01 November 2008

Altantuya: Mahkamah bebaskan Razak , Azilah dan Sirul diarah bela diri

KUALA LUMPUR, 31 Okt :-Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah bagaimanapun telah mengarahkan dua tertuduh lain iaitu, Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin memutuskan demikian setelah mendapati terdapat kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.

Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor.

Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.

Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi.
Harakahdaily.