kerusi tersebut akibat kematian wakil rakyatnya.
Di dalam laporan Bernama Online Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ini kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah melepasi tiga tahun pada April lepas.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jika Speaker DUN Negeri Sembilan menghantar notis kekosongan sekalipun, pilihanraya kecil tetap tidak akan diadakan.
Wan Ahmad berkata sebarang kekosongan kerusi hanya akan diisi pada pilihanraya umum akan datang.
Penyandang kerusi Johol Datuk Roslan Md Yusof, 58,meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.45 pagi tadi. Pada masa itu, Roslan sedang menerima rawatan di Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah kerana mengadu sesak nafas.
TV NEWS/-
P'raya selepas JK Terpilih selesai jalan tugas
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menggesa Perdana Menteri agar tidak mengadakan pilihan raya umum sebelum Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya selesai menjalankan tugasnya.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah berkata, inkuiri awam kendalian jawatankuasa tersebut harus mengambil kira semua pandangan rakyat dari seluruh Malaysia mengenai sistem pilihan raya yang sedia ada.
"50,000 rakyat Malaysia yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu harus diberi peluang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata, Bersih 2.0 menyambut baik penerimaan kerajaan terhadap cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut yang disifatkan sebagai kejayaan rakyat.
Namun tegasnya, kerajaan tidak ikhlas untuk memperbaharui sistem pilihan raya jika tidak melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0.
"Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan memastikan rakyat Malaysia dapat mengundi dalam suasana pilihan raya adil dan bersih," katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat membentangkan Rang Undang Penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen untuk memperbaharui sistem pilihan raya.
Namun beliau tidak dapat memberi jaminan pilihan raya tidak akan diadakan sebelum jawatankuasa tersebut selesai menjalankan tugasnya seperti yang dituntut Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0.
HARAKAHDAILY/-
MLM tidak patuh syariat Islam
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini tidak menepati syariat Islam.
Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran.
Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam sistem yang diamalkan.
Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan yang meragukan.
“Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan, pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta etika perniagaan.
“Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan perniagaan dengan beretika,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut.
KOSMO/-
Bersih: Suhakam mula siasatan awam 12 Oktober
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memanggil 36 orang saksi bagi melaksanakan siasatan awam bermula 12 Oktober ini, berhubung aduan yang diterima mengenai tindakan kekasaran polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Mereka yang akan dipanggil itu merupakan saksi-saksi yang telah dikenal pasti oleh pihak Suhakam, setelah mereka membuat aduan lengkap secara bertulis kepada Suhakam berhubung kejadian itu.
Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee menjelaskan, sisatan tersebut akan mengambil masa beberapa hari bagi membolehkan Suhakam membuat keputusan mengenainya.
Menurut beliau, sebelum siasatan awam itu bermula, pihaknya kini sedang melaksanakan beberapa langkah awal termasuk mengadakan temubual dengan beberapa orang saksi yang telah dikenalpasti berhubung kejadian itu.
Katanya, saksi-saksi terbabit meliputi seluruh rakyat Malaysia di seluruh negara termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur dan di luar Kuala Lumpur.
"Selain itu, pihak kami juga akan turut mendapatkan kerjasama daripada pihak polis. Kini kami sedang dalam proses menunggu maklumat berkaitan dengannya daripada pihak polis," katanya pada sidang media di pejabat Suhakam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, menurut beliau, pihaknya telah mengeluarkan dua kenyataan berhubung aduan yang diterima daripada orang ramai mengenai tindakan kekasaran polis pada perhimpunan tersebut.
Katanya, salah satu dari kenyataan itu menegaskan langkah Suhakam untuk mengambil tindakan pro aktif ekoran aduan-aduan itu, manakala satu lagi menjelaskan tentang langkah Suhakam untuk mengadakan siasatan awam.
"Dalam proses mengadakan siasatan awam itu, pihak Suhakam telah pun menerima beberapa bukti aduan yang dikemukakan oleh saksi-saksi terbabit termasuk yang terdapat di dalam video dan gambar," katanya.
Hasil dari kesemua proses yang dilaksanakan itu, jelasnya, Suhakam telah mengambil keputusan untuk mengadakan siasatan awam berhubung perkara itu dan beliau berharap kesemua pihak terbabit akan memberikan kerjasama yang baik kepada pihaknya.
Beliau juga menjelaskan, walaupun jumlah mangsa kekasaran polis pada perhimpunan itu didakwa jauh lebih besar daripada itu, tetapi pihaknya hanya boleh memanggil 36 saksi terbabit kerana aduan-aduan lain tidak dikemukakan dalam laporan bertulis.
"Jadi 36 saksi yang akan dipanggil itu adalah yang telah dikenal pasti oleh Suhakam. Mereka juga telah membuat laporan bertulis berhubung perkara itu yang membolehkan Suhakam mengambil tindakan lebih lanjut mengenainya," ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu termasuklah Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasny Agam serta empat Pesuruhjaya Suhakam yang terdiri daripada Muhammad Sa'ani Abdullah, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, James Nayagam dan Jannie Lasimbang.
HARAKAHDAILY/-
Anwar: Bajet alternatif bantu rakyat tersepit
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet alternatif Pakatan Rakyat yang dibentangkannya hari ini bertujuan membantu rakyat "mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit."
Katanya, bajet berkenaan juga akan menumpukan usaha untuk mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
Anwar (bawah) berkata, Pakatan memperuntukkan RM220 bilion kepada sasaran berkenaan yang melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion dari kadar yang dibelanjakan BN.
"(Namun) kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan BN selama ini," katanya.
Antara lain, bajet berkenaan turut menyasarkan untuk mengurangkan kuasa perdana menteri, kata Anwar lagi ketika mendedahkan bajet berkenaan hari ini.
"Pakatan dengan itu bercadang untuk memotong belanjawan perdana menteri sebanyak RM10 bilion," katanya.
Selain itu, Pakatan juga akan memperkenalkan dasar untuk menghentikan kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam membuat keputusan kerajaan.
RM4.4 bilion baiki sistem pendidikan
Tindakan berkenaan bertujuan mengembalikan peruntukan berkenaan kepada kementerian berkaitan dan mengurangkan kecenderungan perbelanjaan berlebihan oleh perdana menteri, katanya lagi.
Selain itu, bajet berkenaan menggariskan bantuan "untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat", antaranya dengan:
Mengekalkan subsidi RM22 bilion dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga bahan api.
Menghapus subsidi korporat seperti kepada pemilik penjana tenaga bebas, monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan.
Bayaran bonus kepada warga emas dijangka menelan balanja RM1.7 bilion setahun.
Bayaran kepada suri rumah sebanyak RM1,000, membabitkan peruntukan RM2 bilion.
Bayaran tambahan kepada keluarga kategori miskin tegar supaya dapat memastikan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM550 sebulan.
Menyelaras bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan.
Selain itu, bajet berkenaan juga menggariskan RM4.4 bilion untuk memperbaiki sistem pendidikan, termasuk elaun khas guru (RM500 sebulan) dan juga gaji minimum untuk kakitangan awam sebanyak RM1,100.
Beliau mendedahkan sebahagian daripada intipati bajet bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" itu kepada petugas media dan ahli parlimen pembangkang di bangunan parlimen hari ini.
MALAYSIAKINI/-
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet alternatif Pakatan Rakyat yang dibentangkannya hari ini bertujuan membantu rakyat "mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit."
Katanya, bajet berkenaan juga akan menumpukan usaha untuk mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
Anwar (bawah) berkata, Pakatan memperuntukkan RM220 bilion kepada sasaran berkenaan yang melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion dari kadar yang dibelanjakan BN.
"(Namun) kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan BN selama ini," katanya.
Antara lain, bajet berkenaan turut menyasarkan untuk mengurangkan kuasa perdana menteri, kata Anwar lagi ketika mendedahkan bajet berkenaan hari ini.
"Pakatan dengan itu bercadang untuk memotong belanjawan perdana menteri sebanyak RM10 bilion," katanya.
Selain itu, Pakatan juga akan memperkenalkan dasar untuk menghentikan kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam membuat keputusan kerajaan.
RM4.4 bilion baiki sistem pendidikan
Tindakan berkenaan bertujuan mengembalikan peruntukan berkenaan kepada kementerian berkaitan dan mengurangkan kecenderungan perbelanjaan berlebihan oleh perdana menteri, katanya lagi.
Selain itu, bajet berkenaan menggariskan bantuan "untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat", antaranya dengan:
Mengekalkan subsidi RM22 bilion dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga bahan api.
Menghapus subsidi korporat seperti kepada pemilik penjana tenaga bebas, monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan.
Bayaran bonus kepada warga emas dijangka menelan balanja RM1.7 bilion setahun.
Bayaran kepada suri rumah sebanyak RM1,000, membabitkan peruntukan RM2 bilion.
Bayaran tambahan kepada keluarga kategori miskin tegar supaya dapat memastikan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM550 sebulan.
Menyelaras bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan.
Selain itu, bajet berkenaan juga menggariskan RM4.4 bilion untuk memperbaiki sistem pendidikan, termasuk elaun khas guru (RM500 sebulan) dan juga gaji minimum untuk kakitangan awam sebanyak RM1,100.
Beliau mendedahkan sebahagian daripada intipati bajet bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" itu kepada petugas media dan ahli parlimen pembangkang di bangunan parlimen hari ini.
MALAYSIAKINI/-
RM9 juta sewa pesawat khas bawa Najib bercuti
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan bagi menyewa sebuah pesawat Airbus A319-IIX yang diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth Australia.
Pesawat yang disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.
Penjelasan tersebut dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Nurul yang melalui soalannya meminta kerajaan menjelaskan siapa pemilik pesawat tersebut yang telah digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia serta kekerapan penggunaannya dan kos yang telah dibelanjakan.
Nazri juga memberitahu bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara dengan kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta yang meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.
HARAKAHDAILY/-
Kesesakan di Seksyen 7 bakal berakhir: MB
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM: Masalah kesesakan lalulintas di sekitar kawasan Seksyen 7 di sini bakal berakhir apabila projek pembinaan persimpangan bertingkat yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dengan kawasan pembangunan di seksyen itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata projek sepanjang dua kilometer bernilai kira-kira RM58 juta yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan serta sosio ekonomi penduduk setempat di kawasan Seksyen 7.
"PKNS kini dalam proses memanggil kontraktor-kontraktor yang berpengalaman dan berkeupayaan untuk tujuan mengambil bahagian dalam tender prakelayakan kontraktor.
"Tindakan ini adalah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembinaan persimpangan ini dari awal sehingga siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah persimpangan itu di i-City, Seksyen 7, di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata PKNS selaku pengurus projek akan menyumbang
keseluruhan kos pembinaan bersama sembilan syarikat swasta dan pemaju seperti
i-City Properties Sdn Bhd (i-City) dan IJM Properties. - Bernama
Projek astronomi terbesar di dunia
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SEBUAH kenderaan pada Jumaat lalu membawa antena yang akan ditempatkan di gurun Atacama, Chile.
SANTIAGO, Chile - Projek astronomi yang terbesar di dunia kini sedang berjalan di gurun Atacama di Chile yang terletak 1,500 kilometer dari sini.
Apabila ia siap dibina, ia mengandungi 66 antena ketepatan tinggi yang akan berfungsi sebagai sebuah teleskop.
Projek itu melibatkan kerjasama dari Eropah, Amerika Utara dan Asia Timur selain Chile.
Ia akan digunakan sepenuhnya pada 2013.
Apabila siap sepenuhnya, ia akan mampu menemui galaksi yang sebelum ini tidak dapat dilihat bagi tempoh setiap tiga minit. - Agensi
Masjid di utara Israel dibakar
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SEORANG penduduk membersihkan bahagian dalam masjid yang terbakar semalam.
Polis dakwa perbuatan dilakukan waktu malam bermotif balas dendam
BAITULMAQDIS: Sebuah masjid di utara Israel dibakar pada waktu malam dengan slogan bermotif dendam tertulis di luar dindingnya manakala polis sebagai ‘satu insiden yang amat malang sekali.’
Jurucakap polis, Mickey Rosenfeld memberitahu AFP bahawa sebilangan suspek memasuki masjid di kampung Badwi di Tuba Zangaria dan membakar masjid berkenaan menyebabkan kemusnahan teruk pada permaidani dan dinding.
“Di luar masjid itu tertulis kata-kata ‘harga yang perlu dibayar’ dan ‘balas dendam’ dalam bahasa Hebrew,” kata Rosenfeld.
Mereka turut menulis perkataan ‘Palmer’ yang merujuk kepada Asher Palmer, seorang penduduk Israel yang mati bersama anak lelakinya di selatan Tebing Barat pada 23 September lalu selepas kereta mereka dibaling dengan batu oleh penduduk Palestin menyebabkan kemalangan.
Penduduk Yahudi yang mengamalkan apa yang mereka panggil sebagai dasar ‘balas dendam’ di mana mereka menyerang penduduk Palestin dan harta benda mereka sebagai reaksi balas kepada beberapa tindakan kerajaan Israel ke atas pendatang Yahudi.
Hampir semua serangan berlaku di kawasan yang diduduki di Tebing Barat tetapi tahun lalu satu insiden hampir sama berlaku di perkampungan Arab Israel di Iblin, juga di utara wilayah Galilee.
Polis Daerah utara, Komander Roni Attia menubuhkan satu pasukan penyiasat untuk menyiasat insiden dan polis menggariskan keselamatan di kawasan itu untuk menghalang insiden rambang, kata Rosenfeld.
“Ini adalah satu insiden paling teruk,” kata polis yang memetik Attia.
Beliau menggesa penduduk di kawasan berkenaan menjaga ketenteraman awam dan membenarkan polis menyiasat insiden tanpa campur tangan. – AFP
Nostalgia Jubli Intan PAS di Dewan Milenium
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SAMBUTAN Jubli Intan – genap 60 tahun – PAS di Dewan Milenium Kepala Batas berjalan dalam suasana yang amat sederhana satu hari dua malam dari malam 30 September hingga 01 Oktober 2011.
Ia diisi dengan pameran peristewa dan gambar bersejarah PAS selama 60 tahun dan pembicaraan sejarah pasang surut parti itu dalam usaha membangkitkan kesedaran dan menyelamatkan umah.
Memang ia tidak dirancang secara gah bagi menunjukkan kekuatan parti, tetapi ia tetap komited memperaga sumbangan bersama sekutunya dalam Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya.
Ia diadakan di Kepala Batas bagi menyerlahkan nostalgia pembentukannya 60 tahun dulu di sekitar Butterworth yang sebelum dijajah dulu dipanggil Bagan Tuan Kecil.
Sambutan itu tidak dibuat di tapak ia ditubuhkan, tetapi diadakan di pekan Kepala Batas yang padat dengan nostalgianya di samping ada kemudahan dan keselesaan yang diperlukan.
Di sekitar pekan yang ada Dewan Milenium itulah letaknya pejabat agung yang awal bagi parti itu, di sekolah agama rakyat milik Haji Ahmad Badawi, malah kaum kerabat Haji Ahmad Badawilah antara penyumbang tenaga besar menggerakkan parti itu pada peringkat awal.
Ayahnya Mufti Pulau Pinang. Haji Abdullah Fahim ada tokoh ulama terserlah dan berpengaruh menjadi daya tarikan umat untuk menyokong PAS. Hingga Ibrahim, adik mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi, mengikut seorang ustaz, merasa begitu bangga dengan sijil keahlian PAS datuknya yang bertulis tangan.
Dia dikatakan tidak akan membuang sijil yang berperem itu, kerana ia adalah kenangan dan pesaka manis Tokwannya. Ayah bonda dan keluarga terdekat mantan Perdana Menteri itu adalah ahli PAS dua angka belaka.
Sekali pun ayah bonda tadi meninggalkan PAS tetapi kebanyakan penyokong kekal bangun rebah bersama parti Islam itu.
Nostalgia sejarah awal itu PAS memilih Kepala Batas bagi sambutan nasional jubli intannya.
Ia tidak untuk menunjukkan gah. Seberang Perai tidak dibalut dengan bendera PAS. Pekan Kepala Batas pun tidak dipenuhi bendera. Bagi orang yang tidak tahu PAS berhimpun di situ, orang yang ke Kepala Batas mungkin tidak tahu akan perayaan PAS diadakan di situ kerana benderanya tidak berapa nampak di pekan itu.
Tiadalah musuh politik yang sakit hati dan sakit mata dengan lambang hijau Bulan Penuh Purnama itu. Hanya kawasan persekitaranya Dewan Milenium yang jadi tapak sambutan itu barulah dilihat kibaran benderanya mengalukan pengunjung dari dalam dan luar Pulau Pinang.
Dewan Milenium terseregam di pekan yang bersaiz sederhana itu. Tidak pernah sesiapa terfikir sepuluh tahun dulu dewan itu boleh jadi PAS berkampung merayakan Jubli Intannya.
Bukan duit ringgit PAS mendirikannya. Jangankan untuk menggunakannya, untuk mendekatinya pun tak tergamak. Ia seumumnya digunakan bagi acara yang ada kaitan dengan Perdana Menteri, penyokong partinya dan kerajaannya.
Dan kerana Tun Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri menyebabkan didirikan dewan itu di pekan itu. Belum ia ada kalau tiada orang di situ menjadi TPM dan kemudiannya PM. Itulah tuah Kepala Batas kerana ada orangnya jadi Perdana Menteri.
Seolah-olah Perdana Menteri dulu itu mendirikan Dewan Milenium itu sebagai persediaan PAS untuk mengadakan Jubli Intannya di situ.
Bertuah PAS dapat memanfaatkan dewan yang disiapakan oleh pemimpin Umno BN itu. Siapa fikir PAS menikmati kemudahan itu? Bersyukurlah kerana tidak perlu susah payah, telah tersedia kemudahan bagi kegiatan besarnya.
Sekarang ia menunggu masuk ke Putrajaya pula. Dr. Mahathir bersusah payah menyediakan pembangunan Putrajaya di kebun kelapa sawit dulunya bagi menjadi pusat baru pentadbiran negara menggantikan Kuala Lumpur.
Jika berjaya Pakatan Rakyat mengambil Putrajaya nanti, maka tidak perlu susah payah lagi baginya mengadakan tapak pentadbiran baru kerana ia sudah disiapkan oleh Dr. Mahathir.
PAS dengan sekutu Pakatan Rakyatnya masuk saja ke Putrajaya seperti ia masuk ke Dewan Milenium yang sudah disediakan. Tidak mustahil ia disiapkan oleh Dr. Mahathir untuk dimasuki Pakatan Rakyat. Itulah indahnya demokrasi.
harakahdaily/-
Belanjawan Pakatan peruntuk RM220 bilion
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.
Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.
Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.
Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:
- Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.
- Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.
- Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.
- Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.
- Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
Pembelaan rakyat terbanyak
Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:
a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.
b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.
c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.
d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.
f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.
Mengembalikan martabat rakyat
a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.
b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.
c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.
d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.
e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.
f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.
g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.
h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.
harakahdaily/-
Masjid musnah terbakar, kerugian dianggarkan RM200,000
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
IPOH - Sebuah masjid musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM200,000 di Padang Changkat, Perak Tengah, 55 kilometer dari sini malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Tengah, Mohd Sharip Kasim berkata dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, tiada jemaah berada di dalam masjid berkenaan kerana mereka sudah balik ke rumah masing-masing selepas selesai menunaikan solat Isya.
Kebakaran disedari oleh penduduk kampung berkenaan apabila ternampak asap dan api dari atas bumbung masjid lalu menghubungi bomba, katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Sharip berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas. Seramai tujuh anggota bomba serta sebuah jentera berjaya memadamkan kebakaran setengah jam kemudian. Masjid yang dibina pada 1989 boleh memuatkan lebih 200 orang jemaah ketika bersembahyang.- Bernama
Pesara mohon dibayar COLA bagi ringankan beban
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Persatuan Pesara-Pesara Malaysia meminta kerajaan menimbang pemberian elaun kos sara hidup (COLA) kepada semua pesara awam membantu meringankan beban mereka berikutan kenaikan harga barang.
Presiden persatuan itu Datuk Paduka Wan Mahmood Pawan Teh berkata, ini adalah antara beberapa perkara yang sedang diperjuang oleh persatuan untuk manfaat pesara.
"Perbincangan masih diteruskan dengan perkembangan positif,” katanya pada majlis perasmian persidangan perwakilan persatuan itu oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Langkawi malam tadi.
Seramai 430 anggota perwakilan dan pemerhati hadir pada persidangan itu.
- Bernama
Keluarga Teoh gagal dapat semakan kehakiman
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah menolak permohonan semakan kehakiman berhubung penemuan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock.
Hakim Datuk Rohana Yusof dalam keputusannya berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada bulan lalu berhubung permohonan semakan kehakiman VK Lingam.
Keputusan itu dibuat di kamarnya pagi ini.
Permohonan itu difailkan oleh abang Beng Hock, Meng Kee bagi pihak keluarga Teoh.
Peguam Gobind Singh Deo mewakili keluarga berkenaan, manakala pendakwaraya kanan persekutuan Shamsul Bol Hassan mewakili suruhanjaya itu yang dinamakan sebagai responden.
Gobind berkata, keluarga itu mempunyai pilihan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai perkara tersebut.
Pemohon yang memohon semakan kehakiman mula-mula dikehendaki untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.
malaysiakini/-
Guru didakwa dipaksa hadiri seminar 'belasah' Pakatan
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Sekumpulan guru telah dipaksa menghadiri seminar wajip Kementerian Pelajaran yang dijadikan medan 'membelasah' pembangkang, dakwa Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.
Seminar Pemantapan Warga Pendidikan Negeri Pahang ( zon timur ) Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam Kementerian Pelajaran Malaysia itu diadakan pada 28 September lalu untuk guru-guru di wilayah pantai timur. Ucapan dasar disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi.
“Malangnya seminar ini telah bertukar menjadi seminar Umno untuk membelasah PAS, PKR dan DAP di samping menggesa agar para guru memberi sokongan kepada Umno pada pilihan raya umum yang akan datang,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan media hari ini.
“Semua guru diminta mengenal pasti guru-guru lain yang disyaki menyokong pembangkang agar dipengaruh sehingga mereka menyokong Umno. Seminar ini tidak ubah sebagai Bengkel Strategi Umno menghadapi pilihanraya umum.”
Nasrudin juga mendakwa bahawa guru-guru dan pengetua khususnya diminta berkempen untuk Umno dan dijanjikan pembiayaan lumayan yang diistilahkan sebagai "wang dari langit" bagi memastikan tugasan mereka berjalan lancar.
Nasrudin juga menghasilkan bukti-bukti fotografi bagi menyokong dakwaannya.
“(Penganjur) seminar ini turut membekalkan risalah bersiri yang sarat dengan kecaman dan fitnah ke atas PAS dan Pakatan Rakyat di samping buku dan vcd turut disertakan dalam fail bercetak (dari) Institut Aminudin Baki Kementerian Pelajaran Malaysia.
“Dewan Pemuda PAS melihat tindakan ini bukan sahaja tidak profesional dan menyalahgunakan kuasa tetapi sungguh memalukan (kerana) kementerian tersebut bertindak sedemikian bodoh, membohongi warga cerdik untuk kepentingan Umno yang jelas terdesak untuk meraih sokongan dari kalangan warga pendidik,” katanya.
Sehubungan itu, menurut Nasrudin, memberi amaran kepada Umno untuk berhenti menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kempen politik pada seminar seterusnya yang akan diadakan di Kuantan, Pahang, pada Khamis ini.
Menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai "tidak profesional", beliau mahu penyalahgunaan kuasa yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara dan rakyat dihentikan segera dan katanya, kerajaan juga perlu memohon maaf kepada rakyat dan pendidik.
Meskipun pilihan raya umum ke-13 boleh dilanjutkan 2013 tetapi parti-parti politik telah aktif berkempen berikutan spekulasi bertiup kencang bahawa ia mungkin diadakan sewal hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat saling tuduh menuduh satu sata lain menyalahgunakan jentera kerajaan persekutuan dan negeri bagi kepentingan politik masing-masing.
malysiakini/-
Saksi misteri - rakan sekolej dakwa Saiful benci Anwar
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Seperti dijadualkan, saksi misteri yang menjadi tanda tanya pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil.
Mohd Najwan Ali dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung semula selepas rehat sebentar.
Najwan merupakan bekas rakan sekolej pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kini menjadi pembantu Anwar untuk tugasnya sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Dalam keterangannya, Najwan memberitahu, beliau mengenali Saiful sejak 2003 apabila tinggal berdekatan bilik pengadu semasa menuntut di Universiti Tenaga Nasional.
"Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa.
"Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti," katanya.
Katanya, program itu dilancarkan oleh bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar.
Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman.
"Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik.
Najwan berkata beliau melihat Saiful di ceramah politik dan pengadu berkempen untuk BN pada 2008. Saksi bagaimanapun menafikan Saiful mengidola Anwar seperti dalam pengakuannya.
"Dia benci Anwar," kata Najwan.
Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan dengan Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu.
Najwan bersetuju dengan cadangan Yusof bahawa tidak pelik untuk menunjukkan gambar dengan menteri tetapi tidak bersetuju bahawa apa yang dikatakannya tentang Saiful sebagai spekulasi.
Mahkamah kemudian ditangguhkan sehingga Khamis ini.
malaysiakinni/-
RM2 juta halang himpunan Bersih 2.0
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussin dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh).
Menurut beliau, untuk tujuan itu juga sejumlah 11,046 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal keselamatan di Lembah Klang termasuk 2,600 yang dikerah untuk siap sedia di kontinjen-kontinjen seluruh negara untuk dipanggil jika keadaan memerlukan.
"Pihak PDRM terpaksa membuat persiapan rapi yang memerlukan perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik lain.
"Kos keseluruhan yang dibelanja oleh PDRM bagi menangani perhimpunan tersebut adalah sebanyak RM2,018,850.06," katanya.
Teresa dalam soalannya meminta Hishamuddin menyatakan bilangan anggota polis yang dikerah untuk bertugas di Lembah Klang pada 6 hingga 9 Julai 2011.
Beliau juga menanyakkan jumlah elaun yang dibayar kepada mereka untuk bertugas dan perbelanjaan sepanjang operasi menghentikan perhimpunan aman Bersih 2.0.
Pada 9 Julai lalu, Bersih atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, yang turut disokong parti politik pembangkang dan lebih 60 NGO telah berjaya menghimpunkan hampir 100,000 rakyat berkumpul di ibu negara biarpun berdepan halangan pihak berkuasa sejak awal pengumuman mereka.
Selain mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram, mereka yang memakai baju kuning berlogo bersih juga ditangkap.
Selain itu polis juga turut menghalang sebarang bentuk program termasuk ceramah yang melibatkan himpunan tersebut.
Selain halangan tersebut, kerajaan juga turut menggunakan seluruh media milik mereka menggambarkan Bersih 2.0 sebagai ganas dan merbahaya.
Ianya juga menyaksikan semua jalan utama menuju ke ibu negara Kuala Lumpur dikunci setiap penjuru pada tarikh 9 Julai itu.
harakahdaily/-
Kastam sahkan cincin RM24 juta wujud
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli isteri perdana menteri Rosmah Mansor benar-benar wujud.
Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) berkata, tiada pembelian dibuat terhadapnya.
"Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah merujuk kepada JKDM, dan pihak JKDM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut.
"Setelah beberapa hari cincin tersebut dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan," katanya.
Dalam soalannya, Lim meminta perdana menteri menyatakan status siasatan polis, SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap dakwaan pembelian cincin bernama 'Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond'.
Isu itu didedahkan bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin (bawah, kanan) Julai lalu yang mendakwa mempunyai bukti kemasukan cincin itu menerusi rekod kastam.
Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan isteri Datuk Seri Najib Razak itu.
Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.
Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.
malaysiakini/-
Kapal kargo terbelah dua
6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SEBUAH kapal kargo yang didaftarkan di Panama terbelah dua di luar pelabuhan Keelung, Taiwan semalam. - Reuters
TAIPEI, Taiwan - Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, empat orang anak kapal maut dan enam lagi dilaporkan hilang selepas sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Panama terkandas di perairan utara Taiwan.
Menurut kementerian itu, kapal yang membawa 21 anak kapal tersebut terbelah dua selepas berlanggar dengan batu-batu di luar pelabuhan Keelung pada awal pagi semalam.
Bagaimanapun, kewarganegaraan mereka tidak dapat diketahui.
Seramai 11 anak kapal telah diselamatkan termasuk empat orang berenang untuk menyelamatkan diri.
Taiwan dilanda taufanNalgae sepanjang minggulalu. - Agensi
Langgan:
Catatan (Atom)