04 Oktober 2011

Woods terkeluar 50 terbaik dunia

6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Tiger Woods

LONDON - Tiger Woods bakal menjunam ke kedudukan terburuk dalam tempoh 15 tahun, apabila terkeluar daripada ranking 50 terbaik dunia hari ini selepas jatuh dua lagi anak tangga.

Bekas bintang No. 1 dunia Amerika Syarikat itu tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak mencatat kemenangan terakhirnya pada Australia Masters 2009 dan berterusan mengalami kejatuhan mata ranking kerana bergelut dengan masalah di atas lapangan dan peribadi.

Dalam ranking terbaru yang akan dikeluarkan hari ini, Woods dijangka diapit dua bekas bintang dunia yang turut mengalami musim sukar, pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen (50) dan rakan senegara, Jonathan Byrd (52).

Ini adalah kali pertama Woods terkeluar daripada kedudukan 50 terbaik dunia sejak menghuni tangga ke-61 pada 13 Oktober 1996.

Sejak kehidupan peribadi dengan perkahwinan yang musnah mengganggu hidup pemain berusia 35 tahun itu pada hujung 2009, Woods masih sukar mengembalikan kehebatan sebagai pemain paling dihormati dan digeruni.

Sudah tiga tahun berlalu sejak Woods merangkul kejuaraan utama ke-14, dan sejak itu dia gagal memberi cabaran pada kejohanan Jelajah PGA, malah gagal melepasi kelayakan Kejohanan PGA, Ogos lalu.

Bagaimanapun Woods akan kembali ke Amerika Syarikat minggu depan untuk beraksi pada Terbuka Frys.com di Kelab Golf CordeValle, San Martin, California, penampilan pertamanya dalam Jelajah PGA Musim Luruh. - Reuters

Tiada ulasan: