01 November 2008

Masa.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu adalah di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal yang shalih dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran” (QS. Al-Ashr: 1-3).

Allah bersumpah dengan waktu. Sumpah itu untuk mengingatkan manusia bahwa kalau tidak memanfaatkan waktu, manusia akan rugi , baik di dunia mahupun di akhirat. Rasulullah SAW juga mengingatkan demikian.

Dalam suatu haditsnya, Rasullullah mengingatkan kita agar sentiasa menjaga lima perkara sebelum datang lima hal yang menjadi lawannya. Iaitu, menjaga waktu muda sebelum datang waktu tua; menjaga waktu sihat sebelum datang waktu sakit; menjaga waktu kaya sebelum datang waktu miskin, dan menjaga waktu lapang sebelum datang waktu sibuk.

Di masa usia muda seseorang akan sanggup berbuat apa saja untuk mencapai cita-citanya. Namun ketika datang masa tua atau masa uzur, rasanya berdiri pun rasanya tidak sanggup lama, apalagi kalau harus memikirkan hal-hal yang lebih jauh. Bukan hanya orang biasa yang mengalami demikian, tetapi juga mereka yang memiliki kehebatan karena pengetahuannya atau pangkatnya atau kekayaannya.

Di saat-saat uzur, mempertahankan apa yang sudah dimiliki (seperti ilmu pengetahuan) saja tidak sanggup, apalagi mencari yang lain. Yang ada hanyalah tubuh yang semakin bongkok, tunduk mengajak kita mengingat tanah yang semakin dekat, tempat kita semua akan dikuburkan. Kerana itulah kita dianjurkan untuk memanfaatkan waktu atau masa yang masih ada dan tersisa dengan sebaik mungkin.

Altantuya: Mahkamah bebaskan Razak , Azilah dan Sirul diarah bela diri

KUALA LUMPUR, 31 Okt :-Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah bagaimanapun telah mengarahkan dua tertuduh lain iaitu, Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin memutuskan demikian setelah mendapati terdapat kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.

Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor.

Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.

Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi.
Harakahdaily.

Pengarah BPR Perak ditukar

Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak, Samsiah Abu Bakar telah ditukar ke pejabat BPR Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan dakwaan ia ada kaitan dengan kes berprofil tinggi yang membabitkan tokoh politik di Perak.

Sebaliknya, Bernama memetik ketua pengarah BPR itu sebagai berkata, ia merupakan prosedur pemindahan biasa.

Ahmad Said hadir menyaksikan majlis serah tugas pengarah BPR Sarawak - Mohamad Yusoff Akope - kepada Samsiah di Kuching hari ini.

Mohamad Yusoff Akope ditukarkan ke pejabat BPR di Putrajaya.

Pada 25 Ogos lalu, dua exco kerajaan Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menerima rasuah masing-masing bernilai RM100,000 dan RM5,000.

Mereka ialah exco perlancongan, modal insan dan NGO Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu yang didakwa melakukan kesalahan itu sebuah kafeteria di Ipoh pada 16 Ogos lalu.

Manakala exco pembangunan usahawan, koperasi, pertanian dan perdagangan, Jamaluddin Mohd Radzi pula dituduh bersama bekas wakil rakyat PKR bagi Bota, Kapt (B) Usaili Alias melakukan kesalahan itu pada 14 Ogos lalu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Ipoh.

Mereka dituduh menerima habuan itu daripada Mohd Imran Abdullah untuk membangunkan tanah seluas 90 ekar (54 hektar) di Seri Iskandar.

Saman RM100 juta

Berikutan, Jamaluddin dan Mohd Osman memfailkan saman terhadap BPR, dua pegawai tingginya serta sebuah akhbar tempatan.

Ahmad Said dan Samsiah serta Star Publications (M) Berhad dinamakan sebagai defendan.

Ketiga-tiga defendan antaranya didakwa bertindak dengan niat jahat serta mengatur tangkapan dan penahanan mereka.

Tindakan itu didakwa bertujuan menyakiti plaintif dan cuba membunuh dari segi politik serta memburukkan imej PKR untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Mereka menuntut ganti rugi am sejumlah RM100 juta untuk salah tangkap, salah tahan, pendakwaan berniat jahat, dan libel selain ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Defenden keempat Star Publication (M) Berhad dituntut ganti rugi am untuk libel, kos dan relif serta apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah kerana berniat jahat dan salah mencetak dan menyebar dalam laporannya 21 Ogos lalu.

malaysiakini.

Macam kura-kura.

Kerajaan sebentar tadi mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel, masing-masing sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa esok. Penurunan ini tidak salah saya adalah untuk kali ke 3 dalam tempoh yang terdekat setelah harga minyak dipasaran dunia juga turun dengan mendadak sehingga sampai kepasa USD$60 setong.

Setakat ini kita tidak dapat melihat kesan sebenar kepada penurunan harga minyak ini kepada penurunan harga barang di pasaran yang naik secara mendadak setelah kenaikan harga minyak beberapa kali.

Adakah langkah menurunkannya secara perlahan-lahan macam kura-kura berjalan adalah bagi mengelakkan rakyat menuntut penurunan harga barang ?

Apa pun banyak lagi rakyat yang sanggup diperbodohkan dengan apa saja alasan yang dikeluarkan kerajaan.

Harga petrol RON97 dikurangkan daripada 2.30 seliter kepada 2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter.

Manakala diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Pelarasan terakhir pada 14 Oktober lalu apabila harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.

Pelarasan pertama pada 23 Ogos lalu, harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40, manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

Pada 25 September lalu pula membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40).