04 September 2011

Umat Islam kehilangan ulama tersohor

6 Syawal 1432H. [MOD] -
M Faqih

Umat Islam di negara ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Tuan Guru Datuk Hashim Abu Bakar, 88, kembali ke rahmatullah pada petang 1 Syawal lalu.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Sim terlantar sakit hampir dua tahun lalu merupakan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan mudir Pondok Pasir Tumbuh.

Lebih 2,000 warga pondok dan penduduk tempatan menunaikan solat ke atas jenazahnya yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut berangkat menunaikan solat di Masjid Pondok Pasir Tumbuh kira-kira jam 6 petang iaitu Sultan dan Tengku Mahkota Kelantan.

Jenazahnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran pondok terbabit.

Setiausaha PPPB, Adam Abdullah berkata, Allahyarham disifatkan sebagai generasi terakhir ulama tersohor dari Malaysia yang pernah mendalami pelbagai kitab di Makkah.

“Sekarang boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ulama yang pernah mendalami ilmu agama di Makkah secara halaqat terus dengan ulama-ulama besar di Masjidilharam.

“Pada pandangan saya boleh dikatakan tiada lagi ulama besar seperti Allahyarham Ayah Sim di negara kita yang pernah menekuni pelbagai ilmu agama di Makkah,” katanya.

Menurutnya ulama yang belajar secara berkitab di Makkah berguru dengan ulama-ulama besar dan mengetahui lebih banyak cabang ilmu.

Setiausaha Pondok Pasir Tumbuh, Sairozi Atiqullah berkata, warga pondok benar-benar merasakan suatu kehilangan besar setelah kembalinya Ayah Sim menghadap Ilahi.

Katanya, Allahyarham satu-satunya pengasas Pondok Pasir Tumbuh yang ada sebelum ini selepas kematian Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar.

“Ayah Sim mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama dua orang iparnya. Dan selepas kedua-duanya meninggal beliau menggantikan tempat sebagai penguasa I atau mudir sehingga sekarang.

”Allahyarham juga dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad sejak 1995,” ujarnya.

Tuan Guru Hashim dilahirkan di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah pada 1923. Mendapat pendidikan di Darul Ulum ad-Diniah, Makkah (1936 – 1939).

Pernah juga belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdullah Merbuk, Sungai Petani; Pondok al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak; Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra dan Pondok Bunut Payong Kota Bharu.

Ayah Sim juga pernah dianugerah Tokoh Hijraturrasul 1428 Hijriah peringkat negeri Kelantan dan mendapat anugerah Datuk Paduka daripada Sultan Kelantan pada 2010.

Beliau meninggalkan lima anak. Isterinya meninggal beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kehilangan Ayah Sin begitu dirasai rakyat dan kerajaan negeri Kelantan kerana kehebatan ilmu yang ada padanya.

“Sepanjang hayatnya Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai bidang berkaitan permasalahan agama,” ujarnya.


Laungan takbir raya 3 Syawal di rumah Ketua Umno

6 Syawal 1432H. [MOD] -
Aslani M

JELI, 4 Sept: Umat Islam di negara ini sedia maklum laungan takbir Hari Raya Aidilfitri hanya sunat dikumandangkan sebelum solat sunat Aidilfitri diadakan.

Berlainan dengan dengan Hari Raya Aidiladha di mana takbir raya boleh dialunkan sehingga tiga hari iaitu hari-hari tasyrid.

Namun lain pula yang berlaku di rumah terbuka Ketua Umno Jeli, Datuk Mustapa Mohamad pada 3 Syawal lalu apabila laungan takbir dikumandangkan pada hari raya ketiga.

Seorang penduduk mendakwa pemimpin Umno terbabit bersama anggota jawatankuasanya bertakbir beramai-ramai pada program hari terbuka yang diadakan di Darul Falah.

“Saya pun hairan mengapa pula bertakbir raya pada 3 Syawal, sedangkan setahu saya takbir Hari Raya Aidilfitri hanya disunatkan sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Namun lain pula yang berlaku di kediaman Datuk Mustapa apabila mereka bertakbir Hari Raya pada 3 Syawal. Sekali ingat hendak gelak juga,” katanya yang enggan dikenali.

Seorang lagi pula mendakwa orang ramai yang hadir tidak mengikut pemimpin Umno bertakbir, sebaliknya asyik melihat sahaja gelagat mereka.

Seorang guru agama dari Pondok Sungai Durian berkata, umat Islam hanya disunatkan bertakbir Hari Raya Aidilfitri sebelum solat hari raya dan selepas itu tidak lagi disunatkan.

“Hendak bertakbir pada waktu lain tidak menjadi kesalahan tetapi masanya sudah habis kerana takbir pada Hari Raya Aidilfitri disunatkan sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Kalau hendak buat juga tidak ada lagi pahala sunat seperti diajar agama Islam. Amalan bertakbir itu berlaku di luar waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, nampak sangat pemimpin Umno tidak mengambil berat solat agama apabila melakukan perkara mengikut akal semata-mata.

Katanya, budak sekolah rendah pun tahu disunatkan bertakbir pada Hari Raya Puasa sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Mungkin juga mereka bertukar dengan bertakbir Hari Raya Haji yang disunatkan sehingga tiga hari,” ujarnya.

Sebelum ini bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dikatakan pernah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat selepas solat Asar.

Harakahdaily/-

Takziah buat Allahyarham Noramfaizul

6 Syawal 1432H. [MOD] -
Nazri Abdullah

SERDANG, 4 Sept: Lebih 1,000 orang hadir di kediaman keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor di Taman Serdang Raya di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada jurukamera BernamaTV itu yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Mereka terdiri dari anggota keluarga terdekat, jiran-jiran, pemimpin masyarakat, serta sahabat handai yang mengenali Allahyarham khususnya di kalangan warga media.

Turut berkongsi rasa kehilangan Allahyarham termasuk pimpinan PAS Serdang yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

"Bagi pihak PAS Serdang, kami melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham Noramfaizul.

"Kami doakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan kepada anggota keluarga diharap bersabar dengan ujian ini," kata Yang Dipertua PAS Serdang, Shafie Ngah.

Selain beliau, turut serta menziarah jenazah di sini adalah Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Sementara itu jenazah Noramfaizul yang dibawa menaiki van jenazah dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, tiba dikediaman keluarganya di sini kira-kira jam 12.20 tengahari tadi bagi diberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarhan kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Al-Islah Serdang Jaya sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa pulang menaiki pesawat C-130 TUDM tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jam 10 pagi tadi dan dibawa ke Masjid TUDM untuk disolatkan.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.


Harakahdaily/-

Jenazah Noramfaizul selamat disemadikan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama menunaikan solat jenazah jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohamad Nor di masjid pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini. Allahyarham terkorban Jumaat lalu, selepas terkena tembakan peluru sesat ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Putera Umno 1Malaysia. - Foto AP/Lai Seng Sin

6 syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan saja ahli keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV.

Selepas bacaan talkin disempurnakan, ahli keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat.

Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Antara warga BERNAMA yang hadir ialah Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Sulaiman; Pengurus Besar, Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong.

Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain.

Turut menyambut ketibaan jenazah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet.

Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan ahli keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik.

Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Najib dan Muhyiddin ialah antara kenamaan yang turut menunaikan solat jenazah buat Allahyarham, yang disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri.

Jenazah Noramfaizul kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah berdekatan untuk sembahyang jenazah untuk kali kedua sebelum disemadikan. - BERNAMA

Kenderaan di lebuhraya PLUS arah utara ke ibu kota bertambah

6 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara menghala ke ibu kota semakin bertambah namun trafik secara amnya berjalan lancar.

Jurucakap PLUS ketika dihubungi pada jam 11 pagi ini melaporkan kawasan yang banyak kenderaan ialah dari Changkat Jering ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak dan Simpang Pulai ke Gopeng.

Kenderaan juga dilaporkan bertambah dari Bidor ke Slim River dan R&R Sungai Perak ke Terowong Menora manakala trafik bergerak perlahan dari Sungkai ke Slim River.

Bagi kawasan selatan, trafik bergerak perlahan di Tambak Johor iaitu sempadan antara Johor dan Singapura namun di kawasan lain trafik masih bergerak lancar.

Di plaza tol masuk ke ibu kota iaitu Jalan Duta dan Sungai Besi kenderaan masih bergerak lancar.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, 16 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari ke-12 Ops Sikap-24, menjadikan jumlah kematian 228 orang.

Polis Bukit Aman dalam laman sesawangnya hari ini melaporkan penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak sembilan orang.

Sebanyak 13 kes kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, satu kes dicatat di lebuh raya, jalan persekutuan (lima), jalan negeri (dua), diikuti dengan empat di jalan bandaran dan satu di lain-lain jalan.

Sebanyak 8,606 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam. - BERNAMA

Lebuh raya: Awang Adek bertembung Mustapa

6 Syawal 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 Sept: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa kerajaan Kelantan berkemungkinan besar tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya selama-lamanya sebagai satu kenyataan yang berninat jahat dan dangkal serta bernada sumbang.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, kenyatan itu juga membayangkan seolah-olah beliau begitu jahil dengan tanggungjawab kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan lebuh raya di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Saya juga ingin melahirkan rasa kesal di atas kenyataan tersebut yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 3 September 2011 yang antara lain turut menyatakan bahawa kerajaan PAS Kelantan telah diberi peluang selama 21 tahun untuk menyelesaikan masalah kesesakan namun gagal untuk mencari jalan penyelesaian.

“Adakah Awang Adek baru tersedar dari tidur atau sengaja mencari pertembungan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam isu ini, wallahualam,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga bertanya sedarkah Awang Adek bahawa pada 1 September 2011, Utusan Malaysia selaku lidah rasmi Umno sendiri di halaman 6 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang tegas menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tidak akan mampu membina lebuhraya kerana pembinaan lebuhraya ialah tanggungjawab kerajaan Pusat.

Katanya, jika Awang Adek terlupa untuk membelek akhbar pada hari tersebut, boleh perturunkan kembali kata-kata Mustapha yang antara lain menyebut, “Ini (membina jalan utama) tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu untuk membina kecuali dengan bantuan pihak swasta. Jumlah RM2 bilion sangat besar, tidak mampu jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan negeri…”

Soal beliau, bukankah kenyataan itu jelas menunjukkan pengakuan Mustapha sendiri bahawa pembinaan lebuhraya ini bukan merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, cuma kerajaan negeri terpaksa mengambil alih apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab iaitu kerajaan Pusat nampaknya tidak berminat untuk membela nasib rakyat Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu.

Dalam hal itu, beliau mencabar Awang Adek untuk menyebut mana satukah negeri di Malaysia yang membina lebuhraya tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Adun Mengkebang sepenuhnya yakin jika Umno yang berkuasa di negeri Kelantan, bukan setakat membina lebuhraya, untuk menyelaras projek kecil-kecilan di peringkat kampung pun akan berlaku pertembungan kepentingan pelbagai pihak demi mengaut keuntungan mudah.

Justeru, beliau berharap Awang Adek lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kedangkalan seseorang itu bukanlah diukur melalui tinggi rendahnya pangkat tetapi pada betul tidaknya fakta yang diberikan.

“Jangan Awang Adek sangka keterlanjurannya dalam isu judi bola sepak pada tahun lepas sudah dilupakan oleh rakyat Kelantan. Ditambah pula dengan kenyataan dangkal seperti ini, semakin kuranglah markah untuk menjadi ‘bakal Menteri Besar Kelantan’ sekali lagi,” ujarnya lagi.


PRU 13: MP BN dapat dana khas hingga RM2.5 juta

6 Syawal 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ─ ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan, lapor The Malaysian Insider.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai “hitam”, di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

“Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing,” kata wakil rakyat itu sambil menambah, “malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi.”

“Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif,” kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

“Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu,” kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN.

“Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya,” kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian.

“Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti “hitam”, “kelabu” dan “putih” - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan “putih” di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di PWTC.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan ‘kubu’ pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing.

21 penumpang pesawat tentera udara Chile disahkan terbunuh

6 Syawal 1432H. [MOD]

SANTIAGO: Kesemua 21 penumpang pesawat tentera udara Chile yang terhempas di lautan Pasifik ketika dalam perjalanan ke kepulauan Juan Fernandez disahkan terbunuh serta merta, menurut menteri pertahanan negara itu,Andres Allamand.

"Berdasarkan pemerhatian dan usaha mencari, kami membuat kesimpulan kesan daripada kejadian itu menyebabkan kematian serta merta ke atas semua yang berada di dalam pesawat berkenaan," katanya di sini, Sabtu (waktu tempatan).

Setakat ini, hanya empat mayat ditemui. - AFP

Gempa kuat magnitud 7.0 gegar Vanuatu

6 Syawal 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.0 menggegarkan pesisir kepulauan Selatan Pasifik Vanuatu, hari ini, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa sebelum jam 10 pagi itu dicatatkan pada kedalaman 132 kilometer (km), iaitu kira-kira 350 km tenggara ibu kota Port Vila.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik, berkata tiada kesan tsunami yang membinasakan dihasil susulan kejadian terbabit. - AFP

Jenazah Noramfaizul tiba di TUDM

6 Syawal 1432H. [MOD] -

SUBANG: Pesawat Hercules C130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39 bersama 54 ahli misi bantuan kemanusiaan ke Somalia selamat mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 10.03 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UPM hari ini.

Bostawana gesa tentera setia Gaddafi serah diri

6 Syawal 1432H. [MOD] -

GABORONE 4 Sept. - Republik Botswana menggesa pengikut yang setia kepada pemimpin Muammar Gaddafi supaya menyerah diri, semalam, sekali gus menjadikan ia negara Afrika pertama yang menyokong kerajaan baru Libya.

"Kerajaan Bostwana menyeru secara terbuka kepada tentera Gaddafi untuk meletakkan senjata supaya dapat mengelakkan lebih banyak nyawa yang terkorban," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan itu turut meminta pengikut Gaddafi untuk menjadi sebahagian daripada proses pembentukan dan perdamaian yang diketuai oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC). - AFP

38 wartawan terbunuh di Somalia sejak 1992

6 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 38 wartawan asing termasuk seorang pekerja media dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan krisis di Somalia sejak 1992.

Angka itu berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman web Jawatankuasa bagi Perlindungan Wartawan (CJP).

Jumlah itu termasuk korban terbaru membabitkan wartawan dari Malaysia iaitu seorang jurukamera dari stesen televisyen BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang terkena tembakan ketika membuat liputan bantuan kemanusiaan di negara itu, semalam.

Dalam kejadian tersebut, Noramfaizul yang menaiki kenderaan pacuan empat roda sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan, maut selepas terkena tembakan curi di bahu sehingga menembusi ke paru-parunya, dalam satu serangan di ibu negara Somalia, Mogadishu.

Sementara itu, seorang lagi jurukamera dari TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, pula cedera dalam kejadian tersebut.

Noramfaizul merupakan wartawan Malaysia pertama terkorban ketika membuat liputan di luar negara. - Agensi

Najib , kau pulang jua...

6 Syawal 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini di Perth, Australia memendekkan lawatannya itu dan pulang ke Kuala Lumpur bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang hari ini.

Beliau dilaporkan berada di Australia beberapa hari lepas dan ddikatakan tiada di Malaysia semasa rakyat merayakan hari kemerdekaaan negara pada 31 ogos yang lepas.

NONETindakan itu bagi menyambut ketibaan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor dari Mogadishu, yang terbunuh akibat terkena tembakan curi di Somalia pada Jumaat lalu.

Noramfaizul 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain.
Mereka berada di Mogadishu bagi mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Allahyarham telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.

Berita mengenai Najib meninggalkan negara pada tarikh 31 Ogos setakat ini belum dinafikan oleh pihak dirinya sendiri.