19 Januari 2009

P'raya kecil KT cermin 'mood' politik negara

Cita-cita pembangkang untuk mengambil alih kuasa mendapat anjakan yang memberangsangkan ekoran kemenangan calonnya dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, yang mengikut para pemerhati, turut menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS - salah sebuah anggota Pakatan Rakyat - dalam pilihanraya kecil tersebut, dilihat sebagai mencerminkan 'mood' politik negara sekarang.
Kemenangan itu juga - walaupun tidak menjejaskan kedudukan kerajaan BN - tetapi ia menunjukkan kerajaan gagal menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac 2008, sekaligus telah mencetuskan desakan supaya dilakukan perubahan dalam BN.

"Kemenangan itu menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan," kata Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pakatan Rakyat pimpinannya memenangi lima negeri dan lebih satu pertiga kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Kemenangan calon PAS dengan majoriti selesa 2,631 undi semalam adalah ekoran peralihan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Desak perubahan

Kekalahan BN di Kuala Terengganu semalam telah mencetuskan desakan dari bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya dilakukan perubahan segera dalam gabungan BN.

Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas naib presiden Umno itu menyifatkan BN "dimalukan" sekali lagi ekoran kekalahan semalam.

Katanya, walaupun BN kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu - yang juga terburuk dalam sejarah kerajaan - tetapi tidak nampak langsung sebarang perubahan asas dibuat untuk memperbaiki keadaan atau ia menunjukan BN tidak mengambil iktibar daripadanya.

Malah, beliau melihat BN sekarang seolah-olah terambing ambing seperti sebuah bahtera tanpa nakhoda.

Siva Murugan Pandian, seorang penganalisa politik dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kemenangan pembangkang semalam telah memberi satu anjakan besar kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Jika Datuk Seri Anwar dapat memastikan tidak berlaku keretakan dalam Pakatan Rakyat, maka pembangkang boleh mangambil alih kuasa dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sokongan pengundi Melayu

"Tetapi ia hanya boleh berlaku jika peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat berterusan," katanya.

Siva berkata, keputusan semalam juga merupakan satu petanda tidak baik terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah tidak bertanding dalam pemilihan Umno ekoran desakan kuat dari akar umbi dan kalangan pemimpin tinggi Umno ekoran kekalahan teruk BN, khususnya Umno, dalam pilihanraya umum lalu.

Selepas kesemua 193 bahagian Umno selesai bermesyuarat November lalu, Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang mahu mencabarnya, gagal mendapat kuota pencalonan yang mencukupi - sebanyak 58 pencalonan. Beliau hanya mendapat pencalonan dari bahagiannya - Umno Gua Musang.

Manakala Bridget Welsh, pakar politik Asia Tenggara di Universiti Johns Hopkin pula berkata kekalahan BN di Kuala Terengganu akan mencetuskan persoalan mengenai peningkatan kedudukan Najib sebagai perdana menteri.

Reaksi Najib

Ini kerana Najib sendiri mengetuai jentera kempen BN di Kuala Terengganu dan kekalahan BN itu merupakan satu lagi kegagalan kerajaan dalam pilihanraya kecil selepas Permatang Pauh, yang menyaksikan Anwar kembali ke Parlimen.

Ketika mengulas kekalahan calon BN semalam, Najib berkata beliau tidak fikir ia akan memberi kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih kuasa dari perdana menteri sekarang.

Manakala Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre for Opinion Research, pula menyifatkan keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan kerajaan BN kini berdepan dengan “jurang kredibiliti” dengan pengundi Melayu yang tidak ditangani oleh para pemimpinnya ekoran percakaran sesama sendiri yang berterusan dalam BN.

Pengundi muda dan pengundi di kawasan bandar khususnya tidak senang dengan masalah rasuah dan kroni yang berterusan, serta kegagalan Abdullah menunaikan janjinya untuk membawa perubahan, termasuk membersihkan pasukan polis dan badan kehakiman.

Ibrahim juga bersetuju bahawa gabungan pembangkang kini mendapat momentum yang amat diperlukan dan membuktikan parti komponennya dapat bekerjsama secara berkesan walaupun wujudkan dakwaan bahawa berlaku keretakan dalam hubungan sesama mereka. Malaysiakini.

Gelombang Hijau di Terengganu datang lagi.

Apa bila bercakap mengenai kemenangan PAS di Terengganu dan kesan kepada landskap politik khususnya untuk negeri itu, saya lebih suka untuk mengatakan bahawa Gelombang Hijau muncul kembali di Terengganu.

Kalau dalam PR ke 11 pada tahun 2004 menyaksikan projek Gelombang Biru BN berhasil menumbangkan Kerajaan PAS di Terengganu, saya sangat yakin Gelombang Hijau akan menelan dan mengalahkan BN dalam PR ke 13 akan datang.

Nampaknya dalam kempen PR Kuala Terengganu BN memperkenalkan dua istilah baru iaitu "PAS Kluk Kelek" dan " Dok ghok cethong". Ternyata slogan itu gagal untuk menarik undi sehingga kecundang sudah BN dan dipermalukan dalam satu pertandingan yang saya anggap mempertaruhkan maruah kedua-dua pihak.

Sehari sebelum pengundian dan pada hari pengundian, saya katakan pada teman-teman seperjuangan, kalau PAS menang mujur, dengan maksud mujur disebut dalam bahasa Kelantan bermaksud "alhamdulillah", tetapi kalau kita kalah kata orang Kelantan"munasabah" kerana Kuala Terengganu sebelum ini dimenangi oleh BN.

Lebih tepat saya tegaskan pada saat ini penyokong BN di seluruh pelusuk negara dalam keadaan DIRUNDUNG MALANG, SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA. Malah saya tidak pasti apakah andaian Pak Lah sebelum di ke Timur Tengah, mungkinkah dia sudah mencium bau kekalahan yang bakal diterima BN.

Persoalan lain yang saya fikirkan ialah mengenai kedudukan PAK LAH yang saya ibarat kan bagai anak ikan yang sudah terkeluar dari balang kaca peliharaan tuannya. Adakah masih ada simpati sehingga mungkin dia dibantu dan dimasukkan kembali ke balang kaca untuk menghabiskan sisa hari sebelum berundur. Sedangkan ia sudah cedera.

Atau kerana kegagalan Najib memenangkan BN di Kuala Terengganu, Pak Lah sudah memikirkan plan B ?.

Apapun yang yang cuba diketengahkan, saya juga ingin mengetengahkan bahawa BN sudah tidak Relevan lagi dan ditolak oleh rakyat. Senerio ini saya yakin bukan hanya untuk Terengganu tetapi akan melarat ke negeri lain. Kemenangan di Permatang Pauh menyemarakaan semangat petugas Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu. Kemenangan di Kuala Terengganu membuktikan rakyat masih boleh kita anjakkan sokongan mereka untuk memenangkan calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding di mana saja.

Yang tinggal hanyalah gambar Pak Lah, Najib, Mat said dan Farid yang berlakon tersenyum dipapan-papan tanda besar di merata tempat dalam Kuala Terengganu. Sebelum saya meninggalkan Kuala Terengganu tengahari tadi ianya belum dibersihkan lagi. Malah tidak ada yang sudi mengambilnya untuk kenangan. Berlainan pula dengan poster dan gambar Hj. Abdul Wahid, sejak malam tadi semuanya telah diambil oleh penyokong sebagai kenangan dan tanda kejayaan sebuah perjuangan.

Rupanya senyuman mereka dibalas dengan hadiah kekalahan yang sedang kita raya kan di seluruh negara sekarang.

Gambar di Kuala Terengganu.

Hari mengundi diwarnai dengan berbagai gelagat dan suasana yang menjadi kenangan kepada semua apa lagi kemenangan berpihak kepada calon PAS.

Pelbagai gambar menarik yang sempat dikumpulkan oleh juru gambar blog cina Islam. Berikut ini disiarkan untuk tatapan semua pengunjung.











Bersambung......