25 September 2009

Kursus Pra Perkahwinan Sebagai Asas Bina Keluarga

Ahmad Baei Jaafar

Keruntuhan rumah tangga yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini amat membimbangkan banyak pihak. Apa tidaknya, dalam usia perkahwinan yang baru berusia seminggu sudah boleh berlaku penceraian. Walaupun jumlahnya tidak begitu ramai namun trend itu cukup membimbangkan generasi yang baharu hendak berkahwin.

Lazimnya pada musim ini, perceraian yang kerap berlaku adalah dalam kalangan pasangan yang sudah mempunyai dua tiga orang anak. Puncanya mungkin pelbagai mengikut keadaan seseorang. Cuma dalam kebanyakan kes yang dapat dikesan, mereka yang terlibati ut cuai dalam soal solat, cuai dalam hubungan dengan Allah.

Berdasarkan pengalaman sesebuah perkahwinan, apabila seseorang itu longgar hubungannya dengan Allah, pasti hubungannya dengan manusia juga akan renggang. Apabila hubungan itu menjadi retak, maka ikatan perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lalu terpaksa ditamatkan di mahkamah Syariah.

Kursus Pra Perkahwinan
Di manakah silapnya perkahwinan itu sehingga mudah berlaku penceraian berbanding perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu? Adakah kerana kursus pra perkahwinan tidak berkesan?

Memang banyak pihak yang mempertikaikan keberkesanan kursus pra perkahwinan. Katanya, modul kursus itu gagal mendidik peserta menjadi suami isteri yang bermutu. Kursus yang dianjurkan hanya sebagai satu bisnes bukan bertujuan mendidik bakal suami isteri supaya memahami dan menjiwai hidup berkeluarga.

Dakwaan itu mungkin satu andaian tetapi sebenarnya kursus dua hari yang diperuntukkan itu bukanlah bertujuan mendidik perserta. Kursus dua hari memang tidak cukup untuk menjamin sesuatu pasangan itu boleh hidup bahagian sehingga ke akhir hayat. Apatah lagi kurikulum kursus itu hanya sekadar untuk mengulang kaji ilmu fardu ain yang asas iaitu tauhid, dan fiqah dalam persoalan ibadah.

Tidak dinafikan dalam kursus itu ada perbincangan mengenai hukum munakahat. Semua peserta akan diberi pendedahan beberapa masalah rumah tangga dan cara penyelesaian. Perbincangannya mungkin lebih serius jika ada persoalan daripada peserta. Namun kebanyakan kursus selama dua hari itu berjalan dalam bentuk satu hala sahaja. Penceramah memang serius mahu memberi penjelasan sesuatu hukum, tetapi berapa ramai perserta yang mengambil bahagian bertanya balas? Malah sesetengah peserta tidak membuat catatan nota sebaliknya hanya bergantung kepada kertas kerja yang disediakan.

Walaupun terdapat peserta yang mengambil perhatian serius tetapi terdapat sesetengah peserta yang kelihatan “mengangguk” waktu mendengar kuliah, entah faham entah tertidur - tidak tahulah. Tapi yang jelas, selepas penceramah menjelaskan beberapa hukum, tidak diambil perduli. Walaupun penceramah mengatakan, “dalam tempoh pertunangan, mereka tidak boleh bertempuk tampar” tetapi selepas berehat seketika itu mereka yang datang berpasangan itu boleh makan berdua-duaan dan berpegang tangan.

Niat Peserta
Selain niat penganjur kursus untuk bisnes, kehadiran peserta ke dalam kursus dua hari itu juga bukanlah serius untuk menuntut ilmu, bukan niat mereka untuk menambah ilmu. Sebaliknya niat mereka hanya satu iaitu, hendak dapat sijil kursus supaya dengan itu mereka boleh berkahwin. Kalau begitulah niat mereka, bagaimanakah kursus itu boleh memberi manfaat kepada mereka.

Berdasarkan itu,tentulah tidak adil kita menyalahkan modul kursus itu sebagai tidak berkesan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian semula dan diberi penambahbaikkan. Antara yang perlu dilihat semula ialah:

1. Persoalan Munakahat dan permasalahan rumah tangga perlu dipanjangkan.
2. Pengkursus perlu kreatif dalam menyampaikan mesej tersebut.
3. Sesi dialog atau soal jawab dua hala perlu diwujudkan.
4. Sesi peperiksaan perlu diwujudkan bagi memberi tekanan kepada peserta supaya serius dalam kursus tersebut.
5. Keputusan disertakan bersama sijil kursus tersebut.

Kursus selama dua hari adalah munasabah dan mampu memberi panduan pada bakal pengantin, jika lima perkara ini diberi penekanan semula. Walau bagaimanapun untuk lebih memantapkan lagi pengetahuan peserta, mereka perlu menghadiri satu hari lagi pada minggu yang lain untuk peperiksaan bertulis dan lisan. Ini bermakna dalam tempoh itu mereka boleh mengulang kaji ilmu yang dipelajari sebelum peperiksaan itu.

Saya percaya kalau sesi temu duga atau peperiksaan itu dilakukan, semua peserta akan mengambil perhatian kepada isi kursus itu. Ketika itu semua peserta akan mengambil berat semua perbincangan dalam kursus tersebut. Dengan cara itu mereka akan benar-benar memahami hukum dan masalah rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Sebenarnya belum wujud kursus seperti sekarang ini, pernah diwajibkan kepada semua pasangan yang hendak berkahwin untuk menghadiri sesi temu duga di hadapan pegawai pejabat agama. Tetapi sesi itu dihentikan kerana dianggap menyusahkan semua pihak yang terbabit. Hal ini kerana semasa temuduga perkahwinan, perserta kurang bersedia kecuali yang ada membaca buku agama.

Pada masa itu, mereka yang tiada asas agama, minat untuk membaca buku agama amat kurang. Kesannya mereka gagal dalam temuduga tersebut. Maka untuk mendapatkan kebenaran nikah, mereka perlu sekurang-kurang dua kali temuduga. Atas rasa simpati, temu duga itu dihapuskan.

Saya percaya kalau kursus itu dapat dibaiki isi kandungan kuliah dan ilmu yang diajar sepanjang dua hari, cukup untuk memberi ilmu asas kepada mereka untuk lulus peperiksaan kemudiannya. Untuk itu, pengajian fardu ain tidak perlu mengambil masa yang panjang. Sebaliknya dibanyakkan contoh kes rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Selain itu, dalam kursus itu juga perlu dibentangkan beberapa tip-tip praktikal yang boleh membawa kebahagiaan rumah tangga. Peserta kursus pasti boleh mengingati setiap contoh kes yang diberi pada masa itu kerana ia amat dekat di hati mereka. Pada masa yang sama contoh kes tersebut boleh menjadi pengajaran bagi mengelak daripada berlaku krisis dalam rumah tangga mereka.

Percayalah kalau peserta kursus itu mempunyai satu sijil menghadiri kursus dan satu sijil lulus peperiksaan, mereka adalah bakal pasangan yang bahagia sehingga ke dalam syurga. Jadi, dua sijil itu penting untuk membolehkan mereka berkahwin. Walau bagaimanapun bagi mereka yang gagal dalam peperiksaan masih boleh dibenarkan berkahwin setelah menghadiri sesi ujian lisan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah setempat.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah.

Tuduh PAS dalang simbah cat adalah berniat jahat - PAS Perak

IPOH, 24 Sept: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Lintang, Ahamad Pakeh Adam menuduh PAS sebagai dalang menyimbah cat pada poster Datuk Zambry Kadir dan pemimpin BN perak yang lain adalah berniat jahat dan dibuat tanpa usul periksa.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein berkata, sebagai seorang pemimpin masyarakat, Ahamad Pakeh sewajarnya memberikan hak menyiasat kepada pihak polis dan bukannya menuduh secara emosi tanpa sebarang bukti.

Tuduh tanpa bukti dalam Islam adalah fitnah dan dosa fitnah katanya lebih besar dari dosa membunuh.

"Tuduhan itu adalah berniat jahat, saya yakin itu bukan perbuatan orang PAS, itu protes dari ahli Umno itu sendiri.

"Kita orang PAS diajar cara beradab dan kita profesional dalam tindakan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Ahamad Pakeh yang mendakwa PAS dalang disebalik kejadian tersebut.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut menunjukkan PAS bukan sebuah parti Islamik.

Tuduhan PAS sebagai pelaku perbuatan tersebut juga disandarkan kepada andaianya sendiri setelah melihat hanya poster pemimpin BN diperlakukan sedemikian manakala tiada sebarang unsur khianat terhadap poster Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurut Ustaz Abu Bakar, beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut adalah protes dari kumpulan Umno sendiri yang tidak senang dengan kepimpinan mereka.

"Sepatutnya dia buktikan tuduhan itu. Kita tak nak jadi seperti kes kepala lembu, PAS dituduh tapi sebenarnya orang lain yang buat. Saya rasa itu protes dari ahli Umno sendiri," ujarnya lagi.

Poster Zambry seperti disiar Harakahdaily sebelum ini disembur dengan cat merah dan hitam pada mukanya dan diconteng dengan perkataan 'MB Haram Jadah'.

Selain Zambry, poster Ahli Parliman Bagan Datoh, Datuk Seri Zahid Hamidi dan poster ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman turut menerima nasib sama.

"Kita mintak polis buat siasatan, kita pun tak suka tindakan seperti itu. Tapi kita lebih tak suka jika ada pihak main tuduh tanpa bukti," ujarnya.

Walaubagaimanapun, tinjawan wartawan Harakahdaily sejak semalam mendapati, kesemua poster yang disimbah cat berkenaan telahpun ditanggalkan. Ianya membabitkan dua kawasan utama iaitu Manjong dan juga di Batu Gajah. Tuduhan melulu Ahamad Pakeh itu juga dilihat tidak membantu malah memburukkan lagi keadaan krisis politik Perak. "Ini sebahagian kecil sahaja protes rakyat yang boleh dilihat, isu ini tak akan selesai selagi DUN tidak dibubarkan," katanya.

Harakahdaily.

KENYATAAN MEDIA : Apakah sebenarnya dasar Bajet Kerajaan kudeta Perak bagi tahun 2009 ?

KENYATAAN MEDIA, 24 Sept. 2009

Bajet 2009 yang dibentang dan telah diluluskan dalam Pesidangan DUN pada penghujung 2009 dengan tema "Bajet Kebajikan Untuk Rakyat "telah membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang mementingkan hal ehwal kebajikan rakyat. Ia memaparkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Negeri dalam hasrat membawa negeri Perak dan rakyatnya ke satu tahap pembangunan sosio ekonomi dan pembangunan insan yang seimbang. Dalam merangka dan melaksanakan Bajet 2009, Kerajaan Pakatan Rakyat menjadikan adil, amanah, telus, wibawa dan berkebajikan sebagai asas dan prinsip utamanya.

Namun begitu sejak BN merampas kuasa di Perak, manakah dasar bajet yang telah diumumkan kepada rakyat ? Inilah salah guna kuasa yang merupakan gambaran sebenar bahawa BN tidak mempuanyai kuasa yang sebenar dalam menggunakan Bajet 2009 yang telah diluluskan.

Sidang yang bermula pada 10 Nov 2008 itu menyaksikan Perbahasan Enekmen Perbekalan sebanyak RM 643, 681,236.00 dan Usul Kumpulan Wang pembangunan 2009 sebanyak RM 175,838,000, yang akhirnya diluluskan..

Masih segar dalam ingatan saya semasa perbahasan dibuat, ADUN BN memperlekehkan Bajet 2009 yang telah dibentang oleh MB Pakatan Rakyat. Antaranya menganggap sebagai Bajet Tin Kosong.

Akhirnya saya beranggapan BN telah "menjilat" ludahnya sendiri dengan menggunakan Bajet tersebut tanpa ada dasar khusus, apalagi gagal memanggil satu sidang sah untuk membentang satu bajet baru kalaulah benar bajet yang dibentangkan kami adalah tin kosong.

Malu, tidak bermaruah, tidak berprinsip itulah mungkin yang saya boleh andaikan dengan perangai pemimpin BN di Perak yang telah membelanjakan wang rakyat tanpa ada dasar khusus.

MB Perak Pakatan Rakyat semasa membentangkan bajet tersebut telah menggariskan empat strategi utama iaitu menjadi sebuah negeri berkebajikan, meneruskan dasar perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat serta mempertingkatkan hasil pendapatan negeri, memastikan kesejahteraan rakyat dan peningkatan kualiti kehidupan di luar Bandar dan Bandar, dan menyediakan system penyampaian sektor awam yang efisen.

Negeri Berkebajikan menjadi strategi utama Bajet 2009
Apa yang rakyat Perak dapat dari Bajet 2009 ini ?

1. 4,428 rakyat berpendapatan kurang 700 ringgit diberi bekalan air percuma sebanyak RM 10.00 sebulan.

2. Meluluskan 1000 hektar tanah kepada SAR dan SRJK Cina untuk diusahakan penanaman sawit.

3. RM 6 juta diperuntukan untuk sumbangan derma siswa RM 1000 seorang kepada 6000 anak Perak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.

4. RM 4.9 juta diperuntukan untuk pendidikan Islam iaitu dengan menaikan elaun guru KAFA, Penyelia KAFA, guru Tadika Islam dan mengembalikan bantuan perkapita kepada 22 buah sekolah Agama Rakyat.

5. RM 1 Juta diperuntukan untuk Takaful Kifalah kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas, setiap waris akan diberi sumbangan RM 1000 bagi meringankan beban pengebumian jenazah.

6. RM 4.88 juta pula diperuntukan untuk menaikan elaun bulanan Ketua Kampung dari RM 200 ke RM 400, dan elaun Setiausaha JKKK sebanyak RM 200 sebulan

7. Menubuhkan Tabung Khas Kebajikan Rakyat dengan memperuntukan RM 2 juta. Tabung ini ditubuhkan bagi tujuan membantu dan memelihara kebajikan rakyat yang menghadapi kesusahan seperti mengalami penyakit kronik, anak-anak yatim, ibu tunggal, kebajikan ahli keluarga mangsa ISA, warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU), menaikkan bantuan kebajikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan mengikut kategori dengan kadar minimum RM 200 dan tidak melebihi RM 400.

8. Menubuhkan Tabung Pinjaman Perniagaan Kecil tanpa faedah bagi membantu ibu tunggal menceburi perniagaan kecil dan juga peniaga-peniaga kecil dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

10. RM 2 Juta diperuntukan kepada Urusetia Hal Ehwal Bukan Islam bagi tujuan membantu orang-orang bukan Islam dalam menjalankan dan mengamalkan aktiviti kebudayaan, keagamaan serta pendidikan.

11. Peruntukan EXCO dinaikan dari RM 100 ribu ke RM 150 ribu setahun, manakala ADUN dari RM 150 ribu setahun ke RM 200 ribu setahun.

12. Menaikkan Tabung Pusingan Bantuan Bencana Alam kepada seluruh Pejabat Daerah dari RM 30 ribu ke RM 50 ribu.

13. Meluluskan 138 kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) khas untuk setinggan yang melibatkan kawasan seluas 4,299 ekar dan boleh menyediakan 34,392 lot tapak rumah. Ini bermakna 34 ribu lebih rakyat yang menempati kediaman setinggan akan memiliki tapak rumah untuk didirikan rumah kediaman.

14. RM 60 juta diperuntukan kepada JKR untuk melaksanakan pelbagai projek baru, manakala JPS pula mendapat peruntukan sebanyak RM 8.82 juta untuk rancangan tebatan banjir.

Kerana itulah saya beranggapan bahawa BN telah menggunakan dasar Bajet 2009 yang diluluskan semasa Pakatan Rakyat memerintah , dan sebenarnya rakyat perak menerima banyak perubahan dengan dasar bajet yang bertemakan kebajikan itu.

Sekiranya Bajet tersebut tidak mematuhi dasar yang telah diluluskan dalam pembentangan DUN tersebut berarti telah berlaku sekali lagi pelanggaran undang-undang setelah sekian banyak pelanggaran undang-undang yang telah dilakukan oleh BN di Perak.

Maka tidak ada jalan yang terbaik melainkan di bubarkan DUN Perak, dengan mengembalikan kuasa kepada Rakyat untuk memilih semua kerajaan yang sah di Perak.

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM,
ADUN Titi Serong/
Ketua Penerangan PAS Perak

Kelewatan saguhati bilal, siak : bukti Kerajaan kudeta perak lemah.

Bernama melaporkan Kerajaan Negeri Perak kudeta di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) akan mengkaji masalah kelewatan pembayaran saguhati khas sebanyak RM500 kepada bilal dan siak di negeri ini yang sepatutnya dibayar sebelum Aidilfitri, kata Pengarahnya Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.

Beliau, yang kesal dengan kelewatan pembayaran berkenaan, memberi jaminan masalah sebegitu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan dan menafikan kelewatan berkenaan bermotif politik.

Kelewatan pembayaran tersebut menggambarkan betapa lemahnya Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran MB Kudeta, Zambry Abdul Kadir.

Lebih memalukan apabila kutipan semasa Kerajaan pakatan Rakyat masih berkuasa di Perak kutipan zakat telah meningkat sekitar RM 10 juta, namun agihannya sangat lambat dan mendukacitakan.

Sheikh Mohamah Nor berkata JAIP menerima waran daripada Pejabat Kewangan Negeri bagi pembayaran saguhati itu pada 9 Sept lepas dan mengagihkan kepada Pejabat-pejabat Daerah pada 11 Sept.

"Pejabat Daerah pula diarahkan untuk memproses segera bayaran tersebut ke dalam akaun setiap masjid pada 16 Sept 2009.

"Pada hemat saya, selewat-lewatnya 18 atau 19 Sept 2009, pegawai-pegawai masjid berkenaan telah menerima saguhati tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Katanya, setakat ini, difahamkan sebahagian besar daripada 1,975 orang bilal dan siak telah menerima saguhati, yang diumumkan pembayarannya oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 26 Ogos lepas.

Sheikh Mohamah Nor berkata satu kertas cadangan telahpun dikemukakan kepada kerajaan Perak untuk dipertimbangkan bagi membolehkan kesemua bilal dan siak di negeri ini menerima elaun bulanan seperti yang dinikmati oleh imam masjid dan surau.

Ketika ini imam masjid dan surau di Perak menerima elaun bulanan RM450 manakala bilal dan siak menerima RM300 setahun.

Nizar seru warga Perak buat perubahan besar-besaran

IPOH, 23 SEPT:Bagi Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Syawal ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan untuk seluruh rakyat di Perak melakukan perubahan besar-besaran sekiranya pilihan raya negeri dibuat pada masa yang terdekat.

Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis.

"Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zalim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan seperti SPR, SPRM, polis dan kehakiman.

"Tolak mana-mana yang berjuang di atas prinsip perkauman dan 'assobiyah' kerana itu tiada tempat dalam Islam.

"Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalangannya mereka yang hidup-matinya, perjuangannya kerana bangsanya atau kaumnya," jelas Nizar dalam perutusan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Dalam perutusannya itu, beliau merasa pelik apabila umat Islam mengabaikan perintah Allah dan ibadat yang lain tetapi memberi keutamaan kepada amalan berpuasa.

Katanya hanya satu ayat dalam surah al-Baqarah (ayat 183) memerintah umat Islam berpuasa, tetapi dengan puluhan ayat yang mengarahkan solat dipandang sepi dan tidak ambil berat.

"Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahur, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu," katanya yang juga ADUN Pasir Panjang.

Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri yang turun dan diungkap oleh Nabi Muhammad pertama kalinya dalam peperangan Badar mengajak umat Islam membuat perubahan besar-besaran.

Namun malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan di kalangan masyarakat melayu sehingga hilang roh dan semangat takbir itu sendiri.

"Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya," katanya.

Selain itu katanya, sebagai ibadat tertua, puasa menuntut umat Islam memperolehi ketaqwaan sebagai tiket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak dan tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga.

"Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini.

"Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!" katanya dalam perutusan tersebut.

Harakahdaily/-

Kita rugi AS$300 bilion akibat rasuah

Pengguna seluruh dunia dikenakan bayaran berlebihan kira-kira AS$300 bilion kerana rasuah menaikkan kos projek sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus, demikian menurut satu laporan yang dikeluarkan hari ini oleh Transparency International (TI).

Laporan itu, Laporan Rasuah Global 2009: Rasuah dan Sektor Swasta (GCR), menyebut bahawa 300 kartel swasta antarabangsa didapati mengenakan bayaran berlebihan kepada pengguna berjumlah AS$300 bilion dari 1990 hingga 2005.

Selain itu, rasuah bagi pegawai dan ahli politik yang menerima suapan di negara membangun berjumlah sehingga AS$40 bilion setahun, manakala syarikat terpaksa membayar berbilion-bilion denda sejak dua tahun lepas disebabkan amalan seumpama itu.

Laporan itu juga mengketengahkan aspek kebimbangan lain seperti kekurangan semak dan imbang dalam pengaruh politik bagi beberapa syarikat berkuasa dan sektor perniagaan serta perolehan kakitangan yang besar antara kerajaan dan perniagaan.

"Mendasarkan masa depan sesebuah syarikat atau dana kepada hubungan peribadi dan sistem yang tidak dapat dijangka atau beroperasi tanpa sebarang pengawasan dan pertanggungjawapan adalah laluan yang dijamin membawa kepada kegagalan," kata Pengerusi TI, Huguette Labelle dalam satu kenyataan di Petaling Jaya hari ini.

TI berkata syarikat-syarikat yang mengguna pakai program anti rasuah dan garis panduan etika didapati 50 peratus kurang berdepan kes rasuah dan tidak dijangka kehilangan peluang perniagaan berbanding syarikat yang tidak mengguna pakai amalan itu.

Ia berkata selain berdepan risiko perniagaan, implikasi amalan rasuah membawa kepada pembaziran sumber serta hasil kerja yang kurang elok yang boleh membahayakan nyawa.

"Menyemai budaya integriti korporat penting bagi melindungi pelaburan dan juga meningkatkan kejayaan perniagaan," kata Labelle.

"Memenangi anti rasuah bermakna menambah kepada keuntungan. Sudah sampai masanya perbadanan menangani risiko membayar berjuta-juta denda dan kehilangan kepercayaan daripada pelanggan dan pemegang saham mereka," katanya. BERNAMA