01 Jun 2013

Cadangan SPR bawah Parlimen ulangi JK sebelum ini

22 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar)menyifatkan rancangan Perdana Menteri untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebagai pengakuan memang wujud penipuan pilihan raya.

"Meletakkan SPR di bawah jawatankuasa itu hanya lakonan semata-mata untuk menyelamatkan suruhanjaya itu," katanya.

Salahuddin berkata, sebelum ini Pakatan Rakyat bersifat terbuka dan menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

"Jawatankuasa tersebut dicadangkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri.

"Pakatan hantar Dr Hatta Ramli dari PAS, Azmin Ali dari PKR dan Anthony Loke dari DAP sebagai tiga wakil kita dalam jawatankuasa itu.

"Akhirnya terbukti, tidak ada satu pun cadangan jawatankuasa itu yang dilaksanakan," kata beliau.

Salahuddin yakin, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan itu semata-mata untuk melaksanakan "damage control" apabila melihat semakin ramai rakyat yang menyambut slogan "tipu pilihan raya, turun jalan raya".

Semakin ramai rakyat yang menyifatkan kerajaan minoriti dengan hanya 47.38 peratus undi pimpinan Najib sebagai kerajaan tipu pilihan raya, katanya.

"Bukan itu sahaja, perhimpunan ratusan ribu rakyat menolak pilihan raya yang dikotori oleh penipuan menakutkan para pemimpin Umno BN.

"Sebab itulah Najib umumkan rancangan yang belum tentu dilaksanakan dan belum tentu dipersetujui oleh 'warlord-warlord' Umno atau 'godfather' mereka, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," kata beliau.

Oleh kerana PAS menyifatkan pengumuman Najib itu hanyalah pengakuan bahawa memang berlaku penipuan dalam pilihan raya, Salahuddin menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penipuan-penipuan pilihan raya.

"Tuntutan sebegini sudah lama dibuat dan keengganan kerajaan BN menunaikan tuntutan itu menguatkan keyakinan rakyat bahawa ada terlalu banyak penipuan dan penyelewengan yang hendak disembunyikan," kata beliau.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini memberitahu, pihaknya menerima pelbagai aduan penipuan dalam pilihan raya.

Mengenai kes lampu padam ketika pengiraan undi, selain beberapa laporan polis mengenai kejadian itu di sana sini, beliau berkata pihaknya menerima tujuh aduan mengenai kejadian tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, kata Rafizi, pihaknya juga menerima aduan tentang warga asing yang turut mengundi, pengundi berdaftar yang tidak dapat pengundi kerana ada pengundi hantu mengundi menggunakan namanya, jumlah undi yang lebih daripada kertas undi yang dikeluarkan dan pelbagai aduan lain.

Ambiga: Panel PM tak okay, mesti ganti anggota SPR

22 Rejab 1434 H. [MOD] -

Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lebih baik dengan menukar semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk memantau suruhanjaya yang sudah kehilangan keyakinan orang ramai.

"Perdana menteri berbuat demikian kerana beliau mengakui bahawa SPR tidak mendapat keyakinan orang ramai, oleh itu mereka (anggota SPR) mesti letak jawatan atau diganti.

"Untuk mereka melaporkan kepada sebuah lagi jawatankuasa adalah tidak sah kerana jika anda melihat Perlembagaan Persekutuan, mereka sepatutnya menjadi sebuah badan bebas," kata Ambiga ketika dihubungi Malaysiakini.
s ambigaBeliau berkata demikian ketika mengulas laporanBernama 
berhubung ucapan Najib di majlis ulangtahun Yang di-Pertuan Agong hari ini di mana beliau mengumumkan sebuah jawatankuasa khas untuk memantau suruhanjaya itu akan ditubuhkan untuk menangani kekurangan keyakinan terhadap SPR.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyatakan maklumat lanjut.

Ambiga berkata anggota SPR mempunyai kedudukan yang setaraf dengan seorang hakim mahkamah persekutuan dan dengan meletakkan SPR di bawah sebuah, ia ibarat meletakkan badan kehakiman di bawah pihak berkuasa lain.

"Mereka (SPR) bukan sebuah jabatan kerajaan walaupun mereka bertindak sepertinya.

"Mereka telah berkelakuan seperti sebuah jabatan kerajaan kerana mereka dilayan seperti itu, jadi lebih cepat setiap orang menyedari fungsi dan kuasa SPR, adalah lebih baik.

"Itulah sebabnya BERSIH meletakkan standard pertanggungjawaban yang tinggi bagi SPR," kata peguam itu.

"Jika mereka benar-benar mahu memulihkan keyakinan orang ramai, (caranya) ialah membuang semua mereka (anggota SPR) dan digantikan dengan mereka yang mendapatkan keyakinan awam dan berintegriti tinggi.

NONE"Penyelesaiannya adalah sangat mudah. Biarlah rakyat dalam 
masyarakat sivil mencadangkan siapa yang patut menjadi anggota SPR. Ia Ia adalah satu penyelesaian yang sangat mudah," katanya.

DAP supremo Lim Kit Siang yang juga sependapat dengan Ambiga, berkata walaupun langkah Najib itu ke "arah yang betul", tetapi SPR harus bermula dengan rekod yang bersih dengan menggantikan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (foto atas).

Malaysiakini/-

Najib umum penubuhan jawatankuasa khas pantau SPR

22 Rejab 1434 H. [MOD] -

Bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang. 

    
"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana
Negara.

Langkah itu, yang bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti SPR, dibuat ketika Pakatan Rakyat melancarkan kempen terhadap suruhanjaya itu berikutan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 bulan lepas.

Pakatan pembangkang mendapat 51 peratus undi popular tetapi hanya memenangi 40 peratus kerusi di Parlimen berbanding dengan parti pemerintah, yang hanya menang 47 peratus undi popular tetapi memperolehi 60 peratus kerusi kerana amalan persempadanan kawasan pilihanraya.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dijangka dilaksanakan lewat tahun ini dan Pakatan dijangka mengenakan untuk membetulkan ketidakseimbangan jumlah pengundi, yang didakwa memberi kelebihan kepada BN

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak kemerdekaan, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
    
"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku perdana menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
    
"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin Allah SWT," kata Najib.
    
Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.
    
"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin Allah SWT," tambahnya.

Najib juga berkata, kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada SPR untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. 
    
Perdana menteri menegaskan janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.
    
Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya
mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
    
Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana
Negara.
    
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.
    
- Bernama