06 November 2008

Sederhana

”Sesungguhnya berlaku sederhana yang paling baik ialah di saat kita kaya, dan sebaik-baik memberi maaf adalah di saat kita berada pada posisi kuat” (Khalifah Umar bin Abdul Aziz).

Itulah jawapan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, saat ditanyakan mengapa beliau tidak bermewah-mewahan, seperti tidak menggunakan pakaian mewah. Padahal pada saat itu, Umar adalah seorang khalifah atau pemimpin besar umat, yang memungkinkan untuk bergaya dan hidup mewah. Meskipun bergaya hidup sederhana, Umar tetap mencurahkan segenap pikirannya untuk kemaslahatan rakyat tidaklah secara sederhana, sehingga rakyatnya hidup sejahtera selama sekitar 2 tahun beliau memerintah.

Namun sayangnya kesejahteraan yang dirasakan umat Islam dulu tidak berlanjut hingga saat kita sekarang. Sebahagian besar hidup dalam keadaan melarat. Barangkali ini ada hubungannya dengan gaya hidup pemimpin-pemimpin yang sudah berlaku sebaliknya, iaitu umumnya bergaya hidup mewah tetapi mencurahkan pikiran kepada rakyatnya secara sederhana atau sedikit. Di samping itu, antara mereka saling berseteru dalam memrebutkan jawatan, dan berlanjutan dalam episod membalas dendam ketika berkesempatan berkuasa.

Padahal seorang pemimpin memikul tanggung jawab yang cukup besar terhadap yang dipimpinnya, dunia dan akhirat. Menurut Nabi SAW, “Sesungguhnya kekuasaan itu adalah amanah dan kekuasaan itu di hari kiamat kelak akan menjadi sumber kesedihan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan benar dan menyampaikan kepada mereka yang semestinya” (HR Muslim). Kerana tanggung jawab besar dan panjang itulah, sebahagian pemimpin contoh yang dimunculkan dipersada dunia ini malu untuk hidup mewah di saat rakyatnya melarat dan merasa malu kembali kepada Allah sebelum menyelesaikan urusan-urusannya dengan rakyat secara baik .

Ucapan tahniah kepada Obama

Barack Obama telah diumumkan memenangi pilihan raya kali ini dan akan menjadi Presiden A.S. ke-56. Beliau juga merupakan presiden kulit hitam pertama dalam sejarah A.S. Menurut statistik CNN, calon Presiden Parti Demokrat, Barack Obama telah memperoleh 349 undi, manakala calon Presiden Parti Republikan, John McCain memperoleh hanya 163 undi.

McCain telah menyampaikan ucapan tahniahnya kepada Obama menerusi telefon. Beliau berjanji akan membantu Obama sebaik mungkin untuk mengatasi semua cabaran yang dihadapi oleh A.S.. Presiden sekarang. George W. Bush juga menyampaikan ucapan tahniahnya kepada Obama melalui telefon. Obama akan mengangkat sumpah di White House pada 20 Januari tahun depan.

Pemimpin China, Britain, Perancis, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) satu persatu mengucapkan tahniah kepada Presiden A.S. yang baru terpilih, Barack Obama.

Presiden China, Hu Jintao dalam kawat tahniahnya menyatakan bahawa kerajaan China sentiasa mementingkan hubungan dengan A.S.. Pada masa depan, China berharap dapat berusaha bersama dengan A.S. untuk mendorong dialog dan interaksi, meningkatkan hubungan yang saling mempercayai dan kerjasama, serta meningkatkan hubungan kedua-dua pihak ke taraf yang lebih tinggi, berdasarkan 3 Pengumuman Bersama China-A.S..

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyatakan bahawa mengembangkan hubungan Britain-A.S. amat penting demi mewujudkan kemakmuran dan keselamatan bagi kedua-dua pihak. Beliau berharap dapat mempererat kerjasama dengan Obama pada masa yang akan datang.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam kawat tahniahnya menyatakan bahawa pemilihan Obama sebagai Presiden baru A.S. akan menyuntik daya penggerak yang baru kepada usaha kedua-dua pihak dalam memelihara kedamaian dan kemakmuran dunia.

Presiden Suruhanjaya EU, Jose Manuel Barroso telah menyatakan harapannya agar pemilihan Obama ini dapat merancakkan kerjasama A.S. dengan negara dan wilayah lain, dan sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis kewangan sejagat ditangani dengan jayanya.

Perdana Menteri Jepun, Aso Taro pula telah menyatakan kesediaannya untuk berusaha bersama-sama dengan Obama bagi memperkukuh hubungan sekutu Jepun-A.S., dan sama-sama memberikan sumbangan kepada penyelesaian terhadap beberapa masalah yang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa, termasuk pergolakan kewangan, keganasan dan alam sekitar.

Pemimpin Republik Korea pula menyatakan bahawa pihaknya yakin pemilihan Obama ini akan melonjakkan hubungan sekutu negaranya dengan A.S. ke satu tahap yang lebih tinggi.

Obama Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat

WASHINGTON 5 Nov. – Barack Obama, hari ini memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.

Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House.

McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.

Keputusan pilihan raya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan.

Jika undi BPP di kedua-dua negeri itu diambil kira, jumlah undi BPP yang bakal diterima oleh Obama dan McCain akan turut meningkat, tetapi tidak akan mengubah kemenangan Obama.

Senator Joe Biden, Senator dari Delaware akan mengiringi Obama sebagai Naib Presiden.

Kemenangan Obama banyak disumbang oleh pengundi wanita, kulit hitam dan mereka yang berketurunan Hispanik, selain pengundi bebas.

Obama turut berjaya ‘merampas’ undi mencukupi daripada pengundi kulit putih yang selama ini banyak memberi sokongan kepada Parti Republikan, untuk membantunya mengetepikan McCain.

Kejayaan Obama bukanlah satu perjalanan yang mudah buat anak kelahiran Hawaii ini, kerana beliau telah menempuh pertarungan sengit sejak hampir 24 bulan lalu, sebelum menempatkan dirinya sebagai lelaki paling berkuasa di dunia pada masa ini.

Bermula dengan perlumbaan sengit dengan bekas wanita pertama AS, Hillary Rodham Clinton bagi merebut tempat sebagai calon Presiden AS mewakili Parti Demokrat, Obama kemudian meneruskan persaingan dengan tokoh politik veteran, McCain yang sehingga saat akhir tidak berputus asa terus berkempen, walaupun tinjauan pengundi di seluruh AS mendapati Obama telah meninggalkan veteran tahanan perang Vietnam itu jauh di belakang.

Kemenangan Obama bukan sahaja disambut gembira oleh seluruh keluarganya, penyokong Parti Demokrat dan rakyat AS, malahan seluruh dunia yang mahu melihat reformasi yang diutarakan oleh Senator Illinois itu akan membawa perubahan termasuk kepada AS, yang kini mengalami kegawatan ekonomi tetapi juga kepada geopolitik dunia.

Obama bukan sahaja menjanjikan pembaharuan dan perubahan bagi rakyatnya, tetapi juga berjanji untuk mengubah imej AS yang kini terjejas teruk di mata dunia akibat tindak-tanduk kerajaan di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush selama lapan tahun sejak 2000.

Dalam ucapan sulungnya sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang lewat tengah malam tadi di Grant Park, Chicago bandar kediamannya, Obama menyeru seluruh rakyat AS bersatu dan bersedia menyahut cabaran untuk membawa perubahan kepada AS.

Pemimpin-pemimpin dunia turut memberi reaksi atas kemenangan Obama dengan kebanyakan mereka mengucapkan tahniah. Iran memberi reaksi yang berbeza apabila tentera negara itu memberi amaran akan mengambil tindakan keras kepada tentera AS di Iraq kerana menceroboh wilayah Teheran.

Kemenangan Obama disambut begitu meriah dengan pelbagai upacara sambutan diadakan di seluruh AS.

Di pekan Kongelo, Kenya tempat asal usul keluarga sebelah bapa Obama turut meraikan kemenangan Obama itu dengan irama lagu dan tarian.

Di Jakarta, sekolah rendah tempat Obama belajar semasa tinggal di ibu kota Indonesia itu sekitar 1960-an turut meraikan kemenangannya.

Pilihan raya Presiden AS kali ini turut diadakan serentak dengan pilihan raya Senat di 33 negeri dan pilihan raya Dewan Perwakilan di semua 50 negeri dan pilihan raya Gabenor di 11 negeri.

Pada pilihan raya Senat, Parti Demokrat mengukuhkan majoriti di kedua-dua dewan Kongres AS, sekali gus menjadikan lebih mudah untuk Obama melaksanakan agenda pembaharuannya.

Demokrat menambah lima lagi kerusi di Senat dalam pilihan raya semalam, untuk meningkatkan majoriti mereka kepada sekurang-kurangnya 56 kerusi di dewan tertinggi yang mempunyai 100 anggota itu.

Sebanyak 35 daripada 100 kerusi itu dipertandingkan semalam.

MP Pakatan Rakyat keluar dewan bantah Najib kemuka Bajet baru semasa penggulungan Bajet 2009

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang kecewa kerana perangkaan dalam ucapan Najib semalam berbeza dengan perangkaan dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri kewangan September lalu.
Sepatutnya Najib menggunakan masa yang diperuntukkan untuk beliau berucap dengan berbahas Bajet yang diusulkan Pak Lah. Namun semasa masa penggulungan beliau mengumumkan perubahan Bajet 2009 yang telah mengundang rasa tidak puas hati ahli MP Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Tian Chua (PKR-Batu) menyebabkan Pandikar Amin Mulia hilang sabar apabila beliau berkeras mengatakan bahawa ‘bajet baru’ itu melanggar Perintah Tetap 66(1) berhubung pembentangan rang undang-undang bajet.

“Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya.” Ini kata-kata Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak apabila mula membentangkan ucapan sulung penggulungan Bajet 2009 beliau di Dewan Rakyat petang semalam.

Secara tiba-tiba Dewan Rakyat bertukar tegang sambil pembangkang memulaukan sidang ketika Najib, yang mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kewangan lebih sebulan lalu, menyampaikan ucapan sulungnya itu.

Lebih 70 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat atas alasan tidak diberi laluan untuk mengemukakan soalan.Ketegangan bermula kira-kira lima minit Najib mula berucap sambil memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau tidak akan memberi laluan sehingga habis mengemukakan ucapannya.

Makluman itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Parlimen pembangkang.

Kekecohan bermula pada awal sesi penggulungan yang bermula 4.30 petang apabila Najib memberitahu Dewan beliau hanya akan memberi laluan untuk penjelasan selepas membentangkan dasar-dasar untuk menangani masalah ekonomi.

Ini menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan daripada beberapa wakil pembangkang antaranya Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Mahfuz Omar(Pas-Pokok Sena), Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kemudiannya bangun untuk meminta penjelasan sekali lagi daripada Najib sama ada beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk mencelah ketika sesi penggulungan peringkat pertama itu berjalan.

“Biar Menteri jawab, boleh atau tidak kita gunakan ruang untuk berhujah sekarang atau tidak boleh?,” soalnya kepada Najib sambil meminta supaya Najib sendiri yang memberikan jawapan berkenaan.

Najib kemudiannya menegaskan, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian, tetapi hanya selepas peringkat pertama penggulungan itu selesai iaitu apabila beliau selesai membentangkan dasar dan langkah baru yang dicadangkan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi negara.

“Saya ada beberapa langkah yang saya bentangkan. Biar saya bentang dulu kemudian saya bagi peluang. Sekarang ini, Yang Berhormat semua ganggu saya.

“Saya boleh bagi (bagi peluang)… Boleh, kemudian. Tapi tunggu kemudian… Apa yang terdesak sangat ni?” katanya bagi memberi penjelasan kepada Anwar yang ingin mengetahui sama ada beliau akan memberi laluan untuk penjelasan atau tidak.

Pandikar Amin kemudiannya bertanyakan kepada Najib sekali lagi sama ada mahu memberikan laluan kepada Ahli Parlimen yang ingin mencelah untuk meminta penjelasan.

“Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?” soal Pandikar Amin kepada Najib.

Najib menjawab: “Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya.”Dewan Rakyat terdiri daripada 83 ahli pembangkang termasuk dua wakil Bebas.Anwar langsung tidak kembali ke Dewan Rakyat selepas Najib habis berucap.Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen dilihat keluar masuk Dewan.

KOMEN ANWAR

Di lobi Parlimen Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

“Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.“Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.“Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini, katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009 berkata:“Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak.”Katanya, ahli-ahli Parlimen sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkann bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan seolah-olah menidakkan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru, yang lebih relevan.

Ia merupakan ucapan penggulungan pertama bajet bagi Najib selaku Menteri Kewangan. Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang. -dipetik dari malaysiakini