27 Februari 2011

N.28 : Penduduk tegur MB agih Biasiswa Macam Angpau

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Abdul Aziz Ismail, 55, dari Desa Baru Purun dekat sini berkata, majlis penyampaian berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang kelmarin melibatkan pelajar-pelajar dalam daripada Dun berkenaan.

Tambahnya, wang bernilai RM250 yang dikatakan biasiswa Yayasan Pahang itu diberi dalam sampul surat bersama borang dan baki RM250 lagi akan dibayar beberapa bulan lagi.

“Orang kampung jadi pelik bila MB agih duit biasiswa macam bagi ang pau sebab selama ini penduduk nak minta bantuan tersebut bukan main ketat lagi prosedurnya.

“Tapi kelmarin saya percaya seluruh pelajar dalam Dun Kerdau semuanya dapat duit biasiswa tanpa perlu mengisi borang dan tanda tangan wakil rakyat seperti selalunya.

“Walaupun wang itu memang hak rakyat yang layak menerimanya, tetapi saya percaya akan menyebabkan penduduk yang bukan dalam Dun Kerdau tidak puas hati sebab anak mereka juga layak dapat biasiswa,” jelasnya.

Kelmarin Adnan mengagihkan wang Yayasan Pahang di Sekolah Kebangsaan Telok Sentang kepada pelajar-pelajar anak penduduk kampung tradisional dan penempatan Orang Asli dalam Dun Kerdau.

Selain Teluk Sentang, pelajar-pelajar daripada pusat mengundi Kerai dan Batu Sawar turut dipunggah ke situ. Selain daripada itu, penduduk di tiga kawasan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 juga turut menerima biasiswa daripada Adnan.

Abdul Aziz berkata, selain Adnan beberapa menteri lain juga turut melawat kawasan termasuk Datuk Seri Shapie Apdal yang menyerahkan kunci perumahan Risda, sedangkan rumah tersebut sudah lama diduduki.

“Saya diberitahu Najib dan Muhyiddin juga sudah diatur programnya bagi menemui penduduk di kawasan kami dan saya yakin mereka juga akan mengagihkan wang kepada orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan orang miskin.

“Mungkin turun sekali seumur hidup itu baik bagi penduduk untuk bertemu dan menadapat wang daripada pemimpin, tapi apa yang saya bimbang ialah pada masa depan jika rakyat berada dalam kesusahan atau ada masalah, mereka akan mengharapkan wakil rakyat mereka mati.

“Sebab apabila berlaku PRK, segala yang diminta biasanya akan segera makbul,” ujarnya.

 Calon PAS, media tinjau kedhaifan pekan Kerdau

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH, 27 Feb: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau, Hassanuddin Salim membawa wakil media yang berkampung membuat liputan pilihan raya di sini meninjau sekitar Pekan Kerdau untuk melihat kedhaifan pembangunan di situ.

Kata penyelaras lawatan tersebut, Hashim Abdullah di kesempatan PRK ini, beliau mahu pihak media sendiri menjadi saksi bagaimana tahap pembangunan di kawasan Kerdau yang kononnya dikatakan maju dan tidak ada masalah. (Gambar: Hassanuddin menyantuni penduduk di sebuah kedai kopi di pekan Kerdau.)

"Saya harap media melaporkannya untuk membuka mata pihak terbabit. Selama ini sudah lama orang Kerdau menagih pembangunan, tetapi tidak langsung di hiraukan," katanya.

Pekan Kerdau merupakan Pekan lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pekan yang terletak di antara laluan utama Temerloh-Jerantut ini pernah menjadi penting semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an.

Waktu itu keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.

Bagaimanapun apabila menyaksikan sendiri, pekan ini tidak ubah seperti pekan zaman 40-an, walaupun sudah lebih 50 tahun negara merdeka.

Salah satu lokasi dilawati oleh wakil media bersama calon PAS ialah stesen keretapi Kerdau yang semakin tidak berfungsi dan dhaif.

Sedangkan pernah satu ketika, stesen keretapi Kerdau merupakan antara yang penting kepada masyarakat setempat.

Kewujudan stesen keretapi yang terletak di laluan yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai ini pada asalnya menjadi pemangkin kemajuan Pekan Kerdau kerana pekan ini menjadi salah satu tempat persinggahan keretapi untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Gambar: Hassanuddin dan wakil media meninjau stesen keretapi di pekan Kerdau.)

Malah, sejarah juga mencatatkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.

Namun apa yang dilihat hari ini, stesen keretapi Kerdau sudah tidak lagi berfungsi sebagai perhentian utama.

Tiada kuanter jualan tiket di sini, yang ada hanyalah sebuah bangunan seperti pondok menunggu bas dan tandas awam yang tidak lagi boleh digunakan.

Manakala bangunan asal stesen keretapi ini hanya tinggal tapak yang dinaiki semak samun dan kelihatan sebuah rumah kayu terbiar yang dikatakan pernah menjadi kuarters para pekerja keretapi.

Menurut penduduk di situ, tidak ada usaha untuk memulihara stesen tersebut sama ada untuk tujuan memajukannya atau untuk mengekalkan kesan-kesan sejarah di situ.

Wakil media juga dibawa menyelusuri Pekan Kerdau yang sebahagian besarnya deretan bangunan kayu dua tingkat yang amat usang.

Jelas pekan ini amat ketinggalan, malah melihat aktiviti ekonomi melibatkan penduduk sekitar dan peniaga di situ tidak keterlaluan mengatakan pekan Kerdau tersisih dari arus pembangunan yang diwar-warkan oleh kerajaan kononnya sedang rancak di laksanakan ketika ini.

Walaupun Kerdau hanyalah sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (Dun), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk di sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa.

Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut penduduk di situ, pekan Kerdau sebelum ini lebih hidup dan aktiviti ekonominya sangat berkembang.

Antaranya Pekan Kerdau dikatakan pernah menjadi tumpuan orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka dikatakan telah membuka gedung-gedung perniagaan.

Selain itu, peniaga-peniaga Cina juga ramai datang menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.

Pekan Kerdau juga menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945.

Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang.

Di situ juga terdapat pekan sehari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.

Bagaimanapun realiti hari ini, Kerdau tidak menunjukkan pernah wujud sebagai sebuah lokasi tumpuan dan maju satu ketika dahulu.

Kebanyakan penghuni di situ hanyalah orang-orang tua, yang banyak meluangkan masa di kedai-kedai kopi.

'Kerdau ini bandar orang pencen, budak-budak semua cari kerja di luar," kata seorang penduduk veteran yang ditemui di pekan itu.

Wakil media juga di bawa meninjau satu-satunya pusat kesihatan yang ada Kerdau.

Bukan sahaja kecil dan usang, sukar bagi sesiapapun untuk memikirkan bagaimana sebuah bangunan kayu yang menjadi tempat operasi pusat kesihatan ini masih di kekalkan untuk menampung hampir lima ribu penduduk di Kerdau.

Selain itu, tiada sebuah pun klinik swasta beroperasi di sini dan juga di seluruh Kerdau.

Kata Hashim, selain daripada pusat kesihatan ini, penduduk terpaksa pergi ke Temerloh untuk mendapatkan sama ada hospital ataupun pusat perubatan swasta di situ.

Di Pekan Kerdau juga, wakil media dibawa ke lokasi pembinaan kuarters anggota polis yang terletak bersebelahan dengan sekolah Cina.

Kuarters polis ini sebenarnya sebuah projek gajah putih di Kerdau, projek untuk membina tiga blok bangunan setinggi empat tingkat itu sebenarnya telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Lebih ironis lagi, para penduduk di situ selama ini telah mempersoalkan pembinaan kuarters yang begitu besar di Pekan Kerdau sedangkan anggota polis yang bertugas di situ hanyalah sekitar 13 orang.

Mengulas perkembangan di Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih terlalu banyak masalah rakyat setempat yang perlu dibangkitkan kepada kerajaan.

Malah beliau turut membidas sikap sombong Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan tiada isu perlu dibangkitkan di negeri ini.

"Kami akan memberi maklumat ini (masalah-masalah rakyat) kepada Adnan untuk beliau jawab," tegasnya.

Tuan Ibrahim juga mengharapkan di kesempatan ini, rakyat Kerdau membuat pilihan bijak dengan memilih wakil PAS untuk mewakili mereka dalam Dun Pahang.

"Saya percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara rakyat Kerdau dalam Dun dan beliau akan menjadi suara pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.

"Saya yakin beliau akan memikul tangungjawab untuk menegur serta membetulkan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negeri supaya kerajaan sentiasa berada dalam landasan yang betul," ujar Tuan Ibrahim.(HDaily)

Perhebat guna media baru

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
AYER KEROH - Pakatan Rakyat (PR) khususnya Pas perlu memperhebatkan penggunaan media baru sebagai medium menangkis tohmahan dilemparkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Pas pusat, Idris Ahmad berkata, ini perlu dilakukan memandangkan media arus perdana, termasuk televisyen ketika ini dilihat sering memberikan laporan berat sebelah.

Menurutnya, Pas tidak mampu menandingi media arus perdana dan lantaran itu, perlu menggunakan media baru untuk meneutralkan segala dakyah yang disampaikan BN.

“Sebagai contoh isu fitnah. Sekiranya kita dapat memperbetulkan apa yang disebarkan, para pengundi pasti tidak akan kabur atau tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Sebab itulah kita mengharapkan rakan-rakan media kita akan dapat membantu memperbetulkan situasi yang ada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa pertemuan dengan bloggers di sebuah restoran terkemuka di sini semalam.

Hampir 20 orang blogger, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Perak, Khalil Idham Lim turut hadir pada pertemuan itu.

Menurut Idris, pertemuan bersama blogger ini merupakan satu usaha ke arah membantu PR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Pasa masa sama, katanya, ianya juga bertujuan memperkukuhkan media baru PR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Di Merlimau sebagai contoh, kesedaran penggunaan Facebook dan Twitter adalah tinggi kerana ianya boleh kita gunakan untuk membantu dalam PRK ini,” katanya.

Menurut Idris, pada masa, terdapat beberapa usaha pihak kerajaan untuk menyekat media baru, terutama blog.

“Kita sudah ada OSA (Akta Rahsia Rasmi), ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan macam-macam undang-undang lagi.

“Kalau betul sesuatu blog itu memfitnah, ambillah tindakan terhadap empunya blog berkenaan,” katanya.

N.28 : Banyak isu pembangunan tidak selesai di Kerdau - Tuan Ibrahim

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA KRAU: PAS dan Pakatan Rakyat Pahang menyangkal kenyataan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob yang menyatakan kononnya tidak ada isu yang perlu dibangkitkan pembangkang dalam pilihanraya kecil di Dun Kerdau sedangkan terlalu banyak masalah yang berlaku kata Pengarah Pilihanraya Pakatan Rakyat Dun Kerdau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada media dalam sidang media hariannya di Markaz Induk PAS di Kerdau, pagi tadi Tuan Ibrahim mendedahkan terdapat banyak isu yang menyebabkan bandar Kerdau ketinggalan sejak puluhan tahun terutama dari aspek pembangunan.

Malah, lebih buruk lagi beliau mengkritik bagaimana berlakunya kelemahan perancangan dan pengurusan kerajaan menyebabkan adanya bangunan kuarters Polis yang terbengkalai dan kelihatan usang.

"Kita hairan bagaimana bangunan kediaman itu dibina cukup besar sedangkan jumlah keanggotaan Polis, saya difahamkan hanya berjumlah 16 orang. Ini menunjukkan kelemahan perancangan sehingga boleh membazirkan wang kerajaan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim keadaan fizikal bandar Kerdau yang tidak ada pembangunan yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa telah membayangkan kepada kita akan kegagalan kerajaan bertindak sewajarnya.

"Saudara lihatlah bandar Kerdau yang tidak membangun sejak puluhan tahun, keadaan klinik kesihatan yang kecil dan tidak selesa ini membuktikan bagaimana kerajaan mengabaikan tanggung-jawab mereka," kata Tuan Ibrahim.

Selesai sidang media, para wartawan dibawa melawat pekan Kerdau bersama calon PAS, Hassanuddin Salim bagi membuktikan kenyataan yang dibuatnya.(N.28)

Tiada air sudah cukup tolak BN

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH, 27 Feb: Masalah ketiadaan bekalan air bersih sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun sudah cukup bagi penduduk Kampung Pulau Mandi Angin untuk menolak Umno BN.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, lebih malang lagi bagi penduduk di kampung berkenaan tidak mendapat bekalan air sekalipun hanya berjarak empat kilometer dari loji air Batu Sawar.

Beliau yang meninjau masalah penduduk di kampung hari ini menambah, para penduduk di situ semacam dipinggirkan oleh kerajaan BN untuk mendapat kemudahan asas walaupun dua orang Perdana Menteri adalah dari negeri Pahang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya sekadar melaungkan slogan ‘rakyat diutamakan’ tetapi nasib rakyat di negeri sendiri terabai untuk menikmati bekalan air bersih.

Baginya, masalah utama mendapatkan bekalan air itu tidak sewajarnya berlaku kepada penduduk berkenaan kerana kerajaan BN hari ini sering mendakwa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

“Saya difahamkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk itu akan diatasi malam tadi kerana mungkin disebabkan berlaku pilihan raya kecil di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, rakyat seharusnya tidak termakan dengan janji Umno BN yang hanya berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat apabila tiba pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.

Katanya, jika benar Umno BN mahu menyediakan kemudahan kepada rakyat seperti bekalan air, para penduduk di kampung berkenaan sudah lama memperolehinya, bukan sekadar dijanjikan pada kempen pilihan raya kecil ini sahaja.(HDaily)

N.28 : Sidang Media 27 Februari 2011

24 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
27 FEBRUARI 2011 | EDARAN MEDIA | KENYATAAN AKHBAR

1. PAS dan Pakatan Rakyat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan pihak keselamatan yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing sehingga berjaya menjadikan proses penamaan calon dapat berjalan lancar.

Kami juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kami kepada seluruh anggota penyokong PR dan juga pimpinan utama PR terdiri dari Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP, YB Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, YB Fauziah binti Salleh, Balasubramaniam Timbalan DHPP yang telah hadir memberikan sokongan yang tidak terhingga sehingga dapat menjayakan proses perarakan dan penamaan calon.

Kami juga mengalukan kehadiran pimpinan dan penyokong BN yang sama-sama membantu menjayakan proses demokrasi berpilihanraya bagi memberikan ruang kepada rakyat. Namun kami juga mengharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat menunaikan kewajipan mereka untuk memastikan proses pilihanraya dapat berjalan dengan adil, telus dan bebas.

2. PAS memilih saudara Hassanuddin Salim sebagai calon PAS kerana beliau telah berjaya dengan cemerlang mengurangkan majoriti undi BN yang begitu besar dalam percubaan pertamanya di DUN Kerdau pada pilihanraya umum yang lalu. Sebagai pengenalan kepada peribadi calon
Hassanuddin adalah anak tempatan yang telah mendalami banyak isu setempat di DUN Kerdau dan beliau juga amat dikenali oleh para pengundi.

Hassanuddin adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang yang amat arif dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat, sedangkan masih banyak isu setempat di DUN Kerdau ini yang belum mampu diselesaikan oleh kerajaan BN Pahang. Walaupun BN menang 13 kali PRU/PRK, di peringkat negeri Pahang kami melihat terlalu banyak masalah walaupun Menteri Besar, Dato’ Seri Adnan Yaakob menyatakan tiada isu yang perlu dibangkitkan. Ini akan kami dedahkan dari masa ke semasa untuk diketahui oleh rakyat terutamanya semasa pilihanraya kecil DUN Kerdau ini berlangsung.

Kami akan memberikan maklumat ini kepada Dato’ Seri Adnan Yaakob untuk dijawab supaya rakyat dapat melihat apa sebenar yang berlaku kepada kerajaan sepanjang pemerintahan Umno BN.

Kami juga percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara ini dalam Dewan Undangan Negeri Pahang dan berkemampuan menjadi suara pengimbang ‘check and balance’ bagi membetulkan kepincangan yang berlaku supaya kerajaan berada pada landasan yang betul untuk kepentingan rakyat dan negeri ini bagi faedah bersama.

3. Dalam tinjauan kami di semua peti undi sekitar DUN Kerdau ini, BN masih mengamalkan budaya menggunakan premis awam seperti balai raya dan balai penghulu di Kerdau ini.

Sedangkan kami menggunakan premis sendiri yang kami kutip dari sumbangan ahli kami dan sama sekali tidak menggunakan premis awam. Walhal, kami membayar cukai seperti ahli dan pemimpin BN juga.

Keadaan ini adalah tidak adil dan tidak sihat jika kita mahu melihat sistem demokrasi berpilihanraya berlaku dalam keadaan sihat dan bersih.

(Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man)
Naib Presiden PAS,
Pengarah Pilihanraya N28 Kerdau.

Najib didesak tarik balik tuduhan liar

23 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak supaya menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Beliau menyatakan sebagai merujuk dalam satu laporan berita yang disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan yang dibuat oleh Najib di Istanbul baru-baru ini yang mendakwa bahawa parti politik Ikhwan Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

Jelasnya, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia pula merupakan seorang tokoh ilmuan yang sangat terkenal seluruh dunia.

“Bahkan segala usaha-usaha yang dilakukan olehnya mendapat pengiktirafan serta penghormatan yang tinggi,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah 1431/2009, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan menyampaikan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau atas sifat peribadi unggul dan sumbangannya yang begitu besar dalam agama serta dunia Islam seluruhnya.

Malah, katanya Dr Yusuf Al-Qardhawi selalu berkunjung ke Malaysia untuk menyampaikan ilmu serta bertemu dengan ramai individu, parti politik serta pihak-pihak tertentu.

“Ini membuktikan sifat beliau disenangi dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Ikhwan Muslimin pula merupakan sebuah gerakan Islam yang sah di Mesir malah mereka turut terlibat dan berpartisipasi secara aktif dalam beberapa siri pilihanraya di Mesir.

Tambahan lagi, mereka sering melaungkan tema “Penglibatan dan Bukan Penguasaan” di samping memelihara peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Mesir.

Walaubagaimanapun, katanya hak dan nilai demokrasi mereka sebagai rakyat dan parti politik yang sah telah dicabul sehingga mereka terpaksa berdepan dengan ancaman, ugutan serta penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah Mesir.

Menyentuh mengenai kebangkitan rakyat di Mesir, beliau berkata Ikhwan Muslimin berpendapat bahawa segala kerosakan dan pencerobohan yang berlaku adalah disebabkan tindakan kumpulan-kumpulan samseng yang bersengkongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk menindas kemahuan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menambah, malah Ikhwan Muslimin turut memberikan penghargaan kepada seluruh tentera Mesir yang berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan memelihara keamanan sepanjang tempoh revolusi yang berlaku.

“Ini membuktikan bahawa Ikhwan Muslimin tidak terlibat dengan sebarang bentuk provokasi dan strategi bagi melakukan keganasan dan kekacauan di Mesir,” ujarnya.

Justeru, katanya kenyataan Perdana Menteri itu dilihat tidak cerdik.

“Saya berpendapat Najib harus menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi segera.

“Jika tidak, beliau telah menunjukkan sikapnya sebagai seorang yang pro kuasa Barat dan takut untuk menzahirkan kebenaran,” tegasnya. Harakahdaily/-

Ulasan Cina Islam :

Saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, dan juga menganggap tindakan Najib dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggunjawab itu adalah gambaran wataknya yang sebenar kepada sesiapa sahaja yang tidak boleh menguntungkan UMNO dan BN.

Satu masa bila melihat dengan menganugerahkan kepada Yusof Qardhawi dengan anugerah boleh menguntugkan dengan menarik sokongan rakyat kepada UMNO lalu anugerah diberikan.

Tetapi beranikah Najib menzahirkan ucapannya dengan menarik balik anugerah itu, dan kalaulah Yusof Qardhawi diarahkan menghantar balik anugerah itu , diapun akan segera mengembalikan anugerah itu kerana ketokohannya bukan kerana anugerah dari malaysia.

Jauh dari itu ketokohan dan pengiktirafan dunia Islam kepada Yusof Qardhawi adalah kerana ia sentiada mengatakan yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah disisi Islam.

Yangt seronok saya nak dengar fatwa Qardhawi mengatakan undi UMNO dan BN adalah haram ...!

Tuduhan Najib memalukan umat Islam Malaysia

23 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Najib supaya meminta maaf secara terbuka kepada Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin kerana menuduh tokoh dan gerakan Islam itu sebagai pengganas dan mendokong keganasan.

Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz merasa kecewa kerana ucapan tersebut lahir dari mulut Perdana Menteri Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah umat Islam.

DPPWP, katanya kesal bagaimana ucapan sedemikian lahir dari pemimpin negara terhadap tokoh ulama kontemporari yang menjadi rujukan dunia Islam itu, bahkan Malaysia pada tahun lepas telah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada tokoh itu.

“Tuduhan dengan mengaitkan Prof Dr Yusof Al Qaradhawi sebagai pengganas adalah tuduhan berat yang tidak boleh diterima.

“Tuduhan ini juga memalukan umat Islam khususnya di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPWP, katanya percaya rakyat khususnya umat Islam amat menghormati Prof Dr Yusof Al Qaradhawi, serta kenal dengan peribadi serta doktrin ajaran beliau.

Tambahnya, ratusan bahkan ribuan anak murid telah beliau lahirkan dari Malaysia dan tidak pernah didengari ada kalangan muridnya yang terlibat dengan keganasan.

Selain itu, Perdana Menteri juga menggesa Ikhwanul Muslimin disisih dari agenda perubahan di Mesir kerana terlibat dalam keganasan.

Tambahnya, tuduhan itu sangat berat dan Perdana Menteri perlu buktikan bagaimana Ikhwanul Muslimin boleh terlibat dengan keganasan.

Ikhwanul Muslimin, ujarnya telah menyertai pilihanraya dan proses demokrasi di Mesir secara aman sejak sekian lama dan menjadi oposisi di bawah penerintah rejim Hosni Mubarak.

“Bagaimana Datuk Seri Najib boleh kaitkan pertubuhan ini dengan keganasan?” soalnya.

DPPWP percaya, Najib tidak membaca sejarah perjuangan gerakan Islam itu serta mengenali Prof Dr Yusof Al Qaradhawi secara lebih dekat.

DPPWP juga yakin, Perdana Menteri tidak diberikan nasihat yang betul oleh para penasihat agama beliau.

“Memang wajarlah Datuk Seri Najib bertaubat dengan segera, menarik balik ucapan beliau serta memohon maaf secara terbuka kepada Prof Dr Yusof al Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin,” ujarnya. Harakahdaily/-

Ulasan Cina Islam :

Begitulah pemimpin UMNO, selagi seorang itu boleh mengiakan tindakan dan bersikap seperti rentak yang dipalu oleh nya maka ulama itu akan diiktiraf dan malah diberi pengiktirafan dan anugerah temasuk Yusof Qardawi.

Tetapi bila Qardawi sudah bercakap dalam ruang lingkup mengugat kedudukan mereka termasuk pemimpin UMNO di Malaysia, lala ulama itu telah disifatkan sebagai penganas.

Jaip ambil alih sementara masjid di Dun Kerdau

23 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 27 Feb: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengambil alih semua pentadbiran masjid dalam Dewan Undangan Negeri Kerdau daripada ahli jawatankuasa yang dilantik secara sah oleh anak-anak kariah.

Jaip dkatakan telah menghantar Pegawai Agama Islam Daerah ke setiap masjid dalam Dun Kerdau sebagai pegawai sementara masjid di situ.

Sementara itu, Harakahdaily turut mendapat pengesahan mengenai perkara tersebut daripada Imam Masjid Desa Purun, salah sebuah masjid dalam Dun Kerdau, Ustaz Ahmad Nafiri Md Fauzi.

Kata beliau, AJK masjidnya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai JAIP bagaimanapun tidak ada sebarang arahan rasmi (bertulis) dikeluarkan.

"Saya diberitahu pegawai itu juga mengarahkan semua program kuliah yang telah (oleh AJK asal masjid) di atur dibatalkan," kata beliau.

Ditanya sehingga bila arahan tersebut, Ahmad Nafiri berkata beliau tidak diberitahu tetapi tidak menolak kemungkinan sehingga berakhir pilihan raya.

Dalam Dun Kerdau terdapat 22 buah masjid, antaranya Masjid Bandar Kerdau, Masjid Seri Ketumbit, Masjid Jengka 22, Masjid Jengka 23, Masjid Jengka 25, Masjid Rumpun Makmur, Masjid Teluk Sentang dan Masjid kampung Desa Purun.

Di Masjid Rumpun Makmur, hasrat beberapa AJK masjid itu untuk meminta Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menyampaikan tazkirah sebelum solat Jumaat, kelmarin turut tidak kesampaian ekoran perkembangan itu.

Bagaimanapun mereka berjaya meminta Nik Aziz membaca doa dan menyampaikan tazkirah ringkas sejurus selepas sembahyang Jumaat selesai (gambar).

PAS dijangka akan memberi respons berkenaan perkembangan tersebut dalam sidang media sebelum tengah hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Syed Hamid Syed Mohammad dalam reaksi awalnya turut menyelar tindakan itu dengan menyifatkan merampas hak AJK yang dilantik oleh anak-anak kariah.

"Sepatutnya JAIP beri kepercayaan lah kepada AJK masjid-masjid tersebu menguruskan masjid mereka, kalau betulpun hendak ambilalih sementara berbincanglah dahulu dengan AJK untuk mendengar pandangan mereka, bukan dengan keluar arahan seperti sahaja," ujar beliau.

Harakahdaily/-

Ulasan Cina Islam :

Satu kejutan san suatu perkara yang baru berlaku dalam siri PRK sebelum ini tidak pernah berlaku. tindakan ini membuktikan campurtangan politik sempit UMNO bagi menghalang mesjid dari bebas menentukan programnya sendiri.

Saya yakin kembimbangan ini sangat menghantui UMNO dan BN kerana mereka tidak mampu untuk mengusai mesajid dari menghalalkan kerja-kerja jahat yang dilakukan oleh pemimpin UMNO.

Rumah Allah selayaknya diberi kebebasan untuk ditadbir oleh anak-anak qariah yang dipilih oleh penduduk tempatan, bukannya oleh pihak luar yang bertopengkan pejabat agama sedangkan ianya saya yakin adalah satu arahan dari UMNO.

Demo Interlok: lebih 70, termasuk Uthaya ditangkap

23 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Pemimpin Parti Hak Asasi, P Uthayakumar telah ditangkap polis manakala sekatan jalan diadakan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan perarakan yang dianjurkan parti itu dan sekutunya, Hindraf bagi membantah tindakan dan pentadbiran 'rasis' oleh Umno di negara ini menemui kegagalan.

Demonstrasi besar-besaran yang dijadualkan itu juga sebagai membantah novel 'Interlok' karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain menggunakan terdapat perkataan 'paria' yang dianggap menghina masyarkat India.

Uthayakumar, yang sebelum ini telah berkali-kali ditahan sebagai pemimpin kumpulan yang diharamkan, Hindraf juga pernah merengkok selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara, (ISA). Kali ini, dia ditangkap di pangsapurinya di Pantai Hillpark pada jam 8 pagi.

“Dia digari dan dibawa ke dalam sebuah van putih,” kata adik kepada Uthayakumar, - Waythamoorthy dari London menerusi satu mesej SMS kepada Malaysiakini.

Menurut ketua penerangan HRP, S Jayathas, - Uthayakumar telah dibawa ke ibu pejabat daerah polis Pudu untuk disoal-siasat.

Adalah difahamkan perarakkan itu sepatutnya bermula dari Hotel Renaissance, yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Selain Uthayakumar, 17 lagi individu yang terbabit dengan perarakan itu juga dicekup oleh polis pagi ini - tujuh di KLCC manakala 10 lagi di Hotel Renaissance.

Identiti mereka belum diketahui.


Setakat jam 10 pagi tadi, dianggarkan tidak kurang 100 orang di beberapa tempat selutuh Kuala Lumpr telah ditankap.

Mereka yang dipercayai penyokong Hindraf, khususnya masyarakat keturunan India yang berjalan-jalan sekitar bandaraya dieriksa dan keudiannya ditahan.

Menurut orang ramai yang lau lalang, mereka ditahan dan beg mereka digelidah meskipun mereka tiada kaitan dengan perarakan berkenaan.


Sekitar jam 9.15 pagi, kira-kira 80 orang dalam beberapa kumpulan kecil antara 10 hingga 30 penyokong HRP dan Hindraf berarak dari Hotel Renaissance menuju ke KLCC, sambil menjerit 'Makkal Sakthi' dan beberapa slogan lain – semua mereka ditangkap di hadapan Hotel Maya.

Veeramani, seorang wartawan komuniti yang bermeja-T 'Citizen Journalist' dan juga seorang pemberita dariakhbar Tamil, Makkal Osai, adalah antara merekayang dicekup pagi ini.

Turut ditangkap adalah ketua HRP Kedah, Ramu Ramasamy dan seorang lagi pemimpin HRP Pla Pinang. Kedua-dua mereka dibawa ke ibu pejabat daerah polis Sentul.


Jayathas yang pada sebelah bagi membekalkan maklumat kepada wartawan berhubung perarakan hari ini juga dicekup padajam 10 pagi dan telah dibawa ke ibu pejabat daerah polis Jinjang.

Di sebalik kekecohan itu, sekupulan peljar yang mewakili Persatuan Pelajar Tamil Malaysia Berjaya mengadakan demonstrasi kecil di Jalan Mayang, off Jalan Ampang, berhampiran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia bagi membantah penggunaan novel Iterlk di sekolah. Mereka kemudiannya bersuraitanpa esiapun ditangkap.

Menjelang 10.20 pagi, keadaan sekitar KLCC dilaporkan tenang kembali apabila kebanyakan penyokong HRP dan Hindraf dilaporkan sudah melarikan diri ataupun ditangkap polis.

Mereka kemudiannya berkumpul di kuil Kootu Malai Pillayar Temple berhampran stesen bas Pudu dan puluhan peyokong mereka mejerit 'Hindraf Velga!'

Menurut sumber polis, idak kurang78 orang ditahan.

Sementara itu, jalan-jalan utama ke pusat bandaraya Kuala Lumpur sejak awal pagi ini telah dipantau dengan beberapa sekatan di lokasi-lokasi strategik bagi mematahkan demonstarsi yang dirancangkan itu.

Antara tempat yang dilaporkan itu termasuk di Jalan Ampang, Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Tun Razak dan alan Duta–Lebuhraya Sungai Buluh.

Perarakan itu sepatunya bermula di KLCC tetapi rancangan mereka terpaksa ditukar kerana kehadiran jumlah polis yang agak besar pagi ini sekitar bangunan berkenaan.

Dianggarkan tidak kurang 200 anggota polis termasuk mereka yang tidak memakai pakaian seragam berada di lokasi berkenaan. Sebahagian besar mereka ditempatkan di antara Jalan Ampang - Avenue K dan bangunan berkembar Petronas.

Wartawan diberi arahan supaya tunggu di sebuah perhentian bas di KLCC, tetapi arahan itu seringkali tidak diendahkan apabila mereka mendapat tahu berlaku kekecohan di sesetengah tempat. Malaysiakini/-

Ulasan Cina Islam :

Saya masih rasa hairan bagaimana hak rakyat berbilang bangsa di negara malaysia yang kononnya mengamalkan demokrasi sudah menjadi "democrazy" di kalangan agensi kerajaan yang sering disalahgunakan untuk menlindungi kerja jahat UMNO dan BN.

Harapan saya semuga semua yang ditahan dibebaskan tanpa syarat kerana mereka sebetulnya ada hak sesuai dalam Perlembagaan Malaysia yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman dan tidak membawa senjata tajam.